Accessibility Tools

Lempeng Sagu Rumbia

Lempeng Sagu Rumbia

Oleh: Machita Othman

Peribahasa Melayu lahir basil daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang teliti oleh masyarakat Melayu lama. Oleh itu peribahasa dapat menggambarkan kehidupan, corak pemakanan serta nilai sosioekonomi masyarakat Melayu pada masa dahulu. Misalnya peribahasa yang berbunyi "Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Peribahasa ini bermaksud untuk mendapat kesenangan atau kejayaan kita mestilah berusaha bersungguh­ sungguh.

Sagu sepertimana yang disebutkan dalam peribahasa di atas adalah merupakan tepung kanji yang didapati daripada tumbuhan tropika iaitu pokok rumbia atau pokok ubi kayu. Ternyata ianya sesuai dijadikan bahan perumpamaan atau peribahasa kerana proses untuk mendapatkan sagu ini memerlukan usaha yang agak gigih. Walau bagaimanapun banyak jenis makanan atau kuih-muih dihasilkan daripadanya.

Sejenis kuih tradisional utara yang semakin hilang dari ingatan generasi masa kini ialah kuih "Lempeng Sagu Rumbia". Kuih ini dibuat menggunakan sagu daripada pokok rumbia. Pokok rumbia ataupun nama saintifiknya metroxylon sagu merupakan pokok palma berumpun besar, berbatang lurus dan tegak. Ketinggian pokok rumbia ini boleh mencapai l O hingga 12 meter dan batangnya berukuran 40 cm (diameter).

 

 

Sagu rumbia ini biasanya diambil daripada batang pokok rumbia sewaktu pokok ini mula berbunga. Pokok rumbia ini perlulah ditebang terlebih dahulu. Biasanya ianya ditebang menggunakan kapak atau gergaji. Daunnya dibuang dan batang pokok terse but kemudiannya dipotong sepanjang 1 hasta. Seterusnya batang pokok tersebut dibelah menjadi beberapa bahagian kecil. Bahagian sebelah dalam batang rumbia ini kemudiannya diparut dengan menggunakan pemarut bermata tajam. Hasil parutan (isi rumbia) ini berwarna putih.

Isi rumbia (sagu) diasingkan daripada hampas dengan cara mengocaknya ke dalam air. Biasanya kain putih yang nipis digunakan sebagai penapis. Hampasnya dibuang manakala sagu yang terhasil dibiarkan semalaman supaya mendap. Selepas itu air di bahagian atas mendapan tersebut dikeluarkan.

Bagi membuat lempeng sagu ini, kuali perlu dipanaskan terlebih dahulu. Apabila cukup panas barulah dimasukkan sesenduk daripada sagu tersebut ke dalam kuali. Sagu tersebut perlu dilecek dan diratakan agar ianya menjadi nipis. Api dapur juga perlu dikawal untuk mengelakkan lempeng tersebut menjadi hangit. Lempeng sagu yang telah masak ini berwarna coklat dan agak kenyal. Biasanya lempeng ini dimakan bersama kelapa parut dan gula sewaktu sarapan pagi.

Selain itu, sekiranya sagu tadi berlebihan, ianya boleh dijemur supaya kering dan bila hendak membuat lempeng lagi bolehlah dibancuh semula dengan air. Kita tidak boleh menggunakan tepung sagu yang dijual di kedai-kedai untuk membuat Lempeng Sagu. Biasanya ia akan melekat pada kuali.

Kuih lempeng ini tidak lagi dikenali ramai malah jarang sekali orang membuatnya. Ini mungkin disebabkan proses untuk mendapatkan sagu tersebut begitu sukar atau kita lebih terdedah kepada pelbagai makanan yang lebih mudah dibuat serta berkhasiat.

 

Rujukan

I.      Abdul Hamid Bin Othman. Kumpulan Peribahasa untuk pelajar-pelajar. Kuala Lumpur: Buku Must, 1990.

2.         Ensiklopedia Malaysian. Kuala Lumpur: Anzagin, 1995.

3.        Mohd Tajuddin Bin Haji Abdul Rahman. Peribahasa Dalam Penggunaan. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1984.

4.        Temubual dengan Puan Fatimah Hashim.

 

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997