ADAT DAN PANTANG LARANG
MASUK KE HUTAN
Oleh: NORDIN SAAD
Orang-orang Melayu pada masa dahulu memang sering masuk ke hutan samada untuk meneroka tanah baru, mencari kayu, akar-akar, pokok ubat-ubatan, berburu dan sebagainya. Keupayaan orang-orang Melayu masuk ke hutan terutamanya hutan-hutan yang tebal dan tidak pernah dimasuki orang lain merupakan satu usaha yang membanggakan kita. Malah kita tidak dapat nafikan bahawa tanah dusun, tanah sawah dan tapak kediaman yang kita duduki hari ini adalah merupakan usaha gigih orang-orang Melayu pada masa dahulu yang sanggup meneroka dan mengusahakannya.

Sebenarnya usaha untuk meneroka tanah hutan seperti ini bukanlah satu usaha yang mudah. Ini disebabkan mengikut kepercayaan orang melayu, hutan bukan sahaja dihuni oleh pelbagai jenis hidupan liar dan buas yang sangat berbahaya tetapi juga dihuni oleh pelbagai jenis jin, jembalang, pari-pari dan mambang. Ada di kalangan orang-orang Melayu ini menganggap hutan juga ada penunggu dan mempunyai semangat yang ‘keras’.
Syaitan-syaitan yang menghuni hutan ini perlu ditundukkan terlebih dahulu sebelum seseorang itu dapat memasuki kawasannya. Oleh sebab itu, orang-orang Melayu pada masa dahulu percaya bahawa seseorang yang ingin masuk ke hutan perlulah membawa barang-barang tertentu seperti limau nipis, telur, bertih, sireh berkapur, kemenyan dan penunggal selain dari senjata untuk mempertahankan diri dari serangan binatang buas. Semua bahan-bahan ini akan ditentukan kegunaannya oleh pawang yang dipanggil oleh seseorang yang ingin memasuki hutan.
Selain daripada keperluan tersebut, sebelum memasuki hutan, hari yang sesuai mestilah ditentukan terlebih dahulu. Hari yang dianggap sesuai untuk memasuki hutan adalah pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat dan hendaklah dimulakan pada waktu pagi. Manakala hari Selasa pada akhir bulan tahun hijrah dianggap hari yang tidak sesuai dan harus dielakkan.
Pantang larang semasa di dalam hutan
Terdapat pelbagai pantang larang yang harus dipatuhi oleh orang-orang yang akan memasuki hutan. Misalnya sebaik sahaja berjalan untuk masuk ke hutan dan tiba-tiba dilintasi oleh ular, maka orang itu perlulah kembali semula ke rumahnya dan memakan seutas pinang yang telah dijampikan oleh pawang. Kemudian barulah memulakan perjalanannya kembali. Sebelum melangkah haruslah membaca Bismillahirrohmanirrahim dan mulakan dengan kaki kanan. Orang yang sedang berjalan menuju ke hutan ini juga dilarang berpatah batik.
Ketika di dalam perjalanan pula, adalah dilarang seseorang itu bersiul-siul kerana perbuatan ini dikatakan akan menarik perhatian binatang buas yang sudah pasti akan mengganggu dan sangat merbahaya.
Di dalam hutan pula, seseorang itu dilarang bertempik atau bercakap dengan suara yang kuat kerana dipercayai akan didengari oleh penghuni hutan dan adakalanya pula dikatakan akan disahut penghuni ini menyebabkan kita akan tersesat.
Perbuatan menyebut nama binatang buas dan sebagainya juga adalah dilarang ketika berada di dalam hutan kerana apabila nama binatang-binatang itu disebut, kita seolah-olah memanggilnya. Begitu juga dengan tindakan memperkecil-kecilkan binatang buas seperti mangatakan tidak takut pada harlmau juga adalah dilarang kerana dibimbangi haiwan-haiwan tersebut akan datang mengganggu.
Bagi orang-orang yang masuk ke hutan untuk berburu pula, seseorang itu adalah dilarang daripada berpecah daripada rakan-rakannya yang lain. Ini bertujuan untuk mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti tertembak rakan sendiri kerana dipercayai jembalang akan menyerupai rakan sendiri dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang buruan.
BIBLIOGRAFI
1. Aziz Deraman, A dan Ramli Wan Mohamad, Wan, Adat dan Pantang Orang Melayu„ Petaling Jaya, Fajar Bakti, 1995
2. Ramli Wan Mohamad, Wan, Pantang Larang Orang Melayu Tradisional, Kuala Lumpur, Utusan Melayu (M) Bhd, 1996
3. Saad Ismail, Temuramah, Bintong, Perlis.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000
