HARUAN
Bakar Bertanah
Oleh: MACHITA OTHMAN
NEGERI Perlis kaya dengan pelbagai makanan tradisional sama ada makanan untuk sarapan pagi, minum petang ataupun untuk hidangan tengah hari dan makanan malam. Keunikan makanan tradisional negeri ini dapat dilihat samada dari segi bahan yang digunakan untuk membuatnya ataupun dari segi cara penyediaan makan tersebut.
Salah satu daripada makanan tradisional yang terdapat di negeri ini ialah ikan haruan bakar bertanah. Masyarakat di Negeri Perlis akan menyediakan makanan ini ketika 'musim timur' iaitu musim selepas menuai padi. Pada ketika itu tradisi menimba telaga (perigi) dijalankan. Ini bertujuan untuk mendapatkan ikan darat untuk dikeringkan dan ada pula untuk dibuat pekasam dan sebahagiannya dijadikan hidangan makan tengah hari. Bagi menyediakan makanan ini beberapa ekor ikan haruan akan dipilih untuk dibakar. Cara penyediaan ikan haruan bakar ini amat unik dan pada masa sekarang jarang sekali dilakukan oleh masyarakat di negeri ini.
lkan haruan tersebut dibersihkan dan dibelah belakangnya. Walaubagaimanapun siripnya tidak dibuang. Bahagian dalam ikan tersebut dibersihkan dengan menggunakan asam jawa supaya hilang bau hanyir yang kurang menyenangkan. Sekiranya inginkan rasa yang lebih sedap kelapa parut yang telah digaul bersama serai, cili hidup, garam dan kunyit dimasukkan. Ikan tersebut kemudiannya dibalut dengan daun pisang bertujuan untuk mendapatkan haruman dari bau daun tersebut apabila dibakar.
Seterusnya ikan tersebut disalut dengan menggunakan tanah liat. Bara api disediakan untuk membakar ikan. Kebiasaannya bara api disediakan dengan menggunakan sabut kelapa, kayu dan juga arang. Ikar haruan yang telah disalut itu kemudiannya dimasukkan ke dalam bara api dan dibakar selama 45 minit hingga 1 jam.
Apabila tanah pada ikan tersebut kelihatan merekah, ini menandakan bahawa ikan telah pun masak. Ikan tersebut kemudiannya diangkat dan tanah yang menyaluti ikan ditanggalkan. Sisik ikan juga akan turut tertanggal bersama tanah, dan apa yang kelihatan hanyalah isi ikan yang berwarna putih. Selain dari proses yang disebutkan, terdapat juga sebahagian masyarakat petani di negeri ini, apabila telah habis musim menuai, mereka akan membakar jerami padi dan ikan haruan yang telah disalut tanah dimasukkan ke dalam jerami untuk dibakar.
lkan haruan bakar ini biasanya dihidangkan sebagai hidangan makan tengah hari bersama sambal belacan, sayur keladi dan ulam-ulaman seperti pucuk pegaga atau pucuk gajus.
Pada masa kini proses membakar ikan haruan ini telah dipermudahkan dan dipermodenkan dan cara menyediakan hidangan ikan haruan ini turut berubah mengikut peredaran zaman.
Penyediaan makanan tradisional yang unik ini hanya dibuat apabila adanya Pesta Makanan Tradisional dan tidak lagi dijadikan sebagai makanan untuk hidangan harian. Ini mungkin disebabkan oleh cara penyediaannya yang agak rumit dan mengambil masa yang panjang. Selain daripada itu bagi masyarakat dari luar, agak sukar untuk mendapatkan ikan haruan ini untuk dijadikan sajian. Walaubagaimanapun bagi masyarakat yang mengetahui khasiat isi ikan haruan iaitu salah satunya ialah dapat mempercepatkan sembuh pada luka dari pembedahan, sudah tentu masakan dari ikan haruan akan menjadi perhatian.


RUJUKAN
- Temubual dengan En. Roslin Kassim, Kg. Abi Tok Hashim, Kangar
- Zakiah Hanum, Masakan Tradisional Utara, KL: Berita Pub, 1991
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001
