Oleh: Mokhtar A.K

Wan Khazim Bin Wan Din dilahirkan di Pengkalan Assam, Chuping, Kangar, Perlis pada tahun 1936. Beliau berpendidikan Sekolah Melayu Bintong, Sekolah Melayu Chuping, dan kemudiannya ke Sekolah Arab Alawiyah, Arau hingga 3 Senawi. Beliau terpaksa berhenti sekolah untuk menguruskan kerja-kerja di rumah kerana bapanya telah ditahan oleh Penjajah British. Hal ini kerana bapanya, Wan Din Bin Wan Ali terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Wan Din ditahan selama 5 tahun.
Wan Khazim akhirnya berhijrah ke Singapura dan berkesempatan mengikuti pelajaran di “Reemin English School Singapore”. Ketika di Singapura beliau terlibat secara langsung dalam filem dan turut berlakon dalam lapan buah filem keluaran syarikat Shaw Brothers Singapore.
Wan Khazim telah melibatkan diri dalam pelbagai bidang seni seperti menjadi penyanyi, pemantun (pernah menjadi johan pantun peringkat Daerah, Negeri dan Kebangsaan) dan pernah dinobatkan sebagai johan pantun Peringkat Kebangsaan. Beliau juga seorang pemidato, penulis skrip drama dan bangsawan, penyair dan perawi. Dalam lapangan silat pula, beliau adalah seorang guru silat.
Beliau pernah aktif dan memegang jawatan dalam beberapa parti politik yang diceburinya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) selaku Setiausaha Cawangan Perlis, Parti Rakyat Malaya (PRM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Kawasan Chuping sebagai ahli jawatankuasa dan Ketua Penerangan, Parti Keadilan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kawasan Chuping, serta pernah menyertai delegasi ke Singapura, Indonesia dan Beijing, China.
Saudara Wan Khazim sebagai Pengarah Drama, berdiri di sebelah Allahyarham Dato’ Ali bin Ahmad yang ketika itu sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jejawi, Perlis. Gambar diambil pada tahun 1961.
Wan Khazim berkahwin dengan Aminah binti Yaakob, seorang guru sekolah dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Khamizar, Wan Kharizal dan Wan Khunifa Uli.
Beliau turut aktif sebagai pendakwah khususnya melalui pertubuhan Al-Islah di Perlis. Beliau banyak membaca dan menghasilkan risalah-risalah dakwah dalam aspek iman, tauhid dan ibadat.
Bidang Aktiviti
Perfileman (Dari Tahun 1952 hingga 1957)
Beliau telah berhijrah ke Singapura pada tahun 1952 dan berada di Singapura sehingga tahun 1957. Dalam tahun-tahun tersebut, beliau telah diterima bekerja dengan syarikat Shaw Brothers yang terkenal sebagai penerbit filem-filem Melayu.
Gambar kenangan ahli-ahli Teater Seri Indera (TESERI) yang bertanda “X” ialah saudara Wan Khazim Bin Wan Din. Ketua Satu TESERI – tahun 1965.
Filem-filem yang beliau turut berlakon adalah:
- Keadilan Ilahi, 1954, arahan Ramanathan
- Adikku, 1954, arahan Baskaran
- Ribut, 1955, arahan Baskaran
- Takdir Ilahi, 1955, arahan B.N. Rao
- Penarik Becha, 1955, arahan P. Ramlee
- Hang Tuah, 1956, arahan Phani Majumdar
- Anakku Sazali, 1959, arahan Phani Majumdar
- Kuasa, 1965, arahan Phani Majumdar
Pada dekad 1950-an, pengarah-pengarah filem terdiri daripada bukan Melayu dan timbullah kesedaran dalam kalangan artis Melayu untuk mencalonkan seniman Hj. Mahadi untuk mengarahkan filem “Permata di Perlembahan” sebagai langkah percubaan. Ternyata arahan tersebut gagal. Untuk percubaan kedua, mereka mencalonkan P. Ramlee untuk mengarahkan filem “Penarik Becha”. Pada akhirnya filem “Penarik Becha” merupakan filem anak Melayu pertama yang diketuai oleh anak Melayu dalam sejarah perfileman tersebut.
Drama Pentas
Wan Khazim menghasilkan beberapa skrip drama pentas yang diarahkan sendiri. Skrip-skrip tersebut adalah seperti berikut:
- Jiwa Putra Melayu
- Putra Sasteria
- Perempuan Semuanya
- Doktor Pak Dukuh
- Siapa Yang Bersalah
- Takdir Menjelang Takbir
- Lela Sasteria
- Bachang Manis Lela Teruna
- Bukit Chuping Gua Beringin (karya bersama Mokhtar A.K)
Saudara Wan Khazim sedang mendendangkan lagu “Semalam di Malaya” sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 1960.
Drama-drama karya pihak-pihak lain yang diarahkan oleh Wan Khazim termasuklah beberapa karya Usman Awang, Rahman Shaari dan Mokhtar A.K. Antaranya ialah Gugurnya Seorang Pahlawan (Usman Awang), Hilang atau Terbilang (Usman Awang), Rebus Macam Jagung (Rahman Shaari) dan Panglima Indera Kayangan yang berasal daripada drama radio oleh Mokhtar A.K dan diadaptasi ke drama pentas oleh Wan Khazim dan Azizah Chin.
Drama Takdir Menjelang Takbir telah dipentaskan di Panggung Capitol, Kangar sempena Hari Bekas Perajurit serta Pameran Angkatan Tentera yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Kangar.
Dalam pertandingan drama yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Wan Khazim telah memenangi tujuh tahun berturut-turut. Pertandingan tersebut berlangsung dalam dekad 1970-an.
Selain terlibat aktif sebagai dramatis, Wan Khazim juga memberi ceramah kepada ahli-ahli persatuan TESERI (Teater Seri Indera Perlis) berkaitan dengan drama pentas dan menjadi hakim bagi pertandingan drama peringkat negeri dan kebangsaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Sajak
Wan Khazim juga seorang penyair. Antara sajak-sajak yang dihasilkan beliau ialah Gema Shahadah (dicipta sempena Hari Pahlawan Negeri Perlis pada 31 Julai 1971, dan juga dibaca pada Hari Pahlawan 1972), Suara dari Pusara, Suara dari Tugu, dan Ibu Pertiwi.
Nyanyian
Dalam tahun 1950 beliau menyertai kumpulan muzik “Indera Kayangan Okestra” atau ringkasnya “IKO”. Antara pemuzik orkestra pada waktu itu ialah Yusuf, Amir, Eng Chan, Dato Penghulu Mustafa, Che Mat Yah, Kamaruddin dan Ahmad.
Antara lagu yang sering dinyanyikan oleh Wan Khazim ialah Seri Sarawak, Masmeran dan Damak. Menurut Wan Khazim, mantan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak pernah menghadiahkan wang tunai RM3,000 kepada beliau sebaik sahaja selesai menyanyikan lagu Dewi Manja dalam satu majlis berbalas pantun.
Beliau juga menyanyikan lagu-lagu asli yang lain. Boleh dikatakan semua lagu P. Ramlee dapat dinyanyikannya dengan baik dan penuh emosi. Antara lagu moden yang sering dinyanyikan termasuklah Semalam di Malaysia, Dewi Manja dan lagu-lagu nyanyian P. Ramlee. Beliau pernah menyanyi dengan Orkestra Radio Malaya di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sempena menyambut Bulan Bahasa.
Gambar kenangan orkes “Indera Kayangan Orkestra” (IKO) 14.12.1952. Wan Khazim sebagai penyanyi dan beliau dapat bermain beberapa alat muzik.
Wakil Perlis ke Pertandingan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1962.
Pantun, Syarahan dan Bahasa
Seni pantun atau “berpantun” merupakan kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada Wan Khazim. Beliau telah terlibat secara langsung dalam Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an dan 1970-an melalui kegiatan berpantun, syarahan dan bahasa dan dianugerahkan Johan Pemantun di peringkat Kebangsaan pada tahun 1966. Wan Khazim juga diisytiharkan sebagai pemantun Melayu terbaik pada tahun 1965.
Antara kejayaan beliau dalam bidang-bidang berkenaan ialah:
- Memenangi hadiah pertandingan syarahan yang pertama kali disertainya di peringkat negeri pada tahun 1964 (sempena Bulan Bahasa Kebangsaan).
- Memenangi hadiah pertandingan bahasa pada tahun 1965.
- Diisytiharkan sebagai pemantun terbaik di Peringkat Negeri dan Kebangsaan dalam tahun 1966.
Ketika itu regu pemantun Perlis yang sering menjadi wakil negeri Perlis ke Peringkat Kebangsaan ialah Wan Khazim Bin Wan Din, Hanif Bin Abdullah (Pak Pi) dan Hilmi Bin Hj. Husin. Wan Khazim merupakan pemantun Perlis yang mencadangkan supaya “Pertandingan Pantun” patut diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa di semua peringkat.
Cadangan Wan Khazim telah diterima oleh jawatankuasa peringkat negeri, dan beliau juga merupakan ahli jawatankuasa berkenaan di Perlis. Kawasan-kawasan dalam Pertandingan Bulan Bahasa di Perlis pada waktu itu adalah Mata Ayer, Kaki Bukit, Padang Besar, Beseri, Arau, Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.
Sehubungan dengan itu Wan Khazim sering kali dipilih untuk menjadi hakim bagi Pertandingan Pantun Peringkat Negeri dan Kebangsaan. Beliau juga dijemput memberikan ceramah kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Perlis seperti di Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad, Arau, Sekolah Menengah Derma, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, Kangar dan beberapa buah sekolah menengah lain.
Sesuai dengan kebolehannya beliau juga diminta untuk memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar yang merupakan peserta-peserta yang mewakili negeri Perlis ke Pertandingan Pantun Peringkat Kebangsaan.
Menjadi Pendakwah
Wan Khazim telah terlibat secara langsung sebagai pendakwah di Perlis. Beliau sering memberi ceramah dalam aspek-aspek akidah, tauhid, dan akhlak di masjid, surau dan di Pusat Pengajian Al-Islah di Jalan Mata Ayer, Perlis.
Persatuan Warga Kanan
Beliau telah menceburkan diri dalam Persatuan Warga Kanan pada tahun 1996 dan dipilih untuk menduduki jawatankuasa. Aktivitinya mencakupi lawatan ke pusat-pusat rumah orang tua iaitu Pusat Orang Tua di Kaki Bukit, Pusat Orang Tua di Ladang Tebu, Pusat Orang Tua di Behor Mali, Pusat Orang Tua di Jejawi Dalam, serta menjadi ketua rombongan lawatan sambil belajar ahli-ahli Persatuan PERKIM ke negeri China.
Politik
Dalam dunia politik, Wan Khazim menceburkan diri dalam API, PKMM, PRM/PSRM, UMNO, Keadilan dan PKR. Beliau telah diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan dalam parti seperti berikut:
- Menjawat jawatan Setiausaha API Cawangan Perlis.
- Tenaga utama bagi penubuhan PRM Cawangan Perlis.
- Pengurusi Tetap UMNO Cawangan Chuping, Perlis.
- Menjawat jawatan AJK UMNO dan JKKK Kawasan Chuping, Perlis.
- Ketua PKR Perlis.
Penglibatan Lain
Wan Khazim juga memberikan khidmat baktinya kepada masyarakat melalui penyertaannya dalam pelbagai majlis berpantun, seminar atau persidangan, ceramah dan bimbingan dalam bidang-bidang kemahirannya khususnya pantun, bahasa, sejarah tempatan dan seni lakon.
Beliau masih meneruskan bakat kesenian yang dianugerahkan di samping tidak jemu-jemu untuk memberikan sumbangan dan mencurahkan ilmu serta pengalaman yang dimiliki untuk manfaat semua.
Kegiatan Sukarela Lain
| Bil. | Persatuan / Pertubuhan | Jawatan | Tahun |
|---|---|---|---|
| 1 | Persatuan Belia Suria Muda Mata Ayer, Perlis | Naib Yang Dipertua | 1965-1975 |
| 2 | Persatuan Seni Artis di Singapura | Ahli | 1953-1957 |
| 3 | Lembaga Kebajikan Masjid Chuping, Perlis | Ahli | 1960-1966 |
| 4 | Persatuan Sasteria Muda Chuping, Perlis | Yang Dipertua | 1960-1975 |
| 5 | Persatuan Al-Islah Perlis | Pemeriksa Kira-Kira | 1961-1966 |
| AJK | 1967-1972 | ||
| AJK-Ketua Penerangan | 1986-1991 | ||
| Timbalan Yang Dipertua | 1994-1997 | ||
| 6 | PERKIM Perlis | AJK | 1980-an |
| 7 | Persatuan Warga Kanan Perlis | AJK | 1996-1998 |
| 8 | Teater Seri Indera (TESERI) Perlis | Ketua Satu | 1970-1985 |
| 9 | Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Perlis | Ahli | 2010-2016 |
| 10 | Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis | Penasihat | 2014-2016 |
Rujukan
Mokhtar A.K. (2000). Tokoh Pemantun Perlis, Warisan Indera Kayangan, Bil. 12.
Mokhtar A.K. (2001). Tokoh Pemantun Perlis, Warisan Indera Kayangan, Bil. 13.
Prof. Dr. Azizan Bahari & Mokhtar A.K. (2017). Pak Wan Khazim Tokoh Pemantun Perlis dan Aktivis Sosial. Kangar: Penerbit Pustaka Qarya, Perlis.
JURNAL WARISAN PERLIS. Bil.1 2018
