Accessibility Tools

MAKAN ADAT KESOPANAN DAN PANTANG LARANG

MAKAN
ADAT KESOPANAN DAN PANTANG LARANG

Oleh : NORDIN SAAD

Masyarakat kita amat mementingkan adat dan pantang   larang   ketika   menghadapi hidangan makanan. Segala adat dan pantang larang ini harus dipatuhi bagi menjaga ketinggian nilai kesopanan orang-orang Melayu.

 

Makan berhidang dengan duduk di lantai masih diamalkan terutamanya semasa dikunjungi oleh tetamu

 

Di antara adat dan pantang larang yang diamalkan oleh orang-orang Melayu ialah adat makan secara hidangan. Ketika menghadapi hidangan ini, ahli-ahli keluarga akan duduk di atas lantai yang beralaskan tikar mengkuang dan mengelilingi hidangan makanan yang disediakan. Orang-orang lelaki biasanya akan duduk secara bersila dan orang-orang perempuan pula akan duduk secara bersimpuh. Mereka makan menggunakan tangan.

Kebiasaannya orang-orang tua akan duduk terlebih dahulu menghadapi hidangan, kemudian barulah diikuti oleh kanak-kanak atau orang yang lebih muda.

Isteri atau anak gadis pula akan ditugaskan untuk menyenduk nasi dengan memberikan keutamaan kepada orang-orang yang lebih tua terlebih dahulu.

Orang-orang tua juga mestilah memberi peluang untuk mengambil lauk dan orang-orang muda atau kanak-kanak adalah dilarang bersaing dengan orang-orang tua.

Ketika sedang makan dan ingin menambah lauk, seseorang itu perlu mengambil lauk yang berdekatan dengannya. Adalah kurang sopan jika kita, menjangkau lauk yang berada jauh daripada kita dengan memanjangkan tangan melepasi hidangan yang lain.

Seseorang itu juga mestilah menggunakan tangan kiri untuk menyenduk nasi atau lauk supaya sudu atau senduk yang digunakan tidak kotor. Senduk atau sudu itu pula harus dijaga supaya tidak berlaga atau berbunyi ketika menggunakan kerana ianya dianggap kurang sopan.

Apabila menghulur atau menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan kita diampu sedikit dengan menggunakan tangan yang lain.

Ketika makan pula terutamanya semasa makanan berada di dalam mulut, seseorang itu dilarang sama sekali bercakap atau berbual-bual. Jika sekiranya kita tersedak atau terbatuk, maka kita perlulah mengawalnya agar tidak mengganggu orang lain.

Kita juga harus mengelak daripada mengunyah atau menghirup makanan hingga mengeluarkan bunyi kerana ia dianggap sebagai amalan yang tidak baik. Sekiranya seseorang itu selesai makan terlebih dulu, maka dia haruslah menunggu di tempat duduknya sehingga

orang yang berada bersamanya juga selesai, sebelum mengangkat pinggan atau beredar ke tempat lain.

Tempat hidangan juga adalah tidak elok disapu atau dibersihkan ketika orang lain sedang menikmati hidangan. Perbuatan ini dianggap sebagai menyindir orang yang sedang makan.

Jika kita berkunjung ke rumah orang dan pihak tuan rumah menghidangkan makanan atau minuman, maka adalah kurang manis jika kita menolaknya. Sekiranya kita sudah makan atau sudah kenyang, kita harus menjamah juga sedikit hidangan yang disediakan itu demi menjaga hati tuan rumah. Kita juga seboleh-bolehnya perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi rumah saudara dan sahabat handai menjelang waktu makan.

 

JENIS LAUK HIDANGAN TENGAH HARI ATAU MALAM

Bagi masyarakat Melayu di Perlis, lauk yang dihidangkan oleh sesebuah keluarga itu adalah bergantung kepada kemampuan sendiri. Walau bagaimana pun terdapat hidangan-- hidangan yang sudah menjadi kebiasaan bagi setiap keluarga.

Di antara hidangan yang sudah sebati dengan masyarakat di Perlis ialah ulam-ulam seperti daun pegaga, pucuk mengkudu, pucuk cemumar, pucuk gajus, pucuk ubi dan sebagainya. Ulam-ulam ini biasanya dicicah dengan air asam dan dicampurkan dengan ikan bakar (ikan tawar).

 

RUJUKAN 

A. Aziz Deraman, 1995, Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Shah Alam, Fajar Bakti Sdn. Bhd.

AI Arif, 1996, Kesantunan Ketika Makan Dalam Masyarakat Melayu dalam Muhibbah 6/96, Kuala Lumpur, Jabatan Perpaduan Negara.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998