PENGKALAN ASSAM
Dari Perspektif Sejarahnya
Oleh : MOKHTAR A.K.
DARI PERSPEKTIF SEJARAHNYA, NAMA PENGKALAN ASSAM didasarkan sempena sepohon pokok assam yang tumbuh besar (di tebing seberang pengkalan, di sudut kiri ke seberang) iaitu arah ke Kangar. Mengikut sejarahnya iaitu hasil penemuan dengan beberapa orang kampung yang umur mereka menjangkau 80-an, "Pengkalan Assam" diambil sempena pokok assam tersebut. Pengkalan Assam terletak di pinggir sungai, kira-kira 1 kilometer dari bandar Kangar.
Pada tahun 1921 hingga akhir tahun 1951, sungai Pengkalan Assam merupakan laluan utama dan menjadi media pengangkutan penting. Berperanan besar dalam mencorak kehidupan dan pembangunan negara. Pada dekad tersebut, sungai kekal popular sebagai laluan perahu, bot, tongkang dan kapal untuk pengangkutan barang-barang dagangan serta menjadi media penghubungan kepada penduduk-penduduk.
Sungai Pengkalan Assam juga menjadi laluan rasmi tongkang-tongkang, bot-bot yang datang dari Singapura dan Pulau Pinang bagi membawa pelbagai barangan dagangan. Bot-bot dan tongkang-tongkag tersebut akan berlabuh di Pengkalan Assam dan di tepian pasar Kangar (yang sekarang dibangunkan bangunan 'Majlis Perbandaran Kangar').
Di hujung pasar terdapat sebuah Jabatan Penerangan Negeri (yang kini dibangunkan Pejabat Telekom dan pada tahun 1998, bangunan tersebut tidak digunakan lagi). Terdapat beberapa tongkang Keling dan Tongkang Cina serta Kapal Amping yang sering menggunakan laluan sungai Pengkalan Assam untuk membawa barang-barang dagangan mereka.
Ketika itu, sungai turut menjadi sumber negara kita, iaitu 75% untuk pengairan, 22% untuk domestik dan industri dan 3% untuk lain-lain kegunaan. Sungai juga merupakan sumber ekonomi penduduk-penduduk kampung. Ikan air tawar seperti haruan, ketam batu, udang galah dan pelbagai spesis ikan dapat diperolehi bila-bila masa saja atas inisiatif sendiri. Diperolehi secara percuma dan adakalanya menjadi mata pencarian hidup.
Pada tahun 1900 hingga awal 1920, biasanya sesiapa yang hendak menyeberangi sungai atau pengkalan itu terpaksa menggunakan perahu tambang yang ditarik sendiri pada tali (diperbuat dari sabut) yang diikat di perdu pokok assam. Tambang yang dikenakan satu sen pergi dan satu sen pulang.
Pada tahun 1921 hingga 1945, mereka yang akan ke seberang masih menggunakan perahu tambang, tetapi perahu tambang itu dikendalikan seorang pendayung yang dikenali dengan panggilan "Tuk Pandak". Beliau bertanggungjawab mengendalikan urusan perahu tambang yang dikenakan bayaran seorang lima sen pergi dan lima sen untuk pulang. Beliau juga diberi tempat tinggal yang dinamakan "benaksah" atau surau di pinggir pengkalan.
Pada dekad tersebut, terdapat dua pohon pokok cermai yang besar tumbuh di kiri kanan pengkalan. Sebatang pokok assam yang besar berada di sebelah kiri ke seberang pengkalan. Di kawasan kanan ke seberang pula terdapat sepohon pokok sena yang besar dan rendang. Berdekatan dengan pokok assam itu terdapat ‘anak sungai’ atau muara yang menghala ke sebuah gudang padi, iaitu bagi membolehkan bot atau tongkang memasuki kawasan bagi tujuan membawa barang-barang dan padi zakat. Sebuah gudang padi yang besar berada dipinggir sungai itu. Padi zakat yang dibawa melalui ‘anuk’ yang ditarik oleh kerbau biasanya disimpan di gudang tersebut.
Pengkalan Assam adalah sebuah kampung yang unik, yang berada dipinggir bandar Kangar, kira-kira 1 kilometer dari bandar. Pengkalan Assam mempunyai saiz kira-kira 60.25 relung dengan bilangan penduduknya seramai 268 orang.
Para petani yang menguruskan bendang mereka dikehendaki membayar zakat padi. Kawasan atau kampung yang dimestikan menghantar padi zakat di gudang tersebut ialah kawasan Seriab, Bohor Temak, Bohor Gonchar, Bohor Lateh dan Kampung Pengkalan Assam. Imam Masjid Bohor Temak, Allahyarham Abdul Karim bin F. Salleh telah diberi tugas bagi mengendalikan penerimaan padi zakat.
Sebuah masjid kecil terbina di kawasan pinggir sungai. Di belakang masjid disediakan ruang perkuburan. Sesiapa yang meninggal dunia, jenazah dibawa untuk disemadi di kubur tersebut dengan perahu atau bot.
Pada tahun 1952, dibina jambatan kayu selebar empat kaki (120 cm) untuk kemudahan orang ramai dan juga kenderaan ringan. Pada tahun 1962, jambatan kayu tersebut bertukar wajah kepada jambatan papan tebal dan pada tahun 1976, berubah ke jambatan simen. Dengan yang demikian, kenderaan berat dapat menggunakan jambatan itu sebagai laluan ke Alor Setar dan Kuala Perlis.
Mengikut penjelasan Dato' Syed Omar bin Syed Husain bahawa nama Pengkalan Assam ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kawasan seberang sungai dinamakan Seberang Pengkalan Assam dan di seberang yang menjadi sempadan bandar Kangar dinamakan Pengkalan Assam. Sebutan ini telah diterimapakai oleh umum.
Pada akhir tahun 1920, telah diwujudkan jawatan Penjaga Tambang Perahu. Kerjanya ialah menarik tali perahu ke tebing. Tugas itu telah diberikan kepada Tuan Haji Abd. Razak bin Hj. Mohd. Taib (Datuk kepada Puan Rosnah bt. Salleh). Beliau dibayar gaji RM1.50 sebulan dan seterusnya dinaikkan gaji sehingga RM2.30 sebulan. Pada ketika itu kanak-kanak sekolah tidak dikenakan apa-apa bayaran, kecuali masa persekolahan dikenakan bayaran setengah duit pergi dan setengah duit pulang.
Dari sudut geografi, Pengkalan Assam adalah sebuah kampung yang unik, berada di pinggir bandar Kangar. Keluasan kawasan Pengkalan Assam adalah kira-kira 60.25 relung dengan bilangan penduduk seramai 268 orang. Namun jika diambil kira penduduk Pengkalan Assam yang tinggal di seberang, yang bersempadan dengan Kangar, maka bilangan penduduknya melebihi 400 orang. Kebanyakannya adalah petani, guru, bekerja sendiri, berniaga, bekerja dengan pihak swasta, pegawai-pegawai kerajaan dan sebilangan kecilnya pesara.
Biarpun tidak mempunyai penduduk yang ramai, tetapi badan-badan sukarela ternyata berjalan aktif. Antara badan-badan sukarela dan pertubuhan politik adalah seperti UMNO, JKKK, Belia MAYC Pengkalan Assam, Koperasi Industri Pengkalan Assam Bhd. (kini berubah kepada Koperasi Perindustrian Kangar Bhd), Pertubuhan Peladang, Rukun Tetangga Pengkalan Assam, Badan Khairat Kematian Pengkalan Assam dan Badan Kebajikan Pinggan Mangkuk. Dengan kewujudan badan-badan tersebut, mereka tidak terpinggir, malah dapat memainkan peranan penting dalam badan-badan yang mereka ceburi.
Pengkalan Assam juga melahirkan ramai aktivis politik. Dua orang Menteri Besar Perlis berasal dari Pengkalan Assam; menetap di situ hingga ke akhir hayat mereka. Aktivis dan penggiat badan-badan sukarela ialah:
- Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim dilahirkan pada 26 Disember 1896 dan meninggal dunia pada tahun 1982, Menjadi Menteri Besar Perlis selama 11 tahun - dari tahun 1959 hingga 1970.
- Dato' Jaffar bin Hi. Hassan. Dilahirkan pada 16 Mei 1952 dan meninggalkan dunia 25 September 1987. Menjadi Menteri Besar Perlis yang kelima dan yang kedua selepas kemerdekaan (1972 hingga 1981)
- Dato' Hj. Wan Ahmad bin Wan Daud. Menjadi Hakim Mahkamah Perlis pada tahun 1912 dan bersara pada tahun 1949. Pengasas kepada ajaran As Sunnah Wal Jemaah di Perlis. Dilahtrkan pada tahun 1890 dan meninggal dunia pada tahun 1971.
- Dato' Radzi bin Tan Sri Sheikh Ahmad. Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri.
- Tuan Haji Mokhtar bin Haji Ismail. Ahli Parlimen Kangar. Dilahirkan pada tahun 1909. Menjadi Wakil Rakyat sejak tahun 1955 hingga Mac 1974.
- Dafo' Syed Omar bin Syed Husain. Bekas Wakil Rakyat Kawasan Bintong (Tahun 1959 hingga 1970) Dilahirkan pada 1921.
- Allahyahram Encik Rosh bin Hassan. Bekas Wakil Rakyat pertama di Perlis.
- Allahyarham Mohd. Ariff bin Puteh, Bekas Guru Besar dan Ketua UMNO cawangan Pengkalan Assam.
- Allahyarham Sulaiman. Bekas Setiausaha UMNO Negeri.
- Allahyarham Puan Shaharom Bee. Ketua Kaum Ibu Negeri Perlis.
- Puan Arfah binti Dato' Wan Ahmad. Ketua Wanita Negeri Perlis (perubahan nama Badan Pergerakkan Wanita)
- Encik Abd. Razak bin Ahmad. Setiausaha UMNO Cawangan Pengkalan Assam. (Tahun 1942 hingga 1955)
- Ustaz Abd. Rahman bin Ismail. Bekas Mufti Negeri Perlis dan Imam Besar Masjid Alwi, Kangar.
- Encil Ismail bin Hussain, AJK UMNO Cawangan Pengkalan Assam sejak tahun 1955 hingga 1994.
- Allahyarham Abd. Karim bin Pakeh Salleh. Bekas Imam Masjid Bohor Temak dan AJK UMNO Pengkalan Assam sejak tahun 1945 hingga 1960.
Ramai lagi anak-anak Kampung Pengkalan Assam yang berada di dalam dan luar negeri Perlis yang menerajui pelbagai bidang dan jurusan pentadbiran mereka.
Ada beberapa institusi atau Pentadbiran/Jabatan yang beroperasi di Pengkalan Assam:
- Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (kini Jabatan Pendidikan) yang dahulunya bertempat di Kediaman Menteri Besar Perlis sekarang. Kini bangunan itu telah diubah suai menjadi kediaman rasmi. Sebelum dijadikan kediaman Menteri Besar Perlis, bangunan itu merupakan Istana Raja Muda Perlis YTM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail.
- Di sebelah bangunan kediaman Menteri Besar itu ialah Rumah Tetamu atau kediaman "British Adviser" yang di panggil Rumah BA.
- Sekolah Menengah Alawiah Arab (P) Kangar. Kini kawasan sekolah itu dijadikan Denai Larian Pengkalan Assam.
- Pejabat JKR Negeri Perlis, iaitu di sebelah Kediaman Menteri Besar Perlis. Bangunan tersebut telah dirobohkan.
Kini sungai Pengkalan Assam benar-benar berubah, hasil pembangunan ia telah menjadi kawasan rekreasi dan pelancongan. Di sepanjang kawasan sungai itu telah dimajukan menjadi Denai Larian, di bawah seliaan Jabatan Pengairan Dan Saliran Perlis.
Saya mengucapkan terima kasih dan sekalung budi kepada mereka yang telah meluangkan masa, menceritakan sejarah Pengkalan Assam:
- Dato' Syed Omar bin Syed Husain Lahir pada tahun 1921
- Encik Abd. Razak bin Ahmad Lahir pada tahun 1923
- Puan Rokiah bt. Hj. Omar Lahir pada tahun 1918
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998
