Oleh: Alwi B. Salim

Penyerapan Dunia Ketiga dan kuasanya tentera Jepun menyingkirkan pemerintahan penjajah British secara mendadak ke atas Semenanjung Tanah Melayu atau lebih dikenali sebagai Malaya ketika itu, turut merombak corak nasionalis dan mengubah struktur kepimpinan politik yang sedia ada. Walaupun Zaman Pemerintahan Jepun dikenang sebagai zaman yang penuh dengan kepayahan, keperitan hidup, kesengsaraan, ketakutan serta kekejaman, namun baiknya pemerintahan Jepun kerana memberi kesedaran, ruang, peluang dan galakan terhadap pertubuhan serta perkembangan semangat juang di kalangan pejuang-pejuang kebangsaan. Situasi ini amat berguna dan membawa impak penting dalam usaha membebaskan Negeri Perlis bersama negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Tanah Melayu kemudiannya.
“Nasionalisme atau Fahaman Kebangsaan atau ‘Perjuangan Kebangsaan’ di Perlis adalah selarian dengan kebangkitan Nasionalisme di Negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Kesedaran Awal atau asas perubahan itu dicetuskan oleh encik pandai golongan agama Islam berpunca daripada kebangkitan atau pembaharuan yang berlaku di Timur Tengah pada akhir abad ke-19. Di Perlis idea pembaharuan atau ‘Islah’ ini diketahui oleh Dato’ Wan Ahmad Wan Daud dan rakan-rakannya. Pula ini terkenal dengan jolokan ‘Kaum Muda’. Matlamat dan tujuan asal perjuangan golongan ini tertumpu kepada pembaikan dalam hal-hal keagamaan di samping memperlihatkan kesedaran bagi menghadapi cabaran-cabaran terhadap perubahan-perubahan radikal yang dibawa oleh pihak British, orang Cina dan India yang memasuki Perlis semakin ramai.
Dalam masa yang sama golongan ini memperlihat bibit-bibit perjuangan ke arah anti-penjajah dan mula cenderung kepada ‘berpolitik’ seperti mana ditunjukkan oleh Tuan Hj. Mohamad Nor seorang Kadhi dan adiknya Tuan Hj. Ahmad. Namun demikian golongan ini tidak dapat bergerak jauh kerana tidak mendapat sokongan ketika itu. Walau bagaimanapun pembaharuan dan perubahan dalam bidang agama Islam dapat dipertautkan, sebahagian besar amalan-amalan ‘bid'ah’ dan ‘khurafat’ yang memundurkan rakyat Perlis dapat dilenyapkan.
Golongan nasionalisme kedua yang muncul di Perlis dipelopori oleh para pegawai Melayu yang berkhidmat dengan kerajaan British di Perlis. Mereka ini mendapat pendidikan Inggeris dan berhubung baik dengan pegawai-pegawai atasan British, maka perjuangan mereka hanya berupa tuntutan dan rayuan untuk menambahbaik sedikit nasib bangsa Melayu terutama di bidang pendidikan, ekonomi dan layanan yang lebih istimewa berbanding dengan kaum lain. Ketika itu, rakyat Melayu Perlis jauh ketinggalan dalam semua aspek jika dibandingkan dengan kaum pendatang dari benua kecil India dan China.
Sebagai landasan perjuangan puak elit ini berjaya membentuk ‘Persatuan Melayu Perlis’ di awal tahun 1930-an. Persatuan ini dipimpin oleh Tuan Syed Mahazan B. Syed Husain selaku Yang Dipertua, Ustaz Salleh B. Osman menjadi Naib Yang Dipertua, manakala Syed Ahmad Mohd Hashim memegang jawatan Setiausaha dan Bendaharinya En. Tahrin B. Ariffin. Perjuangan golongan ini adalah bersandar kepada bekerjasama dengan pihak British untuk mencapai segala hasrat dan tuntutan mereka. Kumpulan ini mempunyai pelbagai pengisian, ada sejarahnya memainkan ‘nasionalis sederhana’ ada pula yang menyebut ‘nasionalis kanan’ dan ada juga yang memberi nama ‘nasionalis tengah’. Nasionalis ini tidak menentang British, tidak anti-British mereka bekerjasama dan taat kepada pemerintahan British walaupun terdapat percanggahan.
“Kesedaran Awal” atau asas perubahan itu dicetuskan oleh cerdik pandai golongan agama Islam berpunca dari kebangkitan atau pembaharuan yang berlaku di Timur Tengah pada akhir abad ke-19.
“Pemerintahan Jepun banyak menyedarkan penduduk Perlis khususnya akan betapa buruknya berada di bawah pemerintahan penjajah.”
Kebangkitan Nasionalisme dan Pengaruh Kesatuan Melayu Muda
Golongan nasionalis yang ketiga muncul di Perlis ialah pada pertengahan tahun 1930-an terdiri daripada cendekiawan sekular berpendidikan Melayu, kebanyakan pemimpinnya terdiri daripada guru-guru Melayu dan guru-guru Melayu lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim, Perak. Nasionalis-nasionalis ini amat terpengaruh dengan perjuangan Parti Nasional Indonesia (PNI) yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajahan Belanda secara revolusi.
Prinsip perjuangan golongan ini bersifat anti pemerintahan British dan bertindak keras dalam segala tuntutan dan perjuangan bagi mencapai cita-cita mereka. Tetapi agak malang ketika itu tidak wujud kesepaduan yang kukuh keseluruhan nasionalis di negeri-negeri di Tanah Melayu.
Usaha untuk mewujudkan perjuangan bersama antara penduduk negeri-negeri Tanah Melayu bermula dengan penubuhan ‘Persatuan Sahabat Pena’ yang termuat dalam akhbar ‘Saudara’ pada tahun 1936, diterbitkan di Pulau Pinang. Keahliannya terbuka kepada seluruh rakyat Tanah Melayu, Sarawak dan Brunei.
Di Perlis yang menjadi ahli ‘Sahabat Pena’ terutama guru-guru Melayu tetapi tidak aktif dan berkesan. Arus kebangkitan semangat bencikan penjajah dan membaranya semangat cintakan negara dan bangsa di seluruh benua Asia mendorongkan Ibrahim Hj. Yaakub membentuk sebuah parti politik radikal dengan nama ‘Kesatuan Melayu Muda’ (KMM) di mana keahliannya terbuka kepada seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu.
Ekoran tertubuh KMM, ramai ahli ‘Sahabat Pena’ beralih menjadi ahli KMM, yang lebih jelas serta agresif dasar dan matlamat perjuangannya. Perjuangannya jelas iaitu menghalau British dari negara ini hatta, terpaksa menggunakan kekerasan.
Menurut Tn. Hj. Ab. Malik b. Hj. Ab. Ghani, KMM tidak mempunyai cawangan di Perlis tetapi mempunyai ahli dan pejuang-pejuang yang seiringan dengan KMM. Antara mereka ialah Yahya Baginda, Cikgu Kamal, Ahmad Hj. Shamsuri, Cikgu Wan Din b. Che Mat, Rosli Hassan dan ramai lagi.
Oleh kerana perjuangan KMM terhalang disebabkan undang-undang maka gerakan untuk menentang dan menghalau British dibuat secara sulit dan dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Sebelum KMM dapat bergerak lebih jauh Jepun telah mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu daripada kekuatan British dalam Perang Dunia Kedua.
Semasa Jepun memerintah gerakan nasionalisme Melayu dan KMM mendapat sokongan dan galakan daripada pihak Jepun. Anggota-anggota KMM berusaha mengguna dan mempergaruhi Jepun untuk mencapai matlamat sosial dan politik mereka, manakala Jepun pula mengharapkan mereka akan memperolehi manfaat dengan bekerjasama dengan KMM bagi muslihat ekonominya.
Perkembangan Politik Selepas Pendudukan Jepun
Semasa Jepun memerintah, telah muncul beberapa pertubuhan nasionalis radikal di peringkat negara dan diikuti penubuhannya di peringkat negeri. Negeri Perlis juga tidak ketinggalan dalam arus kebangkitan semangat dalam era pemerintahan Jepun.
Antara pertubuhan itu ialah API (Angkatan Pemuda Insaf), PETA (Pembela Tanah Air) pertubuhan separa tentera yang diwujud oleh Jepun untuk kepentingannya menentang penyerang-penyerang Cina. Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan ditukar menjadi Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung, pimpinan Ibrahim Hj. Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di peringkat pusat.
Pemerintahan Jepun banyak menyedarkan penduduk Perlis khasnya akan betapa buruknya berada di bawah pemerintahan penjajah. Kekalahan Jepun secara tiba-tiba membantu semua kegiatan yang dirancang dan kemaharajalelaan orang Cina khasnya ahli-ahli MPAJA (Malayan Peoples Anti-Japanese Army) atau dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’ bertindak menguasai kerajaan Tanah Melayu mencetuskan huru-hara dan pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina.
Terdapat beberapa orang Melayu yang dibunuh secara zalim dan menyeksa secara kejam kononnya membalas dendam terhadap orang Melayu yang berkerjasama dengan Jepun.
Setibanya kembali British ke Tanah Melayu pada Ogos 1945, mereka telah menubuhkan kerajaan sementara di bawah pentadbiran tentera British. Matlamatnya untuk membersih saki baki tentera Jepun yang masih berada di Tanah Melayu, memperbaiki jalan-jalan perhubungan, menggantikan semula sistem ekonomi yang dihancurkan Jepun dan membuat persediaan pembentukan Kerajaan baru yang akan diwujudkan di Tanah Melayu.
Di samping itu Kerajaan British menghantar Harold Mac Michael sebagai utusan menemui sultan-sultan dan raja Melayu bagi mendapat tandatangan persetujuan bagi melaksanakan ‘Gagasan Malayan Union’. Dengan perjanjian tersebut pihak British telah menguasai secara langsung negara ini dan ketuanan Melayu akan terhapus.
Penentangan Terhadap Malayan Union
Pada akhir Januari 1946 pihak British telah mengumumkan ‘Rancangan Malayan Union’ kepada rakyat dalam satu ‘Kertas Putih’. Mengikut ‘Perlembagaan Malayan Union’ semua negeri di Tanah Melayu digabungkan menjadi sebuah ‘negara kesatuan’ kecuali Singapura dan diperintah oleh seorang ‘Gabenor British’.
Dan amat menghiris hati orang Melayu kerana hak kedaulatan dan kekuasaan Melayu dirampas oleh British. Pemimpin-pemimpin Melayu di seluruh negara terkejut dan cemas manakala rakyat jelata berada dalam keadaan panik dan resah. Akibat daripada peristiwa Gagasan Malayan Union yang diumum ini segenap lapisan masyarakat dan istana hingga kepada petani serta kaum ibu bangkit melaungkan penentangan yang keras dan bersepadu meminta British menarik balik dan memansuhkan rancangan tersebut.
“Semangat orang Melayu amat tinggi lantaran telah dibakar oleh peristiwa di masa pemerintahan Jepun kemudiannya kemarahan mereka semakin memuncak apabila tindakan MPAJA atau ‘Bintang Tiga’.”
Penubuhan UMNO dan Gerakan Menuntut Kemerdekaan
Setelah pihak British selesai ini amat bertentangan dengan impian orang Melayu akan berdiri di dalam menerima sahaja setiap rancangan mereka. Lanjutan daripada itu, pada Mei 1946 tertubuhlah ‘Parti Kebangsaan Melayu Bersatu’ (UMNO) merupakan parti ulung yang menyatupadukan bangsa Melayu di seluruh negara setelah melalui perjuangan dan kongres. Presiden pertama Dato’ Onn Bin Jaafar terpaksa menjelajah keseluruh ceruk rantau bagi menjelas dan membakar semangat pejuang-pejuang Melayu dan rakyat seluruhnya dan paling menakjubkan ialah kebangkitan kaum ibu yang secara berani dan lantang menentang Gagasan Malayan Union.
Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) peringkat Negeri Perlis ditubuh berikutan dengan penubuhan UMNO di negeri-negeri lain. Pemimpin UMNO pertama di Perlis ialah Tahrin b. Ariffin. Matlamat dan tujuan utama diawal penubuhannya ialah untuk menumbangkan kerajaan Malayan Union yang di tubuh oleh British.
Slogan perjuangan yang menjadi laungan dan pekikan ketika itu ialah ‘Hidup Melayu’. Semangat orang Melayu amat tinggi lantaran telah dibakar oleh peristiwa di masa pemerintahan Jepun kemudiannya huru-hara semasa peralihan kuasa angkara tindakan MPAJA atau ‘Bintang Tiga’. Di samping UMNO, di Arau golongan muda radikal secara sulit menubuhkan ‘Persatuan Benci Nippon’ diketuai oleh Syed Mahadi Bin Syed Husain. Tujuan penubuhannya ialah bagi meluatkan orang Melayu bagi perjuangan menentang British secara kekerasan sekiranya perlu.
Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu
Pada penghujung tahun 1946 Dato’ Onn b. Jaafar melawat Perlis dalam siri penjelajahannya ke seluruh negara dalam usaha menyedar dan membangkitkan semangat orang Melayu bagi melancarkan gerakan menentang dan menumbangkan ‘Malayan Union’.
Kehadiran Dato’ Onn di Kelab Indera Kayangan, Kangar Perlis mendapat sambutan yang amat luar biasa. Golongan kaum ibu yang sebelum ini sukar ditemui dalam majlis-majlis telah membanjiri perkarangan kelab ini.
Dalam majlis ini selain daripada Dato’ Onn, Tuan Haji Mokhtar, Dato’ Sheikh Ahmad Mohd. Hashim berucap. Pihak kaum ibu penghormatan utama diberi kepada Cikgu Melor Bt. Ismail untuk berucap di situ oleh Pn. Shakrom Bee dan Pn. Maimoon.
Selepas perhimpunan ini beberapa siri perhimpunan diadakan di seluruh negeri Perlis. Kemuncak daripada segala penentangan ini ialah penarikan besar-besaran rakyat Perlis untuk menyerahkan surat bantahan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau.
Penentangan dan perarakan yang sama berlaku di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu, sepanduk daripada kanak-kanak, ‘Jahanam Mac Michael Imperialisme’ dan pelbagai lagi. Kebangkitan nasionalis dari kalangan kaum wanita secara mendadak mengukuhkan wadah perjuangan menghancurkan Gagasan Malayan Union dan menarik perhatian wakil Parlimen British iaitu Kapten L.J. Gammans.
Selain daripada tentangan dan bantahan dari rakyat, pihak British juga berhadapan dengan bantahan daripada Raja dan Sultan-Sultan Melayu yang disampaikan melalui surat juga di sokong oleh pegawai British. Akhirnya pihak British terpaksa akur dan mengalah kerana tidak mendapat sokongan daripada Sultan, raja dan bangsa Melayu.
Justeru pihak British bersetuju supaya dibentuk ‘Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu’ dan pembentukan secara rasmi diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Kejayaan UMNO menumbangkan ‘Malayan Union’ dan pihak kerajaan British mengisytiharkan pembentukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 membangkitkan kemarahan kaum Cina khasnya yang bergiat aktif dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
PKM berhasrat dan cuba membentuk ‘Republik Komunis Malaya sebaik sahaja Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945’. Golongan radikal Melayu menubuh PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) bagi menentang perkembangan Persekutuan Tanah Melayu kerana menganggap UMNO banyak bertolak ansur dan banyak perkara menguntungkan bukan Melayu dan British.
Akibat daripada rasa tidak puas hati dan kemarahan yang melampau PKM-PUTERA bergabung bangkit menentang British secara ganas dan kekerasan. Ekoran daripada keadaan huru-hara dan tindakan-tindakan ganas di seluruh negara angkara daripada PKM, kerajaan British terpaksa mengisytiharkan darurat dan PKM diharamkan.
Pilihan Raya dan Jalan Menuju Kemerdekaan
Di Perlis keganasan komunis tidak begitu ketara, hanya berlaku di Pauh, Kaki Bukit dan sepanjang sempadan Perlis-Thailand. Keadaan darurat yang berlaku tidak menjejaskan kegiatan politik tanah air.
Perjuangan UMNO untuk mencapai kemerdekaan diteruskan melalui rundingan, perbincangan dan tuntutan melalui perlembagaan. Langkah awal ialah dengan mengadakan pilihan raya peringkat bandaran dan pada tahun 1955 diadakan ‘Pilihanraya Umum’ bagi memilih 52 ahli Dewan Undangan Persekutuan Tanah Melayu pertama manakala 46 lagi dilantik oleh kerajaan.
Perlis diperuntukkan memilih dua orang wakil rakyat. Dalam pilihanraya umum pertama pada 27 Julai 1955, Parti Perikatan Perlis berjaya memenangi kedua-dua kerusi Parlimen tersebut menewaskan calon-calon PAS di peringkat negara.
“Pada 8 Februari 1956 ‘Perjanjian London’ di meterai oleh Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dengan kerajaan British. Menurut perjanjian tersebut Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada akhir Bulan Ogos 1957.”
Kemenangan Parti Perikatan dan Kemerdekaan
Parti Perikatan memperolehi kemenangan besar iaitu 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Berikutan dengan keputusan pilihanraya umum 1955 penjajah British terpaksa menerima hakikat Parti Perikatan mendapat sokongan padu daripada rakyat Tanah Melayu.
Tunku Ab. Rahman Putra dilantik menjadi Ketua Menteri pertama. Pada Jan 1956 rombongan Parti Perikatan ke London bagi membincangkan kemerdekaan dengan kerajaan British. Pada 8 Februari 1956 ‘Perjanjian London’ dimeterai oleh Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dengan kerajaan British.
Menurut perjanjian tersebut Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada akhir Bulan Ogos 1957. Tepat jam dua belas tengah malam 31 Ogos 1957, di hadapan Bangunan Kerajaan Negeri Perlis, bendera Union Jack diturunkan dan Ab. Malik b. Hj. Ab. Ghani diberi penghormatan menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diiringi dengan laungan merdeka.
Dengan permasyhuran kemerdekaan pada pagi 31 Ogos 1957 oleh YTM Tunku Ab. Rahman Putra di Stadium Merdeka Kuala Lumpur maka berakhirlah penjajahan British ke atas negara tercinta ini.
Temu bual:
Tn. Hj. Ab. Malik b. Ab. Ghani, Dato’ Hj. Ust Nordin b. Ismail.
Sumber Rujukan
- Khoo, Gilbert, Dorothy Lo. Asia Dalam Pembangunan Kuala Lumpur; PHEB, 1978.
- Abdul Rahman Ismail. Am Aliran Nasionalisme dan Revolusi Pulau Pinang; USM, 2006.
- Tang Su Chin. Julie Sejarah Kerajaan Perlis 1841–1957, Kuala Lumpur; MBAS, u.d.
Jurnal Warisan Indera kayangan Bil. xx. 2008
