HJH. MELOR BT. ISMAIL
TOKOH WANITA NEGERI PERLIS
Oleh : ALWI SUDIN
HJH. MELOR BT. ISMAIL ialah seorang tokoh wanita negeri Perlis. Namanya diambil berdasarkan nama kuntuman bunga yang menjadi kemegahan masyarakat desa. Hjh. Melor dilahirkan pada 5 Oktober 1922 dalam lingkungan keluarga petani di Kampung Paya, Perlis.
Hajah Melor mendapat pendidikan awal ketika berusia enam tahun di Sekolah Melayu Perempuan Paya yang terletak tidakjauh dari rumahnya. Berkat rajin dan usaha, Hjh. Melor berjaya belajar hingga ke peringkat paling tinggi ketika itu, iaitu darjah lima. Beliau berjaya memperolehi kelulusan kelas pertama. Di waktu itu, pembabitan beliau dalam akademik tidak disenangi oleh masyarakat kampungnya: Hjh. Melor sering dilemparkan dengan pelbagai kata yang kurang manis kerana di zaman itu, kaum wanita hanyalah berperanan di ceruk dapur sahaja. Walau bagaimanapun, dengan azam dan semangat yang tidak pernah luntur, beliau terus belajar untuk membuktikan kepada masyarakat kampung bahawa, wanita juga berhak memperolehi pelajaran tinggi.

Dalam tahun 1937, beliau berjaya menjawat jawatan sebagai seorang guru pelatih di Sekolah Melayu Perempuan Paya. Pemilihan ini dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri Perlis berdasarkan prestasinya yang baik dalam bidang akademik sewaktu beliau menjadi penuntut di sekolah berkenaan. Beliau mula menjalankan tugasnya pada tarikh 12 Mei 1937. Pada tahun 1938, Hjh. Melor terpilih pula untuk mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Beliau adalah merupakan salah seorang pelajar wanita yang terpilih di antara 24 orang pelajar wanita lain yang datang dari seluruh negara.
KERJAYA SEBAGAI PENDIDIK
Hjh. Melor merupakan wanita Perlis yang pertama berjaya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan dan kerjayanya ini merupakan perintis jalan kepada calon-calon guru wanita yang lain. Setelah bertungkus-lumus menghadapi kursus di maktab berkenaan, akhirnya Hjh. Melor berjaya memperolehi kelulusan Sijil Kedua dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pertukangan Tangan
Sekembalinya dari maktab, beliau telah ditempatkan di Sekolah Melayu Perempuan Paya pada 3 Oktober 1940. Beliau memegang jawatan Guru Penolong sehingga tahun 1943. Seterusnya Hjh. Melor menyandang jawatan Guru Besar dari 1943 hingga tahun 1958. Bermula dari tarikh ini, beliau dinaikkan pangkat ke Tingkatan Khas sehingga ke tarikh persaraan beliau pada 4 Oktober, 1977.

PELAN KEDUDUKAN RUMAH HJH MELOR
Di sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pendidik, beliau pernah bertugas di Sekolah Perempuan Paya (bermula dari 1940), Sekolah Arau (1945), kembali semula ke sekolah asal (1946-1954) dan akhirnya ditempatkan berkhidmat di Sekolah Perempuan Sri Perlis, Kangar dari tahun 1955 hingga tahun 1977.
Sepanjang kariernya sebagai pendidik, Hjh. Melor telah memperkenalkan berbagai perubahan di bidang pelajaran. Berbekalkan beberapa teknologi baru di bidang pendidikan seperti penggunaan alat pandang dengar sebagai salah satu teknik pengajaran dalam matapelajaran ilmu kejadian, nyanyian, ilmu masakan dan jahitan.
Hjh. Melor turut menjadi penganjur bagi beberapa kegiatan luar bilik darjah seperti Pandu Puteri, Brownies, St. John Ambulance dan kesenian berupa tarian rakyat. Pengalaman yang diperolehi ketika bergaul dengan isteri Penasihat British banyak membantu Hjh. Melor mengendalikan pertubuhan-pertubuhan.
PENGLIBATAN DALAM HAL-HAL KEMASYARAKATAN DAN POLITIK
Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi sebagai pendidik, Hajah Melor sempat meluangkan masa untuk melibatkan diri dalarn beberapa kegiatan masyarakat sejak remaja lagi. Sebagai tanda keikhlasannya kepada masyarakat, beliau turut menyumbangkan tenaga untuk membimbing guru-guru pelatih pada setiap hari Sabtu. Beliau juga memberi kelas ulangkaji semasa cuti pada pelajar-pelajar sekolah.
Selain dari itu, Hjh. Melor tidak melupakan masyarakat kampung yang tidak berpeluang menikmati kemudahan persekolahan "formal" di sekolah-sekolah. Beliau telah mengambil inisiatif untuk membuka kelas mengajar orang dewasa di Paya. Peringkat awalnya hanya 39 orang sahaja penuntut dewasa yang boleh membaca dan menulis. Bagaimanapun dengan usaha dan bimbingan dari Hjh. Melor, seramai 79 orang dari 82 orang penuntut ini berjaya dalam ujian yang dijalankan kemudiannya. Tugas sebagai pendidik turut mendorong beliau melibatkan diri bersama-sama beberapa tokoh lain untuk menuntut supaya diadakan pelajaran menengah melayu di sekolah-sekolah pada masa itu. Hasil tuntutan ini, sebuah Sekolah Menengah Melayu telah ditubuhkan dalam tahun 1950- an.
Perjuangannya di bidang pendidikan menjadi kian ketara apabila beliau diberi tugas sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Perlis. Selain dari itu, beliau juga merupakan salah seorang pengasas Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Perlis dan telah memberikan khidmat untuk pertubuhan ini di samping menumpukan perhatian menjayakan pergerakan kelas dewasa peringkat negeri Perlis. Ketika melibatkan diri dengan pertubuhan Perempuan tersebut, beliau pernah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Setiausaha dan dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Pelajaran Dewasa negeri Perlis.
Kebolehan Hjh. Melor tidak setakat itu sahaja. Beliau telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t bakat mengarang. Berbekalkan minat yang diadun dengan bakat semulajadinya, beliau menghasilkan beberapa karya kreatif berbentuk pantun dan syair. Hasil karyanya pernah disiar di akhbar. Nama pena yang digunakan dalam penghasialan karya tersebut ialah 'Melati Utara'.
Penglibatannya secara aktif di bidang politik bermula sebaik sahaja berakhirnya Perang Dunia Kedua. Hjh. Melor muncul sebagai wanita ulung di negeri Perlis melibatkan diri di dalam kancah perjuangan orang-orang Melayu berjuang menentang gagasan Malayan Union. Bersama beberapa orang rakannya, Hjh. Melor berganding bahu menubuhkan Persatuan Melayu Perlis yang kemudiannya dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Dalam usaha menentang Malayan Union, beliau telah terlibat dalam beberapa kegiatan seperti menganjurkan ceramah, penerangan dan syarahan kepada orang ramai dan turut rnenyertai perarakan (tunjuk perasaan menentang Malayan Union).
Sewaktu Dato' Onn Jaafar melawat Perlis dalam tahun 1946, Hjh. Melor telah diberi kepercayaan untuk menyediakan teks ucapan dan kernudiannya membacakannya sebagai mewakili pihak kaum ibu di negeri Perlis. Ketokohannya terserlah apabila selesai sahaja berucap, Dato' Onn sendiri memberikan pujian serta sanjungan kepada Hjh. Melor. Ketika UMNO mengadakan mesyuarat yang pertama di Arau, Hjh. Melor dilantik sebagai wakil kaum ibu negeri Perlis kerana beliaulah yang menjadi pengasas kepada penubuhan UMNO kaum ibu di Kampung Paya.
PENUTUP
Memandangkan jasanya yang begitu besar sebagai perintis jalan ke arah kemajuan persekolahan rendah di Perlis khasnya kepada kaum wanita, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis telah berkenan menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Lama dan Kelakuan Baik kepada Hjh. Melor. Selain dari pingat ini, beliau juga pernah menerima Pingat Kenangan Guru Perlis 1981 dari pemangku Menteri Besar Perlis sempena Perayaan Hari Guru Peringkat negeri Perlis pada tahun tersebut..
Sumbangan beliau dalam pergerakan politik semasa juga tidak dilupakan. Pada tahun 1982, beliau telah dianugerahkan gelaran 'Tokoh UMNO 1946' dan pingat Peringatan Malaysia pada tahun 1963 oleh D.Y.M.M Raja Perlis di Bandar Di Raja Arau.
Akhir sekali, Hjh. Melor telah dianugerahkan pula pingat Tokoh Pendidikan 1987 dari bekas murid-murid tua Maktab Perguruan Durian Daun Melaka. Majlis ini diadakan di Kelantan dan D.Y.M.M Raja Perempuan Kelantan telah berkenan menyampaikannya.
Kini Hjh. Melor telahpun bersara dari jawatan pendidik. Setelah menunaikan fardu Haji, beliau kini menghabiskan masa persaraannya dengan mengikuti kuliah-kuliah agama Islam di samping bermesra dengan anak-anak serta keluarga lain di Kangar. Semoga segala jasa, usaha dan pengorbanan beliau akan dicontohi oleh generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan kelak. Sumbangan beliau akan tetap dikenang oleh segenap lapisan masyarakat negeri Perlis khasnya seperti kata perumpamaan: :-
"HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, MANUSIA MATI MENING GALKAN NAMA. NAMA YANG BAIK TETAP DIKENANG."
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 11, 1999
