Accessibility Tools

ISTIADAT PEMASYHURAN RAJA MUDA DAN RAJA PUAN MUDA PERLIS

ISTIADAT PEMASYHURAN
RAJA MUDA DAN RAJA PUAN MUDA PERLIS

Oleh : RAMLI ISMAIL

Apabila scorang raja mangkat, secara automatik, Raja Muda akan dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia ( DYMM ) Raja. Berikutan dari itu, tempat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda kosong dan perlu diisi.

 

 

DYTM Syed Faizuddin membaca ikrar menjalankan tugas sebagai Raja Muda

 

Untuk pengisian tempat DYTM Raja Muda, ianya dijalankan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis. Tempat tersebut perlu diisi oleh anakanda lelaki yang pertama kepada DYMM Raja yang menaiki takhta.

Setelah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja, satu majlis permasyhuran diadakan di Balairong Seri, Istana Arau. Majlis tersebut diadakan secara penuh istiadat yang gilang gemilang. Pertabalan DYTM Raja Muda Perlis yang terbaru membabitkan pertabalan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni DYMM Tuanku Syed Sirajuddin.

Bagi memahami mengenai istiadat permasyhuran DYTM Raja Muda Perlis tersebut, eloklah jika kita ikuti istiadat pemasyhuran DYTM Tuanku Syed Faizuddin itu. Istiadat berkenaan diadakan pada 12 Oktober 2000 bertempat di lstana Arau.

Istiadat bermula dengan pemeriksaan barisan kehormatan pasukan tentera oleh DYMM Tuanku Raja diikuti dengan tembakan meriam tujuh das. Turut berangkat di majlis itu ialah Yang Maha Mulia Raja Perempuan Besar, Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail (bekas Raja Perempuan Perlis semasa pemerintahan Tuanku Syed Putra Jamalullail),

 

 

DYTM Raja Muda menyarung Keris Kebesaran Raja Muda

 

DYMM Raja Perempuan, Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid, Kerabat-kerabat Diraja, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim dan isteri, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Azib Saad dan isteri, Hakim Mahkamah Tinggi dan isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Abdul Latib Omar dan isteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri dan isteri masing-masing, para wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Selepas pemeriksaan perbarisan, para tetamu beredar ke Balairong Seri sementara Duli-Duli Tuanku Raja bersemayam di Bilik Biru, Istana Dalam.

Istiadat di Balairong Seri bermula dengan ketibaan Yang Amat Mulia Kerabat-Kerabat Bergelar diikuti dengan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi dan isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri dan Isteri, diumumkan oleh pengacara majlis. Selepas itu pengacara mengumumkan pula ketibaan YAB Menteri Besar dan isteri. Semua hadirin dalam Balairong Seri berdiri.

Para hadirin termasuk Menteri Besar dan isteri kekal berdiri sehingga pengacara majlis mengumumkan pula keberangkatan masuk YMM Raja Perempuan Besar. Selepas itu diikuti pula dengan keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda. Kemudiannya semua hadirin duduk ditempat duduk masing-masing.

Selepas itu nafiri dibunyikan menandakan keberangkatan tiba DYMM Tuanku Raja dan Raja Perempuan ke majlis istiadat. Pengacara majlis kemudian mengumumkan keberangkatan masuk DYMM Raja dan DYMM Raja Perempuan ke Balairong Seri diikuti dengan tiupan serunai lagu “Raja Berangkat” oleh kumpulan Terinai Negeri Perlis. Para hadirin sekali lagi berdiri semasa DYMM Tuanku Raja dan DYMM Tuanku Raja Perempuan berjalan masuk ke Balairong Seri.

Keberangkatan masuk baginda berdua didahului oleh Pegawai Istiadat Istana Arau, Encik Hamzah bin Abdullah yang lengkap berpakaian Melayu sambil membawa Keris Istiadat bersama lapan pembawa alat-alat kebesaran istiadat terdiri daripada dua pembawa tombak, dua sundang, dua keris dan dua pedang. Turut mengiringi kedua-dua Duli Tuanku ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri.

Sayugia disebutkan bahawa lagu “Raja Berangkat” khas dimainkan semasa DYMM Raja dan DYMM Raja Perempuan berangkat ke Balairong Seri. Lagu itu dihentikan sebaik sahaja Duli-Duli Tuanku berdua sampai ke tempat bersemayam. Ini kemudian diikuti pula dengan lagu Negeri “Amin-Amin” dimainkan.

Selepas itu, Duli-Duli Tuanku bersemayam di atas singgahsana sementara para hadirin duduk di tempat masing-masing. Pegawai Istiadat kemudian mengadap, memohon ampuni limpah perkenan DYMM Tuanku Raja untuk memulakan istiadat.

Istiadat bermula dengan pengisytiharan istiadat dizahirkan oleh Pegawai Istiadat. Selepas itu istiadat dimulakan dengan permasyhuran DYTM Raja Muda. Yang Amat Mulia Tengku Syarif Bendahara (YAM Dato' Seri Diraja Syed Badaruddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ) diperkenan mengadap untuk memasyhurkan perlantikan DYTM Raja Muda.

Selesai permasyhuran, YAM Tengku Syarif Temcnggung (YAM Dato' Seri Diraja Dato' Seri Syed Amir Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail) diperkenan mengadap untuk menyambut DYTM Raja Muda. DYTM Raja Muda bersama YAM Tengku Syarif Temenggung dengan diiringi oleh Yang Berbahagia Dato’ Setia Jaya Mahmud Haji Hashim dan Yang Berbahagia Dato’ Setia Jaya Haji Abu Bakar Ahmad mengadap Tuanku Raja. Selepas itu baginda bersemayam dimeja istiadat.

Kemudian YAB Menteri Besar diiringi oleh YB Penasihat Undang-Undang dan EXCO Kerajaan Negeri, YB. Haji Ishak Arshad mengadap dan mempersembahkan warkah ikrar taat setia kepada DYTM Raja Muda. Apabila menerima watikah, DYTM Raja Muda berangkat untuk membaca ikrar.

Selesai membaca ikrar, DYTM Raja Muda bersemayam semula di meja istiadat dan menandatangani warkah ikrar taat setia dengan disaksikan oleh YAB Menteri Besar dan YAM Tengku Syarif Temenggung. Setelah ditandatangani, watikah ikrar itu diserahkan kepada YAB Menteri Besar. Menteri Besar bersama pengiring-pengiringnya tadi kembali mengambil tempat duduk masing-masing.

DYTM Raja Muda diiringi oleh YAM Tengku Syarif Temenggung mengadap DYMM Tuanku Raja bagi menerima kurnia Keris Kebesaran DYTM Raja Muda. Sebelum itu, keris tersebut dipersembahkan oleh YAM Tengku Syarif Bendahara ke bawah DYMM Tuanku Raja. DYMM Tuanku Raja kemudian dengan penuh istiadat mengurniakan keris itu kepada DYTM Raja Muda.

DYTM Raja Muda kemudian menerima keris berkenaan dan melangkah tiga langkah ke belakang, dengan penuh hormat menghunus serta mengucup keris kebesaran tersebut. Keris itu kemudian disarungkan semula dan diselitkan disisi kiri pinggang baginda. Setelah menjunjung duli, DYTM Raja Muda diiringi oleh YAM Tengku Syarif Temenggung kembali mengambil tempat.

Selepas itu diikuti dengan Pegawai Istiadat mengisytiharkan Istiadat Permasyhuran DYTM Raja Puan Muda. Istiadat bermula dengan YAM Tengku Sharif Bendahara membuat pergistiharan DYTM Raja Puan Muda. YAM Tengku Puteri Utama (YAM Dato' Seri Diraja Dato' Seri Sharifah Salwa binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail) diperkenan mengadap untuk menyambut DYTM Raja Puan Muda (DYTM Lailatul Shahreen Akashah binti Dato' Haji Khalil) mengadap. DYTM Raja Puan Muda diiringi YAM Tengku Puteri Utama kemudian mengadap.

 

 

         Menteri Besar menyembahkan warkah taat setia kepada DYTM Raja Muda

 

 

Pegawai Istiadat Istana Arau, Hamzah Abdullah dalam satu Upacara Istiadat di Istana Arau

 

Sementara itu, YAM Tengku Syarif Bendahara mengadap dan menyembahkan Gendik Diraja ke bawah DYMM Tuanku Raja. DYMM Tuanku Raja kemudian dengan penuh istiadat menyempurnakan pemakaian Gendik Diraja. Setelah menjunjung duli, DYTM Raja Puan Muda diiringi oleh YAM Tengku Puteri Utama kembali mengambil tempat.

Selepas itu, diikuti dengan titah ucapan menjunjung kasih oleh DYTM Raja Muda dan kemudiannya ucapan tahniah oleh YAB Menteri Besar sebelum DYMM pula menyampaikan titah ucapan. Berakhir ucapan doa dibaca oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri, Dato' Alim Panglima Haji Mat Jahaya Haji Husein,

Sempena istiadat pemasyhuran itu, DYMM Tuanku Raja berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat-pingat kepada 237 penerima. Selesai istiadat penganugerahan tersebut, pengacara majlis mengumumkan keberangkatan DYMM Raja dan Raja Perempuan meninggalkan majlis. Lagu Negeri dimainkan diikuti dengan tiupan Gendang Terinai lagu “Raja Berangkat”. Kemudian diumumkan keberangkatan DYTM Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda dan seterusnya semua hadirin beredar meninggalkan majlis.

Ucapan berakhir dengan majlis santapan di bawah Balairong Seri bersama para tetamu yang hadir.

 

SUMBER RUJUKAN

Encik Hamzah bin Abdullah Pegawai Istiadat Istana Arau

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000