Accessibility Tools

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SYED HASSAN, PERLIS

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SYED HASSAN, PERLIS

Oleh : NASIR ALI

MASA BERLALU PANTAS meninggalkan sejarah yang terungkap dalam kenangan. Bagi mereka yang melalui saat itu dapat merakamkan berbagai kenangan. Begitu juga Bandar Kangar yang dahulunya hanya terdiri dari beberapa bangunan penting sahaja kini sudah berubah wajah. Sama juga dengan bangunan Sekolah Kebangsaan Kangar (L) yang kini sudah tiada lagi dibelakang Pejabat Pos Kangar, di tapak bangunan Jabatan Pendidikan sekarang.

 

Papan tanda Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan

 

Menurut Encik Dainol bin Saad dan Encik Omar bin lsmail, bekas pelajar sekolah sesi pagi itu, seawal tahun 1965 ia hanyalah penempatan sementara yang menempatkan 97 pelajar lelaki dan 52 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kangar yang belajar di sesi petang di mana Encik Wan Din bin Che Mat menjadi pengetua pertamanya. Bangunan tersebut cuma satu blok sahaja.

Mereka menumpang di bangunan itu pada 10 Januari 1965 dengan tenaga pengajar hanya 3 orang tanpa pekerja ataupun kerani sebagai perintis. Lima bulan kemudian sekolah menengah Kangar menerima 12 orang guru termasuk guru sementara dan guru pelatih. Kemudiannya pada tahun 1966, bilangan pelajar bertambah menjadi 361 orang dan bilangan guru sebanyak 14 orang.

Pembelajaran berjalan terus sementara menanti pembinaan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan yang sedang dilakukan di Jalan Sekolah Menengah Derma siap. Pada Januari 1967 sekolah ini berpindah ke bangunannya sendiri sebanyak 12 bilik darjah. Di peringkat awal perpindahan, murid-muridnya bergotong-royong memindahkan barang-barang dan peralatan sekolah mereka ke bangunan yang baru siap itu.

 

  

 

 

Tahun 1967 mencatatkan sejarah baru bagi Sekolah Menengah itu di mana murid- muridnya mula mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dengan pencapaian 53% lulus.

Tanggal 14 Mei 1968 satu lagi sejarah terpeta apabila sekolah itu dibuka dengan rasminya oleh DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan nama baru, Sekolah Menengah Syed Hassan. Majlis yang gilang-gemilang itu turut diceriakan dengan kehadiran DYMM Raja Perempuan, YAB Menteri Besar Perlis iaitu Tan Sri Syeikh Ahmad, Menteri Pelajaran ketika itu ialah En. Mohd. Khir Johari, para pembesar negeri serta rakyat negeri Perlis. Pada tahun tersebut juga sekolah itu memulai persekolahan dua sesi selaras dengan pertambahan pelajar-pelajarnya.

Tidak lama kemudian itu pada tahun 1972, Sekolah Menengah Syed Hassan menerima 2 Makmal dan bangunan Dewan Besar seperti yang ada sekarang. Pada tahun itu juga sekolah itu membuka tingkatan empat sastera bagi pelajarnya. Bagi pelajar-pelajar kelas Sains Paduan yang telah memulai sesi pengajiannya pada tahun 1970 mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1972 dan mencapai kelulusan sebanyak 51.9%.

Kini, sekolah tersebut yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan dengan fasiliti serta telah memiliki 10 blok bangunan bilik darjah setingkat hingga tiga tingkat, merupakan sebuah sekolah yang ternama di negeri Perlis yang telah melahirkan ramai insan cemerlang yang memberi sumbang bakti kepada negeri dan negara.

 

SUMBER RUJUKAN 

1.        Panel Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri Perlis (1974), Deraf Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri Perlis.

2.        Encik Dainol b. Saad dan Encik Omar b. Ismail yang sudi ditemuramah.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998