TRADISI MENGUSUNG RUMAH
Oleh: ROSLAN BIDIN
Kita hanya merancang, Tuhan saja yang menentukannya. Tidak ada siapa yang dapat menghalang kehendak-Nya. Ada kala, hidup ini perlukan perubahan. Daripada kehidupan yang kurang baik ke arah kehidupan yang lebih sempurna. Perubahan sikap, iman dan perubahan tempat kediaman. Perubahan tempat kediaman bukan sahaja mengubah suai rumah tetapi kadangkala perlu kepada perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lebih baik.
Hari ini, di kala zaman menuju ke era wawasan, masalah berpindah tidak timbul lagi. Kenderaan seperti lori sedia menunggu untuk mengangkut barang yang akan dibawa ke tempat pemindahan yang baru. Malah, jika ingin membawa rumahnya sekalipun tidak menjadi masalah. Rumah hanya perk dirobohkan dengan cermat agar tidak menjejaskan mana-mana bahagian rumah tersebut lalu dimuat di atas Jori untuk dibawa ke tempat yang baru.
Bagaimana pula keadaan masyarakat zaman dahulu memindahkan rumah mereka? Di negeri Kedah dan Perlis, tradisi mengusung rumah memanglah tidak asing bagi mereka. Malah bagi generasi baru yang mempunyai orang-orang tua seperti datuk dan nenek juga pernah mendengar kisah tradisi itu. Cuma mereka tidak pernah melihat sendiri.
Sebelum rumah diusung, tapak yang sesuai mestilah ditentukan terlebih dahulu supaya tidak kelam kabut apabila rumah diusung. Maklum saja, rumah sudah diusung tapak yang sesuai belum ditetapkan. Remban akan disediakan. Akar remban digunakan untuk mengikat perusung yang akan digunakan. Antara akar yang sering dijadikan remban ialah seperti:
1. Akar Surau
2. Akar Kedaud
3. Pelepah lbus

Akar surau biasanya sebesar ibu jari kaki. Berbentuk bulat. lanya ditumbuk kemudian dikoyak sehingga menjadi tali yang akan digunakan nanti. Akar Kedaud seperti batang maru, tetapi kulitnya pula lebih tebal. lanya juga ditumbuk kemudian dikoyak kulitnya menjadi tali untuk tujuan yang sama. Begitu jugalah dengan pelepah ibus. Pelepah ibus pula berduri. Durinya mesti dibuang terlebih dahulu sebelum ditumbuk, dikoyak dan seterusnya dijadikan tali.
Remban dibuat seperti kuku kambing untuk mengikat perusung. Diikat pada rasuk rumah tersebut. Tujuannya untuk memudahkan perusung diletakkan di atas bahu si pengusungnya. Jenis perusung yang digunakan adalah buluh dan boleh juga digunakan batang pinang. Buluh mestilah buluh yang cukup tua dan tidak bengkok. Buluh yang paling elok untuk digunakan ialah Buluh Betong.
Ketika rumah tersebut diusung, upacara tertentu dijalankan. Seorang ahli keluarga akan duduk di dalam rumah tersebut sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon restu dari Tuhan ke atas keluarganya. Di negeri Kedah, upacara menepung tawar juga dilakukan ke atas rumah tersebut. Namun, ada sesetengah ulama yang tidak bersetuju upacara tersebut dijalankan kerana bercanggah dengan hukum agama. Benar atau salahnya, hanya Tuhan yang menentukan.
Sewaktu rumah diusung, berbagai-bagai ragam dapat dilihat. Terutamanya telatah-telatah lucu. Pasti akan menghiburkan. Ada yang menanggalkan baju masing-masing lalu dihempaskan ke tanah kerana terlalu panas.
Tidak kurang juga yang menanggalkan topi kerana tersangkut pada rasuk rumah. Yang tidak memakai kasut but, sesetengahnya tercabut dari kakinya akibat terpijak kaki kawan.
Mengikut Encik Ramli Dahaman dari Kampung Padang Melangit, ciri-ciri keselamatan mestilah diambil kira semasa mengusung rumah. "Takut nanti tersepak tunggul, atau mungkin dihempap tiang ketika hendak meletakkan rumah tersebut. Si pengusung kenalah berada agak jauh sedikit dari rumah tersebut. Barulah selamat," sambung Encik Ramli atau terkenal dengan panggilan Bang Li, ketika berbual di rumahnya.

Penduduk kampung sedang berderau mengusung rumah
Lazimya selepas berderau melakukan kerja, pekerja-pekerja akan disajikan dengan makanan dan minuman. Yang mana pasti akan menghilangkan rasa penat yang teramat sangat. Begitu jugalah dengan masyarakat negeri Perlis. Kalau majlis kenduri kahwin, mereka yang berderau menolong tuan rumah akan disajikan pulut kukus, berlaukkan ikan kering. Tetapi jika berderau mengusung rumah, mereka akan disajikan dengan bubur kacang. Jika rumah yang diusung terpaksa dibawa agak jauh sehingga berelong-relong, mereka akan disajikan pula dengan nasi lungguk seorang sepinggan.
Hari ini dunia semakin maju. Tradisi yang diwarisi oleh datuk nenek kita sejak zaman berzaman ini jarang sekali kita saksikan. Persoalannya, sejauh manakah tradisi ini akan bertahan untuk tontonan generasi kini? Adakah ianya akan hilang begitu saja? Malah semakin tenat dihimpit metropolitan zaman.
Masuk ke hutan memikat burung,
Burung dijual di Batu Pahat,
Rumah sudah selesai diusung,
Bubur kacang disaji, penghilang penat.Bubur kacang kuahnya pekat,
Disaji untuk pengusung rumah,
Bergotong-royong kata sepakat,
Masyarakat erat perpaduan ummah.
1. Remban: Sejenis akar yang digunakan untuk membuat tali. Diikat pada perusung rumah.
2. Berderau: Bergotong-royong secara bergilir-gilir.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997
