Tikar Mengkuang: Arus Modenisasi Menghanyutkan Peranannya
0leh: ADNAN JAHAYA
Suatu ketika dahulu tikar mengkuang begitu berperanan dalam budaya masyarakat Melayu malah ia pernah dianggap sebagai simbol kehalusan budi masyarakat yang berpegang teguh kepada teras tradisi bangsa itu.
la digunakan secara meluas bukan sahaja di rumah malah di bangunan-bangunan awam seperti masjid, surau dan dewan orang ramai atau balai kampung. Ketika itu, hampir setiap rumah mempunyai tikar mengkuang meskipun pada masa yang sama tikar pandan, tikar ibus dan tikar malai juga begitu berfungsi. Ini kerana tikar mengkuang dianggap sebagai ibu kepada segala jenis tikar. Tikar mengkuang dibahagikan kepada dua jenis iaitu 'tikar kasar' dan 'tikar putih '. Kebiasaannya tikar putih akan menjadi hamparan yang akan diduduki oleh para tetamu manakala tikar kasar hanya digunakan oleh tuan rumah. Para tetamu akan merasa lebih dihormati jika diberi penghormatan duduk di atas tikar putih.
Sekitar tahun enam puluhan, kreativiti pencipta tikar mengkuang terus berkembang dengan ciptaan tikar yang beraneka warna dan coraknya. Bentuk kelarai yang lebih dikenali sebagai "ragi" menghiasi tikar-tikar mengkuang yang kebanyakan dicipta penuh kreativiti oleh masyarakat desa. Meskipun begitu tikar putih masih lagi berperanan kerana secara simboliknya warna putih melambangkan kemurnian dan kesucian. Tikar putih bukan sekadar menjadi hamparan malah sering juga menjadi sedekah kepada orang-orang yang berjasa.
Sebagai contoh, imam atau pembaca talkin akan dihadiahkan sehelai tikar putih oleh waris si mati. Biasanya tikar yang dihadiah itu adalah tikar yang sebelum itu digunakan sebagai hamparan duduk di tanah perkuburan.
Bidan yang menyambut kelahiran bayi juga boleh dihadiahkan dengan sehelai tikar putih begitu juga dengan bomoh-bomoh tertentu. Selain bersaiz biasa, tikar putih juga dicipta dengan saiz yang lebih kecil iaitu untuk digunakan oleh bayi yang baru dilahirkan. Selepas dilahirkan, mereka diletakkan di atas tikar putih yang halus anyamannya.
Kebiasaannya saiz tikar mengkuang adalah sekitar 3 meter panjang dan 2 meter lebar manakala bagi saiz kecil adalah sekitar satu meter panjang dan 0.5 meter lebar. Proses membuat tikar mengkuang bermula dengan proses menuai daun mengkuang yang telah matang. Daun mengkuang yang berduri akan dipotong sehelai demi sehelai dengan berhati-hati bagi mengelakkan luka. Ada pemotong daun mengkuang yang menggunakan sarung tangan ketika melakukan kerja-kerja pemotongan itu. Mereka menggunakan pisau yang tajam. Mereka juga membawa parang untuk 'menetak' batang mengkuang supaya ia akan terns menjalar di tanah. Batang mengkuang yang dibiarkan berdiri tegak akan menyukarkan kerja-kerja mengambil daun mengkuang. Oleh itu batang mengkuang perlu sepanjang masa berada condong atau berkeadaan menjalar di permukaan bumi.
Mengikut kepercayaan, daun mengkuang tidak boleh diambil ketika "bulan besar" atau ketika pertengahan bulan mengikut kalendar Islam. Jika ia dilakukan juga, pokok mengkuang berkenaan akan mati. Walaupun ia sekadar kepercayaan tetapi terdapat bukti pokok-pokok mengkuang layu dan mati selepas diambil ketika pertengahan bulan. Para pencipta tikar mengkuang hanya mengambil daun mengkuang ketika penghulung bulan atau awal bulan yang mana ketika itu bulan semakin kecil atau masih kecil.
" Mengikut kepercayaan, daun mengkuang tidak boleh diambil ketika "bu/an besar" atau ketika pertengahan bulan mengikut kalendar Islam. ]ika ia dilakukan juga, pokok mengkuang berkenaan akan mati. "
" Tikar mengkuang kini bagaikan terpinggir. Sukar untuk menemui hamparan tikar mengkuang bagi menyambut tetamu meskipun di kawasan luar bandar. Sebaliknya para tetamu disajikan dengan kerusi empuk. Jika ada tikar mengkuang, mungkin ia masih disimpan dengan alasan tidak layak lagi digunakan sebagai hamparan tamu. "
Daun-daun mengkuang yang telah dipotong disusun secara teliti dengan setiap ikatan mengandungi antara 100 hingga 200 helai daun bagi memudahkan ia dibawa pulang ke rumah atau ke tempat membuat tikar. Daun-daun mengkuang itu kemudiannya dilayur di atas api yang sederhana besar bertujuan melembutkannya. Selepas itu duri daun itu dibuang dan sejenis pisau atau "penyagat" yang mempunyai dua hingga tiga mata digunakan bagi menurih daun itu untuk mewujudkan pita-pita daun mengkuang. Pita-pita daun mengkuang itu kemudiannya disusun dan diikat sebelum direndam dalam air sungai atau tempayan. Bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai, mereka lebih selesa merendam pita daun mengkuang itu ke dalam sungai. Mereka akan meletakkan benda berat termasuk batu bagi memastikan pita-pita daun mengkuang itu tenggelam sepenuhnya. lni kerana pita-pita daun mengkuang itu ringan dan akan terapung jika tidak diletakkan pemberat.
Selepas beberapa hari direndam, pita-pita daun mengkuang itu diangkat dan dijemur. Cahaya matahari yang panas akan menjadikan pita-pita daun mengkuang itu lebih putih. Bagi pencipta tikar yang kreatif dan berhasrat menghasilkan tikar yang bercorak dan berwarna, mereka akan merendam semula dalam bekas yang berisi air pencelup untuk selama dua hari. Selepas itu, pita pita daun mengkuang itu akan dijemur supaya kering dan mengekalkan warna sebagaimana yang dikehendaki untuk membolehkan proses menganyam bermula.
Kebiasaan para penganyam tikar terdiri daripada kaum wanita dan gadis-gadis. Bagi menghasilkan tikar kasar, anyaman juga agak pantas dan penganyamnya tidak mementingkan kreativiti. Bagaimanapun bagi penganyam tikar putih, mereka lebih berhati-hati kerana ia menjadi simbol kehalusan seni dan budi seseorang penganyamnya. Ketika menganyam, pemusatan pemandangan hanya ditumpukan kepada bahagian yang dianyam. Lebih sulit lagi jika menganyam tikar bercorak warna kerana kesilapan yang kecil akan merosakkan corak atau raginya. Ada yang menganyam corak berbentuk tapak dam dan ada yang berbentuk ''pucuk rehung." Anyaman tikar mengkuang bercorak warna memerlukan kreativiti tersendiri dan kebiasaannya tikar seumpama itu dihasilkan untukjualan.
Gelombang modenisasi yang melanda budaya Melayu mencabar keperluan tikar mengkuang. Kehadiran tikar-tikar plastik yang pelbagai corak menjadi saingan kepada keperluan tikar-tikar mengkuang. Begitu juga permaidani yang diimport yang mula meresapi masyarakat Melayu di desa-desa. Kebanyakan masyarakat desa kini sudah tidak tahu menganyam tikar malah mereka yang pernah menganyamnya sudah tidak lagi berminat berbuat demikian.
Tikar-tikar mengkuang dengan coraknya yang pelbagai kini tidak lagi menjadi hamparan sebaliknya menjadi hiasan dinding di hotel mewah atau kediaman tertentu. Bagaimanapun keindahan seninya masih menghadapi saingan kelarai yang dicipta menggunakan buluh dan pandan untuk hjasan dinding. Tikar mengkuang kini bagaikan terpinggir. Sukar untuk menemui hamparan tikar mengkuang bagi menyambut tetamu meskipun di kawasan luar bandar. Sebaliknya para tetamu disajikan dengan kerusi empuk. Jika ada tikar mengkuang, mungkin ia masih disimpan dengan alasan tidak layak lagi digunakan sebagai hamparan tamu.
Kegemilangan tikar mengkuang kini hanyut bersama kebangkitan masyarakat moden. Pokok-pokok mengkuang yang suatu ketika dahulu menyumbang kepada seni tradisi masyarakat kini hidup terbiar. Daun-daunnya menjadi kasar dan kering selepas tempoh matangnya. Proses penuaan daun-daun mengkuang mula mengembalikan pokok mengkuang kepada kehidupan asalnya. la hidup tanpa dimanfaatkan oleh manusia. Usaha terkini yang sedang berlaku ialah memeranginya dan membunuhnya tanpa menyedari kepentingannya.
Mengkuang oh mengkuang... Apakah namanya kelak hanya abadi pada Kampung Mengkuang Layar?
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15, 2003
