Accessibility Tools

MASJID ALWI KANGAR: BANYAK MENABUR JASA

Oleh: Ramli Ismail

Sejak mula dibina, Masjid Alwi Kangar banyak menabur jasa kepada umat Islam di Negeri Perlis. Terletak dalam bandar Kangar bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Kangar dan berhampiran Kompleks Jabatan Agama Islam Perlis.

Pembinaan masjid tersebut adalah hasil inisiatif Raja Negeri Perlis keempat, Almarhum Tuan Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Safi dan dengan sebab demikianlah namanya diabadikan mengambil sempena nama baginda.

Pembinaan masjid berkenaan melibatkan kos sebanyak $64,684.00 yang diperolehi melalui empat saluran penyumbang terdiri dari Jabatan Zakat dan Fitrah Negeri sebanyak $30,672.00 sementara pegawai-pegawai kerajaan yang beragama Islam pula menyumbang sebanyak $13,021.00. Turut memberi sumbangan ialah saudagar-saudagar dan orang-orang Islam sebanyak $991.00 sementara kerajaan Negeri Perlis menyumbang sebanyak $20,000.00.

Kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan berjalan dengan lancar dan dibuka dengan rasmi oleh Raja Tuan Syed Alwi pada 10 Februari 1932 bersamaan 14 Syawal 1351H. Setelah digunakan, sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menyempurnakan pengurusan masjid terbabit.

Barisan jawatankuasa itu terdiri dari Tuan Syed Hamzah Ibni Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail selaku Yang Dipertua sementara pengurusnya ialah Haji Ahmad bin Haji Mohammad Kadzi dan Tuan Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim menjadi setiausaha.

Jawatan bendahari dipertanggungjawabkan kepada Che Abdullah bin Ahmad sementara Wan Ahmad bin Wan Daud menjadi pemeriksa kira-kira. Barisan ahli jawatankuasa lain terdiri dari Che Mat bin Haji Kassim, Haji Ismail bin Haji Ibrahim, Syed Husin bin Syed Zain, Syed Alwi bin Syed Hassan, Haji Mohammad bin Haji Arshad, Encik Mahmud bin Mohammad dan Encik Pilus bin Awang.

Keluasan terkini masjid tersebut ialah kira-kira 800 × 400 kaki persegi dan boleh menampung sekitar 1,200 jemaah termasuk untuk 300-400 orang jemaah wanita di tingkat atas.

Selain ruang solat, kemudahan lain yang disediakan dalam masjid itu ialah tempat mengambil wuduk, tandas lelaki dan wanita, tempat mengambil wuduk lelaki persekitaran masjid, tiga wakaf dan kerusi-kerusi batu tempat jemaah berehat. Turut disediakan tempat meletak kereta yang boleh mengisi antara 300-400 buah kenderaan pada satu masa bersama kemudahan lampu limpah untuk keselamatan waktu malam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan ialah tempat letak motosikal berbumbung, pejabat imam dan pegawai-pegawai masjid serta rak menempatkan kira-kira 300 naskhah al-Quran dan buku-buku agama di dalam masjid.

Papan tanda perasmian masjid.

Sejak mula beroperasi hingga kini Masjid Alwi memainkan peranan yang cukup besar dalam perkembangan syiar agama Islam di negeri yang berpegang kepada Sunnah Waljamaah berteraskan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW itu.

Kejayaan peringkat awal penubuhannya, masjid tersebut dapat menghapuskan amalan perjudian laga kerbau yang dikatakan tapak gelanggangnya sekitar tapak Masjid Alwi sekarang.

Bersebelahan masjid tersebut juga, di tapak perumahan Taman Kangar sekarang merupakan tapak pusat hiburan atau lebih dikenali dengan panggilan “fun fair” pada masa dahulu.

Kebiasaannya pusat hiburan itu beroperasi setahun sekali pada musim timur selepas masyarakat petani di negeri ini selesai menuai padi dan sudah mempunyai wang untuk berbelanja di tempat “fun fair” tersebut.

Pelbagai jenis hiburan diadakan di pusat hiburan berkenaan seperti pentas nyanyian oleh artis-artis popular pada masa itu, pentas bangsawan, gelanggang tomoi atau sekarang dikenali dengan panggilan “moi thai”, pentas rambu atau jom dan joget serta pentas pertunjukan wayang kulit.

Bersama pengisian dalam “fun fair” itu juga terdapat pelbagai jenis perjudian terbuka seperti lontar gelang rotan ke mulut botol, menjatuhkan barang melalui lontaran bola dan meneka jumlah biji kacang.

Namun apabila penggunaan Masjid Alwi diperhebatkan sebagai pusat dakwah, aktiviti hiburan di kawasan tersebut dihentikan. Melalui dakwah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama serta pendakwah-pendakwah ketika itu memberi kesedaran kepada umat Islam tempatan bahawa mereka perlu mempunyai batasan untuk berkunjung ke pusat hiburan.

Peranan Sebagai Pusat Dakwah

Peranan Masjid Alwi sebagai pusat dakwah terus diperhebatkan sekitar akhir tahun lima puluhan dan sepanjang tahun enam puluhan.

Peranan imam-imam yang bertugas di masjid tersebut seperti Allahyarham Ustaz Hashim Adam dan Allahyarham Ustaz Abd. Rahman Ismail mengajar agama dalam kuliah Maghrib setiap hari mereka bertugas juga menampakkan keberkesanannya menjadikan masjid berkenaan sebagai pusat dakwah.

Di samping menjadi imam, Ustaz Abd. Rahman juga pernah menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Suatu ketika dahulu kaum wanita di Perlis hanya belajar agama di rumah atau surau di kampung-kampung tetapi apabila ada Masjid Alwi mereka mula mencari ilmu agama di masjid.

Kini kelas mingguan yang diadakan untuk kaum wanita setiap petang hari Rabu menarik golongan hawa untuk datang menimba ilmu agama termasuk juga anak-anak muda dan para pelajar khususnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Kangar. Ini secara tidak langsung melatih anak-anak muda berkenaan mendekati majlis ilmu untuk mengasuh diri mereka terus meminatinya setelah memasuki usia dewasa dan tua kelak.

Pada awal tahun enam puluhan para guru agama di negeri ini lebih memberi tumpuan usaha memberi kefahaman kepada umat Islam di Perlis tentang amalan harian mereka mesti berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Ini sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam Artikel 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Hasil dari pengajaran tersebut, umat Islam di negeri ini beransur-ansur meninggalkan pelbagai ajaran khurafat seperti memuja keramat, memuja kubur-kubur lama, takut kepada kuasa pokok besar yang difahamkan berhantu, mandi tian untuk wanita yang mengandung anak sulung dan pelbagai ajaran lagi yang menyimpang dari ajaran Islam.

Kini segala amalan itu sudah tiada lagi. Ia sedikit sebanyak hasil pengajaran guru-guru agama di Masjid Alwi suatu ketika dahulu. Memandang kepada peranan Masjid Alwi begitu besar dalam menyatukan umat Islam di negeri ini terutama dalam soal-soal aqidah, masjid tersebut telah didaftar sebagai bangunan Seni Bina Warisan oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan Malaysia tahun 2008 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Plak penganugerahan itu ditandatangani oleh Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Dato’ Prof. Emeritus Zuraina Majid. Dengan penganugerahan tersebut, masjid berkenaan menerima wang tunai sebanyak RM500,000. Sebanyak RM300,000 dari wang itu diguna untuk membaiki bumbung masjid yang bocor dan lain-lain kerosakan akibat banjir tahun 2005 sementara RM200,000 lagi diguna bagi mengecat bangunan masjid berwarna putih.

Pada Mei 2015 Masjid Alwi telah menjadi tuan rumah Perkampungan Sunnah selama tiga hari tiga malam yang dihadiri lebih 10,000 orang dari dalam dan luar negara. Program tersebut dianjurkan bersama Jabatan Mufti Negeri Perlis dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar Perlis serta Masjid Alwi sendiri.

Dengan adanya program-program besar seperti itu, menggalakkan umat Islam tempatan menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, buku-buku dan kitab-kitab agama serta pakaian-pakaian muslimah.

Aktiviti Keagamaan

Di samping itu Jabatan Mufti Negeri Perlis juga turut menganjurkan Kuliah Maghrib Mingguan yang disampaikan sendiri oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin setiap hari Selasa. Kuliah tersebut turut disiarkan terus menerus melalui internet. Selalunya kehadiran anak jemaah untuk mengikuti kuliah berkenaan adalah antara 800-1,000 orang setiap minggu.

Masjid Alwi Kangar turut menjadi tuan rumah siri kursus haji dengan kerjasama Tabung Haji Perlis selama 12 minggu sebelum musim haji setiap tahun. Kursus itu diadakan setiap hari Sabtu dengan kehadiran antara 500-800 peserta dari seluruh Perlis pada setiap minggu.

Aktiviti lain yang dikendalikan oleh masjid berkenaan ialah mengadakan ceramah mingguan sembilan kali seminggu selepas solat Subuh atau Asar atau Maghrib setiap hari oleh penceramah-penceramah undangan.

Kehadiran jemaah untuk mengikuti program berkenaan adalah antara 50-100 orang setiap hari. Pihak pengurusan Masjid Alwi juga turut diberi tanggungjawab untuk menguruskan tanah perkuburan Islam Tok Paduka yang terletak berhampiran masjid tersebut.

Terdapat tiga imam bertugas di masjid berkenaan secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka terdiri dari Haji Hashim bin Talib (Imam 1), Haji Mohd. Zahid bin Ibrahim (Imam 2) dan Haji Ismail bin Hashim (Imam 3).

Gaji semua imam dan dua bilal, tiga siak serta seorang tukang kebun dibayar oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). MAIPs juga menampung bayaran bil air dan elektrik masjid tersebut pada setiap bulan. Setiap kali tiba bulan Ramadan, imam satu Masjid Alwi, Ustaz Hashim membuka kaunter zakat untuk memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah.

Setelah ramai anak Perlis di perantauan pulang ke kampung, kaunter tersebut dibuka di satu sudut pintu utama masjid dibuka hingga lewat malam setiap malam hingga akhir bulan Ramadan bagi membolehkan semua mereka membayar fitrah.

Di samping itu Masjid Alwi juga turut mengeluarkan sumbangan wang setiap bulan kepada kira-kira 40 anak yatim dalam qariah tersebut yang dimasukkan terus ke dalam buku akaun simpanan mereka yang berumur bawah 18 tahun. Wang tersebut adalah dari sumbangan derma orang ramai dalam tabung yang diletakkan di dalam masjid.

Kemudahan dan Aktiviti Masyarakat

Tempat letak kereta di perkarangan hadapan masjid kadang-kadang dijadikan gelanggang anak-anak muda bermain sepak raga bulat pada waktu petang.

Sebuah astaka di tepi tempat letak kereta itu juga pernah dijadikan tempat senam robik dengan guru senam berada di atas astaka dan orang ramai di hadapan astaka. Semasa diadakan Perkampungan Sunnah di masjid berkenaan, kawasan parking juga dijadikan gelanggang pertandingan memanah iaitu sejenis sukan yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Aktiviti-aktiviti sukan tersebut juga secara tidak langsung memberi kesan positif kepada para peserta dalam melahirkan umat Islam yang sihat di samping kesihatan minda melalui ilmu-ilmu agama yang diajar oleh ustaz-ustaz di dalam masjid.

Nota: Sumber bahan rencana daripada Haji Hashim Talib dan orang-orang tua sekitar bandar Kangar.

 

Sumber Artikel

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 1. 2018