Accessibility Tools

MAKANAN TRADISI MASYARAKAT PETANI

MAKANAN TRADISI MASYARAKAT PETANI

Oleh: FATIMAH TAHA 

PENDUDUK di negeri Perlis sebahagian besarnya merupakan masyarakat petani, khususnya bersawah padi.
Sekian banyak makanan tradisi yang mereka pusakai, di antaranya ialah 'Peknga'.

 

Peknga berasal daripada perkataan 'tempek di belanga ''. Oleh kerana bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk di sebelah utara sering menggunakan perkataan-perkataan ringkas seperti 'pi' untuk pergi, 'mai' untuk mari, 'Tarinai' untuk tari inai, kerana itu kata nama 'tempek di belanga' menjadi 'Peknga '.

Makanan tradisi ini begitu popular suatu ketika dulu. Para petani menggunakan bahan­-bahan makanan yang terdapat di sekitar kawasan rumah terutama sekali pisang, dimasak berbagai jenis makanan.

Pisang merupakan bahan makanan utama masyarakat petani selain beras. Sekian banyak makanan di masak daripada pisang seperti pisang goreng, lepat, serawa, gulai, pengat, kerepek dan peknga.

Di antara masakan tersebut 'peknga' merupakan masakan yang ringkas dan mudah dimasak kerana itulah ketika-ketika tertentu para petani menyediakan masakan tersebut untuk makanan mereka, terutama ketika sibuk dan kesuntukan masa. Meskipun begitu makanan ini sedap dimakan dan mengenyangkan.

Pisang yang digunakan untuk masakan ini ialah pisang masak, tidak kira jenis pisang seperti pisang awak, pisang emas, pisang bunga dan pisang berangan.

 

 

 

 

CARA MEMASAKNYA

Sediakan 10 biji pisang masak, secawan tepung sagu, sedikit gula dan sedikit pati santan. Kalau guna tepung gandum, campur satu sudu tepung ubi.

Sediakan daun pisang. Daun pisang itu dipotong kira-kira sepanjang 8 inci.

Lecek pisang dengan gula kemudian campur tepung sagu. Masukkan santan, kacau hingga sebati. Adunan ini sepatutnya tidak terlalu lembut supaya senang dicedok dengan sudu.

Cedok 3 atau 4 sudu ke dalam daun pisang. Lipat daun pisang yang berisi adunan tersebut. Panaskan kuali kemudian masukkan adunan itu ke dalamnya. Tunggu hingga masak. Apabila masak di angkat lalu dipotong-potong untuk dihidangkan.

Baunya harum, seharum daun pisang. Rasanya lazat, lemak dan menyelerakan.

Makanan ini lumrahnya dijadikan makanan petang oleh para petani selepas menger­jakan sawah.

 

Nabi SAW bersabda, maksudnya:

"Tinggalkan bicara yang berlebihan, dan cukup bagimu

dari perkataanmu apa yang telah dapat menyampaikan hajatmu."

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999