Accessibility Tools

PANTUN WARISAN INDERA KAYANGAN BILANGAN 14 – TAHUN 2002

PANTUN
WARISAN INDERA KAYANGAN
BILANGAN 14 – TAHUN 2002

Oleh: WAN NAN BIN WAN MAHMUD (FAWANA)

Apa nak sesal kepada tudung, 

Tudung saji terendak Bentan;

Apa nak sesal kepada untung,

Sudah untung nasib badan.

 

Ayam Bugis menyabung tali,

Mari berlaga Alor Kesinai;

Adik putih cuba lalu lagi,

Berpaling tengok abang nak kenai.

 

Ayam terbang dari

Setul Balik makan padi huma;

Ayuh abang jangan masyghul ,

Adik nak balik tak lama.

 

Baju cik tangan sekerat,

Habis minyak sebelah bahu;

Perkara sedikit jangan dok melarat,

Kerana banyak orang tahu.

 

Banyak-banyak kera di bukit,

Ada seekor lutung mawa;

Kalau banyak ringgit di poket,

Kawan tak biasa tegur nama.

 

Negeri Perlis bandarnya Kangar,

Pasar jaja ikan pelotan;

Dinda tak nampak tapi dengar,

Tentu sahaja kerja syaitan.

 

Padi pulut beras segantang,

Gula sekati buat tambahnya;

Hujan ribut pohon bergoncang,

Gempa di hati buruk padahnya.

 

Pecah-pecah sepak raga,

Tentang sepak ku sepak juga;

Tujuh bilah keris di dada,

Tentang ku lekak ku lekak juga.

 

Pohon betik pohon petola,

Dipanggil jua pohon papaya;

Adik cantik abang gila,

Adik tak mahu apa upaya.

 

Apa putih di tengah laut,

Ruku-ruku tanaman Cina;

Apa putih di tengah rumput,

Telur kutu disangka bunga

 

Ayam hutan terbang ke hutan,

Turun ke tanah mencari makan;

Kerana digila burung di hutan,

Denak di rumah mati tak makan.

 

Bagaimana nasib bagaimanalah untung,

Tanam pisang tidak berjantung;

Saya umpama kera lutung,

Di mana ranting tumbang bergantung.

 

Bangkit pagi rebus ketupat,

Taruh makan sehari sebji;

Saya nak balik jangan mengumpat,

Minta sebut sehari sekali.

 

Banyak-banyak bintang tinggi,

Ada sebiji bintang tembaga;

Banyak-banyak orang di sini,

Ada seorang berkenan di mata.

 

Orang putih berkereta api,

Cina gedung jahit kebaya;

Tujuh lapis pagar besi,

Bunga sekuntum ku ambil juga.

 

Pagi petang siang malam,

Tinggi rendah panjang lebar;

Di luar pisang racun di dalam,

Penawar mudah, banyakkan sabar.

 

Pohon bendera pohon ketapang,

Pohon kemboja melintang titi;

Anakdara dua sekupang,

Kalau janda segantang padi.

 

Pohon dedalu dalam belukar,

Burung balam patah kakinya;

Setahun dulu gunung terbakar

Baru semalam aku nampak apinya.

 

Pohon geti bunga serangkul,

Ambil galah tergawang-gawang;

Kalau benci khabarlah betul,

Tidaklah kami berulang-ulang.

 

Beribu-ribu biji nangku,

Cincin permata jatuh ke ruang,

Kalau rindu sebut namaku,

Air mata jangan dibuang.

 

Bintang tidak terbit pagi,

Diselaput oleh awan putih;

Puan sudi sampai ke mari,

Saya memberi terima kasih.

 

Buah rumbia buah salat,

Pokok tumbuh tepi perigi;

Hidup di dunia kita beradat,

Bahasa tiada berjual beli,

 

Bunga melati di tengah padang,

Mari dikutip anak Cina;

Harimau mati meninggal belang,

Manusia mati meninggalkan nama.

 

Burung punai terbang melayang,

Turun ke sawah makan padi;

Sana kasih sini sayang,

Di mana tempat letak hati

 

Dalam padi ada kaca,

Nampak putih bunga keduduk;

Nak buat apa bersanggul caca,

Indah lagi bersanggul duduk

 

Dua belas dayung berkunci,

Dayung pergi tanah seberang;

Sedikit hati abang tak benci,

Jangan didengar fitnah orang.

 

Harap-harap kelapa puan,

Tidak puan kelapa bali;

Harap ke mari kepada tuan,

Tuan nak tolak ke mana lagi.

 

Ingin pergi Kuala Tembelang,

Tamat berjalan Kuala Cik Bilang;

Sakit di sendi ubat di tulang,

Mana penyakit bolehkan hilang.

 

Pohon kapas dibaling-baling,

Tersangkut kaca koyak seluar;

Melintas dara sambil menjeling,

Terbeliak mata macam nak keluar.

 

Bila petang matahari rendah,

Perahu belayar masuk ke kuala;

Sayang abang jangan susah,

Adik berada di hadapan mata.

 

Buah mempelam buah papaya,

Mari dimakan pagi hari;

Kalau tuan kurang percaya,

Belah dada lihatlah hati.

 

Bukit bernama Bukit Pandan,

Tempat orang tembak batu;

Batu canai disangka intan,

Bila dilihat baru tahu.

 

Bunga tanjung putih bersiri,

Bunga kembang berlapis-lapis;

Lagu canggung lagu asli,

Lagu asal Negeri Perlis.

 

Cik Desa pergi ke laut,

Hendak mencari ikan parang;

Sakit hati rasa nak ikut,

Takut kena tunang orang

 

Dewa sakti melayang ke Daik,

Hendak mencari Dewa Jaruga;

Kalau ada budi yang baik,

Sampai ke mati orang tak lupa.

 

Gunung Jerai disaput awan,

Awan menuju di permata;

Sudah ku ceraimu puan,

Bertali arus air mata.

 

Inderagiri pasirnya lumat,

Kerang bercampur dengan lokan;

Bagai nabi kasihkan umat,

Begitu saya kasihkan puan.

 

Jangan suka menganyam nyiru,

Nyiru dibawa dari Buncit;

Jangan suka menanggung rindu,

Rindu bawa jadi penyakit.

 

Jauh sungguh kota seberang,

Dekat lagi Kota Cik Dayang;

Susah sungguh kasih sayang,

Entahkan tidak kasih sayang.

 

Bunga cempaka digubah intan,

Pecah kelopak di dalam perahu;

Surat dibuka dari lipatan,

Seorang makhluk jangan diberitahu.

 

Cinta Sayang dari Perlis,

Dibawa menari dalam majlis;

Saya umpama kain putih,

Sebarang warna boleh dipilih.

 

Kalau abang membeli jarum,

Boleh adik membeli tali;

Kalau abang minta nak cium,

Upah cium tendang sekali.

 

Kalau nak gugurlah nangka,

Jangan menimpa ranting pauh;

Kalau nak tidur tidurlah mata,

Jangan diingat saya yang jauh.

 

Lemak manis santan kelapa,

Buah berangan dalam padi;

Hitam manis anak siapa,

Rasa berkenan di dalam hati.

 

Kain Bugis punca di tengah,

Dibawa orang jual ke hulu;

Sedang berkasih datang fitnah,

Baik kita berhenti dahulu.

 

Burung pungguk burung dewata,

Hinggap mari di ranting mati,

Sungguhpun duduk jauh di mata,

Kasih yang tetap di dalam hati

 

Elok manis padang saujana,

Adakah limau saya nak tetak;

Ayuh adik abang nak tanya,

Adakah mahu abang nak minta.

 

Kalau ada kemuning pahit,

Belanga baru dijerang udang;

Kalau ada budi yang baik,

Menjadi abu dikenang orang.

 

Kayu sepang mudik ke hulu,

Masak minyak dalam belanga;

Wahai cik abang tunggu dahulu,

Emak balik baru nak tanya.

 

Negeri Perlis Indera Kayangan,

Tempat orang mengambil baja;

Kalau rasa sudah berkenan,

Siaplah duit untuk belanja.

 

Rujukan

  1. Encik Mahmud Wahid
  2. Encik Wan Khazim Wan Din
  3. Encik Ahmad Saad
  4. Encik Hanafi Osman
  5. Haton Abdullah
  6. Kurik Kundi Merah Saga
    Kumpulan Pantun Lisan Melayu DBP, 1990

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002