
Oleh: Ramli Ismail
Walaupun sebuah bandar yang kecil, namun bandar Kangar juga mempunyai banyak jalan yang mempunyai nama-nama yang tersendiri. Keunikannya nama jalan-jalan tersebut mempunyai hubung kait dengan nama-nama tertentu sekaligus mempunyai nostalgianya yang tersendiri.
Kebanyakan nama dalam bandar Kangar diambil daripada kewujudan sesuatu di kawasan jalan-jalan tersebut walaupun masa kini sesuatu yang pernah wujud itu sudah tiada lagi. Hal ini sudah pastinya tidak diketahui oleh generasi muda masa kini yang hanya tahu pada nama sahaja, tetapi tidak mengetahui kenapa jalan-jalan berkenaan dinamakan sedemikian.
Di antara jalan yang dapat dicatatkan dengan nostalgia-nostalgia tersendiri dalam bandar Kangar ialah Jalan Penjara. Jalan tersebut terletak di antara Hotel Ban Chong hingga ke persimpangan Jalan Sekolah Derma. Dari namanya sahaja sudah dapat diteka kenapa jalan berkenaan dinamakan Jalan Penjara. Jawapannya mudah. Ini disebabkan suatu ketika dahulu terdapat sebuah penjara yang terletak di tapak Pejabat Pelajaran Negeri sekarang.
Begitu juga dengan Jalan Sekolah Derma yang terletak di salah satu penghujung Jalan Penjara di mana Sekolah Derma (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Derma) yang dibina di situ sejak penghujung tahun 1940-an. Bagaimanapun sebelum itu jalan tersebut dipanggil Jalan Bakar Sampah kerana di satu sudut di situ terdapat kawasan pembakaran sampah Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Jalan Sekolah Derma terletak di antara kawasan lampu isyarat Jalan Hospital hingga ke kawasan lampu isyarat Jalan Kaki Bukit berhampiran Sekolah Menengah Teknik Kangar. Di antara dua lampu isyarat pada jalan tersebut terdapat sebatang jalan yang diberi nama Jalan Pegawai. Jalan berkenaan terletak di persimpangan lampu isyarat bahagian tengah jalan Sekolah Derma dengan persimpangan Persiaran Jubli Emas dekat Kompleks Islam Kangar.
Bagi anak-anak muda sekarang mungkin sukar untuk diteka kenapa jalan terlibat dinamakan Jalan Pegawai. Sebenarnya nama itu diambil daripada terdapat banyak kuarters pegawai kerajaan dibina sepanjang jalan tersebut suatu ketika dahulu. Bagaimanapun sekarang hanya terdapat beberapa buah sahaja kuarters dan kebanyakannya tidak lagi diduduki oleh pegawai-pegawai kerajaan sebaliknya dijadikan tempat untuk aktiviti lain oleh kerajaan atau agensi-agensi tertentu.
Persiaran Jubli Emas terletak antara kawasan perkeliling berhampiran Hotel Putra Palace terus ke bandar Kangar hingga ke persimpangan lampu Jalan Jubli Perak. Nama tersebut adalah mengambil sempena 50 tahun pemerintahan Raja Perlis ketika itu, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Jika datang dari p ekeliling dekat Hotel Putra Palace masuk ke bandar Kangar melalui Persiaran Jubli Emas, terdapat tiga batang jalan di sebelah kiri dan lima batang jalan di sebelah kanan. Tiga batang jalan di sebelah kiri ialah Persiaran Dato’ Ali Ahmad berhampiran berek polis Kangar, Jalan Raja Syed Alwi berhampiran bangunan telekom tepi Sungai Perlis dan Jalan Jubli Perak dekat jambatan Sungai Perlis berhampiran tapak Stadium Dato’ Sheikh Ahmad ke sekeliling Jalan Bukit Lagi dekat Taman Bukit Kaya.
Persiaran Dato’ Ali Ahmad diambil pada nama bekas Menteri Besar Perlis yang ketiga selepas merdeka, Persiaran Dato’ Ali Ahmad yang letak di antara persimpangan Persiaran Jubli Emas dan Jalan Kampung Sena. Jalan Raja Syed Alwi adalah mengambil sempena nama seorang raja pemerintah negeri Perlis, Almarhum Tuanku Raja Syed Alwi. Kedudukannya bermula di persimpangan Persiaran Jubli Emas hingga ke Titi Chai di Utan Aji. Jalan Jubli Perak pula diambil sebagai mengingati 25 tahun pemerintahan Almarhum Tuanku Syed Putra menjadi Raja Perlis.
Lima jalan di sebelah kanan masuk bandar melalui Persiaran Jubli Emas dari sekeliling dekat Hotel Putra Palace termasuk Jalan Pegawai dan Jalan Penjara. Tiga jalan lagi ialah Jalan Kelab Indera Kayangan, Jalan Hospital dan Jalan Home Guard.
Jalan Kelab Indera Kayangan terletak antara lampu isyarat Persiaran Jubli Emas ke Jalan Raja Syed Alwi dekat bangunan telekom ke persimpangan Jalan Tun Razak, hadapan Bangunan Tun Razak. Nama jalan tersebut diambil sempena wujudnya bangunan Kelab Indera Kayangan yang sekarang menjadi tapak Bangunan Tun Razak. Bangunan tersebut adalah kepunyaan sebuah kelab yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai kerajaan di negeri ini dan pernah menjadi pejabat Pendaftaran Negara tempat menguruskan pengeluaran kad pengenalan suatu ketika dahulu.
Jalan Hospital pula terletak antara persimpangan Persiaran Jubli Emas berhampiran Bazar Melayu ke lampu isyarat persimpangan Jalan Sekolah Derma. Namanya diambil sempena wujudnya Hospital Kangar yang merupakan salah satu lokasi laluan jalan terbabit. Hospital itu masih terdapat hingga sekarang dengan nama Hospital Tuanku Fauziah.
Sementara itu Jalan Home Guard pula terletak bersebelahan tapak Stadium Dato’ Sheikh Ahmad dan Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dari lampu isyarat persimpangan Persiaran Jubli Emas ke persimpangan Jalan Tun Razak dekat padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK). Difahamkan di kawasan terbabit suatu ketika dahulu terdapat pejabat Home Guard, iaitu sebuah pasukan pengawal keselamatan kampung suatu ketika dahulu.
Jalan Tun Razak yang terletak antara hadapan Kompleks Dewan Warisan Negeri dengan Jalan Penjara dinamakan sebagai mengambil sempena nama bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abd. Razak Hussain yang membuat lawatan rasmi ke Perlis pertengahan tahun 1970-an dahulu. Kedatangannya itu juga merasmikan pembukaan bangunan Kompleks Tun Razak yang menempatkan pejabat kerajaan Persekutuan.
Sementara itu Jalan Bukit Lagi yang letak antara persimpangan Persiaran ke Jalan Jubli Perak hingga ke lampu isyarat persimpangan Jalan Raja Syed Alwi adalah mengambil sempena nama Bukit Lagi yang terletak di salah satu penghujung jalan tersebut di Taman Bukit Kaya.
Itulah antara nama-nama jalan yang terdapat dalam bandar Kangar yang mempunyai nostalgianya yang tersendiri dan mungkin tidak diketahui asal ianya diberi nama khusus bagi generasi muda sekarang.
Nota:
Maklumat diperolehi daripada beberapa orang penduduk warga emas dalam bandar Kangar.
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 21 2009
