Permainan Tradisional: PENANGIN
Oleh: REJAB F.I.
PENANGIN, merupakan suatu permainan yang begitu digemari di utara negeri Perlis suatu ketika dahulu. Permainan ini sebagai penghiburan kepada para petani ketika musim menuai padi. Di negeri-negeri selatan dikenali sebagai 'baling-baling'. Permainan ini merupakan permainan tradisi rakyat Perlis dalam tahun-tahun empat puluhan dahulu.

Penangin merupakan sumber hiburan berdasarkan bunyi atau muzik kepada para petani. Permainan ini juga seganding dengan permainan layang-layang atau wau berdasarkan bunyi. Penangin adalah sejenis alat permainan yang berpusing atau berputar-putar apabila ditiup angin. Hasil putaran itulah mengeluarkan berbagai-bagai jenis bunyi sebagai muzik yang menghiburkan hati penggiat seni tersebut.
Bentuknya terdapat sebidang kayu panjang yang diraut leper, ditebuk lubang di tengah tengahnya dan dibubuh 'ingu' atau 'ball bearing' supaya dapat berputar sebaik-baiknya. Di hujungnya dipasang daun kelapa untuk mengimbangi putaran penangin tersebut. Hasil putaran itulah mengeluarkan bunyi.
Permainan ini lazimnya dimainkan ditempat tempat tinggi terutama sekali di puncak bukit. Sebuah bukit yang terkenal sebagai tempat 'menjulang penangin' suatu ketika dahulu ialah Bukit Mengulang yang terletak di tengah-tengah sawah di Kampung Mengulang, kira-kira lapan kilometer di utara bandar Kangar. Sebuah bukit lagi iaitu Bukit Lagi, berhampiran bandar Kangar, juga sebagai tempat menj ulang penangin.
Seorang penggiat permainan penangin di Bukit Mengulang, Encik Mahat Ali, dari Kampung Santan, menyatakan permainan ini menjadi kegemaran beberapa orang rakan-rakannya seperti Tok Yatim, Tok Said, Tok Unas, Ismail Pipit dan Ismail Tok Sheikh.
"Kami sama-sama menjulang penangin di puncak Bukit Mengulang" kata Encik Mahat ketika ditemuramah dengannya. "Di puncak Bukit Mengulang itu terdapat suatu tempat yang kami beri nama Kepala Hutu. Terdapat juga Kepala Hilir dan Kepala Baral, tapi Kepala Hululah yang sesuai untuk kami menjulang penangin," ceritanya lagi. Di Kepala Hulu itu, menurut Encik Mahat, tempatnya sempit, tetapi angin bertiup sangat baik dan sesuai memutar penangin. Tempat tersebut dapat memuatkan dua orang sahaja. "Apabila angin bertiup kami akan memegang penangin sekuatkuatnya, jika tidak kami akan rebah. Ketika itulah penangin akan mengeluarkan bunyi yang amat merdu, menghiburkan hati," jelasnya. Selain dari memegang, penangin juga boleh dipacak di atas puncak bukit atau di atas pokok-pokok kayu. Penangin jenis ini dinamakan 'pacuk'.
Bunyi yang dikeluarkan oleh penangin berbagai-bagai jenis iaitu mengikut saiznya. Terdapat penangin yang berbunyi lemah-lembut, ada yang halus dan ada yang besar bunyinya. Panjang 'buak' atau kayu penangin itu tiga, empat sehingga lima kaki. Kayu penangin itu lazimnya diperbuat daripada kayu 'tui'. Menurut Encik Mahat, kayu tui mudah dibentuk, tidak mudah pecah dan dapat mengeluarkan bunyi yang menarik.
Ketika musim menuai padi di negeri Perlis suatu ketika dahulu memanglah merupakan musim kerehatan para petani. Angin timur bertiup sepanjang musim, meskipun panas terik akan tetapi tidak pula terasa panas malah terdapat ketika tertentu dianggap sebagai 'winter wind'.
Ketika musim menuai padi di negeri Perlis suatu ketika dahulu memanglah merupakan musim kerehatan para petani. Angin timur bertiup sepanjang musim, meskipun panas terik akan tetapi tidak pula terasa panas malah terdapat ketika tertentu dianggap sebagai 'winter wind'.
Para petani memenuhi musim tersebut dengan berbagai-bagai hiburan seperti persembahan Canggung, Hadrah, Gendang Tarinai dan permainan tradisional layang-layang, alu bunyi, temasya menumbuk emping, temasya mengerek padi termasuklah menjulang penangin.

Bentuk Penangin

PENANGIN, kadangkala ekornya dibuat bentuk ekor kapal terbang
Terdapat satu peristiwa yang melucukan berlaku kepada salah seorang penggiat permainan penangin. Peristiwa ini benar-benar berlaku, diceritakan oleh Puan Aishah Ismail di Kampung Baruh, berhampiran Bukit Mengulang. Menurut ceritanya, seorang isteri pemain penangin yang bernama Tok Hawa telah memotong berberapa kerat kayu penangin suaminya. Dia amat risau kerana suaminya, Tok Yatim begitu asyik bermain penangin sehingga lupa bekerja dan mengabaikan rumah tangganya.
"Bila Tok Yatim pulang hari itu..." cerita Puan Aishah, "...Tok Yatim bertanya kepada Tok Hawa, gulai apa dimasaknya hari itu? Tok Hawa menjawab gulai senangin (maksudnya ikan senangin). Apabila Tok Yatim menyedok gulai itu didapati kayu penanginnya yang dibuat gulai!"
Menurut Puan Aishah, Tok Yatim begitu kecewa dan menangis kerana sayangkan penanginnya yang bernama Macang Manis telah dirosakkan oleh isterinya. Apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur. Semenjak itu Tok Yatim tidak lagi mahu bermain penangin. Demikianlah sekian banyak kisah yang berlaku dalam sesebuah keluarga apabila seseorang itu asyik sangat menceburkan diri dalam permainan tradisional kita pada suatu ketika dahulu, bukan sahaja kecewa dan menangis, terdapat pula yang bergaduh dan bercerai-berai misalnya kerana tergila-gilakan puteri Canggung, puteri Hadrah (pondan) atau peniup serunai Gendang Tarinai dan sebagainya. Meskipun begitu merekalah yang memperkembang kesenian tradisional kita.
"...Tok Yatim bertanya kepada Tok Hawa, gulai apa dimasaknya hari itu? Tok Hawa menjawab gulai senangin (maksudnya ikan senangin). Apabila Tok Yatim menyedok gulai itu didapati kayu penanginnya yang dibuat gulai !
Pada masa kini penangin tidak lagi popular dimainkan oleh para petani kerana sekian banyak permainan dan hiburan moden sudah menjalar di kampung-kampung. Memandang kepada keaslian dan kemurnian permainan ini, elok sekali dihidupkan kembali, di samping memperkembangkan permainan tradisional kita, permainan ini dapat mempereratkan perhubungan masyarakat dan memperkenalkan tempat-tempat rekreasi di puncak-puncak bukit yang terdapat di negeri Perlis seperti di puncak Bukit Lagi, Bukit Besi Hangit, Bukit Mengulang dan Bukit Wang Kelian yang terkenal dengan keindahannya.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15, 2003
