Accessibility Tools

PAYA

PAYA

Oleh: ALWI BIN SUDIN

Paya merupakan sebuah perkampungan Melayu tradisional. Letaknya di sebelah utara negeri Perlis iaitu dalam kawasan Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri kawasan Santan, jarak dengan bandar Kangar 8 km. Kampung Paya berada di kiri kanan Jalan Kaki Bukit, iaitu memanjang dari Km 7.5 hinggalah ke Km 10, manakala lebarnya di bahagian timur bersempadankan Sungai Santan dan bahagian baratnya bersempadankan Sungai Perlis (Sungai Korok) kira-kira 2 km jauhnya. Adalah dipercayai kampung ini merupakan kampung-kampung terawal didiami penduduk berdasarkan kedudukannya yang berhampiran sungai dan perkuburan-perkuburan lama yang ditemui.

Secara umumnya orang mengenali Kampung Paya sahaja, tetapi bila didekati sebenarnya Paya terdiri dari beberapa buah kampung yang semuanya berasaskan nama Paya. Kampung­ kampung yang dimaksudkan ialah bahagian selatan sebelah barat Jalan Kaki Bukit ialah Paya Kampung Besar diikuti dengan Pekan Paya, kemudian Paya Tinggi. Manakala di sebelah timur jalan pula terdapat Paya Kampung Senduk ringkasnya Paya Senduk. Setiap kampung ini mempunyai sejarah awalnya yang tersendiri.

Keseluruhan penduduk di Kampung Paya adalah terdiri dari orang Melayu. Di awal abad, membawa ke pertengahan abad ke-20 Kampung Paya merupakan kampung yang mendahului kampung-kampung lain di Perlis dari segi penerima arus permodenan dan perubahan dalam pelbagai bidang. Dalam bidang pendidikan umpamanya, terdapat beberapa orang yang belajar hingga ke universiti, ramai yang menjadi guru dan lain-lain pegawai kerajaan. Dalam soal agama, paya telah mula memperjuangkan Sunnah Wal Jamaah dan menentang amalan khurafat yang berleluasa ketika itu di merata tempat. Justeru demikian, Paya telah menjadi idola dan sebutan di merata tempat khususnya di negeri Perlis Indera Kayangan ini.

 

ASAL-USUL PAYA

Mengenai asal-usul terbentuknya nama Paya atau Kampung Paya, Encik Senapi mengatakan, mengikut yang dicerita oleh Allahyarham Encik Endut, nama Kampung Paya ini terbentuk adalah berdasarkan keadaan tempat ini, yang mempunyai kawasan berpaya di merata tempat. Paya ialah kawasan lembah di mana air senantiasa bertakung. Menurut Encik Senapi, paya-paya ini tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau panjang. Kawasan paya ada yang berbentuk bulat, segi dan memanjang. Terdapat beberapa buah paya yang panjang di sekitar Paya, ada diantaranya yang sampai 3 km panjangnya. Dalam paya-paya ini biasanya ditumbuhi pokok rumbia, putat, bemban dan lain-lain tumbuhan air. Buat masa ini hanya tinggal beberapa buah paya sahaja lagi, yang lainnya telah ditebusguna menjadi kawasan perumahan dan perusahaan. Cerita Encik Senapi ini disokong kuat oleh Tuan Haji Mohamad bin Omar yang tinggal di Paya Kampung Besar, Tuan Haji Md. Alin Ibrahim yang tinggal di Paya Pauh Gembol dan beberapa orang tua lagi di kampung tersebut.

Daripada basil temutanya, pemerhatian serta pengamatan yang saya buat, jelas dan nyata nama Paya terbentuk adalah didasari dari bentuk muka buminya yang semulajadi. Hal ini dapat diperkukuhkan lagi dengan wujudnya nama 'Kampung Darat' yang terletak di utara Kampung Paya. Kampung ini tanahnya darat (tinggi) jika dibandingkan dengan 'Paya', justeru tempat tersebut dinamakan 'Kampung Darat' berdasarkan muka buminya yang tinggi atau pun darat sebutan dan digunakan oleh orang-orang kampung.

 

Encik Senapi B. Endut

 

Mengenai orang yang bertanggungjawab dalam pembukaan Kampung Paya, terdapat beberapa nama yang disebut oleh orang-orang sumber. Antaranya, yang boleh diterimapakai ialah 'Tok Sheikh', nama penuhnya tiada seorang pun yang mengetahuinya. Kata mereka, "Seingat kami, sejak turun-temurun kubur itu hanya disebut kubur Tok Sheikh sahaja. Kubur Tok Sheikh ini, ketika orang Melayu be/um mendalami dan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam sebenar, ianya menjadi tempat pemujaan dan melepaskan nazar." Menurut Encik Senapi dan disokong oleh Tuan Haji Bakar Othman memberi keyakinan kepada saya, Tok Sheikhlah orang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mewujudkan penempatan yang dinamakan Paya.

 

Tuan Haji Mohamad B. Omar

 

Suatu sumber lagi dicerita oleh Tuan Haji Mohamad Omar yang diperolehi daripada cerita Encik Arshad Ab. Samad (Allahyarham). Mengikut cerita Tuan Haji Mohamad, orang yang awal datang ke lokasi ini ialah Tok Putih bersama dengan keluarganya iaitu Tok Anjang, Tok Siti, Tok Salleh, Tok Katong, Tok Saad dan beberapa orang lagi, mereka ini berasal dari Kampung Tebing, Behor Inai. Tok Putih merupakan 'Orang Raja' ia boleh memiliki tanah tanpa perlu meminta geran dari raja. Jadi mereka boleh memugar dan menebas-menebang tanah-tanah milik kerajaan dengan mudah sahaja. Tok Akob seorang dari keturunan Tok Putih dilantik menjadi 'Panglima Raja' semasa pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi ( 1904-1943M).

Berhubung dengan percanggahan mengenai penerokaan atau siapa yang terawal menduduki Paya, maklumat yang saya perolehi dari Encik Sudin bin Yaakub (Allahyarham) katanya, "Tok Sheikh adalah keluarga Tok Putih juga, ia berpindah ke arah utara setelah penempatan awal di Paya Kampung Besar (sekarang) telah menjadi sesak. Tok Sheikh dan beberapa kawannya membuat penempatan baru di Paya Tengah sekarang." Tok Sheikh adalah seorang yang alim, beliau tidak suka dengan kegiatan perjudian, permainan laga lembu dan kerbau serta menyabung ayam yang berleluasa di Paya Karnpung Besar. Salah seorang dari keturunan Tok Sheikh iaitu Tuan Haji Sulaiman Bin Ab. Rashid telah berusaha membina sebuah masjid di Paya Tengah berdekatan dengan Sungai Perlis (Sungai Korok). Walaubagaimanapun, masjid itu telah dirobohkan dan dipindah ke tapak barn pada awal tahun 1990, ke tepi Jalan Kaki Bukit yang baru dibina. Sungai yang dahulunya berperanan sebagai jalan perhubungan utama telah tidak berfungsi lagi bila jalan raya mula mengambil tempat. Lantaran itu, ramai penduduk yang dahulunya tinggal berhampiran sungai telah berpindah dan mencari tempat berhampiran dengan jalan pula.

Sebagaimana yang disebut di awal tadi, Kampung Paya sebenarnya terbentuk dari enam buah kampung kecil. Kampung-kampung ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Pada asasnya atau asal mulanya hanya terbentuk 'Kampung Paya' sahaja, selepas itu barulah dipecah kepada enam kampung kecil bagi memudahkan pengenalan dan lebih tepat lokasinya.

 

PETA KASAR KAMPUNG PAYA

 

 

PAYA BATAS TINGGI

Paya Batas Tinggi merupakan kampung yang paling utara kedudukannya dalam Kampung Paya, bersempadankan Kampung Darat di utara, Balai Baru di timur, dan Padang Melangit di sebelah barat. Menurut cerita Tuan Haji Ibrahim dan Tuan Haji Ishak bin Derani, Kampung Paya Batas Tinggi mendapat namanya semasa orang-orang yang tinggal di kawasan ini memugar hutan rimba dan membuat petak-petak sawah. Mereka dapati batas-batas sawah terpaksa dibuat tinggi barulah air dapat mengalir masuk ke dalam bendang tersebut. Lantaran tempat itu hanya dikenali dengan nama atas 'Paya' lalu mereka menambah menjadikan 'Paya Batas Tinggi'. Nama tersebut melekat dari mulut ke mulut akhirnya menjadi sebati dan diterima secara rasmi hingga ke hari ini. Sayugia diingat, walaupun kawasan ini tanahnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan bahagian selatan, namun masih terdapat kawasan berpaya yang merupakan alur dan kolam-kolam yang digenangi air sepanjang musim.

 

PAYA PAUH GEMBOL

Sekiranya kita bergerak dari utara ke selatan selepas Paya Batas Tinggi kita akan sampai pula ke Paya Pauh Gembol. Kampung ini penduduknya tidak begitu padat, masih terdapat tanah­ tanah kosong dan betukar-belukar kecil yang ditumbuhi pokok-pokok nadir (liar). Menurut cerita Encik Debok bin Mat Jasin, nama Paya Pauh Gembol diambil dari nama 'Pokok Pauh'. Pokok pauh ini berumur ratusan tahun, batangnya besar lebih dari 2 pemeluk, terletak di tengah-tengah kampung ini. Pada batangnya terutama bahagian perdunya (pangkalnya) terdapat beberapa 'gembol' atau 'bongkol '. Oleh kerana pokok ini agak istimewa dan menarik perhatian umum, orang-orang yang berkunjung ke tempat tersebut, bila ditanya hendak ke mana, mereka menjawab "ke Paya Pokok Pauh Gembol". Lama-kelamaan, sebutan ini diguna pakai pada akhirnya sebutan tadi dipendekkan menjadi nama khas iaitu Paya Pauh Gembol. Malangnya pokok ini telahpun ditebang dalam tahun 1960an kerana pembinaan jalan dan juga ketidakprihatinan terhadap warisan sejarah yang sepatutnya dipertahankan.

 

llustrasi Pokok Pauh Gembol

 

PAYA TENGAH

Paya Kampung Tengah atau Paya Tengah merupakan kampung yang kedua diterokai selepas Paya Besar atau Paya Kampung Besar. Kampung ini dibuka oleh 'Tok Sheikh' serta keluarganya dan beliau adalah keturunan Tok Putih yang membuka Paya Kampung Besar. Paya Tengah mempunyai penduduk yang ramai dan menjadi tumpuan penduduk Kampung Paya terutama pada hari Jumaat kerana di kampung ini terletaknya masjid yang pertama di Kampung Paya. Masjid ini diusahakan pembinaannya oleh Tuan Haji Sulaiman bin Ab. Rashid. Seorang tokoh agama Islam tempatan. Masjid ini telah dirobohkan pada awal abad ke-20 ekoran dari terbinanya jalan raya dari Kangar ke Kaki Bukit. Ketika inijalan raya telah mula mengambil alih fungsi sungai yang dahulunya menjadi jalan perhubungan darat bagi menghubungkan di antara satu tempat dengan satu tempat lain. Sebuah masjid baru telah dibina di atas sebidang tanah yang diwakatkan oleh keluarga Encik Senawi, letaknya di Pekan Paya berhampiran Sekolah Paya di tepi jalan yang baru dibina iaitu Jalan Kaki Bukit.

Mengenai nama Paya Tengah, menurut cerita Tuan Haji Bakar Othman, diambil dari keadaan atau lokasi kampung ini yang terletak di tengah-tengah Kampung Paya. Kenyataan beliau disokong oleh Tuan Haji Yahya Bin Omar. Pada hemat saya, pernyataan tersebut adalah tepat kerana tataletak kampung tersebut betul-betul di tengah perkampungan Paya dan nama tersebut pula amat bersesuaian dengan kampung tersebut.

 

PEKAN PAYA

Pekan Paya sebuah lagi kampung kecil yang terdapat dalam jajahan Kampung Paya. Kawasan ini dinamakan 'Pekan Paya' kerana di sini tertumpunya pelbagai kemudahan asas, antaranya ialah Sekolah Melayu Paya (Sekolah Kebangsaan Paya) yang dibina di awal kurun ke-20 dan merupakan salah sebuah sekolah terawal di Perlis. Selain dari sekolah di kawasan ini juga terletaknya Masjid Paya, yang dipindah dari Kampung Paya Tengah, dua buah kedai runcit, dua buah kedai emas yang dimiliki oleh orang Cina. Teristimewanya di Pekan Paya ini terdapat pasar minggu dan dikenali oleh orang-orang kampung dengan panggilan 'nat'. 'Nat' Paya yang beroperasi setiap hari Rabu amat popular di kalangan penduduk setempat dan kampung-kampung berjiran dengan Kampung Paya seperti Padang Melangit, Alor Sena, Padang Lati, Padang Pauh dan Behor Inai.

Bagi orang kampung ketika itu "nat" atau pasar minggu merupakan tempat utama bagi mereka membeli-belah kerana, untuk datang ke Pekan (bandar Kangar) terlalu susah. Di 'nat' inilah mereka membeli barang-barang keperluan harian, kain baju dan lain lagi. Memandangkan tempat ini penduduknya ramai dan terdapat kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan ketika itu, orang setempat menganggap tempat ini sebagai pekan bagi mereka begitu juga orang-orang di tempat lain menyebut 'Pekan Paya'bila berkunjung ke sini. Akhirnya nama 'Pekan Paya' menjadi sebutan ramai dan diterima pakai secara rasmi dan berkekalan hingga ke hari ini.

 

PAYA KAMPUNG SENDUK

Paya Kampung Senduk bersempadankan Alor Sena di sebelah selatan, di timur Kampung Padang Lati manakala di utaranya ialah Kampung Alor Tampang. Paya Kampung Senduk terpisah dari kampung lain oleh Jalan Kaki Bukit. Asal-usul nama Paya Kampung Senduk ini, menurut cerita Tuan Haji Mahmud Daud terjadi disebabkan peristiwa 'senduk jatuh ke dalam paya' di kawasan tersebut. Sebelum tempat ini dinamakan Paya Kampung Senduk, tempat ini hanya dikenali dengan panggilan Paya sahaja. Kisah yang membawa kepada tempat ini dinamakan Paya Kampung Senduk, Tuan Haji Mahmud memulakan ceritanya, "Pada suatu hari beberapa orang petani pergi ke sawahnya dengan menaiki perahu merentasi paya dengan membawa bekalan barang-barang makanan. Bila sampai ke sawah, perahu akan ditambat di pinggir paya dan mereka akan naik ke darat untuk mengerjakan sawah masing-masing. Pada waktu tengah hari tiba waktu untuk makan mereka pergi ke perahu untuk mengambil bekalan makanan, ketika sedang memindah makanan ke darat, sebatang dari senduk yang dibawanya terjatuh ke dalam paya. Kisah senduk jatuh ke dalam air (paya) ini menjadi bualan orang-orang kampung merata tempat. Dengan peristiwa tersebut akhirnya nama 'Paya Senduk' telah menjadi sebutan harian dan diterima sebagai nama bagi kampung tersebut."

 

PAYA KAMPUNG BESAR

Paya Kampung Besar terletak di sebelah selatan dalam kampung-kampung yang wujud di kampung Paya. Menurut cerita Tuan Haji Mohamad bin Omar dan En. Mat Alin bin Mat Seman Paya Kampung Besar masa dahulu di awal pembukaannya dikenali dengan Paya. Petempatan ini adalah yang terawal diterokai dianggarkan lima ratus tahun dahulu. Adalah dipercayai kampung ini diasas oleh 'Tok Putih' bersama keluarganya yang berpindah dari kampung Tebing. Nama Paya Kampung Besar ini timbul kerana beberapa sebab, pertama kampung ini mempunyai penduduk yang ramai, rumah-rumah dibina bersesak-sesak hingga bertemu cucur atap kata mereka sama seperti rumah orang kuala. Selain dari itu tempat ini tinggalnya Orang Besar Raja (wakil raja) dari keturunan Tok Putih. Disamping itu di Paya ini juga terdapat gelang- gang melaga lembu dan kerbau, bon (gelanggang) menyabung ayam. Laga lembu dan kerbau serta menyabung ayam merupakan suatu hiburan dan permainan tradisional masyarakat Melayu ketika itu.

Pada waktu malam pula pada masa-masa tertentu seperti musim mengemping, malam kenduri perkahwinan dan lain-lain perayaan, penduduk di sini mengadakan persembahan 'boria' yang sama seperti boria Pulau Pinang. Semua permainan dan pertandingan diadakan secara besar-besaran. Pengunjungnya terdiri dari penduduk kampung-kampung lain berdekatan. Mengambil sempena keadaan tempat ini ada Orang Besar Raja dan pesta-pesta yang diadakan secara 'besar' maka orang ramai menyebut tempat ini 'Paya Kampung Besar' dimana akhirnya nama tersebut menjadi sebutan ramai dan berkekalan sehingga ke hari ini.

 

SUMBER RUJUKAN

En.Senapi B.Endut

Tn. HJ. Mohamad Omar

Tn. HJ. Mahmud Daud Tn. HJ. Bakar Othman Tn. HJ. MatAlin Ibrahim Tn. HJ. Yahya Omar

Tn. HJ. Debok Mat Yasin

Tn. HJ. Ishak Derani dan lain-lain.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15, 2003