Makanan Tradisi yang Kian Dilupakan

Oleh: Farah Waheeda
Negeri Perlis merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Masyarakat di negeri Perlis yang pada suatu ketika dahulu, kebanyakannya terdiri daripada golongan petani dan pesawah yang menjadikan pertanian seperti sawah padi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Oleh yang demikian, masyarakat negeri Perlis merupakan negeri yang kaya dengan makanan tradisinya yang berasaskan tanaman misalnya seperti ringgi dan emping yang kian dilupakan oleh generasi sekarang.
Menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ringgi adalah emping yang terhasil daripada padi yang masih lembut isinya, manakala emping merupakan sejenis kudapan yang diperbuat daripada padi yang masih muda atau daripada buah belinjau.
Emping dan ringgi ini mempunyai keunikannya yang tersendiri dari segi warna, tekstur, rasa serta proses pembuatannya yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya. Tanpa disedari, peredaran masa serta perubahan corak kehidupan masyarakat pada masa kini menjadikan ringgi dan emping yang pada satu ketika dahulu terkenal semakin dilupakan.
Namun begitu, makanan tradisi ini akan menjadi perhatian setiap kali tibanya musim timur atau lebih popular dengan sebutan “winter wind” yang hanya melanda negeri Perlis setahun sekali sahaja. Kelembutan teksturnya serta keharuman bau ringgi yang wangi mampu memikat selera para penggemar makanan tradisi tersebut.
Proses Penghasilan Ringgi dan Emping
Ringgi dan emping ini terhasil daripada padi pulut yang belum cukup matang iaitu padi yang separuh masak atau yang masih kehijau-hijauan serta bersusu. Untuk menghasilkan ringgi dan emping yang berkualiti, bahagian hujung tangkai padi muda merupakan bahagian yang paling sesuai untuk dijadikan ringgi dan emping.
Padi muda tersebut akan dikerat dengan menggunakan ketam padi atau dalam bahasa orang kampung dikenali sebagai “ani-ani”. Lazimnya, peralatan tradisional yang digunakan tersebut akan dihasilkan sendiri oleh petani hanya untuk kegunaan mereka sahaja.
Kebiasaannya, padi yang telah diketam (dikerat tangkainya) akan dileraikan padi tersebut daripada batangnya pula sebelum digoreng di dalam kuali atau belanga. Kerja-kerja dalam pemprosesan ringgi dan emping ini akan dilakukan oleh kaum wanita secara berkumpulan yang terdiri daripada ahli keluarga atau jiran tetangga secara bergotong-royong.
Padi tersebut haruslah disangan terlebih dahulu. Setelah padi tersebut berbunyi dan bertukar warna kekuning-kuningan, ia akan diangkat dari atas api dan dimasukkan ke dalam alat yang dikenali sebagai lesung batu atau indik.
Kemudian ia akan ditumbuk dengan menggunakan lesung batu atau juga dikenali sebagai indik bersama-sama alu kayu yang panjang sehingga biji padi tersebut pecah dan menjadi nipis. Kemudian keluarkan pecahan emping tersebut dari lesung batu dan asingkan sebelum ditampi antahnya dengan menggunakan penampi padi.
Tradisi Membuat Ringgi dan Emping
Bagi golongan petani, sudah menjadi kebiasaan di mana mereka akan berkumpul untuk membuat ringgi dan emping ini. Di samping dapat mengeratkan tali persaudaraan sesama mereka, ringgi atau emping yang telah siap dibuat akan dimakan bersama isi kelapa yang sudah diparut bersama gula.
Untuk mengekalkan kesedapan dan kewangian ringgi tersebut, ia juga boleh dibalut dengan menggunakan daun pisang. Ringgi atau emping tersebut akan dibahagikan sesama mereka yang telah melakukan gotong-royong bersama. Lazimnya, pembahagian akan dibuat dengan menggunakan sukatan kepoi ataupun gantang.
Bahan-bahan
- 1 bungkus emping padi
- 3–4 sudu besar gula putih
- 1/2 biji parutan putih kelapa (kelapa muda)
- Sedikit garam
Cara Membuatnya
Gaulkan emping padi tadi bersama gula dan parutan kelapa serta sedikit garam. Gaul rata kemudian rasa mengikut selera masing-masing. Boleh terus dihidangkan bersama air kopi.
Rujukan
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah. (2018). Warisan Pembuatan Emping dan Ringgi di Kedah. Diakses pada 20 Disember 2017 daripada laman web Memori Kedah.
Mak Ngah Pora. (2011). Ringgi Si Emping Wangi. Diakses pada 20 Disember 2017 daripada blog Mak Ngah Pora.
Emping dan ringgi makanan tradisi negeri Perlis. (1998). Selangor: Utusan Malaysia.
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Bil. 2 2017
