SEJARAH STADIUM DATO' SHEIKH AHMAD
Nukilan : RAMLI ISMAIL
Stadium Dato' Sheikh Ahmad, Kangar mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia terletak di Jalan Kolam di antara Sungai Perlis dengan kawasan Hospital Kangar. Kewujudannya adalah untuk mengganti Padang Bandaran tidak jauh dari tapak stadium berkenaan bagi pelbagai aktiviti sukan terutama pertandingan bola sepak.
Stadium itu diwujudkan dengan usaha bekas Menteri Besar Perlis yang pertama dahulu, iaitu Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim. Beliau telah memainkan peranan secara langsung "memujuk" Perdana Menteri Malaysia pertama ketika itu, iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, untuk mendapatkan wang peruntukan bagi membina stadium berkenaan.
Menurut bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perlis, Syed Hassan bin Syed Muhamad, tapak stadium itu adalah milik seorang pembesar Negeri Perlis ketika itu, iaitu Allahyarham Tengku Abdullah. Rumahnya terletak di tengah-tengah tapak stadium berkenaan. Pada masa itu terdapat hanya tiga buah rumah sahaja di kawasan terbabit termasuk sebuah rumah anak Tengku Abdullah, bernama Tengku Chik dan sebuah lagi rumah diduduki oleh seorang keturunan British dipanggil Tuan Pascor. Ketika itu sekitar tahun 1920-an.
Kawasan tapak stadium tersebut adalah merupakan kawasan kampung yang ditanam dengan pokok-pokok kelapa. Difahamkan juga pemilihan tapak stadium berkenaan kerana kedudukannya dalam bandar Kangar, memudahkan orang ramai yang datang dari seluruh Perlis untuk menyaksikam pertandingan sukan atau apa sahaja aktiviti yang diadakan.

Cadangan untuk pembinaan stadium berkenaan telah dibawa dalam perbincangan mesyuarat Dewan Undangan Negeri. Boleh dikatakan keseluruhan anggota dewan pada masa itu sebulat suara bersetuju dengan cadangan tersebut kerana memikirkan sudah sampai masanya Perlis mempunyai sebuah stadium apabila negeri-negeri lain di Semenanjung ketika itu sudahpun mempunyai stadium masing-masing.
Kepentingan tersebut difikirkan lebih diperlukan apabila sukan bola sepak di negeri ini semakin berkembang dan Perlis mempunyai sebuah pasukan bola sepak yang semakin disegani. Sebelum itu semua pertandingan bola sepak diadakan di Padang Bandaran berhampiran Hospital Kangar dalam keadaan yang serba kekurangan, apatah lagi untuk membuat kutipan tiket bagi penonton yang hendak menyaksikan sesuatu pertandingan.
Oleh kerana padang itu tidak mempunyai pagar, pihak penganjur pertandingan hanya mampu meregang kain di sekeliling padang terbabit untuk dijadikan pagar. Keadaan sedemikian sudah tentu tidak berkesan kerana mudah bagi orang ramai yang tidak mahu membeli tiket mencuri masuk dengan menyusupi bahagian bawah pagar kain berkenaan.
Pada masa itu, sambutan sukan bola sepak di negeri ini amat menggalakkan sekali. Perlis pula sering mengadakan pertandingan dengan pasukan-pasukan handal daripada Thailand menyebabkan tumpuan penonton semakin ketara. Keadaan yang sama berlaku apabila pasukan Perlis menyertai pertandingan-pertandingan utama peringkat kebangsaan ketika itu iaitu Piala Emas Raja-Raja dan Piala Malaya.
Menyedari kepentingan itulah, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad (ketika itu bergelar Dato' Sheikh Ahmad) telah membawa cadangan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri betapa perlunya Perlis mempunyai sebuah stadium yang lebih baik. Ini juga untuk menjaga maruah negeri Perlis sendiri sebagai sebuah negeri beraja terutama semasa mengadakan pertandingan bola sepak dengan pasukan-pasukan daripada Thailand, yang melibatkan peringkat antarabangsa.
Apabila cadangan itu dibawa ke dalam mesyuarat tersebut, keseluruhan anggota dewan berkenaan bersetuju supaya sebuah stadium dibina di Perlis. Sebaik sahaja persetujuan dicapai, tindakan teknikal selanjutnya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri. Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad sendiri berusaha mendapatkan sokongan Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk memberi peruntukan bagi pembinaannya.

Berkat dari usaha bekas Menteri Besar itulah, akhirnya terbina sebuah stadium di Kangar sebagaimana yang diidamkan sekitar awal tahun 1960-an. Bagi mengenang jasa-jasa beliau, persetujuan kemudian dicapai supaya stadium berkenaan diberi nama Stadium Dato' Sheikh Ahmad, mengambil sempena nama Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad.
Sejak kewujudannya, stadium berkenaan mula mengambil alih peranan yang selama ini dimainkan oleh Padang Bandaran Kangar. Kebanyakan perhimpunan utama diadakan di stadium itu. Bagi pertandingan bola sepak, sudah semestinya stadium tersebut mengambil alih sepenuhnya dari peranan yang sebelum ini dimainkan oleh Padang Bandaran. Dengan demikian lebih mudah kawalan dibuat semasa diadakan kutipan tiket bagi setiap penonton.
Sesuatu yang mungkin tidak dilupakan oleh para peminat bola sepak di negeri Perlis apabila pada tahun 1967, Stadium Dato' Sheikh Ahmad Kangar dipilih menjadi gelanggang pertandingan akhir bola sepak Piala Emas Raja-Raja antara Pasukan Perlis melawan Pasukan Singapura. Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Perlis muncul sebagai juara apabila mengalahkan Pasukan Singapura 3-1.
Banyak lagi peristiwa penting diadakan di stadium tersebut. Di antaranya termasuk perhimpunan-perhimpunan pemimpin bersama rakyat. Stadium itu juga pernah menjadi tempat bagi Musabaqah Membaca AI-Quran Peringkat Kebangsaan yang disiarkan terus menerus oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar awal tahun 1990-an. Forum Perdana anjuran Kerajaan Negeri Perlis dan RTM juga pernah diadakan di situ yang turut disiarkan oleh RTM.
Bagi mereka yang berkhidmat sebagai anggota polis harus mengingati jasa stadium tersebut kerana ianya telah dijadikan tempat upacara menandatangani perjanjian mengasingkan pentadbiran Polis Di Raja Malaysia (PDRM) daripada Kedah / Perlis kepada pentadbiran Negeri Perlis sendiri juga sekitar awal tahun 1990-an dengan terbentuknya Polis Kontinjen Negeri Perlis.
Bagaimanapun, dengan perkembangan semasa sekarang, kewujudan Stadium Dato' Sheikh Ahmad difikirkan sudah tidak sesuai lagi. Apatah lagi apabila pertandingan bola sepak tidak boleh diadakan pada waktu malam kerana kemampuan lampu limpahnya yang tidak memenuhi kehendak piawaian sebagaimana sepatutnya sementara pengisian penonton pula hanya sektiar 5,000 orang sahaja.
Justeru, semasa Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh menjadi Menteri Besar, usaha usaha seterusnya dijalankan untuk mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi memboiehkan sebuah stadium baru lengkap dengan kemudahan terkini disediakan. Akhirnya wujudlah Stadium Utama di Kawasan Kompleks Sukan Padang Nyaring sekarang yang mampu mengisi 20,000 penonton. Ekoran itu, semua pertandingan bola sepak diadakan di stadium baru tersebut. Stadium Dato' Sheikh Ahmad tidak lagi menjadi tumpuan aktiviti sekarang, namun segala jasanya tetap dikenang.
SUMBER MAKLUMAT
Dato' Kaya Bakti Syed Omar bin Syed Hussain, Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis dan Tuan Syed Hassan bin Syed Muhamad, Bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perlis. Masih banyak lagi kajian yang boleh dibuat terhadap sejarah Stadium Dato' Sheikh Ahmad ini. - Penulis.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999
