BEDUAN: KESENIAN TRADISI RAKYAT PERLIS
Oleh: REJAB F.I.
NEGERI Perlis memang kaya dengan kesenian tradisinya seperti Tarian Canggung, Muzik dan Tarian Tarinai, Awang Batil, permainan Alu Bunyi dan baru-baru ini telah muncul kembali sebuah kesenian tradisi yang telah lama terpendam dan hampir ditelan zaman iaitu keseruan Beduan.
Kesenian ini telah ditubuhkan sendiri oleh ahli-ahli kumpulan Beduan yang diketuai oleh Encik Kamis Mat Isa, 70 tahun, bersama rakan-rakannya di Kampung Teluk Jambu, kira-kira 3 kilometer di selatan bandar Kangar. Kesenian Beduan ini sesungguhnya begitu popular suatu ketika dulu. Setiap rumah yang mengadakan kenduri perkahwinan tidak sah atau kurang bererti jika tidak mempersembahkan kesenian tersebut. Ahli-ahli Beduan yang memukul gendang yang kuat dan nyanyian yang nyaring (melaung-laung) merupakan isyarat atau pengecaman kepada para jemputan menuju ke rumah kenduri ketika itu, terutama sekali penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

Kumpulan Beduan Teluk Jambu sedang mempersembahkan permainan mereka. (Gambar : Rejab F.I)
Kesenian ini juga merupakan hiburan utama kepada para tamu, ahli keluarga dan jiran tetangga yang membantu menyediakan kenduri perkahwinan itu. Permainan ini dipersembahkan sepanjang siang dan malam.
Menurut Encik Kamis, asal-usul Beduan ini direka cipta oleh dua orang iaitu Tuk Bait dan Tuk Keret yang lari menyelamatkan diri bersama keluarga masing-masing dalam peperangan Siam kira-kira 200 tahun yang lalu. Mereka tinggal di atas puncak sebuah bukit yang bernama Tok Wan Gunung, di situ mereka bekerja menanam padi.
Oleh kerana sering merasai kesepian tinggal di dalam hutan dan di atas puncak bukit pula maka kedua-duanya berusaha mencipta sebuah permainan. Mereka memotong keratan batang kayu dan memukulnya sambil menyanyi, melaung-laung dengan suara yang nyaring. Setelah berakhir peperangan Siam, kedua-dua keluarga tersebut pulang ke kampung masing-masing mempersembahkan permainan itu. Kerana itulah dinamakan Beduan yang berasal daripada perkataan 'berdua-duaan'.
Akhirnya permainan ini begitu digemari dan tertubuhlah kumpulan-kumpulan Beduan pada segenap kampung terutama sekali di utara negeri Perlis.
Sebuah kumpulan Beduan terdiri daripada 8 orang yang memukul gendang sambil menyanyi. Mereka menyanyi dengan suara yang nyaring seperti melaung. Biasanya ahli-ahli beduan sahaja yang berjaya mengikuti dan memahami nyanyian mereka. Nyanyian Beduan sebenarnya berbalas-balas pantun. Oleh kerana secara melaung maka senikatanya sukar diikuti dan difahami.
Tradisi Beduan ini biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibuat bersambung dengan rumah ibu. Balai ini dibuat tasak menggunakan daun kelapa cuma separas lutut. Para tamu atau penonton mengikuti persembahan Beduan cuma berdiri di halaman rumah, di dalam bangsal memasak sambil menyediakan hidangan.
Gendang-gendang Beduan agak besar, diperbuat daripada kayu nangka, temak atau merbau, menggunakan belulang kambing atau lembu disirat dengan rotan (tukang belut). Terdapat tiga jenis gendang iaitu gendang 'Pengibu', besar lilitannya kira-kira 140 sm, gendang 'Peningkah' 90 sm dan gendang 'Penganak' lilitannya 110 sm. Gendang 'Peningkah' dan 'Penganak' amat kuat pukulannya. Bunyinya kedengaran sehingga dua atau tiga kilometer.
Ketika memukul gendang tersebut dengan irama beduan yang tersendiri, para pemainnya akan menyerangguh pada gendang masing-masing sambil menyanyi. Di antara lagu yang dipersembahkan ialah : Mula Pasang, Alang-alang, Orang Kaya, Syahbandar, Muda, Lumut, Cinta Landak, Naik Gajah dan Ulunulun.
Ketika menyanyi (melaung) itulah mereka berbalas-balas pantun. Di antara pantun yang dinyanyikan adalah :
Anak ayam dalam celepa,
Buka tudung patuk padi;
Siang malam tidak kulupa,
Kasih terkandung dalam hati.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Kaki sangkut kerana duri;
Adik bukan abang pun bukan,
Hati tersangkut kerana budi.
Setiap lagu yang dipersembahkan sebenarnya memakan masa amat lama, antara 45 minit sehingga sejam, kerana itulah tradisi Beduan ini dipersembahkan sepanjang hari dan malam, bergilir-gilir dengan persembahan muzik gendang Tarinai.
Ketika Beduan dipersembahkan para pemainnya diberi jamuan bergilir-gilir. Selesai lagu pertama dipersembahkan, disediakan jamuan 'Pulut Bata' (pulut kucai atau wajid yang diperbuat seperti bata), selesai lagu ketiga dihidangkan nasi 'hidangbesar' atau'ayam golek'. Selesai lagu kelima dihidangkan pula kuih-muih tradisional. Lepas lagu kelapan atau terakhir dihidangkan 'pulut sibar' atau 'pulut kukus'.
Dalam sesuatu persembahan Beduan terdapat suatu peristiwa yang amat membimbangkan oleh tuan rumah terutama sekali pihak pengantin perempuan. Ketika persembahan Beduan ini
hendak dimulakan ibu dan bapa pengantin perempuan begitu bimbang dan khuatir jika ahli-ahli Beduan itu mempersembahkan lagu atau pantun seperti berikut :
Burung murai mandi,
Mandi air rumput,
Siapa hurai nyanyi,
Boleh kawan tolong ikut.
Pinang kotai lambung,
Sirih gagang layu,
Minta tabik tuan kampung,
Anak dagang nak lalu.
Pihak ketua atau pemimpin kumpulan Beduan ini sebenarnya telah mendapat alamat peristiwa itu berlaku sebelum mereka mengadakan persembahan. Beliau juga menggunakan jampi sebelum memulakan persembahan untuk mengelak daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
Jika lagu tersebut dinyanyikan bererti 'anak dara' atau pengantin perempuan telah di 'tebuk tupai'. Peristiwa tersebut hanya dimengertikan oleh pihak-pihak tertentu saja. Oleh kerana beg itu malu, keluarga pengantin perempuan terpaksalah memulang kembali segala hantaran dan alatan peminangan.
Peranan Beduan sebenarnya bukan saja dimainkan di rumah-rumah kenduri perkahwinan akan tetapi dimainkan juga ketika berkhatan, pesta musim menuai, permainan istana ketika menyambut orang-orang besar dan mengubat sesuatu penyakit.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis dan Persatuan Penulis Perlis (3P) akan berusaha mempopularkan kembali kesenian ini, memberi bantuan kepada kumpulan tersebut dan mengetengahkan Beduan dalam majlis-majlis keramaian dan dalam Pesta Seni Budaya Negeri Perlis.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994
