Accessibility Tools

PANTUN PERLIS INDERA KAYANGAN

PANTUN PERLIS INDERA KAYANGAN

Oleh: WAN NAN WAN MAHMUD (PAWANA)

PERKEMBANGAN kebudayaan, kesenian, malahan sejarah juga telah wujud di Negeri Perlis seperti juga yang pernah berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia khasnya dan di dunia amnya. Kerana kebudayaan, keseniaan dan sejarah adalah melambangkan peradaban dan tamadun sesuatu bangsa itu. 

Warisan Indera Kayangan yang telah diterbitkan sebelum ini telah banyak memaparkan Perlis dalam sudut sejarah, kebudayaan dan juga kesenian; malahan dalam sudut-sudut lain yang ada kaitan dengan peradaban rakyat negeri kecil ini telah dimuatkan.

Keluaran kali ini, dan berkemungkinan juga dalam beberapa keluaran akan datang saya akan cuba mengetengahkan 'bentuk-bentuk pantun' khas yang dilahirkan oleh rakyat Negeri Perlis sebanyak mungkin. Pantun-pantun ini saya petik daripada orang-orang tertentu yang masih hidup dan tergolong memang ahli dan mahir dalam bidang tersebut.

Salah seorang pengumpul pantun-pantun yang sempat saya temui ialah Encik Wan Khazim bin Wan Din yang tinggal di Kampung Chuping Bawah Bukit. Beliau adalah seorang budayawan yang memang tidak asing lagi di negeri Perlis. Beliau adalah seorang tokoh yang banyak pengalaman dalam berbagai-bagai bidang seni termasuk drama, muzik, nyanyian, pelakon filem, pemimpin masyarakat malah dalam waktu vang terdekat ini turut berkecimpung dalam dakwah pula, Wan Khazim boleh digolongkan seorang tokoh yang serba boleh, serba tahu dan ingin tahu.

Beliau juga telah terpilih beberapa kali mewakili negeri Perlis ke Pertandingan Berbalas Pantun Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sempena menyambut Hari Kebangsaan yang diadakan saban tahun di Kuala Lumpur dalam tahun-tahun 60-an. Beliau pernah terpilih sebagai Pemantun Terbaik dalam pertandingan tersebut.

Ada berbagai-bagai bentuk pantun yang telah lahir atau diciptakan oleh orang-orang terdahulu pada zaman lampau. Pada kebiasaannya pantun kasih-sayanglah atau cinta­ mencintai yang banyak diketengahkan. Selain dari itu, lahir juga pantun-pantun berbentuk sindir-menyindir, teka-teki, tempat, jenaka, hiburan, marah, kias-ibarat dan sebagainya.

Antara pantun kasih-sayang yang biasa dikemukakan ialah :

 

Bukit Chuping gua beringin,

Tempat orang mengambil baja,

Putih kuning jangan duk ingin,

Banyak orang balik saja.

 

Tempat orang mengambil baja,

Saya seorang mengambil padi,

Banyak orang balik saja,

Saya seorang gagah menanti.

 

Kapal terbang masuk Perleh,

Kalah berperang dengan Jerman,

Bunga sekuntum ambil tak boleh,

Ada kumbang dalam taman.

 

Orang Putih berkereta api,

China gedung jahit kebaya,

Tujuh lapis pagar besi,

Bunga sekuntum ku ambil juga.

 

Bunga geti kembang serungkul,

Ambil galah tergewang-gewang,

Kalau benci khabarlah betul,

Tak dak saya duk ulang-ulang.

 

Padang Pauh Alor Sena,

Orang kuala naik perahu,

Kalau jauh fikir tak kena,

Kalau dekat buat-buat tak tahu.

 

Lembu siapa tambat di pantai,

Putus tali minum di kolam,

Ilmu apa yang adik pakai,

Sekali senyum manis tang malam.

 

Padang Siding Pokok Petai,

Dekat dengan Kampung Banggul,

Bersandar ke dinding belakang gatai,

Ku jeluh tengok pengelat sanggul.

 

Bukit Lagi bintang berkarang,

Anak yu dua serupa,

Adik pergi abang tak larang,

Janji dahulu jangan dilupa.

 

Dari Jejawi ke Kubang Gajah,

Simpang tiga ke Mata Ayaq,

Mungkir janji bukannya mudah,

Bagai hutang belum dibayaq.

 

Alor Sena kampung melintang,

Cacak kaca tertikam kaki,

Apa guna hang sanggul lintang,

Hak sanggul camca elok lagi.

 

Burung merbah terbang ke Barat,

Jatuh seekor patah kaki,

Engkau tak megah aku tak minat,

Orang lain bertambah lagi.

 

Anak merbuk sarang di luar,

Pucuk paku pucuk beringin,

Biar buruk kaki seluar,

Hati aku sikit tak ingin.

 

Anak yu dua serupa,

Yu berjumpa dengan sembilang,

Janji dulu adik tak lupa,

Tunggulah sampai adik pulang.

 

Bukit Jernih berhutan buluh,

Tempat Raja pergi memburu,

Minta selisih malaikat empat puluh,

Janganlah saya diberi malu.

 

Bukit-bukau, gunung-ganang

Pagi petang, siang malam,

Ditetak, dipukau, direnung, ditenung,

Di luar pisang racun di dalam.

 

NOTA

gatai - gatal

ayaq - air

bayaq - bayar

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999