ALAT-ALAT PERTANIAN TRADISIONAL (3)
Oleh: WAN NAN WAN MAHMUD (FAWANA)
BAGI masyarakat petani dalam usaha mereka untuk menyimpan padi yang telah dituai, sama ada padi tersebut dituai secara'membanting' (pukul) atau 'mengetam' yang dijadikan'gemal' (rujuk Bil. 6, 1994), ia akan disimpan dalam sebuah gobok padi yang dipanggil 'kerubung' dan 'jelapang'. Padi yang disimpan itu akan digunakan sebagai makanan harian dan kadang-kadang dijual sedikit demi sedikit jika wang diperlukan untuk perbelanjaan harian. Biasanya padi yang disimpan itu mencukupi untuk saraan keluarga selama setahun (sehingga musim akan datang).
KERUBUNG
DIPERBUAT daripada bilah buluh yang dianyam seperti menganyam dinding. Bilah buluh yang telah siap dianyam itu akan dibentuk menjadi bulat (berbentuk silinder kosong) dan diletakkan di atas pentas khas yang dibina sebagai tapak untuk 'kerubung' tersebut. Biasanya diletakkan di bawah bumbung bangsal di mana dalam bangsal itu juga diletakkan 'lesung pengisar padi' dan juga 'lesung hindik' (akan diterangkan di bawah).
Ukuran tinggi 'kerubung' ini lebih kurang 5 kaki dan bergaris pusat lebih kurang 6 kaki. Melalui mulut 'kerubung' inilah dimasukkan biji-biji padi yang telah dibersihkan untuk disimpan sepanjang tahun sebagai bahan makanan harian.
Supaya biji-biji padi itu tidak tumpah (keluar) dari 'kerubung' tersebut, bahagian bawah (punggung) 'kerubung' itu akan dialas dengan tikar mengkuang atau ibus sebelum biji-biji padi dimasukkan ke dalamnya.
JELAPANG
JELAPANG adalah pondok kecil yang rangka bangunannya diperbuat daripada kayu, berdindingkan bilah buluh yang dianyam atau papan. Beratapkan daun nipah atau daun rumbia. Tetapi pada waktu-waktu terakhir digunakan zink sebagai atap bangunan berkenaan.
'Jelapang' biasanya dibangunkan dengan kemas dan kuat. Saiz (bentuk) 'jelapang' tidak sama. Bergantung kepada banyak padi yang hendak diisikan. Jika banyak padi yang hendak diisikan, bentuknya lebih besar. Jika sedikit yang hendak dimasukkan ke dalamnya, kecillah bentuk 'jelapang' tersebut.
BANGSAL
BANGSAL adalah sebuah bangunan kosong yang dibangunkan begitu rupa sebagai tempat meletakkan 'kerubung' 'lesung pengisar padi', dan 'lesung hindik'. la hanya berbumbung dan atap sahaja tanpa dinding. Dibangunkan di sudut-sudut bangunan rumah kediaman. Di situlah juga digunakan sebagai tempat berehat bagi melepaskan lelah atau tempat berbual-bual ringan dengan keluarga dan jiran-jiran.
LESUNG PENGISAR PADI
LESUNG pengisar padi adalah sejenis alat untuk memecah kulit padi sebelum ia ditumbuk menjadi beras. 'Lesung pengisar padi' bolehlah dianggap sebagai kilang kecil masyarakat petani zaman silam.
Bahan yang digunakan bagi menyediakan 'lesung pengisar padi' ialah tanah liat, buluh, kayu. Satu set 'lesung pengisar padi' disediakan dalam dua bahagian bawah digunakan sebagai tapak berbentuk bulat. Bergaris pusat lebih kurang 1.5 - 2.0 kaki. Hampir 80% buluh digunakan bagi menyiapkan sebuah 'lesung pengisar padi' tersebut.
1. Bahagian Atas
BULUH digunakan sebagai tiang (penahan dinding) yang diraut nipis selebar lebih kurang 1.5 inci. Bilah buluhjuga digunakan sebagai dinding. Diraut halus lalu dijalin pada tiang (penahan dinding). Tinggi dinding ini lebih kurang 2.5 kaki. Bahagian bawah (lebih kurang separuh bahagian) diisikan tanah liat yang diberi lubang di tengah. Tujuannya supaya membolehkan biji biji padi ke bawah, sewaktu lesung pengisar ini berpusing. Separas tanah liat itu juga dipasangkan sebatang kayu berukuran lebih kurang 4" x 3" dan panjangnya mengikut saiz lesung pengisar tersebut. Kayu ini dipasang merentang di tengah sehingga kedua-dua hujung kayu tersebut menjulur keluar sepanjang antara 6" - 8" yang dipanggil 'tangan lesung pengisar'. Pada hujung 'tangan' ini ditebuk. Tujuannya bagi memasukkan hujung 'kosa' bagi memudahkan ia untuk dipusing sewaktu hendak digunakan. Pada bahagian bawah tanah liat tersebut (bahagian kaki) ditanamkan bilah buluh setebal lebih kurang 0.3 inci secara bersusun. Digunakan sebagai gigi bagi memecahkah kulit-kulit padi apabila bergesel dengan gigi yang sama yang dipasangkan pada tapak (bahagian bawah set lesung tersebut).
2. Bahagian Bawah
BAHAGIAN bawah set 'lesung pengisar padi' ini berbentuk bulat juga. Tetapi diisi dengan tanah liat sepenuhnya. Dindingnya dijalin (dianyam) dengan kulit buluh yang diraut selebar lebih kurang 0.5 inci. Pada bahagian atasnya ditanam bilah buluh secara tersusun (seperti juga lesung bahagian atas tadi). Tujuannya apabila biji padi bergesel dengan kedua-dua bahagian gigi 'lesung pengisar" ini, kulit-kulit padi akan terlerai (terkopek) lalu menjadi beras (tetapi beras-beras ini belum lagi sempurna kerana masih banyak biji padi yang belum terkopek kulitnya). Ia perlu pula ditumbuk melalui 'lesung hindik' atau 'lesung tangan'.
Bahagian atas (sekeliling muka tapak) dipasangkan kepak (diperbuat daripada tin atau zink) berlantaikan papan nipis. Tujuannya supaya biji padi yang dikisar itu jatuh ke dalamnya apabila dikisarkan. Pada kepak itu juga disediakan pintu kecil. Melalui pintu itulah biji-biji padi yang dikisar akan disapu turun masuk ke dalam guni atau kurung.
Supaya bahagian tapak, 'lesung pengisar' ini kuat, tidak tumbang dan juga supaya mudah diangkat untuk dipindahkan bila perlu, dilekatkan (diletakkan) di atas dua batang kayu setebal 4" x 3" sepanjang garis pusat tapak tersebut yang disilangkan di tengahnya.
3. Kosa
KOSA diperbuat daripada kayu bengkok. Pada hujung (bahagian yang bengkok) dirnasukkan besi bulat (biasa juga hujung 'kosa' itu di bulatkan mengikut saiz lubang pada tangan 'lesung pengisar'). Tujuannya ialah supaya hujung 'kosa' itu apabila dimasukkan ke dalam lubang tangan 'lesung pengisar' tersebut; senang digunakan untuk menolak 'lesung pengisar' tersebut supaya berpusing. Apabila berpusing, biji-biji padi akan digeselkan oleh gigi-gigi 'lesung pengisar' tersebut; maka kulit-kulit padi akan pecah. Beras akan tanggal. 'Kosa' ini digantungkan dengan tali dari kedua-dua belah tangannya ke alang kayu panjang bangsal tempat diletakkan 'lesung pengisar padi' itu.
LESUNG HINDIK
ADALAH sejenis alat untuk menumbuk padi atau beras yang belum sempurna/bersih bagi dijadikan beras bersih untuk dimasak menjadi nasi. 'Lesung hindik' disebut juga 'lesung kaki'. la diperbuat daripada kayu keras, kuat dan berat bertujuan apabila digunakan untuk menumbuk sesuatu bahan, bahan yang ditumbuk seperti padi, beras yang belum bersih dan sebagainya akan cepat hancur (lumat) atau bersih/sempurna.
Bagi menyediakan sebuah 'lesung hindik' perlu disiapkan sebatang kayu panjangnya antara 12-16 kaki, setebal lebih kurang 4 atau 5 inci persegi. Kayu tersebut yang dipanggil batang pengindik, biasanya bahagian kepalanya lebih besar dari bahagian hujung (tempat untuk dipijak). Makin ke hujung semakin tirus dan dilentikkan (bengkokkan) sedikit bentuknya.
Pada bahagian kepala batang pengindik inilah dipasangkan 'alu' berbentuk bulat bergaris pusat lebih kurang 3-4 inci. Alu tersebut diperbuat daripada kayu keras. Ada juga digunakan perdu buluh sebagai alunya. Panjang alu lebih kurang 2 - 2 1/2 kaki.
Bersetentangan dengan ternpat alu itu hendak dijatuhkan, diletakkan lesung tempat mengisi padi atau beras yang hendak ditumbuk. Lesung diperbuat daripada batang kayu bergaris pusat lebih kurang 24-30 inci yang ditebuk di permukaan tengahnya sebagai bekas untuk mengisi bahan-bahan yang hendak ditumbuk.
Pada pinggang batang pengindik pula ditebuk dan dipasangkan sebilah kayu berukuran lebih kurang 3" x 2" x 24". Kedua-dua hujung kayu tersebut dilekatkan pada tiang yang didirikan di kiri kanan batang pengindik itu. Kayu yang terpasang pada pinggang batang pengindik itu akan bergerak ke atas ke bawah apabila batang pengindik digunakan semasa menumbuk padi/beras.
Tanah di bawah hujung kayu tempat dipijak, dikorek lubang kecil bagi memudahkan hujung kayu (batang pengindik) tersebut tertekan ke bawah apabila dipijak. Apabila hujung batang pengindik dilepaskan, bahagian hujung (bahagian kepala) yang dilekatkan alu bulat tadi akan jatuh dengan kuat ke dalam lesung lalu memecahkan kulit padi dan menghancurkan beras yang ada di dalamnya (atau bahan-bahan lain yang ditumbuk) se hingga lumat (hancur) seperti yang dihajati oleh pengguna berkenaan.
Ada juga didirikan pelapik kaki di keliling lubang tanah yang dikorek. Pelapik kaki ini diperbuat daripada papan tebal sebagai alas kaki di samping sebagai tempat ampanan tenaga. Kaki adalah tenaga utama bagi menggerakkan batang pengindik apabila hendak digunakan. Sebab itulah 'lesung pengindik' ini disebut juga 'lesung kaki'.
LESUNG TANGAN
LESUNG tangan juga sering digunakan sebagai alat untuk menumbuk padi, beras, tepung dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap rumah dalam kampung-kampung masyarakat Melayu zaman dulu memiliki 'lesung tangan' ini. Malah hingga sekarang juga masih kedapatan 'lesung tangan' ini di kebanyakan rumah orang Melayu di kampung-kampung.
Dua jenis bahan sahaja digunakan sebagai set 'lesung tangan' iaitu 'lesung' dan 'alu'. Lesung diperbuat daripada batang kayu keras berbentuk bulat bergaris pusat lebih kurang 18 inci. Bahagian atas batang kayu itu (bahagian permukaan) di tebuk (dikorek) sedalam antara 6-10 inci sebagai lesung untuk mengisi bahan-bahan yang hendak ditumbuk.
Manakala 'alu' ialah sebatang kayu kecil lebih kurang sebesar lengan orang dewasa. Berbentuk bulat. Panjangnya lebih kurang 4 - 4 1/2 kaki. Bahagian tengahnya diraut dan keadaannya lebih kecil supaya senang dipegang apabila hendak digunakan. Tenaga tangan digunakan untuk menumbuk bahan-bahan dalam 'lesung tangan'
WARISAN
1. Singgah dalam alam dunia ini, adalah laksana berhenti sebentar di tengah perjalanan, kerana tujuan masih jauh. Bagi si arif bijaksana, sewaktu berhenti diambilnya sekadar yang perlu untuk bekal perjalanan dan untuk persiapun di kampung yang asal, dibawanya makanan - bekal yang tidak basi dan ditinggalkannya mana yang akan memberati dan menghalang langkahnya, supaya dia tidak terlalai menempuh kampung yang kekal itu. Bagi si bebal, dunia ini disangkanya rumah untuk menetap, tidak akan melepaskan dunia dari hatinya, sebelum malaikat maul sendiri merenggut dunia itu daripada tangannya.
-Hamka
2. Tujuan utama saya hidup ialah mencari kebenaran bagi a/am ini dan saya berkuasa menghimpunkan di antara sebesar-besar kasih bagi seseorang dan sebesar-besar kemurkaan bagi kesalahan.
- Mahatma Ghandi
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7, 1995
