Accessibility Tools

SEJARAH POS IMIGRESEN KUALA PERLIS (Bahagian III)

Oleh: Mokhtar A.K.

Kuala Perlis terletak lebih kurang 11 kilometer dari bandar Kangar dan kira-kira 2 kilometer dari sempadan Thailand, dan berkeluasan lebih kurang 7 kilometer persegi ke utara persisiran pantai Negeri Perlis. Kawasan tersebut merupakan perkampungan nelayan dengan kepadatan penduduk lebih kurang 15 ribu orang dengan komposisi kaum terdiri daripada 93% Melayu dan 7% Cina. Kebanyakan penduduknya adalah nelayan, petani dan sebagainya pula menjalankan aktiviti peruncitan dan perdagangan kecil-kecilan dengan pedagang/nelayan Negara Thai.

Suatu ketika dahulu Kuala Perlis merupakan sebuah pelabuhan perdagangan dan menjadi laluan utama saudagar dari India, Parsi dan Belanda yang datang membawa pelbagai jenis barangan dagangan dari Kuala Perlis ke bandar Kangar melalui Sungai Perlis. Barangan tersebut pula akan dibawa ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu dan Logor dengan menggunakan gajah setelah cukai dibayar. Dari Ligur pula, barang-barang dagangan tersebut dibawa ke Kemboja dan Negara China.

Kuala Perlis terus berfungsi sebagai kawasan persinggahan kapal dagangan terutama menjadi tumpuan sampan dan tongkang Cina dan India yang berurusan import eksport dagangan seperti cili kering, bawang dan bijiran kopi dari Pulau Pinang, manakala lembu dan kerbau diimport dari Wilayah Satun Selatan Thailand. Atas keperluan tersebut pentadbiran Kastam yang dikendalikan oleh beberapa orang Pegawai Luar (Outdoor Officer) untuk mengendalikan urusan import eksport diwujudkan di sini.

Penubuhan Pentadbiran Kastam

Bermula pada tahun 1934, pentadbiran Kastam ditempatkan di sebuah rumah kampung di Pulau Ketam, sebuah pulau delta yang terletak di muara Sungai Perlis. Selain mengendalikan urusan import eksport barangan, urusan kawalan keluar dan masuk penumpang-penumpang bot juga dikendalikan oleh pihak Kastam.

Setelah beberapa tahun beroperasi di Pulau Ketam, dalam tahun 1938 stesen pentadbiran Kastam ini kemudiannya berpindah ke sebuah rumah kuarters setingkat yang terletak di Pekan Kuala Perlis berhampiran muara sungai. Walaupun stesen ini berpindah ke lokasi yang baru, ia masih mengekalkan fungsinya.

Pada 20 April 1959 Kuala Perlis telah diwartakan sebagai pintu masuk laut di Negeri Perlis. Urusan kawalan keluar masuk masih dikendalikan oleh pihak Kastam sehingga 30 November 1966. Mulai 01 Disember 1966, kawalan keluar masuk diambilalih sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen yang diketuai oleh Encik Mohd. Noor bin Mohd. Zain yang ketika itu memegang jawatan sebagai Penolong Kecil. Pejabat Imigresen ditempatkan bersama-sama Pejabat Pentadbiran Stesen Kastam.

Perkhidmatan Feri dan Kawalan Keluar Masuk

Pintu masuk Kuala Perlis telah menjadi laluan rakyat Perlis dan kaum keluarga yang berada dan tinggal di Wilayah Satun, Selatan Thailand melalui jalan laut dengan menaiki bot tambang. Peranan Kuala Perlis sebagai jeti penumpang menjadi lebih penting apabila bermula pengangkutan penumpang tersebut menggunakan bot-bot terbuka seperti bot-bot ikan tetapi dari masa ke semasa perubahan terus berlaku dan kini perkhidmatan feri penumpang berwahana dingin digunakan.

Walau bagaimanapun perkhidmatan feri penumpang tersebut tidak melibatkan pemeriksaan kawalan keluar masuk memandangkan perjalanan tersebut merupakan perjalanan “domestik” (dalam negeri). Kawalan keluar masuk hanya dilakukan terhadap bot-bot tambang yang membuat perjalanan dari Kuala Perlis ke Satun, Thailand dan sebaliknya.

Perkembangan Pejabat Imigresen Kuala Perlis

Pada tahun 1973, Jabatan Laut Kuala Perlis telah membina bangunan pejabat di muara Sungai Kuala Perlis berhampiran pejabat pentadbiran Stesen Kastam di Kuala Perlis. Bangunan tersebut boleh menempatkan pelbagai jabatan. Jabatan Imigresen turut ditempatkan di bangunan tersebut bersama jabatan-jabatan lain antaranya Jabatan Polis (TCO), Jabatan Pertanian dan beberapa jabatan lain.

Ketika beroperasi di bangunan tersebut, jawatan Merinyu dimansuhkan dan jawatan Pegawai Imigresen diwujudkan dalam tahun 1974 di mana Encik Nik Yusof bin Nik Salleh merupakan Ketua Imigresen pertama di Pos Imigresen Kuala Perlis berjawatan Pegawai Imigresen Kanan.

Pos ini masih mengekalkan fungsi yang dilaksanakan oleh pihak Kastam dalam urusan pemeriksaan kawalan keluar masuk pelawat. Pos ini beroperasi mulai jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

Pada tahun 1976 pula Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis ditubuhkan bertujuan mencegah penyeludupan barangan mahupun pendatang tanpa izin (PATI). Pengkalan unit ini dapat membanteras penyeludupan dari berlaku di sepanjang Sungai Kuala Perlis terutama selepas waktu beroperasi pos ini.

Perkembangan Jeti Kuala Perlis

Memandangkan keperluan dan kepentingan kegunaan jeti ini dari masa ke semasa, Jabatan telah menambah bilangan kakitangan serta menyediakan kemudahan rumah kediaman sebanyak enam unit. Jeti Kuala Perlis menjadi tumpuan dan laluan utama bot-bot besar bahawa dingin yang membawa penumpang ke Langkawi. Kesibukan jeti ini ketara terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Tambahan pula kedudukan jeti ini berhampiran dengan pelantar ikan yang diuruskan oleh pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Maka awal tahun 1980an, Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama pihak LADA Langkawi telah membina terminal feri berasingan ke lokasi baru hanya untuk urusan perjalanan penumpang-penumpang ke pulau peranginan Langkawi.

Penubuhan Jabatan Imigresen Negeri Perlis

Sejajar dengan penubuhan Jabatan Imigresen Negeri Perlis secara rasmi di Kangar dalam tahun 1983 dan keperluan penduduk tempatan, pos ini melebarkan perkhidmatannya dengan menerima dan mengeluarkan pas sempadan dan dokumen-dokumen perjalanan yang lain seperti Surat Perjalanan Kumpulan, Dokumen Perjalanan Terhad, Pasport Terhad Malaysia dan Sijil Perakuan Cemas.

Pos ini juga telah menjadi pejabat penerima permohonan Pasport Antarabangsa Malaysia. Selain dari kemudahan tersebut, pos ini juga mengendalikan kemasukan buruh warganegara Thailand yang diambil bekerja sebagai pemotong dan penanam padi terutama di kawasan perairan MUDA.

Perubahan Pengurusan Bangunan

Selama hampir 31 tahun beroperasi di bangunan Jabatan Laut, pada awal tahun 2004, Jabatan Laut membaikpulih dan membaiki bangunan tersebut untuk dinaiktaraf bersesuaian dengan matlamat cadangan Kerajaan Negeri menjadikan Kuala Perlis sebuah pelabuhan. Disebabkan pengubahsuaian tersebut, jabatan-jabatan yang beroperasi di bangunan itu dipindahkan dan ditempatkan sementara di sebuah bangunan dalam kawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhampiran dengan pelantar ikan sehingga bangunan tersebut siap dan boleh beroperasi semula.

Bahagian kawalan imigresen ditempatkan di bangunan sementara di dalam kawasan LKIM, manakala bahagian pentadbiran dan dokumentasi telah berpindah ke bangunan MARA yang disewa di alamat No. 113 dan 113A, Bangunan MARA, Jalan Siakap 2, 02000 Kuala Perlis sehingga kini.

Walau bagaimanapun terdapat cadangan membina bangunan untuk menempatkan Pejabat Imigresen Kuala Perlis yang baru dalam Rancangan Malaysia Jangka Panjang Ke-9 dengan kos sebanyak RM5 juta.

Rujukan

  1. Tembual Zahirul Fahmi bin Zani, Pengarah Imigresen Perlis.
  2. Khazanah Perpustakaan, Sejarah Penubuhan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis.

 

Sumber Artikel 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil.24 2012-2013