Accessibility Tools

SONGKRAN MASIH JADI TERAS TRADISI MASYARAKAT SIAM DI PERLIS

SONGKRAN MASIH JADI TERAS TRADISI MASYARAKAT SIAM DI PERLIS

Oleh : ADNAN JAHAYA

Setiap kali tiba 13 April, masyarakat keturunan Siam di Perlis tanpa mengira usia dan jantina akan dibasahi air pada pesta Songkran yang masih kekal menjadi teras tradisi masyarakat itu.

            Pesta Songkran yang juga dikenali sebagai pesta simbah air atau siram air diadakan setiap 13 April sempena sambutan tahun baru mengikut kalendar masyarakat Siam.

            Sebagaimana kira-kira 60 juta penduduk Thailand, rakyat keturunan itu di Malaysia termasuk di Perlis yang berjumlah kira-kira 6,000 orang mengadakan acara yang serupa bagi menjayakan pesta yang bakal menguji kesabaran dan menuntut perasaan kasih sayang golongan muda terhadap warga tua.

            Antara kampung yang mempunyai jumlah penduduk keturunan Siam yang ramai di Perlis termasuk Kubang Tiga, Padang Jelutong, Jejawi, Guar Musang, Guar Syed Alwi, Banat, dan Guar Nangka.

            Presiden Persatuan Siam Malaysia (PSM), Senator Siw Chun a/p Eam berkata, pesta Songkran yang kini diterima sebagai sebahagian daripada kegiatan budaya masyarakat Malaysia tidak harus dilihat sebagai acara keagamaan sebaliknya ia merupakan amalan tradisi masyarakat Siam.

            Katanya, rakyat berbilang kaum kini mula mengingati tarikh 13 April setiap tahun untuk menyertai atau menyaksikan pesta itu dan kebiasaannya acara sambutan berlangsung selama beberapa hari sebelum tarikh itu.

Pesta Songkran yang juga dikenali sebagai pesta simbah air atau siram air
diadakan setiap 13 April sempena sambutan tahun baru mengikut kalendar masyarakat Siam.

 

Pesta Songkran di Guar Musang

 

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

            Air mandian yang menitis daripada tapak kaki golongan tua diambil oleh generasi muda untuk disapukan ke muka sebagai melambangkan tanda hormat dan kasih sayang di samping membersihkan dosa.

            Menjelang tengahari, pesta Songkran akan menjadi lebih meriah apabila masyarakat keturunan Siam mula menyimbah dan menyiram air kepada setiap orang yang mereka temui.

            Irama gendang panjang yang membawakan lagu-lagu tradisional termasuk ramvong menghangatkan lagi suasana sambutan itu.

            Berdasarkan kepercayaan, perayaan itu mengambil sempena hari kemenangan bagi tujuh puteri yang telah membebaskan dunia daripada sumpahan dewa jahat berkepala empat.

            Dewa jahat itu dikatakan telah menyekat hujan menyebabkan bumi diancam kemarau panjang tetapi masalah itu telah diselesaikan dengan kebijaksanaan tujuh puteri itu.

            Sebagai menandakan kesyukuran menerima kehadiran hujan, masyarakat Siam berpestakan air ketika menyambut songkran.

            Songkran memesrakan rakyat berbilang kaum apabila masyarakat keturunan Siam dan para tetamu daripada kaum-kaum lain saling menyiram dan menyimbah air sama ada menggunakan baldi, pistol air, alat pengepam dan paip pemercik air.

            Mereka juga akan saling menyapukan bedak wangi dan kemesraan yang wujud itu meningkatkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan sesama rakan dan kenalan.

            "Mereka yang berada di lokasi Songkran juga akan dilatih bersabar dan berbudi bahasa. Mereka tidak boleh marah apabila baju basah disimbah air. Mereka juga perlu menerima dengan ikhlas jika ada sesiapa yang tidak dikenali menyapu bedak di badan atau muka mereka," katanya.

            Yang pasti pesta Songkran akan bermula dan berakhir dengan penuh kegembiraan dan keinsafan oleh masyarakat keturunan itu.

            Siw Chun yang merupakan wanita Siam pertama di negara ini yang dilantik sebagai anggota Dewan Negara gembira kerana kerajaan Malaysia sentiasa memberi pengiktirafan kepada kaum minoriti itu.

            Menurutnya, masyarakat keturunan Siam di negara ini bebas menjalankan kegiatan kebudayaan dan kerajaan sentiasa memberi bantuan kepada kaum itu.

            "Kami menghargai jasa kerajaan dan kami akan berusaha untuk kebaikan negara ini. Songkran juga kami harap mampu menjadi aset pelancongan negara ini," katanya.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996