Accessibility Tools

SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATO’ SHEIKH AHMAD ( SMKDSA )

SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATO’ SHEIKH AHMAD ( SMKDSA )

Oleh : SHUKOR BIN MAT

Di Perlis, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad (SMKDSA) telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Sekolah Menengah Rancangan Khas, bersama-sama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan.

Pelajar-pelajar yang cemerlang pencapaiannya di dalam pelajaran akan di pilih khas oleh Jabatan Pendidikan Negeri untuk ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma atau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato'Sheikh Ahmad atau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Di dalam rangkaian Sekolah Rancangan Khas ini maka Sekolah Menengah Kebangsaan Derma terlebih dahulu menerokainya, diikuti oleh Sekolah Menengah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan yang baru memulakannya pada tahun 2004.

Sekolah Rancangan Khas di SMKDSA telah menjangkau usia hampir sepuluh tahun, iaitu bermula sejak tahun 1994 semasa Tuan Haji Mohd. Hashim bin Abd Rahman menjadi Pengetuanya. Pada tarikh tersebut Pengarah Pendidikan Perlis ialah Tuan Haji Mohd. Zain bin Ishak. (Pn. Rosnah Md. Isa, Pembantu Tadbir SMKDSA-temubual pada 4/3/2005. Rujuk juga Majalah Masarau 1996 hlm. 8)

Selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bertujuan untuk memajukan pelajaran Menengah dan Tinggi di dalam Bahasa Kebangsaan, maka pada 1 Januari 1964 sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang pertama telah dibina di Perlis. Sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Melayu Arau. Sebelum itu kelas-kelas Menengah Kebangsaan yang dikenali sebagai darjah Menengah Melayu di Perlis telah ditumpangkan di Sekolah Menengah Derma, Kangar yang dimulakan sejak bulan Mei tahun 1958. Majlis perasmian pembukaan Sekolah Menengah Melayu Arau telah dijalankan oleh YTM Tengku Sulaiman Ibni Al-Marhum Tengku Bendahara Abu Bakar. Upacara perasmian untuk penukaran nama Sekolah Menengah Melayu Arau ke Sekolah Menengah  Dato' Sheikh Ahmad  telah disempurnakan pada 3 November 1966. Perasmian ini telah dilaksanakan oleh YAB Dato' Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim, Menteri Besar Perlis pada ketika itu. (Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Perlis).

Upacara perasmian untuk penukaran nama Sekolah Menengah Melayu Arau ke Sekolah Menengah

 Dato' Sheikh Ahmad telah disempurnakan pada 3 November 1966.

Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad adalah wajar dan kena pada tempatnya kerana beliau adalah orang yang menjadi perunding dan perancang utama di dalam pemilihan lokasi sekolah tersebut. Tapak yang menjadi asas pembinaan sekolah tersebut merupakan tanah Simpanan Melayu milik Tuan Haji Ahmad bin Muhammad (Tok Haji Mat Hakim). Dato' Sheikh Ahmad dan Tok Haji Mat Hakim adalah sahabat seperjuangan di dalam politik dan As-Sunnah dan terkenal di dalam persahabatan mereka sebagai Tiga Mat (iaitu bersama-sama dengan seorang lagi sahabat mereka Dato' Wan Ahmad bin Wan Daud), (Haji Ismail bin Idris @ Abdullah, AJK Kemajuan Kampung Tok Naya-temubual pada 1/3/2005).

 

PERKEMBANGAN AWAL

Pada mulanya sekolah ini terdiri daripada 5 buah bangunan. Bilik Pengetua dan  pejabatnya terletak di bahagian bawah rumah kayu dua tingkat (banglow) yang asalnya dimiliki oleh Tuan Haji Ahmad bin Muhammad (Tok Haji Mat Hakim).1 (En. Hussin bin Md. Hassan, seorang pesara yang dahulunya menjadi staf sokongan di SMKDSA, tinggal di Tok Naya, Arau-temubual pada 11/1/2005). Tingkat atas rumah tersebut dijadikan rumah Pengetua dan kelas bimbingan atau kelas tambahan di luar waktu persekolahan.2

1. Beliau digelar Tok Haji Mat Hakim kerana telah lama menjadi Hakim Mahkamah Syariah Perlis dan Hakim Besar Perlis. (Buku Cenderamata Expo Pembangunan Islam, Percetakaan Perlis, Kangar, 1980)

2. Pengalaman penulis sendiri semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad mulai tahun 1964 hingga 1967.

Bangunan kedua dan ketiga ialah blok bangunan baru yang mengandungi 16 kelas dan dua buah makmal sains. Bangunan keempat ialah kantin, manakala bangunan kelimanya sebuah bangsal basikal. Pelajar-pelajar yang menjadi perintis awal sekolah ini berjumlah 492 orang iaitu 221 lelaki dan 271 perempuan. Tenaga pengajar awalnya seramai 30 orang, termasuk 3 orang guru agama, 22 orang guru lelaki dan 8 orang guru perempuan. Pengetua pertamanya ialah En. Wan Din bin Che Mat. (Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Ibid).

 

TAHAP - TAHAP PERUBAHAN

Sungguhpun dalam tahun penubuhannya (1964) hanya terdapat dua blok bangunan dan dua tingkat, sebuah rumah banglow lama sebagai pejabat sekolah dan rumah Pengetua (1964), sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat (1967), dua buah bangunan sains rumah-tangga (1969), sebuah bangunan makmal sains tulen (1971) dan sebuah bangunan surau gotong-royong Persatuan Ibu Bapa Guru dengan bantuan kerajaan RM 5,000 dan sebuah bangunan kembar kepada kantin (Draf Sekolah-sekolah Negeri Perlis, Ibid); tetapi menjelang tahun 1975 sekolah ini mengalami perubahan yang besar dengan terbinanya bangunan bilik darjah baru (bangunan tiga tingkat), kantin baru dan dua buah makmal baru, sebuah dewan baru dan sebuah padang permainan yang baru seluas 7 ekar. Jumlah pelajarnya juga bertambah kepada 1411 orang pada tahun 1975 dan menjadi 1737 dalam tahun 1976. Manakala bilangan gurunya turut bertambah menjadi 75 orang pada tahun tersebut. (Majalah Masarau 1975/76, hlm 9-10)

Mulai tahun 1968, SMKDSA menjadi Pusat Aliran Sains bagi pelajar-pelajar Tingkatan 4 seluruh negeri Perlis dan projek ini berakhir pada tahun 1977. Selain daripada itu SMKDSA telah memasuki era baru pada tahun 1972 apabila Tingkatan 6 Rendah Sastera dimulakan dan setahun kemudian dibentuk Tingkatan 6 Rendah Sains. Pada tahun 1987 Kelas Perdagangan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1 dimulakan. (Majalah Masarau 1993, hlm 40)

Dalam tahun 1982 bilangan pelajar SMKDSA berjumlah 1372 orang, manakala gurunya seramai 86 orang dan staf sokongannya berjumlah 38 orang (termasuk kakitangan asrama). (Majalah Masarau 1982, hlm 17-18).

Menjelang tahun 1984 jumlah pelajar SMKDSA adalah seramai 1557 orang dan tenaga pengajar seramai 87 orang. Bilangan kakitangan sokongannya seramai 40 orang. (Majalah Masarau 1984, hlm 15-16).

Pada tahun 1987 SMKDSA mempunyai 6 blok bangunan, termasuklah blok bangunan baru yang telah disiapkan pada akhir tahun 1986.

 

Menteri Pelajaran Dato’ Haji Abdul Rahman Yaakob disambut oleh Pengetua SMKDSA Azmi Abdul Mutalib dalam tahun 1969

 

Bangunan baru tersebut yang mempunyai 10 bilik darjah merupakan bangunan projek gotong-royong antara Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah ini dengan Kementerian Pendidikan. Dengan terbinanya bangunan ini maka pelajar-pelajar SMKDSA boleh belajar pada satu sesi sahaja.3 Sehingga bulan Oktober 1987 bilangan pelajar di sekolah ini ialah 1575 orang, guru-gurunya berjumlah 94 orang dan bilangan staf sokongannya seramai 46 orang. (Majalah Masarau 1987, hlm 14).

3. Sekarang (Mac 2005) bangunan Projek Gotong Royong tersebut sedang diusahakan untuk dirobohkan kerana sudah usang dan jauh daripada kawalan pentadbiran. Kawasan ini dicadangkan untuk dijadikan tapak projek alam sekitar bagi penanaman pokok kekal.

Dalam tahun 1990 SMKDSA mempunyai 1610 orang pelajar dengan gurunya seramai 93 orang dan staf sokongannya seramai 48 orang. (Majalah Masarau 1989/90, hlm 27).

Terdapat sejumlah 1578 orang, 93 orang guru dan 46 orang kakitangan sokongan di SMKDSA dalam tahun 1991. (Majalah Masarau 1991, hlm 25). Bilangan pelajar di sekolah ini semakin berkurangan pada tahun-tahun berikutnya iaitu menjadi 1156 orang pada tahun 1994 dan 1025 orang pada tahun 1999. (Majalah Masarau 1994 dan 1999). Berlakunya pengurangan tersebut pada tahun 1994 kerana SMKDSA sedang mengalami proses ke arah pembentukan. Sekolah Rancangan Khas yang bermula pada tahun 1994 sehinggalah ke hari ini. Kini (2005) bilangan pelajarnya lebih kurang 700 orang, jumlah gurunya 79 orang dan staf sokongannya seramai 20 orang. (Buku Daftar Kedatangan Guru dan Staf Sokongan 2005).    

 

ASRAMA

Sebuah bangunan asrama dua tingkat (lelaki) telah dibina pada tahun 1967. Inilah asrama pertama bagi SMKDSA yang dapat menampung lebih kurang empat puluh orang penghuni. Blok asrama ini terletaknya bersebelahan kantin dan sekarang menjadi bangunan Pusat Sumber Sekolah. Bahagian bawahnya menjadi Dewan Makan dan Bilik Bacaan, manakala tingkat atas ialah bilik tidur pelajar lelaki yang letaknya bersebelahan dengan bilik warden. Warden pertama asrama ini ialah Encik Sobri yang kemudian melanjutkan pelajaran dan lulus sebagai peguam. Pokok asam yang berada di halaman Pusat Sumber Sekolah itu merupakan pokok asam awal yang membesar sejak pembinaan asrama tersebut. Di antara pegawai dan guru-guru awal menjadi penghuni asrama ini ialah En. Salim bin Ramli (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah), En. Abdul Aziz bin Abas (Ketua Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia), En. Abdul Rahman bin Yob (Pengarah Pelajaran Kedah), En. Azizan bin Talib (Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi) dan penulis sendiri (Penolong Kanan Pentadbiran SMKDSA). Pada masa ini pelajar-pelajar asrama yang tidak pulang ke rumah pada hari Jumaat akan bersembahyang di Masjid Lama Arau. (Ingatan melalui pengalaman penulis sendiri).

Asrama Puteri yang letaknya berhampiran dengan Balai Polis Arau telah dibina kemudian iaitu dalam tahun 1985.  Pelajar akan berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam ke sekolah. (Abd. Latif bin Chin, Pembantu Am SMKDSA-temubual pada 3 Mac 2005). Pada tahun 1998 asrama lelaki yang baru telah dibina di tapak sekarang. Asrama ini boleh menampung 100 orang pelajar. Dalam tahun 2004 baru dibina asrama puteri di tapak yang sama. Kini kedua-dua asrama tersebut boleh menerima seramai 150 orang pelajar perempuan. (Pn. Hjh Fitriah Hanafi (Penolong Kanan HEM SMKDSA), Pn Rosnah Md Isa (Pembantu Tadbir SMKDSA -temubual pada 3 Mac 2005)

 

PADANG SEKOLAH

Lokasi awal padang sekolah adalah meliputi kawasan di Dataran Perhimpunan, Dewan Besar SMKDSA, bangunan makmal dan Bangunan Blok Baru. Keluasan padang ini cukup untuk menampung acara sukan dan kejohanan olahraga sekolah. Akibat pembesaran sekolah maka kawasan padang terpaksa digunakan untuk tujuan pembinanan bangunan-bangunan baru dan terpaksa dicari padang baru sebagai gantinya. Padang sekolah sekarang iaitu yang terletaknya di seberang jalan berasal dari kawasan bendang dan tapak kedai dobi dan roti. (Ingatan melalui pengalaman penulis sendiri). Padang yang keluasannya lebih6 kurang 7 ekar ini disiapkan dalam tahun 1975. (Majalah Masarau 1975/76, hlm 9-10). Padang permainan ini dihubungkan dengan sekolah melalui sebuah jejantas untuk pejalan kaki sahaja.

 

PENGETUA

Pengetua-pengetua yang bertugas di SMKDSA sejak tahun 1964:

  1. En. Wan Din bin Che Mat                                     (1.1.1964 - 31.12.64)
  2. En. Abdul Hamid bin Ayob                                   (1.1.1965 - 31.8.1966)
  3. En. Azmi bin Abd. Mutalib                                    (1.9.1966 - 16.6.1970)
  4. En.Harun bin Musa                                               (17.6.1970 - 31.12.1979)
  5. En. Abd Aziz bin Bahador Khan                            (1.1.1980 - 31.12.1981)
  6. Pn. Hjh Dariah bt Saad (Pemangku Pengetua)     (1.1.1982 - 30.6.1982)
  7. En. Othman bin Mat                                             (1.7.1982 - 31.10.1985)
  8. Pn Hjh Dariah binti Saad                                      (1.11.1985 - 31.3.1991)
  9. Tn.Haji Mohd Hashim bin Abd Rahman               (1.4.1991 - 26.8.1997)
  10. En.Noordin bin Hassan                                         (16.1.1998 - 28.2.2000)
  11. Pn. Hjh Temu bt Omar                                          (1.3.2000 - …)          

(Masarau 1976 - 2001)

 

 

REKOD-REKOD KEJAYAAN

Tahun 1982

Kejayaan pelajar jurusan Sains dalam keputusan Peperiksaan SPM, Lai Kok Fung lulus dengan cemerlang 7 agregat dan menjadi penuntut terbaik Negeri Perlis. Kejayaan peserta Kuiz Sains anjuran Bank Arab menggondol hadiah RM2,500.00 beserta sijil kerana mendapat tempat pertama. Puzirah Latif, pelajar Tingkatan 6 Atas mendapat tempat pertama dengan hadiah RM400.00 di dalam peraduan mengarang sempena menyambut Jubli Perak 25 tahun kemerdekaan peringkat Negeri Perlis. Tiga orang pelajar SMKDSA berjaya memenangi tempat pertama hingga ketiga pertandingan mengarang dan melukis sejarah peringkat Negeri Perlis.

Tahun 1987    

Menjuarai Kuiz Ekonomi sekolah-sekolah negeri Perlis dan mewakili negeri Perlis ke Pertandingan Kuiz Ekonomi Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaya. Menjadi juara Pertandingan Pidato Piala Di Raja peringkat negeri Perlis dan  mewakili Perlis ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan. Johan Pertandingan Sepaktakraw dan Badminton peringkat Negeri (MSSPs) dan johan Sofbol serta Hoki Perempuan.

Tahun 1989

Johan Pesta Pantun Perlis selama 3 tahun berturut-turut (89-91)

Tahun 1990

Menjadi naib johan Perbahasan Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Perlis, Piala  Tan Seri Dato' Abd. Rahman Arshad

Tahun 1992

  1. Menjadi johan Pesta Pantun dan naib johan peringkat kebangsaan
  2. Memenangi tempat pertama dalam Puisi Sains peringkat Negeri dan Negara

Tahun 1993

  1. Menjadi johan Sepaktakraw MSSPs Bawah 15 Tahun
  2. Menjadi johan Catur Peringkat MSSPs Bawah 20 Tahun
  3. Menjadi johan Sofbol Peringkat MSSPs Bawah 18 Tahun (L)
  4. Johan Pertandingan Catur Peringkat Negeri Perlis

Tahun 2001

  1. Johan Pertandingan Pidato Pelaburan (Negeri)
  2. Johan Melukis Poster Antidadah Menengah Rendah (Negeri)
  3. Johan Melukis Poster Menengah Atas (Negeri)

Tahun 2002

  1. Johan Pertandingan Pidato Pelaburan (PNB)
  2. Johan Pertandingan Melukis Poster Antidadah Men. Rendah dan Atas
  3. Johan Pertandingan Seni Jauhi Dadah
  4. Johan Kejohanan Skuasy MSSPs Lelaki dan Perempuan
  5. Johan Kejohanan Badminton MSSPs Perempuan Bawah 18 Tahun
  6. Johan Kejohanan Sofbol Lelaki dan Perempuan MSSPs

Tahun 2003

  1. Johan Peringkat Negeri Dan Kebangsaan Kuiz PNB
  2. Johan Peringkat Negeri Hoki Perempuan Bawah 18 Tahun
  3. Johan Bahagian Perempuan Bawah 18 Tahun Badminton MSSPs
  4. Johan Bola Jaring Kawasan Pendidikan Selatan dan naib johan Negeri
  5. Johan Skuasy Peringkat Negeri (MSSPs) Kategori Individu

Tahun 2004

  1. Johan Hoki Perempuan Bawah 18 Tahun (Negeri)
  2. Johan Kuiz PNB Negeri dan tempat Ketiga Peringkat Kebangsaan

TOKOH

Sesungguhnya SMKDSA telah banyak melahirkan tokoh-tokoh kenamaan Negara yang cemerlang lagi terbilang. Nama-nama tokoh yang tersohor ini sama ada masih berkhidmat atau telah pun bersara, cuma dapat disiarkan sebahagian kecil sahaja sebagai teladan dan iktibar kepada umum dan anak-anak yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang.

Di antaranya ialah:

  1. YAB Dato' Seri Shahidan bin Kassim, Menteri Besar Perlis
  2. Dr. Abd Rahman bin Daud, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) dan Pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
  3. Dr. Basir bin Jasin, Professor di Jabatan Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia
  4. En. Yusof bin Abd Rahman, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Jerlun, Kedah
  5. En. Azib bin Saad, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri N11 Pauh, Perlis
  6. En. Mahzan bin Bakar, Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia
  7. En. Salleh bin Hassan, Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) dan bekas Pengarah Jabatan Pelajaran, Melaka
  8. En. Abd Rahman bin Yob, Pengarah Pelajaran Kedah
  9. Tn. Hj. Ramli bin Desa, bekas Pengarah Maktab Perguruan Perlis
  10. Hj. Azni bin Man, Pengetua Sek. Men. Keb. Sanglang
  11. En. Khalid bin Dan, Pengarah Kolej Matrikulasi Arau
  12. En. Abdul Aziz bin Abas, Ketua Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia
  13. En. Ahmad bin Md. Isa, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Perlis
  14. En. Abdul Wahab bin Ismail, Ketua Sektor Perkhidmatan Pelajaran, merangkap Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis
  15. En. Salim bin Ramli, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Perlis
  16. Tn. Hj. Azizan bin Talib, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Perlis
  17. Pn. Hjh. Amra bt Md. Amin, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Perlis
  18. En.Azizan bin Nayan, KPP Unit Pembangunan Sekolah, Jabatan Pelajaran Perlis
  19. Pn. Siti Aishah bt Jasin, Pengetua Sekolah Menengah Dato' Syed Omar, Alor Star, Kedah
  20. Pn. Azizah bt Salam, bekas Pengetua SMK Kepala Batas, Alor Star, Kedah
  21. Tn. Hj. Azhar bin Ismail, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Arau
  22. En Rosli bin Pin, bekas Pengetua SMK Ibrahim, Kedah
  23. En. Zakaria bin Jap, bekas Pengarah Pelajaran Perlis. (Temubual dengan En. Salim bin Ramli, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Perlis - 6 Jan 2005)

 

RUJUKAN

  1. Majalah Masarau 1978-2004
  2. Draf Sekolah - sekolah Negeri Perlis, Jabatan Pelajaran Perlis
  3. Buku cenderamata Expo Pembangunan Islam, Percetakan Perlis, 1980

 

TEMUBUAL

  1. En. Salim bin Ramli, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan  Pelajaran Perlis
  2. Pn. Hjh. Temu bt Omar, Pengetua Sekolah Menengah Dato' Sheikh Ahmad
  3. Pn. Hjh Fitriah bt Hanafi, Penolong Kanan HEM SMKDSA
  4. Pn. Rosnah Md Isa, Pembantu Tadbir SMKDSA
  5. En. Mazni bin Hassan, Pembantu Am SMKDSA
  6. En. Abd Latif bin Chin, Pembantu Am SMKDSA
  7. Tn. Hj. Ismail bin Idris @ Abdullah, JKKK Kampung Tok Naya
  8. En. Hussin bin Md Hassan, bekas pekerja SMKDSA
  9. En. Loo Lian Chai, Setiausaha peperiksaan SMKDSA

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005