Accessibility Tools

TURUN KE LAUT

TURUN KE LAUT

Oleh : NORDIN SAAD

Kebanyakan nelayan di negeri Perlis tinggal di kawasan pantai seperti di Kuala Perlis, Kurung Tengar, Sungai Baru dan Kuala Sanglang. Golongan nelayan ini biasanya hanya bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki untuk menyarai kehidupan keluarga. Malah laut dianggap sebagai suatu tempat yang harus ‘dihormati’ kerana kepentingan tersebut.

 

 

Memandangkan begitu tinggi harapan para nelayan kepada laut, maka golongan ini juga mempunyai pelbagai petua atau adat dan pantang-larang sebelum mereka turun ke taut untuk mencari rezeki. Petua, adat dan pantang-larang ini dianggap sangat penting bukan sahaja bagi menjamin keselamatan mereka semasa di laut tetapi juga untuk mempastikan hasil tangkapan mereka sentiasa memuaskan atau lumayan.

Sehubungan dengan itu juga laut sering dianggap sebagai ‘dunia kedua’ atau dunia lain yang mempunyai undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi. Segala peraturan ini perlu dipatuhi bagi mengelak berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini. Di antaranya ialah adat semasa turun ke taut, adat menurunkan perahu baru, adat menurunkan pukat, upacara penyemahan, adat dan pantang-larang semasa berada di tengah laut dan sebagainya.

 

Sebelum melangkah turun ke laut, nelayan perlu mematuhi adat dan pantang larangnya

 

ADAT TURUN KE LAUT

Seseorang nelayan atau pelaut yang hendak mula turun ke laut mestilah mematuhi masa yang dianggap paling sesuai iaitu diawal pagi atau sebelum matahari terbit.

Sebelum melangkah turun ke taut, mereka dilarang sama sekali bercakap besar seperti berkata ‘kalau jumpa jerung aku patah-patahkan tulangnya’ atau ‘takut apa pada ribut atau taufan’ kerana dibimbangi perkara yang tidak baik akan menimpa diri pelaut atau nelayan tersebut. Mereka yang sudah turun dari rumah.

 

ADAT MENURUNKAN PERAHU BARU

Untuk pergi ke laut juga tidak dibenarkan berpatah balik kerana dipercayai bencana akan menimpa diri orang berkenaan jika berbuat demikian.

Perahu baru atau perahu yang baru pertama kali hendak diturunkan ke laut juga mempunyai adatnya yang tertentu sebelum boleh digunakan oleh pelaut atau nelayan. Mengikut adat ini, perahu baru tersebut mestilah disemah terlebih dahulu oleh bomoh ataupun pawang. Untuk tujuan tersebut, pawang atau bomoh akan menyediakan peralatan yang sesuai dan kemudian akan menjampi perahu tersebut sambil mengelilinginya sebanyak tiga atau tujuh kali. Adat ini perlu dipatuhi untuk mempastikan keselamatan pengguna perahu tersebut ketika berada di tengah laut kelak.

 

ADAT MENURUNKAN PUKAT BARU

Seperti perahu baru yang akan diturunkan ke laut buat pertama kalinya, pukat-pukat baru yang hendak diturunkan ke laut juga mempunyai adat dan pantang-larangnya. Pukat-pukat baru ini perlu disemah dan dijampi oleh pawang sebelum pukat-pukat ini dibolehkan diturunkan ke laut. Penyemahan dan jampi yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk mempastikan pukat tersebut memperolehi hasil tangkapan yang banyak.

 

ADAT DI TENGAH LAUT

Masa berada di tengah laut adalah merupakan masa kemuncak dalam kehidupan seseorang pelaut atau nelayan. Masa tersebut dianggap sebagai masa yang sangat penting, bukan sahaja untuk mempastikan hasil tangkapan memuaskan tetapi juga untuk menentukan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Untuk tujuan tersebut beberapa adat dan pantang-larang mestilah dipatuhi. Nelayan atau pelaut tersebut, sama ada selaku awak-awak atau anak kapal adalah dilarang sama-sekali bercakap besar dan berkelakuan kasar. Perbuatan-perbuatan ini dianggap sebagai mengundang bencana atau kejadian yang tidak diingini. Mereka juga mestilah mematuhi arahan atau perintah ketua dan tidak dibenar sama-sekali bergaduh atau bertengkar ketika berada di tengah laut.

 

Laut bukan sahaja tempat untuk mencari rezeki, tetapi juga tempat yang gemar di kunjungi pelancong untuk mandi dan berenang

 

Rujukan

Encik Abdullah Salleh, Kuala Perlis, Perlis.

Aziz Deraman, Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Fajar Bakti, ShahAlam, 1995.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 14, 2002