Accessibility Tools

ALAT-ALAT PERTANIAN TRADISIONAL (2)

ALAT-ALAT PERTANIAN TRADISIONAL (2)

Oleh: WAN NAN WAN MAHMUD (FAWANA)

PADA keluaran yang lalu, dikemukakan jenis-jenis alat pembajak yang digunakan oleh para petani dalam usaha mereka mengerjakan sawah. Sebagai sambungan dari siri tersebut, marilah kita kenali pula alat-alat yang digunakan yang ada hubungkait dengan persawahan dan seterusnya sehingga menghasilkan padi yang ditanam itu, dapat dijadikan nasi sebagai makanan kita.

Ada beberapa jenis alat tuaian padi yang digunakan secara tradisional oleh petani-petani bagi mengambil (menuai) padi yang masak menguning itu.

 

I. Renggam

ALAT ini biasa juga disebut 'ketam padi' Renggam diperbuat daripada papan nipis berukuran lebih kurang 4 inci x 3 inci . Bahagian bawah (bahagian untuk memetik tangkai padi) dilekatkan dengan besi nipis sepanjang lebih kurang I 1/2 inci x 0.2 inci sebagai mata reng­gam.

  
 

Mengetam - menuai padi atau memotong tangkai padi.

 

Manakala bahagian atas pula dilekatkan sepotong buluh (biasanya batang anak buluh nipis) sebesar lebih kurang jari manis orang dewasa dengan panjangnya lebih kurang 3 inci sebagai pemegang. Alat ini dibentuk demikian rupa supaya senang dipegang ketika hendak digunakan bagi memetik tangkai padi. Renggam (ketam padi) tersebut dimasukkan ke celah antara jari manis dengan jari hantu atau antara jari hantu dengan jari telunjuk.

Kemudian dengan menggunakan tenaga jari-jari tersebut, mata renggam yang dikenakan pada tangkai padi tadi akan memotong tangkai tersebut satu demi satu. Tangan kiri (bagi yang bekerja menggunakan tangan kanan atau sebaliknya) akan mengumpul setiap tangkai padi yang terpotong itu sehingga secekak padat, kemudian diikat dijadikan 'gemal'.

Gemal-gemal padi ini akan dimasukkan ke dalam 'bakul' atau 'karung' dan dibawa pulang. Untuk mendapatkan biji-biji padi sebelum dijadikan beras, gemal-gemal padi tersebut akan dihirit (pijak-pijak dengan kaki) hingga keluar (tanggal) setiap biji padi daripada tangkainya. Setelah banyak (mencukupi) padi tersebut akan dijemur dan seterusnya diproses hingga menjadi beras.

 

2.   Sabit

SABIT ialah sejenis pisau pemotong pokok (perdu) padi - digunakan juga untuk menyabit (memotong) rumput -'sabit' disebut juga 'pisau penggiau'.

la diperbuat daripada sejenis besi nipis sepanjang lebih kurang 10-12 inci dan lebarnya 1/2- 3/4 inci yang dibentuk bengkok menyerupi separuh bulatan. Matanya berkerikil seperti mata gergaji. Hulunya diperbuat daripada kayu bulat hampir sebesar ibu jari kaki.

Sabit atau pisau penggiau ini digunakan untuk memotong pokok padi yang hendak dipukul ke dalam tong padi bagi mengeluarkan biji padi daripada tangkainya.

 

3.   Tong, Layar & Tangga

POKOK padi yang telah dituai dengan sabit atau pisau penggiau dilonggokkan selonggok-se­ longgok yang disebut pula 'kedap'. Setiap longgok kedap ini sekadar sanggup diangkat untuk dibawa ke tong pukul padi bagi dileraikan buah padi daripada tangkainya.

Tong pukul padi dibuat daripada keping papan nipis berbentuk seakan-akan bujur setinggi kurang paras lutut orang dewasa.

Papan keping itu disusun begitu rupa diikat (paku) pula dengan rotan atau kulit buluh di sebelah luarnya supaya bertambah kuat dan tahan lebih lama. Biasanya bahan pengikat ini dipasang pada dua tempat, iaitu bahagian atas (hampir mulut tong) dan satu lagi bahagian bawah tong tersebut.

Untuk meleraikan biji padi daripada tangkainya, digunakan sebuah tangga yang disandarkan ke mulut tong. Tangga tersebut digunakan untuk menghempaskan kedap (batang padi yang dilonggokkan setelah dituai dengan menggunakan sabit) supaya biji-biji padi senang dileraikan daripada tangkainya. Bentuk tangga samalah juga seperti tangga di rumah-rumah kampung. Cuma lebih kecil untuk disesuaikan dengan saiz tong seperti yang disebutkan di atas. Paha tangga diperbuat daripada kayu 3 inci x 2 inci. Manakala anak tangganya diperbuat daripada bilah kulit buluh yang diraut rapi.

 

Memukul padi - proses melerai padi daripada tangkainya.

 

Agar padi yang dibanting tidak tumpah, digunakan pengadang yang dipanggil 'layar tong'. Layar ini dibuat daripada tikar mengkuang atau tikar ibus. Ada juga digunakan kain atau kain getah bagi layar seperti itu. Bagi menahan layar supaya tidak jatuh, digunakan beberapa batang kayu kecil separas kain layar tersebut yang dimasukkan ke dalam gelung tali yang memang disediakan di sekeliling tong tersebut pada bahagian dalamnya. Sebiji tong dapat mengisi lebih kurang tiga nalih (enam karung 1 1/2 guni padi).

 

4.  Nyiru

NYIRU adalah sejenis alat yang digunakan untuk menampi padi, beras atau biji-bijian lain dengan tujuan untuk membuang bahan-bahan yang tidak berguna. la berbentuk seakan-akan bulat. Biasanya nyiru diperbuat daripada kulit pelepah kumbar, kulit buluh atau pelepah rumbia. Ada dua jenis nyiru yang sering digunakan. laitu 'nyiru jarang' dan 'nyiru biasa'.

4.1   Nyiru Jarang

Ia dianyam/jalin pada sebelah tepinya dan jarang di bahagian tengah. Nyiru jenis ini digu­ nakan untuk membersih atau memilih bahanbahan tidak berguna seperti hampas padi, daun­ daun kering dan bahan-bahan lain yang ada dalam padi yang baru dibanting. Semua padi dan bahan tidak berguna itu dimasukkan ke dalam 'nyiru jarang' (biasanya dikerjakan oleh kaum wanita), kemudian diangkat separas muka lalu digoyang-goyangkan agar padi turun ke bawah. Manakala hampas padi akan terbuang dibawa angin. Bahan-bahan lain akan tertinggal di dalam 'nyiru jarang' itu.

4.2   Nyiru Biasa

BOLEH dikatakan setiap rumah ada memiliki nyiru jenis ini. Ia dianyam/dijalin rapat se­luruhnya. Gunanya untuk menampi padi atau beras dan biji-bijian yang lain seperti antah beras, sampah, habuk dan sebagainya.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994