Accessibility Tools

NASIONALISME DAN PERJUANGAN MENUNTUT KEMERDEKAAN DI PERLIS

Oleh: Alwi Bin Sudin

Bahagian 01

Nasionalisme atau “Perjuangan Kebangsaan” atau “Fahaman Kebangsaan” ungkapan yang digunapakai bagi menyatakan penentangan rakyat terhadap kuasa penjajah atau pemerintah di sebuah negara atau negeri atau wilayah atau daerah. Walaupun pentakrifan maknanya itu tidak pernah dapat disepakati sepenuhnya oleh para pengkaji bidang sains politik dan sejarawan namun, mereka mempersetujui bahawa paksi atau nadi yang menggerakkan nasionalisme adalah ‘bangsa’ yang menganggap diri mereka sebagai tuan yang berhak dari segi politik dan kedaulatan terhadap wilayah politik atau daerah atau negeri atau negara.

Bangsa yang dijajah akan berusaha untuk membebaskan diri dan negara atau negeri atau wilayah atau daerah daripada belenggu penjajah, manakala bangsa yang merdeka pula akan berusaha mempertahankan diri dan negara mereka daripada dijajah. Nasionalis yang unggul akan memberi sepenuh tenaga, fikiran, jiwa dan raga demi kemerdekaan, kedaulatan dan kepentingan negara bangsanya. Maka dalam pengertian inilah nasionalis atau wira-wira bangsa amat ketara dalam kalangan masyarakat yang dijajah dan sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat negara-negara yang bebas yang berusaha memastikan negara-bangsa mereka dijajah. Sayugia diingat, nasionalisme juga wujud di negara-negara yang tidak pernah dijajah seperti negara Thai dan Jepun contohnya.

Wujudnya Negeri Perlis

Di daerah Perlis kemunculan semangat kebangsaan atau ‘nasionalisme’ seawal yang dapat dikesan adalah pada dekad kedua abad kesembilan belas (1820-an). Semangat ini dicetuskan oleh Tuan Syed Husain Jamalullail Penghulu Mukim Arau yang kedua. Bermula pada tahun 1821M, membawa ke tahun 1841M selama dua puluh tahun, Tuan Syed Husain Jamalullail bertekad dan berusaha memperjuangkan untuk membebaskan daerah Perlis dari kawalan kuasa pusat iaitu Kedah.

Dalam jangka masa itu, Tuan Syed Husain dan pengikut-pengikutnya melakukan pemberontakan dan diplomasi, akhirnya pada tahun 1841M, Perlis berjaya dipisahkan daripada kekuasaan Kedah, dan pada tahun 1843M, Tuan Syed Husain Jamalullail dilantik dan diiktiraf sebagai Raja negeri Perlis yang pertama. Perlis diingat negeri Perlis adalah negeri berdaulat yang terakhir wujud di Semenanjung Tanah Melayu.

Walaupun Perlis telah merdeka dan berdaulat namun, pihak kerajaan Kedah tidak pernah berdiam diri daripada berusaha untuk menguasai semula Perlis. Bagi mengekalkan dan mempertahankan kemerdekaan yang diperolehi Tuanku Raja Syed Husain Jamalullail mengeratkan hubungan persahabatan dan bernaungan di bawah kerajaan Siam sehinggalah ke tahun 1909M, bila mana British mengambil alih daripada kerajaan Siam melalui “Perjanjian Great Britain - Siam 1909”.

Dari semenjak itu kekuasaan dan pengaruh British mula mencengkam negeri Perlis, malah beberapa negeri di Tanah Melayu telah jatuh ke tangan British atau terdapat campur tangan British. Semenjak daripada tarikh itu pentadbiran negeri Perlis telah dikuasai oleh pemerintahan British kecuali dalam hal adat-istiadat Melayu dan agama Islam.

Ke Arah Kesedaran Kebangsaan

Keadaan stabil yang wujud di Perlis khususnya dan seluruh Tanah Melayu amnya daripada campur tangan British, membolehkan penduduk-penduduk Melayu Perlis membentuk struktur sosial yang kukuh berasaskan cara hidup dan sikap tradisi bangsa Melayu yang sejati.

Dengan adanya sistem pelajaran yang teratur walaupun tidak memuaskan memberi peluang kepada sebilangan kecil orang Melayu menuntut ilmu yang lebih tinggi sama ada di dalam atau di luar negeri terutama di dalam bidang agama Islam. Terdapat beberapa orang rakyat Perlis yang berkesempatan belajar di Mesir dan Arab Saudi, di samping itu terdapat yang berjaya belajar di sekolah-sekolah Inggeris seperti Penang Free School dan sebagainya.

Tindakan British menguatkan sistem pentadbirannya dan kemasukan buruh-buruh Cina dan India ke Perlis bagi kepentingan ekonomi mereka menimbulkan keresahan dan kecurigaan golongan bestari Melayu. Golongan agama yang menuntut di Mesir dan Arab Saudi terutamanya dan mendapat pengaruh daripada pembaharuan yang dipimpin oleh Syeikh Mohamad Abduh (Mesir) merasakan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membawa suatu perubahan terhadap rakyat di Perlis khasnya di bidang agama Islam, politik dan sosial amnya.

“…nasionalis yang unggul akan memberi sepenuh tenaga, fikiran, jiwa dan raga demi kemerdekaan, kedaulatan dan kepentingan negara bangsanya…”

Menurut Tuan Hj. Ab. Malik b. Hj. Ab. Ghani seorang penggiat sejarah yang aktif di Perlis, menyatakan usaha untuk mengisytiharkan fahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar dan langkah ke arah anjakan paradigma masyarakat Melayu Perlis berjalan serentak.

Tokoh utama yang menggerakkan ke arah ‘perubahan’ ini ialah Dato’ Wan Ahmad bin Wan Daud, seorang pembesar kerajaan negeri Perlis yang pernah menjawat jawatan Hakim Negeri, Pengarah Kemajuan Negeri dan akhirnya menjadi penasihat utama kepada Tuanku Raja Perlis. Tokoh-tokoh lain yang terlibat dengan ‘gerakan pembaharuan’ atau ‘Islah’ ini ialah Tuan Syeikh Abu Bakar Al-Shaari yang dilantik menjadi Imam Besar Masjid Alwi, Kangar.

Selain daripada menjadi imam, beliau juga aktif menyampaikan ceramah agama di masjid-masjid, madrasah-madrasah dan tempat awam bagi menyedarkan rakyat negeri ini. Fokus ucapannya ialah ke arah penghapusan amalan syirik dan khurafat. Ketika itu, kepercayaan kepada kuasa ‘tok keramat’, hantu, polong dan jembalang masih bertapak kukuh dalam anutan orang Islam di Perlis.

Manakala amalan pemujaan roh, semangat, menghalau hantu polong dan jembalang berleluasa di merata tempat dan kampung. Di samping berceramah, Tuan Syeikh Abu Bakar juga banyak menghasilkan risalah, kitab-kitab serta membuat pentafsiran yang benar mengenai kefahaman tentang kandungan Al-Quran dan Hadis.

Seorang lagi yang terlibat ialah Tuan Syeikh Mahmud Mat Saman menjawat jawatan Kadi Negeri Perlis. Di Paya terdapat seorang yang lebih kehadapan dalam memperjuangkan reformis dalam hal keagamaan dan juga keduniaan. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Hj. Ab. Ghani b. Dato’ Sakti Imam Masjid Paya.

Bagi mempermudahkan usaha dakwahnya, beliau telah membina sebuah madrasah di atas tanah miliknya berhampiran rumahnya di Alor Sena. Madrasah ini bukan untuk mempelajari ilmu agama semata-mata malah dijadikan tempat untuk menyampaikan ceramah-ceramah yang membangkitkan kesedaran pemikiran di kalangan masyarakat setempat dan penduduk sekitarnya.

Selain dari madrasah di Alor Sena, Paya, terdapat juga madrasah di Pengkalan Asam Kangar. Madrasah ini dipimpin oleh Tuan Syeikh Abu Bakar Al-Shaari. Fungsi dan tujuannya adalah sama iaitu menyampaikan pengajaran agama Islam secara Sunnah dan melarang amalan bida’ah dan khurafat.

“…kemasukan buruh-buruh Cina dan India ke Perlis menimbulkan keresahan dan kecurigaan golongan bestari Melayu…”

Di samping menyalurkan idea-idea yang boleh menimbulkan kesedaran kebangsaan. Sebuah lagi madrasah yang mempunyai tujuan dan aktiviti yang sama ialah di Batu Lima, Jalan Kuala Perlis. Orang yang bertanggungjawab terhadap madrasah ini ialah Tuan Hj. Abu Bakar.

Tokoh-tokoh lain turut terlibat dalam usaha membangkit kesedaran rakyat jahil ialah Tuan Hj. Muhammad b. Md. Noor, adiknya Tuan Hj. Ahmad b. Md. Noor, kedua-duanya adalah Hakim Negeri dan ahli Majlis Negeri, Tuan Hj. Ab. Karim b. Mohd. Noor seorang guru dan Ustaz Shathrom bt. Syeikh Muhamad, lebih dikenali sebagai Ustazah Shathrom B.

Akibat daripada gerakan Islah atau pembaharuan ini, golongan ini dikenali sebagai ‘Ahli Sunnah Waljamaah’ atau dikenali dengan panggilan ‘Kaum Muda’ oleh golongan utama tradisional Melayu yang tidak secucuk dan tidak mahu menerima pakai ajaran dan bawaan perubahan yang didakwah oleh golongan ‘Ahli Sunnah’ atau ‘Kaum Muda’.

Mereka tetap mempertahankan tradisi yang telah mereka amalkan sejak daripada datuk nenek mereka lagi. Puak atau golongan ini dikenali dengan panggilan ‘Kaum Tua’ atau anti pembaharuan di satu pihak dan ‘Kaum Muda’ atau ahli Sunnah di satu pihak yang lain. Natijah atau impaknya maka berlakulah pulau-memulau, tuduh-menuduh dan salah-menyalah di antara satu dengan lain.

Dalam suasana masyarakat yang ketidaktentuan, antara usaha-usaha ke arah perubahan dalam hal keagamaan dan usaha-usaha ke arah anjakan paradigma masyarakat Melayu, secara mengejut Jepun telah menyerang Tanah Melayu dari arah utara pada 8 Disember 1941.

Lantaran pertahanan British di Tanah Melayu begitu lemah dan kekuatan semangat berani serta azam yang tinggi di kalangan askar-askar Jepun maka pada 15 Februari 1942, kerajaan British di Tanah Melayu telah menyerah kalah dan semua negeri di Tanah Melayu dikuasai pula oleh pemerintahan Jepun. Dari era pemerintahan Jepun bermula dan diingati sebagai Zaman Jepun.

— bersambung

Temu Bual

  1. Tuan Hj. Ab. Malik b. Hj. Ab. Ghani
  2. Tuan Hj. Ust. Nordin b. Ismail

Sumber Rujukan

  1. Ahmad Ismail & Yazid Mat. Perlis Indera Kayangan-Kangar: Perpustakaan Awam Negeri Perlis, 1992.
  2. Tang Su Chin, Julie. Sejarah Kerajaan Perlis 1841–1957. Kuala Lumpur: MBAS, n.d.
  3. Khoo, Gilbert Dorothy Lo. Asia dalam Pembangunan. Kuala Lumpur: HEB, 1978.
  4. Abdul Rahman Ismail & Azmi Ariffin. Nasionalisme dan Revolusi. Pulau Pinang: USM, 2006.

Sumber Artikel

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil xix,2007