Accessibility Tools

EMPING DAN RINGGI MAKANAN TRADISIONAL

EMPING DAN RINGGI
MAKANAN TRADISIONAL

Oleh : MACHITA OSMAN

Masyarakat utara sememangnya kaya dengan makanan tradisional. Bermula daripada kuih-muih sehinggalah kepada jenis lauk-pauknya. Makanan ini mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri iaitu dari segi bentuk, rasa, warna serta proses membuatnya.

Dua jenis makanan tradisional yang sememangnya hampir dilupakan oleh masyarakat moden masa kini ialah emping dan ringgi. Makanan ini diperbuat daripada padi pulut. Padi pulut yang digunakan untuk membuat emping dan ringgi ini ialah padi pulut jenis gantang ulu.

Emping diperbuat daripada padi pulut yang hampir masak. Padi dituai dengan sejenis alat menuai yang dipanggil renggam. Proses ini dinamakan mengetam padi. Padi tersebut kemudiannya diasingkan daripada tangkainya. Di kalangan masyarakat utara, proses ini dikenali sebagai “kukur”. Kebiasaannya alat yang digunakan ialah tempurung kelapa atau tudung cerek.

Setelah diasingkan, padi tersebut ditampi dengan menggunakan nyiru. Tujuannya ialah untuk mengasingkan hampa padi, tangkai padi dan lain-lain kotoran daripada padi tersebut. Padi itu kemudiannya digoreng di dalam kuali tanpa minyak. Proses tradisional ini menggunakan kayu api. Setelah masak iaitu warna kelihatan berkilat kekuningan, padi tersebut diangkat dan ditumbuk dengan menggunakan lesung tangan atau lesung hindik (lesung kaki). Padi ditumbuk ketika ianya masih panas supaya mudah untuk diasingkan antara isi dan kulit padi tersebut, di samping bertujuan agar isinya akan menjadi pipih serta berbau wangi.

Apabila selesai menumbuk, padi itu ditampi agar dapat diasingkan antara isi dan kulitnya. Isi emping berwarna perang kekuning-kuningan. Sekiranya inginkan emping yang berwarna hijau muda, masukkan daun pandan semasa menumbuknya.

Proses membuat ringgi pula hampir sama dengan membuat emping, Cuma padi pulut yang digunakan untuk membuat ringgi ialah padi pulut yang masih muda iaitu diketam sebaik sahaja padi tersebut telah ‘berisi’. Padi pulut yang telah diasingkan daripada tangkai digoreng, kemudian disejukkan terlebih dahulu. Proses menumbuk ringgi dilakukan berulang kali iaitu apabila selesai ditumbuk pada kali pertamanya, padi tersebut ditambi, setelah itu ditumbuk semula. Proses ini biasanya dilakukan tiga hingga empat kali sehingga isi dan kulitnya betul-betul terasing. Ringgi yang telah siap berwarna hijau muda.

Emping dan ringgi biasanya disimpan di dalam daun pisang muda supaya ianya tahan lebih lama serta berbau wangi. Dari segi ketahanan pula, emping lebih tahan lama berbanding dengan ringgi. Emping biasanya tahan beberapa minggu sedangkan ringgi hanya tahan tiga atau empat hari.

Menyentuh tentang citarasa, ringgi lebih enak dimakan berbanding dengan emping. Makanan tradisional ini biasanya dimakan bersama ‘nyiur kukur’ (kelapa parut), sedikit garam dan gula. Bagi emping pula, biasanya ia diramas terlebih dahulu supaya lebih lembut sebelum dimakan. Emping juga boleh dibuat kerabu. Emping kerabu dibuat dengan mencampur lain-lain bahan seperti udang kering, cili kering, bawang merah, serai, kelapa parut dan digoreng bersama emping. Emping dan ringgi ini lebih enak sekiranya dihidangkan bersama kopi panas pada waktu petang.

Pada masa dahulu, sering diadakan pesta menumbuk emping. Pesta ini diadakan pada musim menuai terutama pada waktu bulan mengambang. Kaum keluarga yang terdekat biasanya akan berkumpul pada malam tersebut. Kaum wanita ditugaskan menumbuk emping manakala anak-anak kecil pula akan berkumpul menunggu emping siap untuk dimakan. Pesta ini secara tidak langsung akan merapatkan hubungan untuk mewujudkan kemesraan di kalangan ahli keluarga. Kini, pesta emping ini cuba diketengahkan melalui pesta kebudayaan yang diadakan sama ada di peringkat negeri ataupun peringkat kebangsaan. Malah jika makanan tradisional ini dapat diketengahkan, ianya mungkin mampu menandingi lain-lain jenis atau makanan ringan seperti cornflakes atau cococrunch.

 

Peralatan yang diperlukan untuk membuat Emping dan Ringgi

 

BIBLIOGRAFI

1.                   Siti Don. Aneka Resepi Nasi Kuala Lumpur : Berita Publishing, 1996.

2.                   Temubual dengan Puan Rokiah Musa (Pembuat Ringgi dan Emping).

3.                   Zakiah Hanum, Dato. Kuih Muih Tradisional Utara. Kuala Lumpur : Berita Publishing 1992.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996