Accessibility Tools

SEJARAH PENEROKAAN LADANG TEBU DI PERLIS

SEJARAH PENEROKAAN LADANG TEBU DI PERLIS

Oleh : SHUKOR BIN MAT

Ladang tebu di Chuping Perlis terkenal dengan air minumnya yang sedap dan rasa puas apabila diminum. Pada peringkat awal penerokaannya ramai orang dari dalam dan luar Perlis yang pergi ke ladang tersebut semata-mata untuk mengambil air minumannya. Sekarang rasa air itu tidak lagi sedap seperti dahulu, mungkin faktor penggunaan racun dan penebangan pokok-pokok besar yang mengakibatkan penapis  air asal musnah.

Menurut maklumat yang diberikan oleh peneroka-peneroka ladang tebu, pada waktu awal penerokaannya air yang jernih keluar di celah-celah batu yang menjadi denai laluan pejalan kaki. Kesan laluan dan hakisan air pada batu-batu menjadikan batu-batu ladang berbentuk bulat, licin dan berbagai saiz dan warna yang menyebabkan ia digemari orang. Batu-batu ini diambil orang untuk dijadikan batu hiasan di kawasan tanaman pokok bunga.

Kampung asal di persekitaran hutan yang menjadi ladang tebu sekarang ini ialah Kampung Prob Bua yang diketuai oleh Tok Eno. Kampung ini mempunyai 16 buah rumah, kemudian berkurangan menjadi 12 buah dan menjelang tahun 1948 tinggal 8 buah sahaja kerana terjadi darurat. Lokasinya lebih kurang 5 batu daripada sempadan Thailand. Penduduk di Kampung Prob Bua di masa darurat berjumlah lebih kurang antara 20 hingga 40 orang. Pada masa ini penduduk di Kampung Kok Klang iaitu kampung yang berhampiran dengan jalan masuk ke ladang tebu berjumlah lebih kurang 100 orang. Orang-orang perempuan Kampung Kok Klang pada masa ini masih lagi memakai kain ikat di pinggang ketika berjalan (kain ketang kedada) yang sekali pandang seperti kaum wanita orang-orang asli. (Haji Hassan bin Haji Kassim, bekas pegawai polis sebelum merdeka, Kampung Batu Bertangkup, Perlis-temubual pada 28/11/2004).

Terdapat sebuah kawasan yang dipanggil Batu Arang berhampiran Kampung Prob Bua. Kawasan ini mempunyai arang batu di dalam sungai. Terdapat alat mesin untuk mengeluarkan arang batu yang telah ditinggalkan. Pada masa tersebut Haji Hassan telah ditugaskan bersama-sama Tuan Smith untuk menjaga keselamatan kawasan tersebut. Turut bersama di dalam pasukan keselamatan itu ialah Tok Johor, Mat Deris dan Sharif. Mereka semua adalah orang Johor yang diketuai oleh Che Mat Johor. (Haji Hassan bin Haji Kassim-temubual).

Ladang tebu mula diterokai pada tahun 1967 iaitu semasa Dato' Sheikh Ahmad menjadi Menteri Besar Perlis.
Tahun-tahun 1962-1963 adalah masa perintis iaitu peringkat permulaan ke arah pembentukan sebuah ladang tebu.

Tok Eno yang menjadi Ketua Kampung Prob Bua, keluar ke Mata Air atau ke Kampung Kok Klang untuk mencari makanan seperti ikan kering dan sebagainya secara berjalan kaki bersama-sama dua atau tiga orang kawan menggunakan denai binatang-binatang buas dan melalui Pintu Gerbang Raja Bersiung yang lokasinya berada di kawasan ladang tebu. (Haji Hassan bin Haji Kassim-temubual).

Di antara Kampung Prob Bua dengan Kampung Kok Klang terdapat satu tempat bernama Alor Keladi yang mempunyai sebuah balai polis. Balai polis ini telah dipindahkan ke Balai Polis Mata Air sekarang, manakala balai polis Wang Prachan dipindahkan ke Balai Polis Kaki Bukit sekarang. Balai Polis Lubuk Sirih dipindahkan ke Padang Besar. (Haji Hassan bin Haji Kassim-temubual).

Ladang tebu mula diterokai pada tahun 1967 iaitu semasa Dato' Sheikh Ahmad menjadi Menteri Besar Perlis. Tahun-tahun 1962-1963 adalah masa perintis iaitu peringkat permulaan ke arah pembentukan sebuah ladang tebu. Hal ini jelas sekali seperti yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Sheikh Ahmad, bekas Menteri Besar Perlis di dalam bukunya Sejarah Tan Sri Sheikh Ahmad (tidak diterbitkan) seperti berikut:

"Rancangan Perusahaan Tanaman Tebu dan Kilang Simen akan termasuk di daerah Perlis Utara…."(Sejarah Tan Sri Sheikh Ahmad, hlm 53).

Tebu menjadi tanaman kedua penting di Perlis selepas padi. Tanaman tebu meliputi kawasan seluas 8,143 hektar (20,107 ekar). Pada tahun 1980 Perlis telah menghasilkan 32,961 tan gula bernilai RM37 juta, (Perlis Giat Membangun, hlm 2).

FELDA (Federal Land Development Authority) Unit Tebu, Chuping telah berjaya membuat penempatan kepada 450 orang peneroka tanaman tebu. Mereka telah diberi kemudahan jalan raya bertar (Jalan Kok Klang dan Jalan FELDA Tebu) sejauh 16 kilometer (10 batu) berharga RM2.3 juta yang telah siap dibina dalam tahun 1980 an. Selain daripada itu telah dibina sebuah sekolah rendah, sebuah masjid, sebuah tadika, sebuah balairaya dan sebuah klinik desa. (Perlis Giat Membangun, hlm 8).

Peneroka-peneroka FELDA Unit Tebu mempunyai dua sumber pendapatan, iaitu pendapatan daripada upah kerja di ladang dan dividen selepas ditolak segala perbelanjaan ladang. Pada tahun 1978 upah kerja dan dividen sebulan ialah RM381.00 manakala dalam tahun 1979 upah kerja dan dividen bulanannya menjadi RM326.00. (Perlis Giat Membangun, hlm 8).

Terdapat beberapa faktor utama yang telah mendorong kerajaan mengkaji dasar ekonomi negara yang berkait rapat dengan perusahaan penanaman tebu di Perlis. Terutama sekali dasar politik dan ekonomi yang ditunjukkan oleh negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Soviet Union ketika itu, sentiasa menekan negara-negara kecil. Mereka membeli barangan mentah seperti bijih timah dan getah untuk disimpan dengan banyak sekali di dalam stok simpanan dan akan menjualkannya apabila harga melambong tinggi. Gelagat kedua-dua kuasa besar ini juga mendapat perhatian dan tindak balas daripada negara-negara kecil seperti Malaysia yang telah melancarkan dasar mempelbagaikan pertanian. Dasar ini menggalakkan penanaman tanaman wang seperti kelapa sawit, tebu, tembakau dan lain-lain tanaman wang yang boleh digunakan di dalam negeri bagi mengurangkan pergantungan kepada barangan impot.

Faktor yang menjadi pemangkin utama lahirnya penanaman tebu gula di Perlis ialah bila harga gula di pasaran dunia melambung naik daripada RM338.40 satu tan dalam tahun 1963 kepada RM693.20 satu tan dalam tahun 1973. ini menunjukkan peningkatan harga gula sebanyak 105% dalam masa 10 tahun, iaitu menandakan dunia dilanda inflasi. Oleh yang demikian kerajaan cuba meluaskan kaedah mempelbagaikan tanaman dengan memasukkan tanaman tebu gula di dalam penanaman tanaman wang. Pejabat-pejabat pertanian negeri telah diarahkan supaya membuat percubaan menanam tebu gula. Pakar-pakar pertanian daripada Rancangan Colombo 1963 yang telah dikendalikan oleh kerajaan Australia telah membantu Malaysia membuat kajian mendalam mengenai kemungkinan menjalankan perusahaan tebu gula di Malaysia. Keputusannya di dapati dalam tahun 1965 iaitu hanya negeri-negeri Perlis, Kedah dan Kelantan sahaja yang sesuai dengan tanaman tebu gula mengikut kesesuaian iklim dan tanah-tanih. Mereka juga telah memberikan pandangan bahawa tiap-tiap ladang tebu yang bermutu hendaklah luasnya tidak kurang daripada 20,000 ekar yang boleh menghasilkan lebih kurang 60,000 tan metrik gula bagi pasaran tempatan. (Perlis Sugar Project, hlm 1).

 

Panorama ladang tebu di Chuping, Perlis

 

Jawatankuasa kajian tersebut juga memberikan cadangan supaya pekebun-pekebun kecil yang dikendalikan oleh badan-badan kerajaan seperti FELDA sewajarnya terlibat 50% di dalam projek gula tersebut. (Perlis Sugar Project, hlm 2).

Selain daripada kesesuaian iklim, terdapat beberapa sebab utama lain mengapa Chuping dipilih untuk projek tebu. Pertama ialah untuk menggalakkan perusahaan dibangunkan di kawasan luar bandar. Kedua, supaya pekerjaan dapat diagih-agihkan kepada penduduk tempatan. Ketiga, bertujuan menyekat pengaliran wang keluar negara dan sebab akhir, dengan adanya projek tebu ini secara tidak langsung boleh mengukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan negara. (Perlis Sugar Project, hlm 2).

Projek Gula Perlis melibatkan tiga organisasi, iaitu Perlis Plantation Bhd. (PPB), Unit Tebu FELDA (UTF) dan Kilang Gula FELDA Perlis Sdn. Bhd. (KGFP). Perlis Plantation Berhad ialah sebuah syarikat swasta yang ditubuhkan untuk memajukan penyelidikan tebu setelah usaha tersebut berjaya dijalankan oleh pegawai-pegawai penyelidik di Bukit Temiang, Perlis. Manakala Unit Tebu FELDA menjadi sebuah badan yang ditugaskan membuka tanah-tanah baru untuk penanaman tebu. Kilang Gula FELDA menjadi sebuah badan yang ditugaskan membuka tanah-tanah baru untuk penanaman tebu. Kilang Gula FELDA merupakan kilang bersepadu dan kilang pembersih gula utama dengan Pengurus Besarnya dilantik oleh FELDA. (Kebedaan Pendapatan Pekerja-pekerja Unit Tebu FELDA Chuping Perlis, hlm. 6-7).

Kilang Gula Perlis Sdn. Bhd. didirikan pada 26 Mei 1971 sebagai projek usahasama antara
Perlis Plantation dan FELDA yang masing-masing mempunyai modal berbayar 
sama rata 50:50.

PPB adalah sebuah syarikat swasta yang ditubuhkan dalam tahun 1968. Kini PPB terlibat dalam penanaman tebu di kawasan seluas 4,350 hektar (10,000 ekar). Syarikat ini mengendalikan projek tebu berasaskan estet. Di samping mengendalikan berbagai tugas mekanikal, syarikat ini juga membekalkan buruh tempatan di kebanyakan kawasan penanaman tebu. PPB juga bertugas mendapatkan tenaga buruh dari Thailand bagi menebang tebu pada musim menebang yang berlangsung sehingga lima bulan bagi setiap tahun. (Perlis Sugar Project, hlm. 3).

Unit Tebu FELDA telah dibentuk dalam tahun 1971 apabila FELDA menawarkan lebih kurang 4,046 hektar (10,000 ekar) tanah untuk penanaman tebu. Kini FELDA telah menanam tebu seluas 3,790.7 hektar (9,746 ekar) di Perlis dan 1,254.1 hektar (3,224 ekar) di Laka, Kedah. Keseluruhan kawasan bertanam tersebut berjumlah 5,044.8 hektar (12,970 ekar). Projek tebu FELDA adalah bergantung kepada 'share-basis' dan sistem kontrak. Kini terdapat sejumlah 447 keluarga peneroka yang sekarang ini tinggal di FELDA iaitu di perkampungan seluas 271 hektar (670 ekar), sejak tahun 1977. (Perlis Sugar Project, hlm. 3-4).

Kilang Gula Perlis Sdn. Bhd. didirikan  pada 26 Mei 1971 sebagai projek usahasama antara Perlis Plantation dan FELDA yang masing-masing mempunyai modal berbayar sama rata 50:50. (Perlis Sugar Project, hlm. 4). Kilang yang berharga RM 30 juta ini siap dibina dalam tahun 1972 dan dibina di tengah-tengah kawasan ladang untuk mengimbangkan kos pengangkutan bagi Unit Tebu FELDA dan Perlis Plantation Bhd. (Kebedaan Pendapatan Pekerja-pekerja Unit Tebu FELDA Chuping Perlis, hlm. 7). Tugas utama kilang ini ialah memproses tebu-tebu yang ditebang daripada Perlis Plantation Bhd. dan Unit Tebu FELDA. Sungguhpun demikian, sejak tahun 1981 syarikat ini juga mengimpot dan memproses gula mentah untuk pasaran tempatan (Perlis Sugar Project, hlm. 4).

Unit Tebu FELDA telah menanam tebu gula di kawasan seluas 9,400 ekar daripada 10,000 ekar yang diperuntukkan. Selebihnya iaitu 600 ekar adalah kawasan paya yang tidak sesuai untuk tanaman tebu gula. (Kebedaan Pendapatan Pekerja-pekerja Unit Tebu FELDA Chuping Perlis, hlm. 7).

Tebu gula ditebang setelah berumur 10-13 bulan, Ini bergantung kepada jenis-jenis tebu yang ditanam . Tebu gula melebihi tebu-tebu lain kerana ia ditanam sekali sahaja dan boleh ditebang antara 4 hingga 5 kali. Ini menunjukkan bahawa tebu gula ditanam sekali sahaja dalam jangka masa 4 atau 5 tahun. Selepas pokok tebu gula yang tua ditebang, tunas dan anak tebu tersebut dijaga semula sehingga setelah cukup tua boleh ditebang lagi dan seterusnya sehingga tunas-tunas tebu itu tidak subur barulah dibajak dan ditanam semula. Tebu yang ditanam di Perlis mengandungi lebih kurang 17% kandungan gula. (Kebedaan Pendapatan Pekerja-pekerja Unit Tebu FELDA Chuping Perlis, hlm. 7-10).

Pada mulanya kerja mengangkut tebu ke kilang dijalankan oleh kilang sendiri dengan kos RM7.50 setiap tan, tetapi mulai musim memotong tebu tahun 1976/77 FELDA menjalankan pengangkutan sendiri secara memberi 50% kelengkapan pengangkutan kilang kepada anak syarikatnya ANGKUT iaitu anak syarikat FELDA yang mengangkut susu getah dan minyak ke pelabuhan. Kos mengangkut adalah sama iaitu RM7.50 bagi setiap tan. (Kebedaan Pendapatan Pekerja-pekerja Unit Tebu FELDA Chuping Perlis, hlm. 14).

Pada keseluruhannya Projek Tebu Perlis telah membuka 4,000 peluang pekerjaan, terutama sekali pada musim menebang tebu antara bulan Januari hingga Februari yang melibatkan tenaga kerja yang besar sehingga 2,125 orang. (Perlis Sugar Project, hlm. 5).

Unit Penyelidikan Pertanian telah dibentuk pada tahun 1977 oleh tiga pengusaha bersepadu ini (PPB, UTF dan KGF). Tujuan utama unit ini ialah menghasilkan benih tebu gula bermutu. Objektif kedua ialah mencari kaedah mencegah dan mengawal penyakit tebu dan serangga perosak tebu. Ketiga, bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perusahaan tebu. Tujuan berikutnya ialah menghasilkan benih tebu baru yang  berkualiti. Matlamat akhir unit ini ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan teknikal kepada Perlis Plantation Bhd. dan Unit Tebu Felda. (Perlis Sugar Project, hlm. 6).

Kilang Gula FELDA Perlis (KGFP) telah memulakan operasinya pada tahun 1973 dengan mengeluarkan 2,000 tan gula sehari.

Teknik pengairan terkini telah diperkenalkan untuk mengatasi masalah pertumbuhan tebu pada musim kering di samping mengekalkan kesuburan tanah. Satu perjanjian jangka panjang (1982-1986) telah dimeterai dengan kerajaan Queensland, Australia bagi mendapatkan nasihat mengenai perusahaan gula tempatan di dalam berbagai aspek teknikal. Selepas itu dalam tahun 1987 dan 1990 telah dimeterai perjanjian dengan Taiwan dan Hawaii untuk kerja-kerja penyelidikan benih dan pengkajian tanah. (Perlis Sugar Project, hlm. 7).

Tebu yang dibekalkan oleh Perlis Plantation Bhd. dan Unit Tebu FELDA dibawa ke kilang untuk diproses menjadi cecair, gula mentah dan akhirnya sebagai gula bersih yang dibungkus di dalam beg seberat 50 kilogram, siap untuk dipasarkan. Kilang Gula FELDA Perlis (KGFP) telah memulakan operasinya pada tahun 1973 dengan mengeluarkan 2,000 tan gula sehari. Pengeluarannya ditingkatkan kemudian pada tahun 1998/99 iaitu memproses sejumlah 689,720 tan tebu dan menghasilkan kira-kira 4,624 tan gula sehari. Pengeluaran gula bertapis telah meningkat sejak tahun 1982/83. Bagi operasi seterusnya pemerosesan gula tebu dipertingkatkan lagi pada tahun 1999 yang boleh menghasilkan 51,448 tan gula bersih daripada 689,720 tan tebu. (Perlis Sugar Project, hlm. 7-8). Sejak tahun 1981, kerajaan telah memberikan kelulusan kepada Kilang Gula FELDA untuk mengimport gula mentah daripada Queensland, Australia dan daripada pasaran dunia. (Perlis Sugar Project, hlm. 9).

Pembukaan ladang tebu menjadi satu rahmat Allah yang tidak terkira banyaknya kepada penduduk Perlis dan Malaysia. Di samping menjadi pusat pengeluaran gula bersih utama di Malaysia, ia juga menjadi tempat untuk mendapatkan sumber air mineral yang lazat dan bersih. Selain daripada itu, Ladang Tebu Chuping menjadi sumber utama bagi menarik pelancong-pelancong melawat Perlis. Walaupun selalu disebutkan orang, FELDA Chuping tetapi kawasan penanaman tebu di Mukim Chuping itu juga termasuk ke dalam Mukim Padang Siding dan Mukim Titi Tinggi. (Buku Cenderamata Expo Pembangunan Islam, 1980).

 

RUJUKAN

  1. Perlis Sugar Project (tiada nama pengarang, tiada tarikh dan tidak diterbitkan).
  2. Ku Md Saad bin Ku Mat, Mini Tesis Sarjana Muda Ekonomi 1977.
  3. Lily Goh, Perlis Giat Membangun, Kuala Lumpur, 1982.
  4. Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim, Sejarah Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim Menteri Besar Perlis (tidak diterbitkan).
  5. Buku Cenderamata Expo pembangunan Islam, 1980, Percetakan Perlis, Kangar.
  6.  

TEMUBUAL

Haji Hassan bin Haji Kassim, 84 tahun, pesara polis, berasal dari Kampung Utan Aji, Kangar dan sekarang tinggal di Kampung Batu Bertangkup, Chuping, Perlis

  • Temubual pada 28/11/04

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005