Accessibility Tools

Sejarah Penubuhan UMNO Perlis Hingga Merdeka

Sejarah Penubuhan UMNO Perlis Hingga Merdeka

Oleh : MUHAMMAD BIN HARUN

Malayan Union menyebabkan orang Melayu mula bersatu padu. Kalau sebelumnya tidak ada kesedaran ke arah mengadakan pertubuhan maka kedatangan Malayan Union menggerakkan orang Melayu bersatu padu dan menubuhkan persatuan. Maka pada masa itu, tertubuhlah persatuan-persatuan Melayu di tiap-tiap negeri untuk menjaga kepentingan mereka. Di negeri Perlis, sebuah pertubuhan dinamakan "Persatuan Melayu Perlis" ditubuhkan.

 

Persatuan Melayu Perlis 

Persatuan Melayu Perlis ditubuhkan di bawah pimpinan Tuan Syed Mahzar bin Syed Hussain. Selain beliau, pemimpin-pemimpin lain ialah Encik Salleh Othman (Naib Pengerusi), Encik Abdullah Haji Mohamad (Setiausaha), Encik Nyak Adam bin Nyak Husain (Bendahari) dan beberapa orang lagi termasuk Wan Ahmad Wan Daud dan Tuan Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim.

Perjumpaan pertama pertubuhan ini telah diadakan di Kelab Indera Kayangan Kangar. Bendera Persatuan Melayu telah berkibar dengan megahnya bersama semangat kebangsaan yang memuncak. Persatuan Melayu Perlis juga telah menghantar tiga orang wakil ke Perhimpunan Agong 41 buah pertubuhan Melayu (Pan Malayan Malay Congress) pada bulan Mac 1946.

Wakil-wakil itu ialah Encik Wan Ahmad Wan Daud, Encik Taharim Haji Ibrahim dan Encik Salleh Othman. Perhimpunan ini bersetuju menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan ditandatangani di Johar Bharu pada 11 Mei 1946 oleh 29 pertubuhan Melayu.

UMNO di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union dan berusaha mendaulatkan negeri-negeri Melayu.

 

Penubuhan UMNO Perlis Sehingga Merdeka 

UMNO Perlis telah ditubuhkan dengan rasminya di dalam mesyuarat Agung kali pertama di rumah persatuan Indera Kayangan pada hari Jumaat 11 Februari, 1949 bersama 13 Rabiulakhir 1368 tepat jam 3.30 petang. Ketika awal penubuhan, UMNO Perlis mempunyai 14 cawangan iaitu Kangar, Kechor, Jejawi, Sungai Adam, Sungai Berembang, Arau, Kayang, Padang Pauh, Santan, Wang Bintong, Simpang Empat, Utan Aji, Abi, Jelempok dan Kuala Perlis.

UMNO pada masa itu dipimpin oleh Encik Abdul Wahab Abdullah (Pengerusi), Encik Jamil Rais (Naib Pengerusi), Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim (Setiausaha), Tuan Syed Bahaldin Syed Noh (Bendahari) dan beberapa orang jawatankuasa. Encik Abdul Wahab Abdullah memegang jawatan itu beberapa bulan sahaja kerana bercuti dan tempatnya diambil alih oleh Encik Wan Ahmad Wan Daud.

 

Mesyuarat Agong tahunan UMNO Malaya pada bulan April 1949 bertempat di Astaka Pertabalan DYMM Tuanku Syed Putra, Raja Perlis

 

Perarakan dan perhimpunan menentang Malayan Union di Kelab Indera Kayangan

 

Pada tahun 1950, UMNO Perlis telah mendapat pemimpin yang baru iaitu Encik Jamil Rais (Pengerusi), Tuan Syed Bahaldin Syed Noh (Setiausaha), Encik Abdul Ghani Ngah (Ketua Pemuda) dan Puan Shahrom Bee (Ketua Kaum Ibu).

Pada tahun ini juga terjadi perselisihan di peringkat tertinggi UMNO apabila Dato' Onn Jaafar meninggalkan UMNO. Peristiwa ini turut memberi kesan kepada UMNO Perlis. UMNO Perlis juga menghadapi krisis apabila pemimpin-pemimpin lama mula menghilangkan diri.

Dalam tahun 1951, Tunku Abdul Rahman mula menerajui UMNO. Di Perlis pula Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim telah dipilih untuk memimpin UMNO Perlis dalam mesyuarat Agong pada 26 Oktober 1951. Pergerakan UMNO mula berkembang dengan pesat. UMNO Perlis terus memandang ke hadapan bagi menambah ahli dan melaksanakan program untuk menyatukan orang Melayu.

Dalam tahun 1952, UMNO telah menukarkan seruannya daripada "HIDUP MELAYU" kepada "MERDEKA". UMNO Perlis juga telah menerima perubahan ini dan bergerak cergas mendesak supaya Tanah Melayu diberikan kemerdekaan. UMNO Perlis terus memberikan kerjasama erat kepada UMNO Pusat.

UMNO Perlis berusaha menambah ahli dan kegiatannya. Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim (Pengerusi), Abu Bakar Hamzah (Ketua Pemuda) dan Puan Shahrom Bee (Ketua Kaum Ibu) berusaha menjelajah ke seluruh negeri Perlis untuk meniup semangat kebangsaan di kalangan rakyat negeri Perlis. Rakyat Perlis mula sedar dan memberi sokongan padu terhadap perjuangan ini.

Dalam tahun 1954 UMNO Perlis menjadi lebih cergas, kemas dan teratur perjalanannya. UMNO Perlis mendapat kerjasama daripada semua pihak baik Pemuda mahupun Kaum Ibu. Cawangan UMNO di Perlis bertambah. Pada tahun ini juga UMNO mendesak diadakan pilihanraya persekutuan. Serentak dengan itu, UMNO setiap negeri ter­ masuk Perlis, mengadakan perarakan raksasa untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia di tiap-tiap negeri untuk memohon limpah perkenan baginda terhadap desakan berjuang ke arah kemerdekaan. UMNO Perlis telah mengadakan perarakan raksasa ke Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis. Perarakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negeri Perlis yang inginkan kemerdekaan.

Dalam tahun 1955, pilihanraya pertama peringkat persekutuan dan negeri diadakan. Dalam pilihanraya persekutuan bulan Julai 1955, calon UMNO Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim telah mengalahkan calon bebas dan beliau menjadi wakil negeri di peringkat persekutuan.

Pilihanraya negeri pula diadakan pada bulan September 1955 dan sebanyak 9 buah kerusi dipertandingkan. UMNO Perlis beroleh kejayaan cemerlang dengan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan. Tokoh-tokoh UMNO yang memenangi pilihanraya negeri pada masa itu ialah:

 

PAYA                     -  ENCIK WAN AHMAD WAN DAUD

BINTONG             -  TUAN SHEIKH AHMAD MOHD.  

UTAN AJI             -  TUAN SYED DARUS SYED HASHIM

SANGLANG        -   ENCIK AHMAD MUSA

KURONGANAI    -  ENCIK MOKHTAR ISMAIL

KAYANG             -   ENCIK YUSOF ABU BAKAR

BESERI                -   ENCIK ROSLI HASAN

MATA AYER        -  ENCIK MAHYUDDIN DATO HABIB

ARAU                 -  ENCIK SALLEH OTHMAN

 

UMNO telah memenangi semua kerusi kerana sokongan padu orang Melayu dan juga daripada parti gabungannya MCA. Dalam tahun 1956, UMNO Perlis berjaya menambah cawangan UMNO. Ahli-ahli UMNO memberi sepenuh kepercayaan kepada pemimpin mereka. Pada masa itu UMNO Perlis diterajui oleh Tuan Sheikh Ahmad Mohd. Hashim (Pengerusi), Encik Salleh Othman (Timbalan Pengerusi), Encik Rosli Hasan (Setiausaha), Encik Wan Ahmad Wan Daud (Bendahari), Encik Abdul Malik Abd. Ghani (Ketua Pemuda) dan Puan Sawiya Maimun (Ketua Kaum Ibu).

Selain itu, beberapa tokoh telah menguatkan jentera UMNO pada masa itu seperti Tuan Syed Omar Syed Husain, Encik Othman Abdullah, Encik Abu Bakar Abdul Rahman, Encik Fakih Sidin; Encik Mahmud Hj. Hashim, Encik Ahmad Salleh, Puan Wan Arfah dan lain-lain 1agi.

Pada tahun 1957, UMNO Perlis yang beribu pejabat di Jalan Gudang Kangar telah memainkan peranan penting dalam gerakan kemerdekaan. Tepat pada jam 12.00 malam (30 Ogos, 1957) bendera Union Jack telah diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dengan megah di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis. Pada malam itu, perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bangunan Jam Besar) telah dipenuhi oleh orang ramai daripada pelbagai bangsa. Bendera Union Jack diturunkan oleh Encik Abdul Malik Abdul Ghani dan Tuan Syed Omar Syed Husain. Mereka juga telah menaik dan mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada malam itu juga perisytiharan kemerdekaan telah dibaca di Perlis. Selepas itu doa selamat disempurnakan oleh Ustaz Nordin Ismail.

Sesungguhnya, Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka selepas dijajah selama 446 talmn. Kemerdekaan ini adalah basil usaha pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak mudah mengaku kalah untuk terns berjuang. Perjuangan UMNO merupakan perjuangan bangsa Melayu. Sokongan padu daripada orang Melayu membuatkan UMNO kuat dan tidak mudah lentur. UMNO akan lemah jika orang Melayu tidak Jagi menunjanginya.

 

Rujukan

I.    Temuramah dengan Tuan Haji Abd. Malek Abd. Ghani.

2.   Temuramah dengan Tuan Haji Yusuf Abu Bakar.

3.   Perisytiharan yang dikeluarkan oleh UMNO dan dibaca pada 30 Ogos 1957.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997