Accessibility Tools

IBUS MODENISASI MENGABURI SUMBANGAN SILAMNYA

IBUS
MODENISASI MENGABURI SUMBANGAN SILAMNYA

Oleh: ADNAN JAHAYA

Seandainya bujam tidak lagi dikenali, mungkin pokok ibus turut dianggap sebagai pokok yang tidak pernah berbakti. Bujam dan ibus begitu sinonim suatu ketika dahulu tetapi kedua nama itu kini kian tenggelam akibat dihakis oleh arus modenisasi yang begitu berkembang. Bujam adalah antara puluhan produk warisan Melayu yang disumbangkan oleh pokok ibus. Ketika produk-produk warisan itu kian diketepikan namun pokok ibus masih gagah berdiri di sana-sini. Pokok ibus atau nama saintifiknya Corypha Gebangaadalah sejenis tumbuhan palma yang dipercayai wujud sejak ribuan tahun lalu. Ia ditemui begitu banyak terdapat di negeri Perlis.

 

 

Suatu ketika dahulu, pokok ibus begitu banyak terdapat di Perlis dan ia mendorong penamaan kampung-kampung tertentu dengan nama pokok itu. Dua kampung telah dikesan menggunakan nama pokok itu iaitu Kampung Behor Ibus di Simpang Empat dan Kampung Utan Ibus di Kayang. Penamaan Kampung-kampung itu dikaitkan dengan jumlah pokok ibus yang banyak terdapat di situ. Bagaimanapun berdasarkan kajian saintifik, pokok palma itu turut hidup di Myanmar dan Kepulauan Pasifik tetapi tiada keterangan mengenai sumbangannya di situ.

Di Perlis, pokok ibus begitu bermanfaat dalam kehidupan manusia malah ia turut dianggap sebagai pokok seribu guna. Sebagai contoh, batangnya yang jauh lebih besar daripada batang kelapa digunakan sebagai titi. Ketika itu, hampir setiap anak sungai atau tali air di Perlis mempunyai titi yang diperbuat daripada batang ibus malah ada yang masih kekal sehingga kini. Pokok ibus juga telah menyemarakkan semangat bergotong-royong masyarakat apabila usaha membina titi batang ibus memerlukan tenaga yang banyak. Batang pokok ibus yang besar dan berat memerlukan sekurang-kurangnya 20 orang untuk mengusungnya.

Peralatan utama yang digunakan bagi mengusung batang ibus ialah buluh panjang disamping pelepah ibus yang bertindak sebagai tali pengampai. Selain batang ibus, tayar luar basikal yang tidak lagi digunakan boleh menjadi pengampai. Selain titi, batang ibus juga digunakan sebagai tiang, pelapik, tempat letak pasu bunga dan kerusi. Daun ibus biasanya digunakan untuk membuat bujam iaitu sejenis bakul kecik. Bujam sering digunakan untuk tujuan perubatan tradisional disamping sebagai tempat menyimpan makanan kering termasuk beras. Untuk maksud perubatan tradisional, bujam digunakan untuk meletakkan beberapa keperluan perubatan seperti sirih, pinang dan beras.

Selain bujam, daun ibus yang sepanjang antara 2 hingga 3 meter juga digunakan untuk membuat tikar. Biasanya tikar ibus digunakan sebagai alas menjemur padi. Tikar ibus dianggap sebagai tikar kelas kedua kerana ia lebih banyak digunakan diluar rumah. Daun ibus juga menjadi bahan untuk membuat karung, dinding, atap, penyapu dan barangan mainan seperti bola dan serunai. Pelepah ibus pula boleh digunakan untuk membuat tali atau “simpai” untuk kegunaan mengusung rumah. Untuk menghasilkan tali, pelepah ibus diremukkan supaya ia menjadi lebih lembut. Selain tali pelepah ibus yang diremukkan juga sering menj adi pengikat buaian.

Pokok ibus boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter dan ia akan berdiri gagah sehingga ke akhir hayatnya. Ketika dipenghujung hayatnya pokok ibus akan mengeluarkan produk terakhirnya iaitu buah-buah yang enak dimakan. Buah ibus boleh dijadikan halwa malah boleh dimakan secara mentah. Untuk mendapatkan buah ibus yang muda, pokoknya perlu ditebang. Ini kerana ia sukar dipanjat. Buahnya juga sukar untuk dikait dengan galah kerana pokoknya begitu tinggi. Penghasilan buah itu menandakan bakti terakhir yang dicurahkan oleh pokok ibus kepada manusia. Pokok yang mati tidak akan tumbang tetapi buah-buahnya yang matang akan berguguran ke bumi. Buah-buah itu kemudiannya akan menjadi benih untuk membentuk pokok yang baru disekelilingnya.

Sesungguhnya pokok ibus memberi khidmatnya hingga kepenghujung hayat. Malah ketika telah mati batang ibus akan bertukar fungsi menjadi tempat kediaman burung-burung terutamanya burung gembala kerbau. Selain menjadi kediaman burung batang ibus juga menyumbang makanan kepada burung belatuk. Walau apapun sumbangan pokok ibus ia tetap dilihat sepi oleh manusia.Tiada usaha untuk mengekal dan memelihara malah ada segelintir penduduk yang menganggapnya sebagai tumbuhan yang tidak mempunyai kegunaan. Persoalannya mungkinkah pokok ibus akan menerima nasib seperti pokok Kangar yang telah hilang?

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 12, 2000