BANDAR KANGAR
Oleh : ALWI SUDIN
Bandar Kangar ibu negeri Perlis Indera Kayangan merupakan bandar terbesar di negeri ini dan di Utara Semenanjung Malaysia. Di bandar inilah letaknya pejabat dan jabatan kerajaan yang menjalankan pentadbiran negeri Perlis. Bandar Kangar ini membangun dan berkembang pesat, selaras dengan kemajuan yang sedang melanda negara kita Malaysia. Di samping kepesatan pembangunan infrastrukturnya Kangar juga sedang diperindahkan dengan pelbagai bunga-bungaan serta dipenuhi dengan pepohon yang hijau merendang.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Haji Taib Ismail, pihak majlis akan menjadikan Kangar bandar terindah dan terbersih di Utara Semenanjung, bersesuaian dengan konsep dan matlamat ‘Penghijauan Bumi’ dan ‘Bandar Taman’.Pada tahun 1979 Perbandaran Kangar meliputi kawasan seluas 377.0 hektar. Tetapi kini keluasannya meningkat menjadi 2,619.4 hektar apabila disatukan dengan pekan kecil Jejawi pada tahun 1980. Manakala bilangan penduduknya pada tahun 1985 ialah seramai 28,400 orang. Mengikut perkiraan penduduk bandar Kangar akan meningkat kepada 34,564 orang pada tahun 1992 dan menjadi 48,780 orang pada tahun 2005.
KEWUJUDAN BANDAR KANGAR
Dikaji daripada lokasinya yang strategik Kangar pada asasnya merupakan tempat pertembungan atau pertemuan peniaga dan saudagar daerah Kayang (Perlis) dan dari daerah lain yang berdekatan. Kemunculan pekan Kangar adalah dipercayai selepas bermulanya pelabuhan atau pekan Kuala Perlis. Daripada tinjauan yang dibuat saya berpendapat Kangar adalah salah sebuah daripada pengkalan-pengkalan (pelabuhan) yang terdapat di sepanjang sungai Perlis. Kenyataan ini berdasarkan faktor pusang-surut air laut. Kalau diperhatikan pengakhiran pasang-surut air laut daripada Kuala Perlis sehingga kini adalah di bandar Kangar. Keadaan ini membolehkan kapal dan tongkang yang membawa dan mengangkut hasil dagangan dapat hilir mudik ke pengkalan Kangar (tapak kedai telekom sekarang) dengan mudah. Selain dari Kangar, terdapat pula tempat-tempat lain yang menjadi persinggahan kapal dan tongkang. Di antaranya berhampiran Kangar ialah Pengkalan Asam, Kota Keran dan Tebing Tinggi.
Selain dari faktor pasang-surut, Kangar adalah tempat pertemuan Sungai Abi, Sungai Siran, Sungai Besar atau Sungai Kechor, Sungai Santan, Sungai Ngulang atau Jejawi dan Sungai Arau. Sebagaimana termaklum sungai merupakan laluan dan penghubung utama penduduk dunia masa lalu malah hingga kini. Justeru demikian Kangar menjadi tumpuan penduduk dari timur, dari utara dan selatan negeri ini bagi menjalankan kegiatan berjual beli dan bertukar barangan. Mengikut tinjauan saya di Sungai Perlis bahagian utara dari Kangar terdapat beberapa ‘pengkalan’ iaitu tempat tambatan perahu-perahu kecil dan rakit yang berlayar di sepanjang Sungai Perlis ke Kangar. Menurut Encik Sudin Yaakub di Sungai Karak (Sg. Perlis) terdapat dua buah pengkalan iaitu "Pengkalan Naji Derani" dan "Pengkalan Tok Wi". Melalui pengkalan inilah orang-orang Kampung Paya dan yang berdekatan menjual hasil-hasil mereka seperti padi, pinang; ayam, itik dan lain-lain lagi. Dari pengkalan-pengkalan ini peraih membawa pula ke Kangar dengan perahu atau rakit. Kenyataan beliau disokong oleh Encik Mat Seman. Pengkalan yang serupa juga terdapat di Sungai Arau, Sungai Ngulang, Sungai Abi dan Sungai Kechor. Dari kenyataan dan berdasar lokasinya yang strategik dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Kangar adalah ‘market’ atau pusat urusniaga barangan pada masa dahulu dan bukannya sebuah perkampungan.

Kepesatan dan Keindahan bandar Kangar sekarang.
PETA PERLIS INDERA KAYANGAN (Fokus Sungai-Sungai)

Anak-Anak Sungai Yang Bertemu Di Kangar
BERSEMAYAM
Petempatan atau perkampungan yang awal wujud berhampiran Kangar pada masa itu atau telah dikenali sebagai "pengkalan" ialah Kampung Sena. Kampung ini terletak di bahagian Timur bandar Kangar sekarang ini. Menurut catatan Encik Ahmad Ismail (Allahyarham) Kampung Sena merupakan tempat bersemayam Sultan Kedah keempat belas iaitu Sultan Muhyiddin Mansur Syah yang menaiki takhta kerajaan Kedah pada tahun 1651 M dan mangkat pada tahun 1661 M. Sepanjang pemerintahan baginda selama lebih kurang sepuluh tahun di Kampung Sena baginda telah membina kota sebagaimana kelaziman sultan-sultan Kedah yang lain, dewasa itu dan memilih Kangar sebagai "Bandar Diraja". Kota tersebut dikenali dengan panggilan "Kota Sena". Apabila baginda mangkat pada tahun 1661M, dimakamkan di tanah perkuburan "Tok Peduka".

'Perkuburan Tok Peduka'
Pelabuhan Kangar

Kapal-kapal berlabuh di Kangar(Tapak kedai Telekom sekarang) di hadapan Pejabat Kastam.
Mengikut catatan Encik Ahmad Ismail `Perkuburan Tok Peduka' ini pada masa dahulu lebih dikenali dengan nama `Langgar Kota Sena' atau `Makam Diraja Kota Sena'.
Pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar 5yah II (T. M.1544-1602) Kuala Perlis merupakan pelabuhan utama dan sibuk Arab, Gujerat dan India menggunakan pelabuhan Kuala Perlis sebagai tempat menjual dagangan mereka untuk dibawa ke Kemboja dan China. Justeru itu baginda Sultan menitahkan supaya dibina kota di Kuala Perlis dan Kota keran sebagai tempat membayar cukai barang-barang yang masuk ke Kuala Perlis dan ke Kangar. Kapal-kapal dan tongkang besar akan singgah dan berlabuh di Kuala Perlis, manakala tongkang-tongkang kecil akan terus ke Kangar dan berlabuh di Tebing Tinggi, Pengkalan Asam atau di Kangar. Semua barangan dagangan ini dibayar cukai dan disimpan di Kota Keran. Barangan ini kemudian dibawa dengan gajah ke Ligor dan dari Ligor barangan-barangan ini didagangkan pula ke Kemboja dan China melalui Laut China Selatan. Bagi mengawal dan memungut cukai ke alas barangan di Kuala Perlis dan Kangar, Tuanku Paduka Maharaja Sura, Perdana Menteri, Kedah, melantik seorang hulubalang menjadi ketua di Kuala Perlis memakai gelaran Datuk Syahbandar Kuala Perlis dan lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Perlis’.
Rujukan:
1. Buyong Adil(Haji) sejarah Perlis, DBP, Kuala Lumpur 1981.
2. Husain Baba, Sejarah Negeri dan Raja-raja perlis, JMBRAS, Vol. XIII Pt. 2.1969.
3. Yazid Mat (Y.B.) dan Ahmad Ismail, "Perlis Indera Kayangan".
4. Pelan Struktur Bandar Kangar, MPK.
Temubual.
1. Encik Sudin Yaakob - Paya.
2. Encik Mat Seman - Paya.
3. Haji Taib Ismail - Yang Dipertua MPK.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 4, 1992
