Oleh : Adnan Jahaya
Kegiatan timba telaga mungkin terlalu asing bagi generasi kini namun ia adalah antara kegiatan penting setiap kali selepas musim menuai padi di Perlis suatu ketika dahulu.
Setiap kali selepas musim menuai, para petani mula mencipta timba daripada tin minyak tanah bertujuan mengeluarkan air daripada telaga atau parit kecil untuk mendapatkan ikan yang berhabiat di situ.
Biasanya kegiatan timba telaga dilakukan secara bergotong royong membabitkan kalangan anggota keluarga dan jiran-jiran terdekat dan tujuannya hanya satu iaitu untuk mendapatkan sebanyak mungkin ikan di dalamnya.
Ikan-ikan yang dipungut hasil daripada kegiatan itu dihajikan dan ada yang dimasak dan ada yang dipilih untuk dimasak dan dibakar sebagai hidangan untuk dimakan secara beramai-ramai.
Biasanya selepas musim menuai, sawah menjadi kering dan telaga serta kolam kecil yang menjadi tempat peliharaan ikan juga mulai surut airnya.
Bagi memudahkan kerja-kerja menangkap ikan secara tradisional menggunakan tangan atau serkap, air dari telaga dan kolam kecil perlu dikeringkan dan ketika tiada kemudahan moden seperti pam air, para penduduk menggunakan kaedah tradisional iaitu menggunakan timba bagi mengeluarkan air dari situ.
Kegiatan timba telaga menggunakan kudrat manusia masih lagi dilakukan di beberapa lokasi bagi mengembalikan nostalgia meskipun mereka boleh menggunakan pam air yang lebih memudahkan.
Pada zaman dahulu, kegiatan timba telaga dilakukan secara “berderau” atau saling membantu dan bertolong-tolongan antara pemilik telaga. Ini bermakna pertolongan yang dihulurkan perlu dibayar dengan pertolongan yang serupa.
Di Sungai Berembang baru-baru ini, ratusan penduduk membanjiri telaga ikan milik Rosli Talib bagi mengembalikan nostalgia timba telaga itu.
Bagi generasi remaja, mereka turut teruja melihat kebolehan generasi lama memungut ikan menggunakan tangan dan mereka juga menyertainya tanpa menghiraukan lumpur yang membalut badan.
Pelbagai jenis ikan air tawar seperti haruan, keli, puyu dan sepat menjadi habuan mereka dan kemudiannya ikan-ikan itu dibakar, digulai dan disayurkan untuk dinikmati secara beramai-ramai.
Bagi Rosli yang memiliki dua telaga ikan, beliau akan menjadikan telaga miliknya sebagai lokasi timba ikan secara tradisional bagi menggamit kenangan silam.
Bekas peniaga ikan itu berkata, walaupun kebanyakan pemelihara ikan untuk tujuan komersil tetapi beliau ingin menjadikannya sebagai kegiatan yang mampu menyuburkan semula kenangan timba telaga.
“Saya tidak mendapat sebarang keuntungan komersil daripada timba telaga namun saya beria menyuburkan semangat kerjasama masyarakat setempat,” kata petani berusia 61 tahun itu.
Rosli berkata telaga itu diwujudkan lima tahun lalu dan hasratnya untuk menjadikan lokasi timba telaga secara tradisional telah berhasil.
Selagi kegiatan timba telaga, kegiatan-kegiatan lain selepas musim menuai di Sungai Berembang termasuk menangkap ikan dalam sawah.
Segala-gala memperlihatkan keindahan hidup masyarakat tani dan jika dipertahankan, ia mampu menjadi pemikat sektor pelancongan.
Sesungguhnya kegiatan timba telaga juga sedang mengalami zaman gelapnya jika sektor pertanian komersil menyelapkan ruang untuk kegiatan timba telaga.
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 21 2009

