Accessibility Tools

SEJARAH AWAL PENDIDIKAN DI PERLIS

Sejarah Awal Pendidikan Di Perlis

Oleh: SHUKOR MAT 

Tumbuhnya aliran dan aktiviti pendidikan awal di Perlis adalah dalam bentuk yang sama dengan apa yang berlaku di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu, terutama sekali keadaannya hampir sama dengan apa yang berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang mengambil contoh tanah jajahan British berupa Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sungguhpun British mula bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1786 dan campur tangan secara rasminya di Tanah Melayu pada tahun 1874, tetapi pengaruh sosio-ekonominya tidaklah meresap dengan cepatnya di dalam negeri yang dahulunya milik Empayar Melayu Melaka itu. Oleh itu kita dapat mengesan dan mempelajari sejarah pendidikan- nya dalam bentuk yang hampir sama di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu pada suatu masa lampau.

Tempoh masa pendidikan awal di dalam pembicaraan ini adalah merangkumi tahun-tahun 1800-1950an. Pada masa ini di Perlis telah lahir sekolah-sekolah Pondok, Sekolah-sekolah Melayu, Sekolah-sekolah Cina, Sekolah-sekolah Arab, Sekolah Tamil dan Sekolah-sekolah Inggeris.

 

Sekolah-Sekolah Pondok

Pendidikan awal Melayu di Perlis bermula dengan sistem pondok atau madrasah pelajaran agama Islam secara bersendirian. Sukatan pelajarannya merangkumi pelajaran mengaji dan membaca Al-Quran dan mempelajari kaedah solat. Guru-gurunya ialah orang-orang yang berkelulusan bahasa Arab, seperti yang terdapat di Madrasah Arau (Syeikh Hassan Surabaya), Madrasah Batu Lima Jalan Kuala Perlis (Haji Abu Bakar Taib), Pondok Kampung Batu Lada, Belat Batu, Arau (Haji Ahmad Osman), Madrasah Alor Sena (Tok Haji Derani), Madrasah Alor Lancang, Jejawi (Haji Mohd Rejab), Madrasah Padang Pauh (Haji Ibrahim Jusoh), Madrasah Isiah Behor Mali (Haji Ismail Nairn), Madrasah Jelempok (Haji Abdullah Jaafar), Pondok Kampung Belukar, Arau (Haji Muhammad bin Haji Muhammad Salleh), Madrasah Oran, Mata Air (Haji Yunus bin Haji Saleh), Pondok Kampung Sena (Haji Muhammad Rawi), Pondok Kampung Petai (Haji Taib bin Haji Saleh), Pondok Al-Fallah, Mata Air (Haji Ishak bin Haji Che Tam), Pondok Kampung Baru, Jalan Kaki Bukit (Haji Muhammad bin Haji Muhammad Arshad - Haji Mat Visiting) dan beberapa buah pondok lagi di Perlis. (Buku Cenderamata Expo Pembangunan Islam, Percetakan Perlis, Kangar, 1980).

Tujuan utama penubuhan sekolah pondok ialah membolehkan kanak-kanak lelaki Melayu membaca Al-Quran dan bersolat agar boleh diterima secara rasminya oleh masyarakat Islam apabila dijalankan upacara berkhatan.  (Tan Ding Eing, Sejarah Malaysia dan Singapura, Fajar Bakti, K.Lumpur, 1975, hlm.251).

Biasanya orang yang menjadi guru di pondok atau madrasah ialah imam masjid di tempat murid-murid tersebut tinggal. Imam ini mengajar setiap hari. Ada juga guru-guru agama perempuan yang mengajar kanak-kanak lelaki dan perempuan. Umpamanya di Arau, terdapat seorang guru agama bernama Syeikh Hassan Surabaya yang mengajar beberapa orang muridnya iaitu Haji Dahaman (Imam Arau), Arshad D.O, Haji Abdullah Husain dan Tengku Adnan Tengku Yahya pada awal tahun 1900 di rumahnya yang sekarang ini menjadi tapak klinik Arau. (Shukor Mat, As-Sunnah Di Perlis, MediaONE Publication, Kangar, 2001, hlm.8). Syeikh Hassan berasal dari Surabaya, Indonesia.

Tidak semua guru-guru agama atau pondok pada masa dahulu mengajar ditempatnya. Ramai di kalangan mereka merantau dan mengajar di rantau orang seperti Haji Ismail bin Haji Abdullah yang tinggal di Arau, mengajar agama Pondok Pulau Pisang, Kedah. Begitu juga dengan Haji Abu Bakar Taib, beliau mengajar hingga ke Setul di selatan Thailand. (Buku Cenderamata Expo Pembangunan Islam, 1980)

Guru pada masa dahulu sangat dihormati oleh ibu-bapa dan masyarakat. Ini berpandukan kepada sikap seorang bapa yang menghantar anak lelakinya berguru di sesebuah madrasah atau pondok. Mereka akan membekalkan rotan kepada guru tersebut untuk digunakan ke atas anaknya sebagai "tongkat" untuk membetulkan anaknya jika ia bersikap acuh tak acuh terhadap pelajarannya. Bapa juga akan memberi pesan supaya menjatuhkan hukuman berat ke atas anaknya yang melakukan kesalahan, asalkan tidak "buta dan capik". (Tan Ding Eing, Ibid., hlm. 251).

Kehidupan seseorang murid pada zaman awal persekolahan dahulu adalah tidak menyenangkan kerana ia dipukul kalau tidak boleh menghafal Al-Quran dan tidak boleh menulis huruf-huruf Arab dengan betul. Selain daripada pelajaran agama dan bahasa Arab, tidak ada mata pelajaran lain yang boleh dipelajari oleh seseorang murid daripada gurunya. Oleh itu tidak ramai murid yang melanjutkan pelajarannya selepas tamat kelas Al-Quran. Contohnya seperti pendidikan awal pada masa pengajian Syeikh Hassan Surabaya di Madrasah Arau. Jika seseorang murid tidak boleh hafal pelajarannya yang diajarnya, dia akan ditibai (pukul) tapak kaki dengan rotan. Misalnya jika ditanya apa makna iman, kalau tidak boleh jawab akan dirotan. (Shukor Mat, Op. cit., him. 7)

Guru-guru pondok atau madrasah biasanya tidak mengambil upah mengajar. Mereka mengajar percuma dengan ikhlas kerana Allah agar dapat ganjaran pahala yang berganda. Sungguhpun demikian anak-anak murid mereka juga mahukan pahala, justeru itu mereka tidak lepas peluang membantu guru-guru mereka mengangkut air, mengambil padi, menebas hutan, memasak dan lain-lain kerja yang difikirkan patut di tolong.

Biasanya orang yang menjadi guru di pondok atau madrasah ialah imam masjid di tempat murid-murid tersebut tinggal. Imam ini mengajar setiap hari.

 

Sekolah-Sekolah Melayu

Jika seseorang murid tidak boleh hafal pelajarannya yang diajarnya, dia akan ditibai (pukul) tapak kaki dengan rotan. Misalnya jika ditanya apa makna iman, kalau tidak boleh jawab akan dirotan.

Selain daripada pelajaran agama di pondok, pada akhir abad ke-19 terdapat sejumlah kecil anak-anak Melayu belajar di Sekolah Melayu yang disediakan oleh British. Walaupun pelajaran diberi secara percuma, namun tidak ramai anak-anak Melayu yang berminat dengannya kerana mereka tidak percaya kepada pentadbiran British.

Sungguhpun di dalam keadaan yang dingin kerana tidak ada sambutan, kerajaan Negeri­ Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu meneruskan juga pentadbiran sekolah-sekolah Melayu tersebut dengan jalan memujuk. Contoh yang jelas ialah pemberian ubat-ubat demam dengan kuinin secara percuma dan juga pemberian hadiah menarik kepada murid-murid yang kehadirannya memuaskan. Terdapat juga sekolah yang memberi bonus kepada guru-guru yang berjaya mencatatkan di dalam jadual kedatangan sebanyak 75% kehadiran muridnya. Setelah segala pujuk rayunya tidak berkesan, kerana orang-orang Melayu pada mulanya tak makan pujuk; Kerajaan British telah mengenakan paksaan kepada ibu-bapa supaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

laitu pada tahun 1883 satu kenyataan awam yang memberi amaran bahawa ibu-bapa akan dihukum jika gagal menghantar anak-anak lelakinya yang berumur 6 tahun ke atas ke sekolah. Tindakan ini semakin jelas dan berkesan setelah tertubuhnya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang kemudiannya meluluskan beberapa Enakmen baru 1900-1923, yang mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu berumur 7 hingga 14 tahun untuk bersekolah. Mereka perlu hadir ke sekolah sekurang-kurangnya setengah tahun, jika mereka tinggal dalam kawasan yang jaraknya 2 batu dari sekolah. lbu-bapa yang tidak mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak lebih daripada $5.00 atau dipenjarakan tidak lebih daripada 14 hari. (Tan Ding Eing, Op. cit., him. 253-254).

Enakmen-enakrnen tersebut adalah berkuatkuasa di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Johor dan Kedah (termasuk Per/is yang pada masa tersebut masih di bawah pentadbiran Kedah). Enakmen-enakrnen ini telah berjaya membantu untuk meningkat dan memajukan pelajaran vernakular Melayu di kedua-dua Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. (Tan Ding Eing, Op. cit., him. 253-254).

Pada masa ini orang-orang yang pandai membaca dan menulis amat dihormati dan disebut-sebut di majlis-majlis istimewa. Mereka juga dijemput untuk menulis surat-surat perjanjian, warkah-warkah perniagaan dan kira-kira untung-rugi dan sebagainya. Tetapi sayang sekali, pada zaman tersebut berapa kerat sangatlah orang yang boleh membaca dan menulis, ianya boleh dibilang dan sukar dicari ! Di rumah-rumah cerdik pandai inilah tersimpannya Al-Quran tulisan tangan, kitab-kitab, perubatan tradisional dan lain-lain kesenian lama seperti Hikayat Terong Pipit dan sebagainya.

Sekolah-sekolah Melayu pada masa dahulu merupakan sekolah-sekolah rendah di kampung-kampung yang ditempatkan di rumah-rumah biasa yang digunakan untuk sementara waktu sahaja. Terdapat hanya beberapa orang guru sahaja dengan alat kelengkapannya yang sedikit. Peralatan menulisnya ialah papan batu dan kalarnnya. Murid-murid ke sekolah memakai songkok, berkaki ayam, memakai seluar besar atau berkain pelikat. Mereka tidak mempunyai pakaian seragam yang khas seperti sekarang ini.

Sekolah-sekolah ini memberi pelajaran setinggi-tingginya selama 4 tahun untuk pelajaran asas mengira, menulis dan membaca. Tidak semua murid dapat menghabiskan pelajaran 4 tahun ini, hanya beberapa orang sahaja yang berupaya melanjutkan pelajaran di sekolah­ sekolah Inggeris percuma di bandar. Ramai di kalangan mereka yang belajar di sekolah kampung selama 1 atau 2 tahun sahaja, kemudian beredarlah mereka ke sawah-sawah untuk bekerja atau ke pondok-pondok untuk membaca Al-Quran. (Roff, Nasionalisme Melayu, Universiti Malaya, K. Lumpur, 2003).

Pada masa dahulu tidak ramai orang yang gemarkan kerja makan gaji seperti menjadi guru, matamata (polis) dan kerani kerana pendapatannya tidak seberapa, berbanding dengan bekerja sendiri seperti bersawah padi, menangkap ikan dan berkebun. Pada tahun 1931 gaji seorang guru pelatih ialah $5 dan gaji Guru Besar sebanyak $50. Wang bernilai tinggi pada masa ini kerana nasi lemak sebungkus $0.03, kasut tiada, baju yang dipakai kebanyakannya bertampung. Barang-barang keperluan seperti beras harganya 22 sen segantang, manakala gula 6 sen sekati. (Syed Harun Syed Othman, bekas Guru Besar SK Arau. Ucapan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Arau pada 30 I 802).

Lagi pun tidak banyak pejabat-pejabat yang dibuka pada masa ini. Begitu juga dengan bank dan pejabat pos, boleh dikatakan tidak ada kerana orang menyimpan wang di bawah tikar atau di dalam tabung sendiri di rumah. Oleh itu murid-murid tidak berminat untuk belajar kerana tidak ada hala tujuan. Ini ditambah lagi dengan keadaan malam yang gelap gelita tanpa lampu letrik, manakala motosikal dan motokar jauh sekali, orang yang berada naik gerek (basikal). (Syed Harun Syed Othman - maklumat yang sama).

Kemunculan sekolah-sekolah Melayu di Perlis adalah hasil daya usaha tokoh-tokoh tempatan bergelar Ketua Kampung dan Penghulu yang sedar tentang pentingnya pendidikan bercorak keduniaan di samping pendidikan agama di sekolah-sekolah pondok. Kedua-dua ilmu dunia dan akhirat ini amat penting bagi menjamin kebahagiaan hidup anak-anak di masa hadapan.

 

Sekolah-sekolah Melayu pada masa dahulu merupakan sekolah-sekolah rendah di kampung-kampung yang ditempatkan di rumah-rumah biasa yang digunakan untuk sementara waktu sahaja. Terdapat hanya beberapa orang guru sahaja dengan alat kelengkapannya yang sedikit. Peralatan menulisnya ialah papan batu dan kalamnya. Murid-murid ke sekolah memakai songkok, berkaki ayam, memakai seluar besar atau berkain pelikat. Mereka tidak mempunyai pakaian seragam yang khas seperti sekarang ini.
 

SENARAI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH MELAYU YANG DIDIRIKAN SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA :

NO SEKOLAH TAHUN DIBINA
1. Sekolah Melayu Arau 1888
2. Sekolah Melayu Laki-Laki Arau 1898
3. Sekolah Melayu Kuala Perlis 1403
4. Sekolah Melayu Sanglang 1906
5. Sekolah Melayu Chuping 1912
6. Sekolah Melayu Utan Aji 1912
7. Sekolah Melayu Abi 1914
8. Sekolah Melayu Oran 1916
9. Sekolah Melayu Simpang Empat 1916
10. Sekolah Melayu Jejawi 1917
11. Sekolah Melayu Kayang 1917
12. Sekolah Melayu Paya 1918
13. Sekolah Melayu Kampong Salang 1918
14. Sekolah Melayu Bintong 1920
15. Sekolah Melayu Sg. Berembang 1922
16. Sekolah Melayu Beseri 1923
17. Sekolah Melayu Jelempok 1925
18. Sekolah Melayu Perempuan Kangar 1925
19. Sekolah Melayu Santan 1927
20. Sekolah Melayu Padang Besar Selatan 1929
21. Sekolah Melayu Padang Melangit 1936
22. Sekolah Melayu Kurung Batang 1938
23. Sekolah Melayu Sungai Padang 1939

Sumber : Panel Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, 1974.

 

Sesungguhnya penjajahan yang dilakukan oleh British amat halus sekali sehingga ramai orang tidak terasa kesannya. Walaupun mereka memberi bantuan yang banyak di dalam pendidikan awal persekolahan Melayu, tetapi dasar pecah dan perintahnya jelas sekali kerana mereka ingin mengeluarkan petani-petani dan nelayan-nelayan Melayu yang tahu menulis dan membaca sahaja.
Usaha-usaha telah dijalankan untuk mendirikan bangunan sekolah dengan menggunakan kayu, buluh dan daun rumbia. Kayu keras digunakan untuk membuat tiang, rasuk, lantai dan kelengkap atasnya. Buluh dianyam menjadi corak-corak kelarai yang menarik untuk dibuat dinding, manakala daun rumbia disemat bersama buluh pengkawan sebagai atap. Sebuah bangunan sekolah atau rumah didirikan secara pakatan ramai di kalangan anak buah kampung berkenaan. Kaedah ini dinamakan rotong-royong di mana dengan cara ini kemudiannya terbinalah beberapa buah sekolah awal di Perlis. Pada tahun 1888 didirikan sebuah sekolah Melayu yang terawal di Perlis iaitu Sekolah Melayu Arau yang kemudiannya ditukar nama sebagai Sekolah Tengku Budriah, Arau dalam tahun 1970. Guru Besarnya yang pertama ialah Encik Yuh bin Haji Idris, dengan jumlah muridnya hanya cukup untuk satu kelas. (Panel Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Per/is - Draf Sekolah-Sekolah Negeri Perlis, 1974).

Selepas itu seorang yang digelar Pak Pilus menjadi Guru Besar di Sekolah Melayu Arau. Murid-muridnya belajar sehingga jam 11.00 pagi sahaja setiap hari kerana di sekolah ini tidak diajar pelajaran agama. Mereka akan memasuki kelas agama dari jam 11.00 hingga 12.00 tengah hari di rumah Syeikh Hassan Surabaya di tapak Klinik Arau sekarang. (Shukor Mat, As-Sunnah Di Perlis, Op. cit. hlm.8).

Sekolah Melayu yang kedua ialah Sekolah Melayu Kangar, yang didirikan pada tahun 1898 oleh Haji Kassim Haji Ali dan Haji Salleh Hassan. Lokasi asal sekolah ini menjadi halaman Jabatan Pendidikan Perlis dan sempadannya yang jelas ialah bahagian belakang pagar Pejabat Pos Kangar sekarang ini. Selanjutnya ialah Sekolah Melayu Kuala Perlis yang didirikan pada tahun 1903 di dalam sebuah bangsal tempat menyimpan ikan dan peralatan menangkap ikan. Dalam tahun 1912 sekolah ini dibina dalam bentuk yang lebih sempurna. Selepas itu dalam tahun 1929 sebuah bangunan barn didirikan, tetapi pentadbirannya diasingkan. Pada tahun 1962 bangunan-bangunan ini disatukan di bawah satu pentadbiran. Pengasas sekolah ini ialah anak tempatan iaitu Encik Omar bin Haji Megat yang mendapat sokongan kuat daripada seorang guru iaitu Encik Saad bin Sulong. Bilangan murid yang pada mulanya berjumlah 56 orang telah meningkat sehingga 500 orang kemudiannya.

Pada tahap awal penubuhan sekolah Melayu tidak ada latihan yang lengkap diberikan kepada guru-gurunya. Rancangan latihan yang pertama untuk guru-guru Melayu dimulakan pada tahun 1878 yang mana didapati kebanyakannya terdiri daripada Tuan-Tuan Haji dan Imam. Guru-guru ini mempunyai sedikit pengetahuan mengenai bahasa Melayu dan amat kurang pengetahuannya mengenai ilmu Sejarah, Ilmu Alam, Sains dan Matematik. Untuk mengatasi masalah kekurangan guru maka kadangkala diamalkan sistem ketua, iaitu murid-murid yang lebih tua dan cerdik mengajar membaca dan menulis kepada murid-murid yang lebih muda. (Ton Ding Eing,Op.cit, him. 254).

Pada tahun 1878 juga satu cawangan latihan telah ditubuhkan di Maktab Melayu Telok Belanga bagi melatih guru-guru penolong di sekolah-sekolah Melayu. Pelatih-pelatih yang diambil sekurangkurangnya terdiri daripada lulusan darjah lima sekolah Melayu dan telah mencapai umur 18 tahun. Latihan dijalankan selama 2 tahun dengan diberikan biasiswa atau elaun-elaun. (Tan Ding Eing, Op.cit., him 255). Setelah Maktab di Telok Belanga ditutup, sebagai gantinya dibuka maktab perguruan yang baru di Melaka pada tahun 1900 dan di Perak pada tahun 1913. Usaha kemuncaknya bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah Melayu ialah penubuhan Maktab Pergu ruan Sultan Idris di Perak pada tahun I922 dan penubuhan Maktab Perguruan bagi guru-guru wanita di Melaka pada tahun I935. (Tan Ding Eing, Op. cit., him 255).

Kekurangan bahan-bahan bacaan untuk guru dan murid di sekolah-sekolah Melayu amat dirasai di zaman awal persekolahan sebelum Perang Dunia II. Biro Terjemahan yang ditubuhkan di Maktab Perguruan Sultan Idris dalam tahun 1924 adalah memainkan peranan yang penting bagi menjayakan misi persekolahan Melayu yang sistematik dan sempurna. Tujuan sebenar biro ini ialah menterjemahkan buku-buku Inggeris ke dalam bahasa Melayu, kerana buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu amat sedikit.

Sungguhpun Pentadbiran British masuk ke sekolah-sekolah Melayu di dalam keadaan sekolah yang telahpun tersedia dan mereka cuma meminda dan mengubahsuaikannya menjadi elok dan moden; tetapi haruslah diingatkan bahawa pentadbir-pentadbir British ini jugalah manusia yang telah menyelamatkan bahasa Melayu daripada kemalapan dan kepupusannya. Buktinya jelas kerana merekalah yang memulakan sekolah-sekolah Melayu di Negeri-Negeri Selat dan di negeri-negeri Melayu (termasuk Perlis). Merekalah yang telah memberikan pengiktirafan dan sokongan rasmi terhadap penggunaan bahasa Melayu. British jugalah yang menggalakkan penggunaan tulisan rumi dalam tahun 1890an, untuk membantu memperkenalkan lagi bahasa Melayu. Bahasa Melayu lebih mudah dipelajari dengan menggunakan tulisan rumi. Pada tahun 1904, bentuk tulisan jawi telah disusun dengan teratur oleh R.J Wilkinson 2. Beliau telah menyusun Kamus Melayu yang pertama pada tahun 1901 dan menerbitkannya dalam dua jilid Kamus Inggeris-Melayu pada 1932. Beliau juga telah memajukan bahasa Melayu dengan menerbitkan cerita-cerita klasik Melayu ke dalam tulisan rumi. Wilkinson juga telah membantu meluaskan ilmu mengenai sejarah dan kebudayaan orang-orang Melayu melalui penerbitan bukunya berjudul Papers on Malay Subjects.

Guru-guru Melayu yang pernah mengajar pada tahun-tahun 1940an-1950an banyak menyimpan contoh-contoh buku yang digunakan untuk pengajaran pada masa sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Misalnya buku bernama Kitab Benih Akal iaitu buku bacaan rumi bagi darjah 1 di sekolah-sekolah Melayu, dikeluarkan di dalam The Malay School Series telah dicetak di London oleh Macmillan and Co. Limited dalam tahun 1928 dan diutang cetak sehingga tahun 1951. Begitu juga dengan buku berjudul Baja Akal adalah daripada penerbit yang sama dan dicetak dalam tahun 1949. Sebuah lagi contoh ialah buku berjudul Penimbau Akal, iaitu buku bacaan jawi, dicetak di England pada tahun 1920 (cetakan pertama).

Sesungguhnya penjajahan yang dilakukan oleh British amat halus sekali sehingga ramai orang tidak terasa kesannya. Walaupun mereka memberi bantuan yang banyak di dalam pendidikan awal persekolahan Melayu, tetapi dasar pecah dan perintahnya jelas sekali kerana mereka ingin mengeluarkan petani-petani dan nelayan-nelayan Melayu yang tahu menulis dan membaca sahaja. Tiada usaha yang dibuat untuk menghasilkan pendidikan yang lebih liberal dan lebih menggunakan fikiran. Apa yang penting ialah supaya jangan ada orang-orang Melayu keluar dari kampungnya untuk belajar! Orang-orang Melayu hanya mendapat pelajaran rendah selama empat tahun. Tumpuan diberikan ke atas aktiviti membaca menulis dan mengira. Sekolah­ sekolah yang lebih besar menyediakan pelajaran hingga ke darjah enam. Manakala pelajar-­ pelajar di maktab menghadapi bidang pelajaran yang lebih luas, tetapi masih di dalam skop yang sama iaitu menumpukan perhatian kepada bidang pertanian juga. Hal ini jelas kelihatan kepada apa yang diajar di maktab-maktab iaitu teori dan amalan mengajar, Bahasa Melayu, Sejarah dan Kesusasteraan, llmu Alam dan llmu Hisab Permulaan. Selain daripada itu, ilmu pertanian permulaan atau berkebun dan seni menganyam rotan menjadi mata pelajaran penting di dalam latihan tersebut. Pentadbiran British tidak mahu memberikan ilmu sains kejuruteraan, ilmu perakaunan, ilmu seni bina, ilmu perkapalan dan sebagainya kerana bimbangkan orang­ orang Melayu akan menjadi orang-orang Jepun yang telah dapat menyaingi kecanggihan teknologi Barat. Tujuannya tidak lain, melainkan untuk menentukan supaya bakal-bakal guru itu kembali mengajar murid-muridnya semangat dan minat cintakan kerja pertanian seperti juga ibu-bapa mereka dahulu supaya mudah dicucuk tali hidungnya.

Guru-guru Melayu yang pernah mengajar pada tahun-tahun 1940an-1950an banyak menyimpan contoh-contoh buku yang digunakan untuk pengajaran pada masa sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Misalnya buku bernama Kitab Benih Akal iaitu buku bacaan rumi bagi darjah 1 di sekolah-sekolah Melayu, dikeluarkan di dalam The Malay School Series telah dicetak di London oleh Macmillan and Co. Limited dalam tahun 1928 dan diulang cetak sehingga tahun 1951.

Pelajar- pelajar lulusan sekolah Melayu hanya berpeluang menjadi peon, kerani, jaga, askar, pemandu dan menjadi petani yang boleh membaca, menulis dan mengira.

 

Sekolah- Sekolah Cina

Ramai pelajar-pelajar Cina yang pergi ke negara China untuk menuntut pelajaran tinggi. Oleh kerana Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu tidak terlibat di dalam pendidikan orang-orang Cina, maka didapati sekolah-sekolah Cina terlalu berkiblatkan negara China. Guru-guru dan buku-buku teks dibawa dari negara China. Mereka didedahkan dengan ilmu sejarah, kesusasteraan, ilmu alam, politik dan kebudayaan China. Malahan mereka telah menerima bantuan kewangan dan guru-guru pelawat dari negara China.

Orang-orang Cina memberikan perhatian yang lebih di dalam pendidikan anak bangsanya. Sekolah Cina akan ditubuhkan di mana-mana tempat yang ada orang-orang Cina dan mereka tidak lekang menggunakan cempoa (a/at mengira) sebagai bahan pendidikan utama. Sungguhpun mereka peka di dalam pendidikan tetapi penggunaan bahasa yang satu iaitu bahasa Mandarin masih tidak dapat dilaksanakan pada tahun 1920. Kanak-kanak Cina dididik dalam loghat daerah sendiri seperti Hokkien, Teochew, Kantonese atau Hakka. (Tan Ding Eing,Op. , him 256).

Sekolah Kong Hoe Keow merupakan sekolah Cina pertama dibina di Perlis iaitu di Kaki Bukit, yang merupakan kawasan bijih timah utama negeri ini. Kedua-dua buah sekolah ini dicantumkan kemudiannya menjadi sebuah sekolah pada tahun 1921 dengan panggilan Sekolah Kong Hwa. Penubuhan sekolah-sekolah Cina adalah basil usaha ahli perniagaan Cina tempatan yang menghulurkan derma tetap mereka. Kerajaan Inggeris tidak memberikan sebarang sumbangan untuk pembangunan sekolah Cina sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. Tapak bangunan sekolah-sekolah Cina juga didapati hasil daripada sumbangan ahli-ahli perniagaan Cina yang kaya-kaya dan orang perseorangan. Hock Bee, tauke kilang beras Arau telah menghadiahkan tapak Sekolah Hwa Aik Arau dan Sekolah Choon Siew Kuala Perlis, manakala DYMM Raja Perlis ketika itu telah menyumbangkan tapak Sekolah Cina Padang Besar Utara. (Panel Penulisan Sejarah Sekolahsekolah Negeri Perlis, Draf Sekolah­- Sekolah Negeri Perlis, 1974).

Sekolah-sekolah Cina biasanya menyediakan pelajaran rendah selama enam tahun. Ramai pelajar-pelajar Cina yang pergi ke negara China untuk menuntut pelajaran tinggi. Oleh kerana Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu tidak terlibat di dalam pendidikan orang-orang Cina, maka didapati sekolah-sekolah Cina terlalu berkiblatkan negara China. Guru-guru dan buku-buku teks dibawa dari negara China. Mereka didedahkan dengan ilmu sejarah, kesusasteraan, ilmu alam, politik dan kebudayaan Cina. Malahan mereka telah menerima bantuan kewangan dan guru-guru pelawat dari negara China.

Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu hanya mengambil langkah mengawasi aktiviti di sekolah-sekolah Cina setelah sekolah-sekolah tersebut digunakan sebagai pusat dakyah antiBritish oleh Parti Kuomintang dan Parti Komunis China. Perlu dinyatakan bahawa hanya sebuah sekolah Cina di Perlis ketika itu, iaitu Sekolah Kong Hwa Kaki Bukit yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu. Ini terjadi kerana terjalinnya hubungan baik antara orang-orang Melayu dan Cina di kawasan perlombongan tersebut.

 

SEKOLAH-SEKOLAH CINA YANG DIDIRIKAN SEBELUM PERANG DUNIA KE-2:

NO SEKOLAH TAHUN DIBINA
1. Sekolah Kong Kwa Kaki Bukit 1921
2. Sekolah Khoon Aik Kangar 1922
3. Sekolah Khay Beng Kuala Perlis 1923
4. Sekolah Choon Siew Kuala Perlis 1924
5. Sekolah Hwa Aik Arau 1928

 

Sekolah Tamil

Kepentingan Sekolah Tamil bermula apabila ramai buruh-buruh India datang bekerja di ladang-ladang kopi, tebu, teh dan getah di Tanah Melayu pada pertengahan abad ke-19. Tetapi Pentadbiran British tidak banyak berusaha untuk memajukan sekolah-sekolah Tamil kerana ramai ibu-bapa India lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris dan juga menjadi penduduk sementara, iaitu pulang ke negeri mereka setelah menamatkan kerja-kerja kontrak mereka di Tanah Melayu. Sungguhpun begitu, dengan kemajuan yang pesat di ladang-ladang getah dan dengan adanya sistem perhubungan moden yang ditambah lagi dengan masalah kekurangan tenaga buruh yang meruncing maka kerajaan British telah memperkenalkan Kanun Buruh 1923. Antara lain kanun tersebut menentukan supaya dibina sekotah-sekolah bagi anak-anak pekerja ladang dan diberi bantuan kewangan. Pada tahun 1930 seorang Nazir bagi sekolah Tamil telah dilantik. Sekolah­ sekolah yang dibina itu hanya menyediakan pelajaran di peringkat permulaan sahaja. (Tan Ding Eing, Op.cit.,hlm 257-258).

Di Perlis Sekolah Tamil ditubuhnya hanya pada tahun 1939 dengan bilangan pelajarnya seramai 20 orang. Sekolah ini dibina di Bandar Kangar dan Guru Besar pertamanya ialah Encik Saguram Mair. Terdapat hanya sebuah sekolah Tamil di Perlis kerana masyarakat India pada masa tersebut lebih berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris. (Panel Penulisan Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, 1974).

 

Sekolah - Sekolah lnggeris

Di zaman awal persekolahan, peluang untuk mendapatkan pendidikan menengah amat tipis sekali. Pendidikan menengah merupakan pengajaran yang semuanya di dalam bahasa Inggeris. Cuma anak-anak raja, orang-orang bangsawan dan orang-orang yang berada sahaja yang dipilih atau berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar Perlis iaitu seperti ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak, ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan ke Sekolah Penang Free di Pulau Pinang. Anak-anak Melayu yang tidak berkemampuan tetapi menunjukkan prestasi yang baik di dalam pelajaran, mereka akan berpeluang mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Pendidikan awal di dalam bahasa pengantar Inggeris tidak terdapat di Perlis sebelum Perang Dunia Kedua. Hanya selepas penubuhan Sekolah Inggeris Derma dalam tahun 1948 barulah ada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. (Panel Penulisan Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, 1974).

Pelatih-pelatih keluaran Maktab Melayu Kuala Kangsar, Maktab Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Penang Free akan berpeluang menjawat jawatan tinggi di dalam pentadbiran British, manakala lulusan Maktab Tanjung Malim akan berpeluang menjadi guru di sekolah-sekolah rendah Melayu. Pelajar-pelajar lulusan sekolah Melayu hanya berpeluang menjadi peon, kerani, jaga, askar, pemandu dan menjadi petani yang boleh membaca, menulis dan mengira.

 

Sekolah Arab

Sekolah aliran bahasa Arab juga tidak ketinggalan pentingnya kerana sekolah ini beroperasi sebelum tahun 1937. Raja Syed Alwi telah meletakkan batu asas pembinaannya pada tahun 1936. Sekolah ini kemudiannya dinamakan Al-Madrasah Al-Alwiyyah Al­ Madiniyyah Arau, telah diusahakan pembinaannya oleh pejabat Zakat dan Fitrah Perlis. Sekolah yang lokasinya bersebelahan dengan Klinik Arau ini berkembang pesat sehingga pelajarnya berjumlah 470 orang dalam tahun 1959.

Sekolah Arab ini menjadi sekolah terpenting di Perlis sebelum Perang dan selepas Perang Dunia Kedua kerana membuka peluang kepada pelajarnya melanjutkan pelajaran ke Mesir. Pelajar-pelajar daripada luar Perlis juga tu.rut berpeluang belajar di sini, iaitu dari Kedah, Perak, Kelantan dan selatan Thai. Sekolah ini terkenal kerana sistem pentadbiran dan pelajarannya kemas dan teratur. Pentadbiran sekolah ini dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Zakat dan Fitrah Perlis sejak penubuhannya sehingga ke tahun 1966. Bahasa pengantar bagi sekolah ini ialah bahasa Arab sepenuhnya.

Sebelum tahun 1966 Al-Madrasah Al-Alwiyyah Al-Madiniyyah ini menggunakan sukatan pelajaran negara Mesir yang mengandungi pengajaran Agama Islam, Sains, Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Sejarah. Bermula daripada tahun 1940an, semua Mudirnya diambil dari Mesir dan daripada orang-orang Mesir yang berkelulusan Universiti di Mesir. Tujuan utamanya ialah untuk mengawal mutu bahasa Arab dan supaya pengajaran agama Islam selaras dengan kemajuan zaman moden. (Saniyah binti Abas, Al-Madrasah Al-Alwiyyah Al­ Madiniyyah, Arau, Perlis, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya 1978)

Sekolah Arab ini menjadi sekolah terpenting di Perlis sebelum Perang dan selepas Perang Dunia Kedua kerana membuka peluang kepada pelajarnya melanjutkan pelajaran ke Mesir. Pelajar-pelajar daripada luar Perlis juga turut berpeluang belajar di sini, iaitu dari Kedah, Perak, Kelantan dan selatan Thai. Sekolah ini terkenal kerana sistem pentadbiran dan pelajarannya kemas dan teratur. 

 

l. Berkhatan dipanggil juga bersunat atau masuk jawi, iaitu memotong bahagian hujung kulit kemaluan lelaki. Kamus Dewan memberi makna bersuci atau potong kulup. Pada masa dahulu orang-orang Melayu berkhatan semasa umur mereka ditahap anak teruna yang boleh kahwin iaitu selepas dua atau tiga tahun berkhatan mereka akan mencari jodoh. Oleh itu kita dapati ibu-bapa cukup mengambil berat tentang pendidikan agama anak lelakinya sebelum berkhatan, supaya amal ibadat solat, puasa dan lain-lain ibadat dapat dipelajari dengan selengkapnya. Amal ibadat yang sedia diamalkan ini menjadi lebih bermakna lagi apabila berkhatan kerana segala kotoran yang terpendam di hujung kemaluan seseorang lelaki itu sudah tidak ada lagi. Jika diteliti kita akan dapati bahawa majlis berkhatan lebih besar dan meriah daripada majlis perkahwinan. Umpamanya bagi orang-orang yang berada, mereka memberikan anak kesayangan mereka menunggang gajah sebelum dikhatankan. Peristiwa ini boleh disaksikan lagi walaupun pada tahun-tahun 1950an.

2. R.J Wilkinson ialah seorang pegawai Negeri-Negeri Selat antara tahun 1889-1902, dan Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan antara tahun 1903-1906.

 

RUJUKAN:

Roff, William R., Nasionalisme Melayu, Penerbit Universiti Malaya, K. Lumpur, 2003.

Shukor Mat, As-Sunnah Di Per/is, MediaONE Publication, Kangar, 2001.

Tan Ding Bing, Sejarah Malaysia & Singapura, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1976.

Buku Cenderamata, Ekspo Pembangunan Islam 1980.

Panel Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Per/is, Draf Sekolah-sekolah Negeri Per/is, 1974.

Saniyah bt. Abas, Al-Madrasah Al-Alwiyyah AI-Madiniyyah, Arau, Per/is, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 1978. 

Syed Harun Syetl Othman, Ceramah Sambutan Hari Kemerdekaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Arau pada 30 Ogos 2002.

 

SHUKOR BIN MAT

AJK Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perlis. 23 0ktober 2003

 

SUMBER ARTIKEL:

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15, 2003