Accessibility Tools

CIKGU MALEK MENURUNKAN BENDERA UNION JACK DI PERLIS

CIKGU MALEK MENURUNKAN BENDERA UNION JACK DI PERLIS

Oleh : RAMLI ISMAIL

Beliau berjuang bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Alhaj, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein, Dato' Senu bin Abdul Rahman, Tan Sri Mohd. Khir Johari dan Allahyarham Tun Sardon Zubir. Perjuangan mereka menuntut kemerdekaan negara. Ketika itu beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis yang selalu bertemu dengan tokoh-tokoh UMNO itu.

 

     

Cikgu Malek

 

Di tempat inilah bendera Union Jack diturunkan pada malam 31 Ogos 1957

 

Kemuncak perjuangannya, beliau diberi penghormatan menurunkan bendera penjajah, Union Jack dan kemudian menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu, tepat pada pukul 12.01 pagi, 31 Ogos 1957 lalu. Hati beliau puas, walaupun kejayaan itu tidak sama sebagaimana yang dicapai oleh rakan-rakan seperjuangannya yang lain.

Itulah Haji Abdul Malek bin Haji Abd. Ghani, atau lebih dikenali di kalangan masyarakat Perlis dengan panggilan Cikgu Malek. Beliau adalah seorang pejuang yang mungkin tidak diketahui ramai. Baginya, berjuang bukan untuk dipuja orang. Perjuangan sucinya semata-mata untuk menegakkan maruah agama, bangsa dan negara.

Cikgu Malek dilahirkan pada 5 September 1930 di Kampung Abi, kira-kira tiga kilometer dari bandar Kangar. Ayahnya, Allahyarham Haji Abdul Ghani bin Datuk Sakti adalah imam Masjid Paya, berasal dari Daerah Rumbai, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau merantau ke Perlis pada tahun 1916 kerana menjadi adat di tempatnya, anak muda mesti merantau untuk mencari ilmu agama.

Di Perlis beliau bertemu jodoh dengan Mariam binti Haji Mat dari Padang Pauh, Jalan Kaki Bukit. Haji Mat adalah seorang tokoh agama yang membuka pondok di Padang Pauh dikenali dengan panggilan Pondok Haji Mat Tok Pong.

Hasil perkahwinan Haji Abdul Ghani dan Mariam itulah dikurniakan tujuh anak, enam lelaki. Cikgu Malek adalah anak sulung mereka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya hingga darjah lima. Pada tahun 1946, beliau dilantik menjadi guru pelatih. Pada tahun 1948, beliau terpilih  mengikuti Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim sehingga tahun 1950. Bulan Jun 1950, beliau kembali ke Perlis dan mula mengajar sebagai guru terlatih di Sekolah Melayu Kangar Lelaki hingga tahun 1952.

Beliau kemudian bertukar ke Sekolah Melayu Beseri selama setahun hingga tahun 1958. Tahun 1958 beliau dilantik menjadi guru besar pertama Sekolah Melayu Tunjong yang sekarang dikenali dengan panggilan Sekolah Kebangsaaan Seri Tunjong. Selepas itu, Cikgu Malek kembali bertugas di Sekolah Melayu Kangar Lelaki hingga tahun 1962 apabila kemudiannya mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur selama setahun.

Pada tahun 1963, beliau kembali ke Perlis dan ditempatkan mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Derma Kangar. Dua tahun kemudian, beliau sekali lagi dilantik menjadi Guru Besar Pengasas dan kali ini di Sekolah Menengah Anika Jurusan Kayang yang sekarang dikenali dengan panggilan Sekolah Menengah Syed Alwi, Kayang. Tugas itu disandang hingga tahun 1972.

Pada tahun 1972, beliau dilantik menjadi Penolong Pengelola Sekolah-Sekolah Negeri Perlis bertempat di Jabatan Pelajaran Perlis ketika itu. Tahun 1980, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Negeri Perlis. Empat tahun kemudian, beliau diberi kepercayaan pula menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Perhubungan di Jabatan yang sama hinggalah bersara pada tahun 1986.

Di samping jasanya dalam bidang pendidikan, mungkin ramai yang tidak mengetahui peranan besar yang dimainkan oleh Cikgu Malek dalam bidang politik. Selepas kembali dari Maktab Perguruan Tanjung Malim, beliau melibatkan diri secara langsung dalam UMNO dan Persatuan Guru-Guru Melayu Negeri Perlis. Bagaimanapun, pada hakikatnya beliau menjadi ahli UMNO sejak UMNO diwujudkan tahun 19461agi, ketika usianya baru 17 tahun.

Perjuangan Persatuan Guru-Guru Melayu adalah berusaha menegakkan kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu di negara ini. Begitu juga dengan peranan UMNO di samping berusaha mendapatkan kemerdekaan negara. Cikgu Malek menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri selama tiga tahun bermula tahun 1955 hingga negara mencapai kernerdekaan pada tahun 1957. Beliau ialah antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang terawal sebelum merdeka.

Semasa pilihan raya pertama diadakan di negera ini pada tahun 1955, beliau terlibat secara langsung dalam kempen bagi pihak calon Perikatan. Calon tunggal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Persekutuan di Perlis ketika itu ialah Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim. Beliau kemudian menjadi Menteri Besar Perlis pertama selepas kemerdekaan. Calon pembangkang ialah bekas Ketua Polis Negeri Perlis yang pertama, Allahyarham Che Mat Haji Kassim atau lebih dikenali dengan panggiian Che Mat Chief atas tiket bebas menggunakan lambang Cawan. Calon Perikatan menggunakan lambang Kapal Layar. Tan Sri Sheikh Ahmad menang dalam pilihan raya itu.

Selama tiga tahun menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis itulah, Cikgu Malek terlibat secara langsung bersama pemimpin-pemimpin besar negara memperjuangkan kemerdekaan.

Pada malam negara menyambut kemerdekaan, beliau di antara rakyat Malaysia yang bertuah kerana diberi peluang menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Upacara itu diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang dengan disaksikan oleh kira-kira 1,000 rakyat berbilang kaum. Ia berlaku tepat pukul 12.01 pagi, 31 Ogos 1957.

Perisytiharan kemerdekaan negara dibaca oleh Allahyarham Cikgu Osman Abdullah, bekas Anggota Parlimen yang ketika itu menjadi Setiausaha UMNO negeri Perlis, diikuti bacaan doa oleh Dato' Setia Bakti Ustaz Nordin Ismail, seorang pendakwah tempatan yang menjadi Ketua Penerangan UMNO negeri Perlis ketika itu.

Apabila negara telah merdeka, Cikgu Malek menyedari kelayakkan akademiknya tidak setanding dengan tokoh-tokoh pejuang yang lain. Akhirnya beliau menarik diri daripada menjadi pemimpin utama dalam UMNO. Beliau hanya menjadi ahli biasa sahaja.

Untuk meningkatkan taraf akademiknya, beliau berazam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau belajar sendiri dan mengambil peperiksaan School Certificate (SC) yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang. Beliau lulus pada tahun 1960.

Semasa membuat persediaan memasuki universiti, Cikgu Malek menerima tawaran daripada Ketua Pegawai Pelajaran Perlis ketika itu, Datuk Ariffin Md. Nam untuk menjadi guru besar pertama di Sekolah Menengah Anika Jurusan, Kayang. Tawaran itu diterimanya kerana tenaga beliau amat diperlukan.

Setelah bersara Cikgu Malek kembali aktif semula dalam UMNO apabila beliau diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kangar pada tahun 1987. Jawatan itu dipegangnya selama tiga penggal. Bagaimanapun, sekarang ini beliau hanya menjadi Naib Ketua UMNO Cawangan Pekan Kangar.

Cikgu Malek yang kini tinggal di Taman Indera, Kangar mengisi usia persaraannya dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela. Beliau memegang tiga jawatan utama iaitu Setiausaha Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia Cawangan Perlis, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Perlis dan Setiausaha Persatuan Warga Kanan Negeri Perlis.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Pengasas Kelab Lions Negeri Perlis sejak tahun 1971 hingga 1978 dan Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selama lima tahun bermula tahun 1991.

Hasil perkahwinannya dengan Hajah Wan Salma binti Haji Abdullah, 64, beliau dikurniakan lima cahaya mata termasuk seorang perempuan. Hobinya ialah membaca, bercucuk tanam dan mengembara. Beliau pernah bertugas sebagai guru Bahasa Melayu kepada sukarelawan Amerika di Hawaii selama tiga bulan. Semasa perjalanan pulang ke tanah air, beliau sempat mengelilingi dunia untuk menimba pengalaman.

 

SUMBER ARTIKEL 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998