Accessibility Tools

BUKIT LAGI Yang Ku Kenali

BUKIT LAGI Yang Ku Kenali

Oleh : Shukor Mat
Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perlis

“Asal Bukit Lagi adalah daripada sebuah pulau yang dikelilingi oleh lautan pada zaman pra sejarah dahulu. Ianya dikenali sebagai PULAU LAGI”

Bukit Lagi terletak di tengah-tengah kawasan bendang yang direntasi oleh Jalan Lintasan Kangar, menghubungkan Jalan Guar Syed Alwi dengan Jalan Kangar-Alor Setar. Bukit ini lebih merupakan sebuah anak bukit yang berbatu granit, tanpa diliputi walau sedikit pun tanah di bahagian atasnya. Kampung yang mengelilingi bendang di Bukit Lagi ialah Kampung Batu Hampar, Kampung Utan, Kampung Padang Jawa, Kampung Telaga Nyior Manis, Kampung Behor Gandin, Kampung Balik Bukit, Kampung Pengkalan Assam dan Kampung Behor Temak.

 

Pemandangan sisi Bukit Lagi dari padang Kampung Batu Hampar

 

Asal Bukit Lagi adalah daripada sebuah pulau yang dikelilingi oleh lautan pada zaman pra sejarah dahulu. Ianya dikenali sebagai Pulau Lagi. Manakala di bahagian daratan tanah besar Semenanjung Malaysia ketika itu juga dilitupi oleh lautan pada bahagian tanah pamahnya; hanya kawasan tanah tingginya sahaja yang boleh didiami oleh orang-orang purba, iaitu seperti Banjaran Bintang, Banjaran Nakawan, Banjaran Titiwangsa dan beberapa tanah tinggi lain yang sama tinggi atau ketinggiannya melebihi ketinggian Bukit Lagi. Pulau Lagi tidak didiami orang kerana saiznya yang terlalu kecil dan memanjang dan juga kerana muka buminya yang berbatu batan. Bagi beberapa kawasan tanah tinggi yang sama ketinggiannya dengan Bukit Lagi iaitu seperti bukit berhampiran dengan Marhum Kayang terdapat kesan-kesan peninggalan manusia zaman purba berupa tenggala, cangkul dan parang yang telah ditemui oleh pasukan-pasukan pendaki bukit tempatan dan orang perseorangan.

Kawasan lautannya yang berarus pada masa dahulu juga menjadi faktor mengapa Pulau Lagi ini tidak didiami orang. Laluan arus lautan yang kuat dapat dikesan melalui kawasan Alor Pulai dan Alor Marus, sehingga sekarang meninggalkan kesannya di Mukim Sena dan Mukim Seriab; iaitu kawasan-kawasan tersebut dikenali dengan Alor Pulai dan Alor Marus.

Padang Bukit Lagi menghala ke Kampung Batu Hampar dan Kampung Behor Temak menjadi medan pendaratan burung lang kangok, yang badannya sebesar kanak-kanak berumur setahun jagung. Burung ini adalah pembangkai yang memakan bangkai binatang-binatang mati

seperti ayam, itik, kucing dan lembu-lembu yang mati yang diletakkan di kepala batas di tengah- tengah padang. Kata orang tua-tua, binatang mati ini kepalanya dihalakan ke hulu supaya senang dilihat oleh burung pembangkai tersebut.

 

Panorama menarik dari bahagian atas puncak Bukit Lagi

 

Tegasnya segala binatang yang mati di kampung-kampung persekitaran Bukit Lagi itu tidak perlu ditanam kerana adanya binatang pembangkai tersebut yang akan memakannya dengan pelahap atau rakus sekali. Burung lang kangok juga dipanggil burung erang atau ering (Percetakan KUM Sdn. Bhd, Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, Terbitan Pertama 1995, P. Jaya, H1m.473). Badannya yang lasak dan kakinya yang kuat, dengan tangkas dan cepat dapat menyambar ayam dan itik yang mencari makan di padang atau di sawah padi. Ia tidak takut kepada manusia yang tidak bersenjata.

 

Mercu Tanda Negeri Perlis di abadikan di tepi jalan masuk ke Bukit lagi

 

Jika hendak ke bendang, kita perlu membawa kayu atau parang panjang, jika tidak alamat kita menjadi mangsa pembangkai tersebut. Saya teringat lagi semasa berumur enam tahun dahulu (1956), ayah melarang saya ke padang atau ke sawah dengan menyatakan takut disambar oleh burung erang atau lang kangok.

Burung ini menyerang mangsanya secara berkumpulan antara sepuluh hingga dua puluh ekor dalam satu serangan. Binatang ini hinggap dan bersarang di pohon-pohon tinggi atas rabung Bukit Lagi. Oleh itu segala pergerakan mangsa dan makanannya dapat dikesan dan diketahui dengan mudah. Segala bangkai yang diletakkan di kepala batas bendang dapat diambil dan dihabiskan dalam masa yang singkat oleh burung-burung erang tersebut. Sekarang burung-

burung ini sukar dilihat lagi walaupun di kawasan Bukit Lagi, kerana kemungkinan spesiesnya sudah pupus. Kepupusan binatang ini bukanlah kerana adanya senjata api yang digunakan untuk menembaknya tetapi kerana faktor keracunan. Akibat kesan buruk yang sering ditimbulkan oleh burung erang ini, iaitu suka menyambar ayam-itik dan pergerakannya secara kumpulan di kawasan sawah dengan gaya yang menakutkan pesawah, menyebabkan mereka berusaha menghapuskan binatang ini dengan berbagai cara. Pesawah menggunakan racun yang disembunyikan di dalam daging bangkai, menyebabkan burung-burung tersebut keliru lalu memakannya bersama bangkai, akhirnya membawa maut. Bagitu juga penggunaan garam yang ditaburkan pada bangkai, menyebabkan burung erang itu mati apabila memakannya. Selain daripada itu telut-telur burung ini banyak yang dicuri makan oleh kera, lutong dan ular yang banyak berlindung di atas bukit.

 

Pemandangan di pintu masuk ke Gua Cenderawasih (Gua Seri Rama)

 

Dalam tahun 1950an dan tahun-tahun sebelumnya, padang di sekitar Bukit Lagi menjadi medan tempat melepaskan kerbau, terutama sekali selepas musim menuai kerana bendang pada masa itu cuma setahun sekali sahaja. Pada waktu siang kerbau ini akan pulang ke rumah tuannya untuk bekerja atau ditambat di dalam kandang, manakala di waktu malam kerbau-kerbau ini dilepaskan oleh tuannya seperti kumpulan kerbau liar, untuk mencari makan sendiri di padang atau di bendang di samping untuk berkawan dan mengawan. Cuaca di waktu malam yang sejuk itu tidak membimbangkan tuannya kerana jika panas ditakuti binatang-binatang ini akan berkeliaran ke Bukit Lagi yang berhampiran dengan Dewan Budaya Kangar, terdapat sebuah gua yang cetek dan bumbungnya rendah. Gua ini berair pada bahagian dasarnya, tetapi dalam tahun 1980an gua ini didiami oleh beberapa orang sami Siam. Menjelang tahun 2000, gua ini telah dimajukan dengan ditambak disekitarnya untuk dijadikan tempat rekreasi. Maka dengan itu juga sami-sami Siam tersebut diminta berpindah ke tempat lain. Gua ini dikenali sebagai Gua Seri Rama yang kini ditukarkan namanya kepada Gua Cenderawasih. Bersebelahan gua ini terdapat sebuah gua baja yang mulutnya terlalu sempit, yang hanya boleh dimasuki secara mengiringkan badan. Walaupun begitu, di dalamnya luas yang boleh memuatkan dua biji rumah banglo. Gua ini ialah gua baja yang telah dibatalkan permitnya kerana berlaku runtuhan dan merbahaya. Saya sendiri pernah lemas di dalamnya kerana sukar mencari jalan keluar akibat pintu keluar yang terlalu banyak, tetapi kebanyakan pintu tersebut tidak menghala ke jalan keluar. Sekarang gua ini dilarang daripada dikunjugi oleh orang ramai kerana terdapat ular tedong selar yang besar di dalamnya.

Bcrhampiran dengan Gua Seri Rama, pada jarak lebih kurang 30 meter terdapat sebuah telaga yang digali oleh manusia, entah sejak zaman bila tidak diketahui sejarah penggaliannya. Telaga ini tidak pernah kering airnya, walaupun pada musim kering. Tetapi telaga ini perlu dibuang lanyaunya (lumpurnya) pada setiap tahun kerana jika tidak dibuang akan membantutkan pengaliran air matanya. Sekarang telaga ini telah dilitupi oleh belukar tebal dan hampir tertimbus kerana tidak dipedulikan orang sebab setiap buah rumah sudah ada air paip. Pada zaman awal kemerdekaan dan sebelumnya telaga ini menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk mandi dan mengambil air minuman yang dibubuh ke dalam tin untuk dikandar pulang.

Lebih kurang 500 meter daripada Gua Seri Rama tersebut,terdapat sebuah lagi gua yang dinamakan Gua Lesong Gua ini lebih kecil sedikit daripada Gua Seri Rama tetapi keadaannya agak mudah dimasuki dan kedudukan batu batannya agak sesuai sebagai tempat berehat. Gua ini sering dikunjungi oleh peminat-peminat nombor ekor yang datang dengan bomoh untuk menurun nombor ekor.

Gua Seri Rama dan Gua Lesong ini juga menjadi tumpuan mingguan bagi orang-orang kampung persekitarannya bagi memuja keramat. Mereka menyediakan pulut kuning berlauk ayam dan telur ayam goreng untuk dimakan di dalam ke dua-dua gua tersebut. Selepas diadakan upacara memuja tok keramat barulah dijamu kepada orang ramai yang hadir. Kanak-kanak diberi makan dan diajar cara menghormati tok keramat umpamanya jika nak buang air kecil dekat mana-mana kawasan gua tersebut mintalah izin kepada tuan punya gua seperti kata: “Minta ampun tok keramat anak cucu nak kencing.” Turut hadir bersama untuk upacara tersebut ialah orang Cina beragama Buddha seperti Nyonya Tok Teh dan keluarganya yang berkedai di Kampung Batu Hampar. Apa yang dinyatakan ini terjadi pada tahun-tahun 50 an, dimana dalam masa tersebut rata-rata masyarakat Melayu yang mengaku beragama Islam memuja keramat dan menjamu jin syaitan untuk dijadikan kawan menjaga kampung-halaman. Pada masa ini masyarakat Islam ramai yang tidak mengetahui perbuatan syirik atau menyengutukan Allah. Setelah perbuatan syirik ini diperangi secara bersungguh-sungguh barulah ianya terhapus dan kenduri tok keramat digua-gua tersebut juga hilang pada tahun-tahun 60an.

 

Kanak-kanak sedang bermain di Taman Rekreasi Bukit Lagi

 

Bukit Lagi amat befaedah kepada penduduk disekitarnya kerana membekalkan baja, kayu, ikan dan juga sebagai tempat rekreasi. Baja di Bukit Lagi walaupun tidak sehebat baja di

lain-lain bukit yang lebih tinggi, tetapi ianya mencukupi bagi penggunaan baja padi petani-petani di Mukim Seriab. Masalah yang dihadapi ialah cara untuk mengambilnya dan membawanya keluar daripada kawasan bukit tersebut terlalu sukar kerana masalah perhubungan dan tenaga kerja. Oleh itu baja yang ada di beberapa buah gua di Bukit Lagi terbiar tanpa diusahakan

kerana kosnya melebihi pengeluarannya. Pengeluaran baja ini hanya boleh dilakukan oleh individu tertentu bagi menghasilkan baja secara kecil-kecilan sehingga ke hari ini, terutama sekali baja untuk pokok bunga dan sayur-sayuran. Sekarang setelah wujud jalan Lintasan Kangar yang dibina rapat dengan kepala Bukit Lagi, kerja-kerja mengambil baja tidak lagi diusahakan kerana tiada tenaga kerja dan populariti baja bukit berkurangan akibat terpaksa bersaing dengan baja-baja kimia moden.

Bukit Lagi juga membekalkan sumber kayu api dan kayu rumah bagi penduduk yang berdekatan dengannya. Selain daripada menghasilkan kayu mati, pohon-pohon kayu yang besar seperti sentang, mengkunyit, asam, bintong dan lain-lain jenis kayu lagi boleh ditebang dan dikeringkan untuk dijadikan kayu api. Terutama sekali pada tahun-tahun sebelum 60an ke bawah, dizaman dapur minyak tanah dan dapur gas belum dicipta lagi, semua orang di sini menggunakan kayu api sebagai bahan bakaran. Anak-anak kayu yang sederhana besarnya boleh dijadikan alatan pertanian seperti batang cangkul, penyisir, anak layar tong pukul padi dan sebagainva. Kayu-kayu keras dan besar boleh dijadikan tiang bangsal, rasuk, tiang rumah dan sebagainya.

Tidak ketinggalan juga, sumber ikan dan siput kelemboi terdapat di persekitaran kawasan kaki bukil tersebut. Selain daripada kawasan sawah-bendang yang banyak didiami oleh berbagai jenis ikan air tawar yang menjadi sumber protein penduduknya; kawasan lembah di kaki Bukit Lagi yang ditumbuhi oleh semak-samun kecil seperti pokok geti air dan putat juga mengandungi banyak ikan dan siput kelemboi. Persekitaran yang menarik ini memberikan sumber makanan percuma kepada penduduknya yang rajin berusaha.

Bo1eh dikatakan sehingga ke awal tahun 1970an, pekerjaan utama penduduk di kampung persekitaran Bukit Lagi adalah bersawah padi. Tanah lanarnya yang subur iaitu bekas permatang dan pentas laut lama menghasilkan padi yang lumayan kerana kelembutan tanahnya yang asli dan luar biasa, ditambah lagi dengan cuaca panas sepanjang tahun bersama-sama hujan lebat. Di kawasan sawah inilah antara kawasan yang paling subur bagi penanaman padi di Perlis, di mana tahap penghasilan maksima yang pernah dicapai ialah lima kunca bagi satu relong. Pada masa ini pengeluaran tersebut berkurangan kerana serangan penyakit dan rumput yang tidak boleh dibasmikan sepenuhnya. Penduduk di sini kebanyakannya tidak banyak bergantung kepada kerja bersawah, kerana saiz sawah yang semakin kecil dan sukar dijalankan kerja secara intensif akibat kekurangan pekerja. Ramai anak-anak petani sudah berubah jejak mereka ramai yang sudah terpelajar dan bekerja dengan jabatan kerajaan dan swasta.

Pembinaan jalan raya rentas yang dikenali sebagai Lintasan Kangar merupakan satu rahmat dan tuah yang tidak terduga dan terlintas di hati penduduk di persekitaran Bukit Lagi. Rumah-rumah yang dahulunya terpinggir di hujung tanjung, sekarang sudah mula merasai nikmat kemudahan berumah di tepi jalan raya. Taman rekreasi dan Kompleks Budaya di kepala Bukit Lagi telah dibina sebagai daya penarik pelancong dari dalam dan luar negeri, sempena sambutan Tahun Melawat Perlis 2003. Kawasan sawah di bukit ini juga telah dikenalpasti untuk dijadikan tapak pembinaan Dewan Undangan Negeri Perlis.

Persekitaran Bukit Lagi mempunyai potensi yang cerah pada masa hadapan, memandangkan lokasinya yang hampir dengan Bandar Kangar dan keadaan persekitaran bukitnya yang luar biasa. Hal ini ketara sekali jika dibandingkan Bukit Lagi dengan bukit-bukit

lain yang ada di Perlis dan di Malaysia; iaitu kita tidak akan dapati sebuah bukit yang bersih dan tidak berhutan tebal seperti bukit ini. Pemandangan kawasan sawah padinya boleh memukau pengunjung, terutama sekali pelancung-pelancung dari luar Negara.

Sesungguhnya khazanah yang Allah swt hantarkan ke Bukit Lagi bukanlah satu perkara kecil bagi orang-orang yang mahu berfikir. Memandangkan keadaan bukit itu sendiri yang terdiri daripada batu keseluruhannya, cerun-cerunnya mudah didaki dari mana-mana arah, lokasinya berhampiran dengan Bandar Kangar dan tidak ada hutan rimba di sekitarnya adalah sebagai petunjuk bahawa kawasan bukit ini mempunyai prospek yang baik untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan utama. Usaha yang telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi menarik minat pelancung tidak boleh dipandang kecil. Pembinaan anak tangga khas untuk mendaki dan menuruni puncak bukit tersebut di bahagian kepala bukit yang hampir.

 

Satu lokasi di anak tangga menuju ke puncak Bukit Lagi

 

Dengan Kompleks Budaya Kangar, pembinaan pondok untuk pendaki-pendaki bukit singgah, pembinaan wakaf untuk pengunjung menikmati suasana sawah padi dan suasana bukit juga dibina di sepanjang kaki bukit, begitu juga dengan pembinaan Bangunan Kompleks Budaya Kangar dan Mercu Tanda Negeri adalah menjadi contoh betapa pesatnya perkembangan pembangunan sektor pelancongan di Perlis dewasa ini. Dalam pada itu perancangan telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Perlis untuk membina Kompleks Dewan Undangan Negeri berhampiran dengan Bukit Lagi. Ini akan menambahkan lagi seri kepada keadaan bukit tersebut yang sudah pun indah. Selain daripada.itu jika sekiranya dapat diusahakan pembinaan rangkaian laluan kereta kabel dari Kompleks Budaya Kangar ke Kuala Perlis, adalah dijangkakan akan memberikan satu lonjakan yang tinggi kepada kemajuan sektor pelancongan di Perlis. Sudah tentu pelancong-pelancong akan tertarik dengan panorama kawasan sawah padi di Bukit Lagi dan pantai Kuala Perlis. Ini bersesuaian benar dengan usaha kerajaan untuk menjadikan tahun 2003 sebagai Tahun Melawat Perlis di samping nmjadikan Perlis sebagai negeri ilmu. Mungkinkah usaha pembinaan rangkaian kereta kabel itu usaha yang membazir atau menguntungkan? Itu tidak diketahui, belum cuba belum tahu, mungkin juga ia adalah satu usaha yang tidak terduga atau tidak disangka-sangka boleh menguntungkan dan dapat menyaksikan pemandangan yang menarik dan mempesonakan!!

 

Bergambar di salah satu pondok rehat di atas bukit selepas penat mendaki

 

Gambaran di dalam Auditorium Kompleks Buduya Kangar