Accessibility Tools

ADAT DAN PANTANG LARANG MEMILIH TAPAK & MEMBINA RUMAH BARU

ADAT DAN PANTANG LARANG
MEMILIH TAPAK & MEMBINA RUMAH BARU

Oleh: NORDIN SAAD

Rumah merupakan tempat kediaman kekal semasa kita hidup di dunia ini. Oleh sebab itulah, kita perlu memastikan setiap rumah yang akan didirikan itu tidak terdedah kepada sebarang gangguan, bencana atau malapetaka bagi menjamin keselamatan penghuninya.

Berdasarkan faktor inilah, maka pelbagai adat dan pantang larang sentiasa dipatuhi oleh orang-orang tua kita ketika memilih kawasan tanah untuk dijadikan tapak rumah dan membina rumah baru.

Mereka biasanya meminta petua atau panduan daripada pawang atau bomoh dalam menentukan pemilihan tapak rumah yang sesuai.

Malah sehingga kini pun masih terdapat orang-orang yang berpegang kuat kepada adat memilih tapak rumah ini kerana bimbangkan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada rumah atau penghuninya setelah rumah tersebut didirikan nanti. Lebih-lebih lagi pada kawasan tapak rumah yang baru diterokai seperti kawasan hutan, bukit ataupun lembah yang berkemungkinan didiami 'penunggunya'.

 

ADAT MEMILIH TAPAK RUMAH

Sesuatu kawasan tanah yang dicadangkan untuk dijadikan tapak rumah akan dipastikan terlebih dahulu kesesuaian dan keselamatannya. Setelah berpuas hati, maka pawang akan dibawa ke kawasan tersebut dengan peralatan yang disediakan oleh tuan rumah untuk melakukan upacara membuka tapak rumah. Pawang tersebut akan melaksanakan tugasnya dengan menjampi kawasan tapak itu. Selesai menjampi, ranting kayu akan ditanam di atas tanah tersebut. Selepas itu, kawasan tersebut akan dianggap bebas daripada sebarang gangguan dan sesuai untuk dijadikan tapak rumah.

 

KAWASAN TAPAK YANG BAIK

1. Tapak Gajah

Kawasan ini merupakan satu kawasan yang baik untuk mendirikan rumah kerana dipercayai bebas daripada sebarang gangguan, bencana atau mala petaka. Penghuni rumah di atas tapak tersebut juga dipercayai murah rezekinya.

Tapak gajah ini merupakan tapak yang tanahnya condong ke hilir dan tidak menakung air pada hari hujan. Malah air hujan yang turun di sini akan mengalir ke hilir. Kawasan ini dipercayai sejuk, tenteram dan aman.

2. Tapak Kubang Babi

Tapak ini juga sesuai dijadikan kawasan tapak rumah dan hampir sama dengan 'Tapak Gajah'. Tanah di kawasan ini adalah rendah dan bentuknya seperti mangkuk yang leper. Tanah ini juga dipercayai sejuk dan tidak mendatangkan sebarang musibah kepada penghuninya.

3. Tapak Empat Busut

Tapak ini sesuai dijadikan tapak rumah kerana kawasannya dikatakan ditakuti oleh sebarang penunggu dan gangguan kuasa ghaib. Kawasan ini merupakan kawasan tanah lapang berbentuk empat segi dengan setiap penjurunya mempunyai busut jantan.

 

TAPAK YANG TIDAK SESUAI

1. Tapak Laluan Kuasa Ghaib, Jin atau Syaitan

Kawasan tapak seperti ini hanya dapat ditentukan oleh seorang pawang atau bomoh. Tapak ini dikatakan berhantu atau berpuaka dan tidak sesuai dijadikan tapak rumah kerana penghuninya akan menghadapi pelbagai masalah dan gangguan.

2. Tapak Panahan Petir

Kawasan yang pernah dipanah petir juga dikatakan tidak sesuai dijadikan tapak rumah. Mengikut kepercayaan, kawasan yang dipanah petir ini merupakan kawasan yang dihuni oleh syaitan ataupun jin.

 

ADAT MEMBINA RUMAH BARU

Pelbagai adat dan pantang larang telah menjadi amalan masyarakat kita pada masa dahulu untuk membina rumah baru. Di antaranya ialah adat dan pantang larang semasa meletakkan tiang seri, mendirikan tiang seri, meletak tangga dan pintu masuk. Rumah pula tidak boleh dibina di kawasan rendah atau tempat air bertakung kerana dipercayai kawasan tersebut adalah kediaman hantu ataupun syaitan. Tempat-tempat yang mempunyai perigi atau kolam pula mestilah ditimbus terlebih dahulu

Manakala tempat-tempat yang mempunyai tunggul kayu pula, perlu dibuang kerana dipercayai menjadi tempat pemujaan hantu syaitan.

Selain daripada itu, kawasan lalu lalang turut menjadi kawasan larangan untuk membina rumah kerana dipercayai boleh mendatangkan mudarat kepada penghuni rumah tersebut.

Masa dan hari untuk mendirikan rumah juga amat dititikberatkan oleh masyarakat kita pada zaman dahulu. Walau bagaimanapun, dipercayai semua bulan adalah sesuai untuk mendirikan rumah kecuali bulan Safar yang dikatakan bulan yang mendatangkan bala.

Di antara hari yang sesuai dan baik untuk mendirikan rumah ialah hari pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam setiap bulan. Masanya pula ialah di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi, waktu asar dan maghrib setiap hari Abad.

Hari Isnin pula ialah ketika matahari naik, waktu asar dan akhir waktu asar. Hari Selasa ialah ketika hampir tengah hari dan waktu asar. Manakala hari Rabu ketika hampir tengah hari, zohor dan matahari naik.

Hari Khamis pada waktu subuh, waktu dua bayangan dan waktu tengah malam. Hari Jumaat pula ialah pada awal pagi, tengah hari dan waktu asar. Sementara pada hari Sabtu ialah semasa terbit matahari dan waktu maghrib.

 

Kawasan lembah atau berair akan ditambak terlebih dahulu untuk dijadikan tapak rumah

 

 

Bibliografi

  1. Aziz Deraman, A. dan Wan Ramli Wan Mohamad, Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Shah Alam, Fajar Bakti, 1995
  2. Temubual dengan Encik Salleh Ahmad, Padang Besar (utara), Perlis.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001