KAMPUNG KUBANG TIGA
Oleh : ALWI SUDIN
Kampung Kubang Tiga terletak dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Chuping dan Kawasan Parlimen Padang Besar, negeri Perlis Indera Kayangan. Kampung ini terletak kira-kira tiga puluh kilometer arah utara Bandar Kangar iaitu ibu negeri Perlis. Pekan terdekat dengan Kampung Kubang Tiga ialah Padang Besar, iaitu bandar di sempadan antara negeri Perlis dengan negara Thai. Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan kampung ini tidak ada jalan raya yang membolehkan penduduknya bergerak ketempat lain dengan motokar, bas dan sebagainya. Perhubungan kampung ini dengan dunia luar hanyalah melalui jalan kereta api, jalan basikal atau berjalan kaki. Kampung ini boleh dianggap sebagai sebuah tasik yang dilingkungi oleh pepohon hutan belantara yang menghijau.
Pada ketika ini telah wujud beberapa kampung yang bersempadan dengan Kampung Kubang Tiga. Di sebelah selatannya adalah Kampung Batu Bertangkup, utara dan di sebelah timur ada Ladang Tebu Chuping, manakala di bahagian timurnya ialah jalan kereta api dan Kampung Semadong. Keseluruhan kampung tersebut adalah dianggarkan empat kilometer persegi.
NAMA KUBANG TIGA
Kewujudan penempatan atau kampung terawal khususnya di Perlis lazimnya di pinggiran sungai atau tasik yang menjadi punca air, sebagai jalan perhubungan dan untuk menangkap ikan sebagai sumber rezeki. Tetapi kewujudan kampung Kubang Tiga ini agak terkeluar dari kelaziman atau kebiasaan yang disebutkan tadi, di kampung ini tidak terdapat saliran air atau sungai atau tasik. Menurut keterangan yang disampaikan oleh En. Eudin Eruang a/l Eudin Room, yang menjadi Ketua Orang Siam atau dikenali sebagai 'Naiban' di Kampung Kubang Tiga, menyatakan, pada masa dahulu terdapat sebatang jalan gajah yang lebar menjadi laluan utama dari Muang Saiburi (Kedah) ke wilayah-wilayahnya di utara iaitu Muang Satun (Setul), Songkhla, Chana (Chenak) dan lain-lain. Dan laluan ini yang terpentingnya ialah untuk ke pelabuhan Singgora dalam Wilayah Songkhla bagi meneruskan perjalanan ke Kota Bangkok, Thailand. Di mana ketika itu, iaitu pada abad ke 16, 17, 18 dan 19 hubungan diantara Siam dengan Kedah (Saiburi) berada pada tahap yang tidak menentu kerana perubahan-perubahan politik yang sering berlaku di negara Siam.

Kedudukan Negeri Perlis sebelum tahun 1909
Pada tahun 1843 Maung Polit (Perlis) telah menjadi sebuah negeri berasingan dan bukan lagi sebahagian dari jajahan negeri Kedah. Justeru demikian Tuan Syed Hussin Jamalullail yang menjadi Gabenor Perlis dewasa itu telah dilantik dan ditabal menjadi Raja negeri Perlis yang pertama. Walaupun Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat namun ianya masih lagi dibawah naugan Raja Siam. Sebagai tanda persahabatan dan hormat, Kerajaan Siam meminta Raja Perlis menghantar 'Bunga Emas' tiap-tiap tiga tahun sekali sebagai ufti. Bunga Emas yang pertama di hantar ke Kota Bangkok, Siam ialah pada tahun 1845. Dalam hal ini En. Eudin Eruang memberitahu 'Rombongan Bunga Emas Raja Syed Hussin Jamalullail, Raja Perlis pertama mengguna jalan gajah yang disebut tadi. Rombongan bertolak dari Istana Arau, diketuai oleh Penghulu Bunga Emas, diiringi oleh kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar negeri serta beberapa orang panglima serta pembawa bendera. Dari Arau dengan menaiki gajah, rombongan ini melalui Chuping, Panggas dan berhenti rehat dan bermalam di Kubang Tiga (sekarang). Dalam rombongan tersebut turut serta ialah Thuat Khunpithak ('Khunpithak' sama seperti 'Syed' bagi orang melayu) iaitu 'moyang' kepada En. Eudin Eruang, beliau ditugas sebagai pembawa bendera dan berjalan dihadapan gajah yang membawa

Lokasi Kampung Kubang Tiga
'Bunga Emas'. Semasa berhenti di tempat persinggahan (Kubang Tiga sekarang) salah seorang dari ahli rombongan bertanyakan nama tempat tersebut, tetapi tidak seorang pun yang dapat memberitahu namanya. Oleh sebab berhampiran dengan tempat mereka berhenti terdapat tiga buah kubang badak yang besar, Penghulu Bunga Emas mencadangkan supaya tempat tersebut dinamakan 'Kubang Tiga', ahli rombongan semuafakat dan amat bersetuju dengan nama tersebut. Dan selepas itu setiap orang yang lalu lalang memanggil tempat tersebut Kubang Tiga dan akhirnya nama tersebut telah diterima pakai dan kekal hingga ke hari ini. Demikianlah timbulnya atau bagaimana asal-usul terbentuknya nama 'Kubang Tiga'. Rombongan tersebut akan meneruskan perjalanan mereka sehinggalah sampai ke pelabuhan Singora, dari Singora rombongan ini akan berlayar ke Kota Bangkok untuk mempersembahkan Ufti Bunga Emas kepada Raja Siam.
PEMBUKAAN KAMPUNG KUBANG TIGA
Pada permulaannya Kampung Kubang Tiga merupakan tempat pedagang-pedagang dan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut (Jalan Gajah) singgah makan dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan mereka ke utara atau selatan. Tidak ada orang yang tinggal di kawasan tersebut sehinggalah kepada tahun 1840-an. Mengikut keterangan En. Eudin Eruang setelah moyangnya dilantik sebagai orang istana ia sering dititah oleh Tuanku Raja Perlis melaksanakan pelbagai tugas dan terpaksa berulang-alik dari kampungnya di Songkhla ke Istana di Arau. Justeru kesukaran perjalanan dan memakan masa yang lama, akhirnya moyangnya 'Thuat Khunpithak' bermuafakat dengan adik-beradiknya untuk mencari tempat di Negeri Perlis untuk mereka tinggal bagi memudahkan urusannya dengan Tuanku Raja.
Oleh sebab berhampiran dengan tempat mereka berhenti terdapat tiga buah kubang badak yang besar,
Penghulu Bunga Emas mencadangkan supaya tempat tersebut dinamakan 'Kubang Tiga',
ahli rombongan semuafakat dan amat bersetuju dengan nama tersebut.
Setelah bertenung dan bertilik, melihat baik, buruk, untung dan malang, maka Thuat Khunpithak dan adik-adiknya Thuat Nan Khunpithak, Thuat Miang Khunpithak dan ahli keluarga mereka beserta beberapa orang pengikutnya bertolak ke Perlis melalui 'Jalan Gajah' menuju ke 'Kubang Tiga', hasrat mereka untuk membuka perkampungan baru di kawasan tersebut. Setelah sampai ke Kubang Tiga, rombongan Thuat Khunpithak mengadakan upacara menghalau dan memohon kepada penunggu (makhluk halus) supaya tidak mengganggu mereka, harta benda serta tanaman mereka. Apabila semuanya sempurna dilakukan mereka pun mendirikan rumah untuk terus menetap di situ. Dengan itu terbinalah sebuah perkampungan orang-orang Siam di Kubang Tiga. Penduduk kampung ini dari hari ke hari semakin bertambah rumah yang pada awalnya hanya sembilan buah kini menjadi lebih dari seratus buah.

Wat Siam Kampung Kubang Tiga
Menurut cerita En. Rat a/l Eudin Eruang semasa awalnya pembukaan kampung ini hanya terdapat sembilan keluarga, semuanya orang Siam dan berasal dari Songkhla boleh dikatakan semua keluarga kepada Thuat Khunpithak, tetapi hari ini penduduknya telah meningkat dan perkampungan semakin luas. Kampung ini sama seperti kampung-kampung lain di Negeri Perlis Indera Kayangan ini, mendapat layanan yang baik dari pihak kerajaan, tegas En. Rat. Seterusnya En. Eudin Eruang menambah, di kampung ini terdapat empat buah bukit iaitu Bukit Sami, Bukit Kepala Licin, Bukit Kapur dan Bukit Kerengga, keempat-empat bukit ini merupakan mercu tanda bagi Kampung Kubang Tiga. Menurut En. Rat, Bukit Sami dinamakan demikian kerana di Bukit inilah tempat tinggal 'Sami' sebelum Wat yang ada sekarang dibina. Bukit Kepala Licin pula diberi nama begitu kerana di bahagian puncaknya (Kepala Bukit) hanya gondol atau licin kerana tidak ditumbuhi oleh sebarang tumbuh-tumbuhan. Dengan keadaan tersebut, orang-orang di sini memanggilnya Bukit Kepala Licin sementara Bukit Kapur pula disebut demikian kerana bukit ini terbina dari batu-batu kapur dan dari jauh kita dapat melihat warna putih di beberapa bahagian bukit tersebut. Bukit yang keempat ialah Bukit Kerengga, bukit ini dinamakan demikian kerana bentuknya seperti badan kerengga, ia mempunyai dua puncak, ditengah-tengahnya rendah dan genting. Demikianlah keadaan dan suasana Kampung Kubang Tiga pada masa kini.

Kubur Thuat Khunpithak (kanan) orang yang membuka Kampung Kubang Tiga, isterinya (tengah), dan anaknya (kiri).

En. Eudin Eruang A/L Eudin Room, generasi keempat dari keluarga Thuat Khunpithak - Kini menjadi Ketua Kampung Kubang Tiga
PENDUDUK
Mengikut bancian yang dibuat oleh En. Rat a/l Eudin Eruang, Penolong Ketua Kampung Kubang Tiga, pada tahun 2002, bilangan penduduk di kampung tersebut adalah seramai 970 orang semuanya terdiri dari orang Siam. Menurut En. Rat, pada tahun 2005 penduduk kampung ini dianggarkan melebihi 1000 orang. Mengenai rumah pula En. Rat memberitahu, semasa beliau membuat bancian pada tahun 2002 terdapat sebanyak 134 buah rumah, dan kini dianggarkan telah mencecah hampir 150 buah. Seterusnya En. Rat menjelaskan, kebanyakan rumah-rumah lama telah digantikan dengan rumah-rumah batu atau separuh batu.

En. Rat A/L Eudin Eruang, Penolong Ketua Kampung
Corak hidup komuniti Siam di Kubang Tiga telah banyak berubah dan sealiran dengan kemajuan yang dicapai oleh negara. Namun demikian mereka masih lagi mengamal dan mempertahan kebudayaan tradisional yang diwarisi daripada nenek-moyang mereka turun-temurun. Bahasa basahan seharian mereka adalah bahasa Siam, namun begitu sebilangan besar dari komuniti Siam di kampung ini boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan sebilangannya amat fasih berbahasa Melayu. Dalam hal ini En. Surin menambah, bahasa Siam di sini 'bahasa Siam kampung' tidak sama dengan bahasa Siam di Bangkok, tetapi boleh difahami sedikit sebanyak bahasa percakapan orang Siam di sana.
PEKERJAAN PENDUDUK
Seperti mana orang-orang Melayu di kampung-kampung lain orang Siam di Kampung Kubang Tiga ini juga ekonominya adalah bergantung harap kepada pertanian. Peringkat awal kehadiran orang-orang Siam ke sini tumpuan mereka ialah menanam 'padi huma' atau di sebut juga 'padi bukit', sawah padi ketika itu belum lagi meluas seperti sekarang ini. Untuk melaksanakan penanaman padi huma ini, langkah pertama ialah menebas dan memugar kawasan hutan belantara bagi dijadikan huma. Kerja ini sukar dan mengambil masa yang panjang serta merbahaya. Justeru demikian biasanya beberapa orang penduduk akan bermuafakat dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan hutan secara berderau, Berderau bermaksud mereka akan membuat kumpulan empat atau lima orang bekerja bersama menyiap huma secara bergilir-gilir. Setelah huma atau ladang dibersihkan, maka kerja-kerja menukal padi mulalah dilakukan. Kerja-kerja menukal padi ini biasanya dilakukan bersama antara suami dan isteri, si suami akan melakukan kerja-kerja menukal atau membuat lubang pada tanah dengan menggunakan sebatang kayu yang ditajamkan hujungnya, manakala si isteri akan memasukkan biji benih padi dan menimbusnya kembali. Padi huma ini perlu dijaga dengan rapi, sementara menanti padi besar dan mengeluarkan hasil, para petani akan membuat kerja-kerja sampingan di huma tersebut dengan menanam bermacam jenis sayur-sayuran serta jagung untuk dimakan sebelum mendapat hasil dari padi huma, seperti kata perumpamaan Melayu, "Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak". Padi huma boleh dituai dalam jangka masa empat ke lima bulan. Huma atau ladang ini akhirnya dibuat petak-petak sawah dan dijadikan sawah padi bagi mengganti penanaman 'padi huma' atau 'padi bukit'. Padi sawah lebih senang diusahakan dan cepat memperolehi hasil jika dibandingkan dengan padi huma. Walaubagaimanapun bagi kawasan tinggi yang sukar menakungi air mereka terpaksa meneruskan kerja-kerja penanaman padi huma sehinggalah tanaman getah mengambil alih pada awal abad ke 20.

TUKAL
Diperbuat daripada kayu bulat panjangnya lebih kurang 2 m.
Selain dari kerja-kerja menanam padi mereka juga membuat kerja-kerja sampingan seperti menanam sayur-sayuran, menanam tembikai serta menternak kerbau, lembu, kambing dan ayam-itik. Setelah ladang tebu dibuka pada tahun 1973, ramai penduduk Kampung Kubang Tiga yang mendapat pekerjaan di ladang dan juga di Kilang Gula, yang kebetulan terletak berhampiran dengan kampung mereka. Kesimpulannya taraf ekonomi dan corak hidup masyarakat Siam di Kampung Kubang Tiga adalah seiringan jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain khasnya di Negeri Perlis Indera Kayangan ini.
PELAJARAN
Sebelum tahun 1972, tidak terdapat sekolah rasmi yang didirikan oleh kerajaan bagi menampung pembelajaran kanak-kanak di Kampung Kubang Tiga. Sebilangan kecil sahaja kanak-kanak di kampung ini yang diusahakan oleh ibu bapanya menghantar anak-anak mereka belajar ke sekolah terdekat iaitu Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi melalui jalan kereta api. Lantaran kerana tidak ke sekolah, ramai kanak-kanak di Kampung Kubang Tiga menjadi 'buta huruf'. Apabila negara kita Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pelbagai dasar dan perubahan telah dibuat. Perubahan pada dasar pelajaran begitu ketara, kurikulum pelajar telah diubah, bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan negara. Dasar Pelajaran Razak diperkenalkan dan penekanan diberi terhadap peri pentingnya kanak-kanak diberi ilmu pengetahuan. Namun demikian dalam arus gelombang pembangunan era merdeka ini Kampung Kubang Tiga tidak juga memperolehi sekolah yang amat diharapkan oleh penduduk setempat. Menurut kata En. Eudin Eruang kerajaan tidak membina sekolah di sini ketika itu kerana bilangan muridnya terlalu kecil iaitu hanya kira-kira tidak sampai dua puluh orang dan tiada jalan perhubungan.
Walaubagaimanapun penduduk Kampung Kubang Tiga merasa lega bila mana pada tahun 1960-an Kerajaan Perikatan yang memerintah Persekutuan Tanah Melayu memperkenalkan 'Kelas Dewasa' ke seluruh kampung di negara kita. Peluang ini begitu bermakna bagi penduduk-penduduk di Kampung Kubang Tiga kerana muda-mudi dan kanak-kanak dapat belajar di 'Kelas Dewasa'. Walaupun tidak semua pelajaran sekolah diajar, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat membaca, menulis dan mengira. Natijah dari usaha murni kerajaan ketika itu membawa kepada ramai muda-mudi dan kanak-kanak di Kubang Tiga khususnya dapat membaca, menulis dan mengira. Keadaan yang sama juga berlaku di setiap kampung di seluruh Persekutuan Tanah Melayu, dimana peratus orang-orang buta huruf dapat dikurangkan.

Panorama sebahagian daripada Kampung Kubang Tiga
Pada awal tahun 1970-an, seluruh masyarakat Siam di Kubang Tiga dan orang-orang Melayu di Kampung Semadong telah sepakat kata bersetuju memohon kepada Kementerian Pelajaran Malaysia supaya pihak kerajaan mewujudkan sebuah sekolah di Kampung Kubang Tiga. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju dengan permohonan tersebut dengan syarat pihak masyarakat setempat sanggup mengadakan bangunan sekolah. Akhirnya impian penduduk di Kubang Tiga dan di Kampung Semadong tercapai apabila kerajaan bersetuju untuk mengadakan sekolah di Kampung Kubang Tiga. Menurut cerita Tn. Haji Suhaimi B. Haji Hassan bekas guru sekolah tersebut "Sekolah Kebangsaan kubang Tiga" dibuka pada 1hb. Januari 1972, bangunan sekolah dibina oleh orang-orang kampung diketuai oleh En. Eudin Eruang iaitu ketua orang-orang Siam atau 'Naiban' dalam bahasa Siam. Bangunan sekolah ini terletak dalam kawasan 'Wat Kubang Tiga', bangunannya diperbuat dari kayu. Pihak kerajaan membekalkan kerusi-meja, peralatan-peralatan sekolah dan guru. Sekolah Kebangsaan Kubang Tiga adalah cawangan kepada Sekolah Kebangsaan Dato' Kayaman.

Kawasan perkuburan orang Siam di Kampung Kubang Tiga
Pada 1hb. Januari 1972 sekolah ini dengan rasmi memulakan persekolahannya. Ketika mula dibuka bilangan muridnya adalah seramai sembilan puluh orang, terdiri dari murid-murid Siam dan murid-murid Melayu yang datang daripada Kampung Semadong, nisbahnya hampir sama banyak antara budak-budak Siam dengan budak-budak Melayu. Sementara gurunya pula ialah seramai empat orang, tiga guru akademik, manakala seorang lagi ialah guru Agama Islam, tugasnya ialah mengajar Agama Islam kepada murid-murid Melayu, iaitu selama tiga hari seminggu, dua hari lagi Ustaz ini akan mengajar pula di Sekolah Kebangsaan Wang Kelian. Pelajaran Bahasa Siam diajar oleh seorang guru bahasa Siam pada sebelah petang tiga kali seminggu. Mengikut keterangan Cikgu Suhaimi, sekolah ini mempunyai darjah satu hingga ke darjah enam, oleh sebab kekurangan guru pihak sekolah terpaksa mencantumkan darjah, iaitu darjah satu dicantum dengan darjah dua, darjah tiga dengan darjah empat dan darjah lima dengan darjah enam. Tiap-tiap darjah bercantum ini diletakkan dalam sebuah bilik darjah, hanya diasingkan tempat duduk murid mengikut darjah, seorang guru terpaksa mengajar dan mengawasi dua darjah serentak. Murid-murid daripada sekolah ini bila tamat darjah enam, akan menyambung pelajaran menengah mereka ke Sekolah Menengah Tengku Suleiman, Tunjung, Perlis.
Menurut Cikgu Suhaimi lagi, walaupun sekolah ini mempunyai murid-murid Siam dan murid-murid Melayu, tetapi tidak wujud sebarang masalah perkauman, jalinan hubungan kemesraan, muhibah dan perpaduan begitu baik dan erat sekali. Seandainya timbul sebarang masalah baik dipihak murid-murid atau hal-hal berkaitan dengan sekolah perkara itu dapat diselesai secara aman dan saksama. Peranan utama bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah banyak diatur dan disokong kuat oleh En. Eudin Eruang, En. Rat, En. Erun, En. Surin, En. Endin Keat dan belia-belia di kampung tersebut dan mendapat kerjasama dari orang-orang Melayu dari Kampung Semadong.
Kewujudan Sekolah Kebangsaan Kampung Kubang Tiga tidak dapat bertahan lama, bila jalan Semadong dibina, kanak-kanak Melayu daripada Kampung Semadong ramai yang berpindah belajar ke Sekolah Kebangsaan Beseri mengakibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Kubang Tiga merosot. Selain dari itu dan yang terpenting ialah pembukaan Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, yang lebih sempurna dan lebih lengkap yang memboleh pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih berkesan. Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup letaknya berhampiran dengan Kampung Kubang Tiga dan hubungan jalan raya Jalan Bukit Keteri ke Padang Besar (lebih dikenali sebagai Jalan Ladang Tebu yang baru siap dibina) telah menyenangkan penduduk kampung tersebut menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Atas kesedaran dan kepentingan pelajaran anak-anak mereka, penduduk Kampung Kubang Tiga bersetuju supaya Sekolah Kebangsaan Kubang Tiga ditutup secara rasmi pada 31 Disember 1977, dan menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup yang baru dibuka.
PENUTUP
Kalau ditinjau secara luaran perkampungan Kubang Tiga ini, tidaklah berbeza dengan kampung-kampung lain yang didiami oleh komuniti Melayu. Kalau dilihat rumahnya, bentuknya sama seperti rumah di kampung-kampung orang Melayu, begitu juga seimbas pandang wajah mereka tidak ketara kelainannya, mirip wajah orang Melayu. Kita hanya dapat mengenali mereka bila dihalusi dan diteliti secara lebih dekat. Antara perbezaan ketara ialah dari segi pertuturan dan budaya yang mereka amalkan. Selain dari itu kita dapati di Kampung Kubang Tiga terdapat rumah ibadat mereka yang disebut 'Wat' manakala di kampung-kampung Melayu terdapat 'Masjid' sementara perkuburan mereka dibina tinggi dan tajam di puncaknya.
Kampung Kubang Tiga dari segi pembangunan tidak ketinggalan, semua kemudahan asas, jalan, bekalan elektrik, paip air dibekalkan ke setiap rumah, saliran air untuk pertanian telah dan sedang dibina. Hal ini amat jauh bezanya dengan keadaan empat puluh tahun lalu di mana ketika itu jalan perhubungan yang ada hanyalah melalui jalan keretapi sahaja, tetapi kini Kampung Kubang Tiga dapat dihubungi melalui jalan-jalan raya, hutan-belantara telah digantikan dengan ladang getah dan ladang tebu
Mengikut maklumat awal kemungkinan besar stesyen keretapi di Kampung Kubang Tiga akan dinaik taraf dan sebuah pekan kecil akan dibangunkan bersesuaian dengan pembinaan sebuah kampus Pengajian Tinggi, yang sedang dalam proses pembinaannya di Kampung Semadong berhampiran dengan Kampung Kubang Tiga. Perkembangan terbaru ini sudah pasti akan memberi impak dan membawa perubahan besar kepada kemajuan Kampung Kubang Tiga seterusnya.
RUJUKAN
1. Ahmad Ismail & Yazid Mat (Dato'), Perlis Indera Kayangan, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis - 1992.
2. Berita Indera Kayangan (Keluaran Khas) Bil - 2, 1984.
ORANG SUMBER
Setinggi penghargaan dan terima kasih
-
En. Eudin Eruang a/l Eudin Room, 72 th. Ketua Kampung, Kampung Kubang Tiga.
-
En. Endin Keat, 48 th. Pengerusi JKKK.
-
En. Rat a/l Eudin Eruang, 49 th. Penolong ketua kampung.
-
En. Surin, 42 th Belia Kampung Kubang Tiga.
-
Tn. Hj. Suhaimi Hj. Hassan, 58 th. Pesara guru - Paya.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.XVII, 2005
