SIRA BELINGGAI
Oleh : FATIMAH TAHA
DALAM dekad-dekad 50-an dan sebelumnya ketika 'musim timur' atau musim panas di negeri Perlis, suatu ketika dulu para petani mengadakan pelbagai temasya dan menyediakan sekian banyak makanan tradisi sempena menyambut musim tersebut.
Mengapa tidak? Musim timur merupakan musim menuai padi kerana rata-rata penduduk negeri ini mengerjakan sawah, selain memungut hasil padi sebagai sumber penghidupan, mereka begitu terhibur kerana wujud banyak permainan tradisi seperti Alu Bunyi, Beduan, Hadrah, Dendang Keling, Selampit, Awang Batil dan Canggung.
Di samping itu, pada musim timur juga muncul pula berberapa jenis makanan tradisi seperti emping, ringgi, nira nipah, sira belinggai dan sebagainya. Musim timurlah diadakan "temasya menumbuk emping" dan "temasya mengirik padi". Pada masa tersebut anak-anak muda mengambil kesempatan memilih jodoh dan diadakan majlis perkahwinan.
Ketika temasya menumbuk emping itulah muncul makanan tradisi yang dinamakan Sira Belinggai masak. Buah belinggai yang masak inilah yang dijadikan sira, khusus untuk dimakan dengan emping. Rasanya sungguh enak dan menyelerakan.
Pokok belinggai tumbuh subur dikampung-kampung petani. Batangnya besar dan tinggi, dahannya rendang, sehingga kira-kira 20 sehingga 30 meter. Lilitan batangnya sebesar 100 sehingga 120 cm. Buahnya besar berbentuk bulat sebesar kira-kira 10 sehingga 12cm garisan pusat 40 cm:
Ketika masih muda, buah belinggai ini berwarna kehijau-hijauan, apabila masak berwarna coklat. Kulitnya keras menyaluti isinya. Apabila hendak dimakan terpaksa diketuk kulitnya. Ketika muda isi belinggai itu digunakan untuk dicicah garam belacan atau dibuat "bincuk". Rasanya kelat sedikit.
Isi belinggai yang masak berwarna coklat, berurat-urat dan mengandungi biji, rasanya agak manis. Isi beiinggai yang masak inilah dicolek dan dikeluarkan dari kulitnya.

CARA MEMBUAT SIRA BELINGGAI
Perencah yang digunakan ialah sebiji buah belinggai, setin susu cair, secawan santan dan sedikit gula.
Buah belinggai yang masak diketuk kulitnya atau dibelah dua. Seelok-eloknya buah belinggai itu dijemur terlebih dahulu selama dua atau tiga hari supaya isinya lekang dari kulitnya.
Isi buah belinggai itu dihancurkan sama ada menggunakan sudu atau dipecah- pecahkan dengan tangan di dalam mangkuk atau pinggan. Setelah itu dimasukkan santan atau susu, digaul dan dikacau sehingga sebati.
Campuran isi belinggai dengan perencah tadi menjadikan cecair lalu ditapis, mengasingkan biji dan urat-urat yang terdapat dalam buah belinggai tersebut. Hasil cecair yang ditapis itulah dinamakan "Sira Belinggai"
Sira tersebut digaulkan bersama emping barulah dimakan. Rasa lemak manis, sungguh enak dan mengenyangkan. Makanan ini lazimnya disajikan pada waktu petang selepas para petani pulang dari sawah, diminum bersama kopi atau teh.
Sira belinggai ini juga dijadikan makanan sekeluarga atau dihidangkan kepada para tetamu. Kadang-kadang diadakan kenduri kepada jiran tetangga.
Selain daripada membuat sira, isi buah belinggai yang masa itu dimakan dengan kelapa parut yang digaul dengan gula.
Demikianlah sejenis makanan tradisi di negeri Perlis yang digemari oleh para petani kita suatu ketika dahulu. Sekarang ini amat jarang disajikan, malah ramai para petani generasi baru tidak mengenalinya.
Buah-buah belinggai yang masak terbiar begitu sahaja bertaburan di bawah pokoknya. Generasi sekarang tidak minat memakannya kerana terdapat sekian banyak makanan moden menggantikan makanan tradisi tersebut.
Kerana itu sewajarnyalah diperkenalkan kembali makanan ini oleh ahli-ahli budaya kita agar sira belinggai tidak berkubur begitu sahaja kerana makanan tersebut juga mengandungi khasiat yang baik untuk menyihatkan badan.
RUJUKAN
1. Temuramah dengan Puan Samsiah binti Abas, Arau, Perlis.
2. "Warisan Kebudayaan Negeri Perlis", Rejab F.I., Unit Perancang Ekonomi Negeri Perlis, 1995.
R E N U N G A N
Orang yang menjamah makanan lalu bersyukur, sama pangkatnya dengan
orang berpuasa lalu bersabar (Maksud at Hadith)
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998
