Accessibility Tools

WANG KELIAN

WANG KELIAN

Oleh: ALWI SUDIN

Wang Kelian sebuah perkampungan Melayu terletak paling ke utara di negeri Perlis malah di Semenanjung Malaysia. Wang Kelian yang bersempadankan negara Thai di utara dilingkungi banjaran bukit-bukau keseluruhannya. Justeru lokasinya sedemikian, maka perkampungan ini begitu terasing, lambat membangun dan tidak banyak diresapi pengaruh luar. Selain dari Wang Kelian dalam Wang ini terdapat Wang Burma dan Wang Tangga. Wang Burma terletak berhampiran dengan Pos Imigresen Wang Kelian, Kerajaan negeri Perlis telah mengisytiharkan Wang Burma sebagai sebahagian dari 'Taman Negeri' dan di jajaran Bukit Wang Burma terdapat kawasan perkelahan dan terowong-terowong gua yang menarik.

WANG KELIAN

Oleh: ALWI SUDIN

 

Menurut Tuan Haji Endut perkampungan Wang Kelian dibuka oleh Tuk Putih, Penghulu Ali
dan beberapa orang pengikutnya kira-kira dua ratus tahun yang lalu (awal abad ke 19).

 

Wang Kelian sebuah perkampungan Melayu terletak paling ke utara di negeri Perlis malah di Semenanjung Malaysia. Wang Kelian yang bersempadankan negara Thai di utara dilingkungi banjaran bukit-bukau keseluruhannya. Justeru lokasinya sedemikian, maka perkampungan ini begitu terasing, lambat membangun dan tidak banyak diresapi pengaruh luar. Selain dari Wang Kelian dalam Wang ini terdapat Wang Burma dan Wang Tangga. Wang Burma terletak berhampiran dengan Pos Imigresen Wang Kelian, Kerajaan negeri Perlis telah mengisytiharkan Wang Burma sebagai sebahagian dari 'Taman Negeri' dan di jajaran Bukit Wang Burma terdapat kawasan perkelahan dan terowong-terowong gua yang menarik. Wang Tangga yang terletak di pintu Gua Kelam sebelah Wang Kelian merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang dimiliki sepenuhnya oleh Dato' Loh Ah Tong. Selain bijih timah terdapat kebun getah dan dusun buah-buahan. Di Wang Tangga tidak ada penghuni menetap hanya terdapat pekerja-pekerja yang bekerja dengan Dato' Loh Ah Tong. Kini Wang Tangga bukan lagi merupakan kawasan perlombongan bijih timah, tetapi telah bertukar menjadi destinasi pelancongan yang sungguh mempersonakan. Untuk sampai ke Wang Tangga pengunjung terpaksa melalui Gua Kelam yang sudah pasti menakutkan dan sekaligus menyeronokkan serta menjadi ingatan yang berpanjangan. Selain daripada itu di Wang Tangga terdapat 'Kem Bina Negara' khusus untuk pelbagai aktiviti latihan motivasi bagi belia-belia dan kakitangan kerajaan di semua peringkat khususnya.

 

NAMA WANG KELIAN

Dalam kajian yang dijalankan terdapat dua jumpaan mengenai asal-usul dan terbentuknya nama 'Wang Kelian'. Sumber utama diperolehi daripada Tuan Haji Endut bin Mat Arshad. Beliau merupakan generasi ketiga daripada keluarga keturunan Tuk Putih serta merupakan orang penting dalam komuniti Wang Kelian kerana pernah dilantik menjadi Ketua Kampung Keempat di kampung tersebut. Sebagaimana termaklum 'Ketua Kampung' ketika itu adalah orang dihormati dan dipercayai kerana ia merupakan penghubung antara masyarakat setempat dengan kerajaan begitu juga sebaliknya.

Menurut Tuan Haji Endut perkampungan Wang Kelian dibuka oleh Tuk Putih, Penghulu Ali dan beberapa orang pengikutnya kira-kira dua ratus tahun yang lalu (awal abad ke 19). Tuk Putih dan pengikutnya berasal dari Langkat, Sumatera. Penghijrahan mereka ke sini adalah berpunca dari keadaan huru-hara dan ketakutan terhadap pemerintahan Belanda dalam melaksanakan pemerintahannya mengakibatkan ramai tokoh yang memusuhi Belanda terpaksa meninggalkan Indonesia dan melarikan diri terutama ke Semenanjung Melayu.

Dalam penghijrahannya Tuk Putih dan pengikut-pengikutnya akhirnya tiba di Perlis. Setelah berada di Perlis mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah tiba di Kaki Bukit, mereka merentasi Bukit Wang Tangga dan meneruskan perjalanan ke kawasan yang dikenali sekarang sebagai Wang Kelian. Setelah bertenung dan bertilik ternyata dalam firasat Tuk Putih kawasan ini elok untuk dijadikan tempat tinggal kerana tanahnya subur dan terasing dari perkampungan lain. Sambung Tuan Haji Endut, nama Wang Kelian diberi sendiri oleh Tuk Putih. Perkataan 'Wang' berdasarkan tempat itu dilingkungi bukit-bukau, manakala perkataan 'Kalian' (loghat Indonesia) beerti 'semua'. Jadi bila kedua perkataan itu digabungkan ia menjadi 'Wang Kalian' bermaksud 'Wang' untuk semua. Akhirnya nama ini diterirna pakai oleh pengi­ kut-pengikutnya dan nama tersebut berkekalan sehingga ke hari ini. Cerita yang saya perolehi daripada Tuan Haji Endut ini disokong kuat oleh Encik Jamin Bin Hassan seorang pesara guru yang telah lama menetap di Wang Kelian. Begitu juga pendapat beberapa orang tua yang ditemui mereka sepakat mengatakan Tuk Putih adalah peneroka dan orang yang menamakan kampung ini, lantas mereka menunjukkan kubur Tuk Putih yang masih dihormati dan dijaga dengan rapi.

 

 

Sementara itu terdapat suatu lagi cerita, mengenai asal-usul 'Wang Kelian' ini mengikut Tuan Haji Wahab Bin Haji Hassan, Imam Kampung Wang Kelian, beliau mengatakan Wang Kelian dibuka oleh orang tempatan. Mereka datang ke sini untuk mencari bijih timah yang diper­ cayai banyak tersimpan di dalam tanah. Usaha galicari bijih timah dijalankan oleh mereka secara kecil-kecilan banyak lubang telah digali, namun hasilnya tidak juga ditemui. Menurut Tuan Haji Wahab lagi memandangkan kawasan tersebut tidak bernama mereka menamakan 'wang Galian' dan akhirnya bertukar menjadi 'Wang Kelian'. 'Wang' bermaksud kawasan lembah dilingkungi bukit-bukau dan 'Kelian' bererti lombong. Kenyataan yang diberi oleh Tuan Haji Wahab diper­ setujui oleh Encik Hassan Ismail seorang peniaga kedai makan pekan kecil Wang Kelian.

Kedua-dua cerita ini ada bermunasabahannya masingmasing. Ketentuan fakta hanya berdasarkan cerita yang diperolehi secara lisan daripada cucu-cicit generasi awal yang dipercayai sebagai peneroka Wang ini. Satu-satunya tanda pengukuhan yang mengatakan Tuk Putih adalah orang yang bertanggung-jawab dalam pembukaan Wang Kelian ialah 'kuburnya' yang masih dipelihara rapi, dihormati serta manjadi sebutan penduduk Wang Kelian sehingga ke saat ini.

 

PENDUDUK

Di kampung Wang Keiian hari ini terdapat sebanyak 55 buah rumah. Bilangan penduduknya hampir tiga ratus orang. Kesemuanya berbangsa Melayu. Mengikut maklumat daripada Puan Rosliza Bt. Haji Senapi setiausaha dan Encik A. Rani Bin. Ramli Pengerusi JKKK, Kampung Wang Kelian, sebelum merdeka bilangan penduduk dari luar ke Wang Kelian tidak berlaku kerana Wang Kelian tidak mempunyai sebarang faktor dalaman yang boleh memberangsangkan orang luar berhijrah dan menetap di sini. Pertambahan penduduk hanya berlaku dalam pusingan masyarakat asal sahaja. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah ke hari ini walaupun perubahan telah berlaku.

 

JALAN PERHUBUNGAN

Sebelum terjumpanya terowong Gua Kelam pada awal tahun 1930 an oleh John Cambell seorang pengusaha bijih timah warga British, perhubungan antara Kampug Wang Kelian dengan pekan terdekat sekali iaitu Kaki Bukit hanya dengan berjalan kaki. Penduduk Wang Kelian terpaksa berjalan kaki melalui 'jalan denai' menempuh hutan untuk sampai ke Kaki Bukit yang jauhnya kira-kira 5 km. Dan mereka terpaksa mendaki serta menuruni bukit setinggi hampir 30 meter. Bagi memudahkan pendakian pada sesetengah tempat mereka membina tangga yang diperbuat daripada kayu. Oleh yang demikian mereka menamakan kawasan dan bukit tersebut Wang Tangga dan Bukit Wang Tangga. Nama tersebut diguna-pakai hingga ke hari ini. Setelah Gua Kelam ditemui dan bijih timah dijumpai di Wang Tangga, bagi memudahkan perjalanan, sebuah jambatan kayu dibina pada awal tahun 1940 an melalui terowong gua tersebut yang panjangnya 370 meter. Jambatan kayu ini hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki, basikal dan motorsikal. Sebelum adanya bekalan elektrik, pejalan kaki terpaksa menyedia lampu suluh, colok atau jamong.

Colok diperbuat daripada getah damar yang diikat pada sebatang kayu, manakalajamong diperbuat dari daun kelapa kering yang diikat kemas. Semasa hendak masuk ke dalam gua 'colok' atau 'jamong' akan dinyala dan dibawa melalui gua tersebut hinggalah sarnpai ke seberang. Hari ini pihak kerajaan telah memasang lampu elektrik sepanjang gua tersebut dan keadaan jambatan kemas dan selamat untuk dilalui. Gua Kelam ini sesungguhnya sesuatu yang unik dan menarik kerana ia merupakan satu dari dua gua seumpama ini yang terdapat di dunia. Justeru itu, tidak hairanlah setiap hari minggu dan hari-hari umum Gua Kelam dibanjiri dengan pelancong dari seluruh negara dan luar negara. Hari ini kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti kolam mandi, tempat letak kenderaan, gerai-gerai makanan, surau dan lain-lain lagi.

 

 

Dengan terbinanya jambatan kayu melalui gua tersebut, pada awal tahun 1960 an atas daya usaha Penghulu Jaafar Hassan (Dato')- bekas Menteri Besar Perlis yang menjadi Penghulu Mukim Beseri Dan Titi Tinggi ketika itu menganjurkan kerja gotong-royong bagi membina jalan tanah yang menghubungkan Wang Kelian dengan Wang Tangga. Kerja gotong-royong ini disertai oleh penduduk dari Mukim Beseri, Titi Tinggi dan Paya diadakan pada setiap hari Sabtu tiap minggu mengikut mukim bergilir-gilir. Dengan siapnya jalan tanah ini wujudnya jambatan yang merentangi gua memudahkan hubungan Wang Kelian dengan Pekan Kaki Bukit khasnya dan tempat-tempat lain amnya.

Pada tahun 1979 jalanraya yang ada sekarang siap dibina ke kampung Wang Kelian. Hubungan semakin mudah, orang luar mula masuk ke Wang Kelian melalui jalan ini, jalan melalui Wang Tangga mula ditinggalkan dan hari ini terputus langsung. Pada tahun 1986 jalanraya sepanjang 12 km yang menghubungkan Kaki Bukit dengan Pos Imigresen Wang Kelian iaitu pintu masuk ketiga ke Perlis siap dibina. Pembukaan pos ini telah membawa penduduk Wang Kelian terdedah kepada pengaruh dunia luar. Dan dengan wujudnya Pos Imigresen di kedua negara Malaysia/Thailand memudahkan penduduk yang terdiri daripada satu rumpun keturunan Melayu itu menziarahi antara satu sama lain demi bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin sejak lama dahulu.

 

KEMUDAHAN-KEMUDAHAN LAIN

Selepas negara memperolehi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, usaha-usaha membangunkan negara terutama kawasan luar bandar dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan (kini Barisan Nasional) melalui Rancangan Lima Tahun dan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990).

Kampung Wang Kelian walaupun terasing dari rangkaian kampung-kampung namun pihak Kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Seperti kampung-kampung lain di Kampung Wang Kelian ini terdapat banyak kemudahan yang disediakan iaitu masjid (baru),

Dewan Orang Ramai, jalan-jalan kampung, parit dan saliran, bekalan air paip, bekalan elektrik, telefon dan wakil pos. Tetapi Wang Kelian tidak mempunyai sekolah (selepas tahun 1979) dan Klinik Bidan sepertimana yang terdapat di kampung-kampung Melayu yang lain.

 

EKONOMI

Sepertimana orang Melayu di kampung-kampung lain khususnya di Perlis, kegiatan ekonominya bertumpu kepada pertanian tradisional iaitu menanam padi. Begitulah halnya dengan pemastautin-pemastautin di Wang Kelian. Seawal kehadiran mereka ke sini diperingkat mulanya mereka berusaha memugar hutan rimba untuk di tanam dengan padi huma atau padi bukit. Lazimnya kerja-kerja menebang nebas ini dilakukan secara berderau sesama mereka bergilir-gilir. Selepas tiga-empat musim ditukal dengan padi huma tanah tidak subur lagi mereka mengalih kepada membuat 'sawah padi' atau 'bendang'. Kerja-kerja memugar dan memerun ini berterusan sehinggalah kepada tahun 60 an. Tanah-tanah yang dipugar pada mulanya ditukal dengan padi huma, jagung dan ditanam sayur-sayuran. Dalam masa yang sama mereka juga menanam dengan anak-anak getah. Tanaman getah merupakan sumber ekonomi bagi penduduk Wang Kelian. Di samping bersawah padi dan berkebun getah mereka juga mempunyai dusun­ dusun buah-buahan. Dan sebagai resam setiap rumah akan memelihara binatang ternakan seperti lembu, kambing, ayam dan itik. Kerbau dan lembu digunakan untuk membajak sawah dan disembelih untuk kenduri perkahwinan dan sebagainya.

Pada hari ini memelihara kerbau atau lembu tidak sepopular masa dahulu, puncanya kawasan rumput semakin terbatas, manakala kerja-kerja membajak sawah diambilalih oleh Kubota atau traktor. Yang lebih penting di sekitar tahun 1980 an, sawah-sawah padi tidak lagi terbiar selepas musim menuai kerana ditanam dengan tembakau. Tanaman tembakau memberi­ kan pulangan yang lumayan kepada pengusahanya. Kemudahan jalanraya yang ada membolehkan para petani mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara lebih besar kerana hasilnya nanti dapat dibawa keluar untuk dipasarkan.

 

 

Bila pekan sehari Wang Kelian (nat) dibuka pada tahun 1991 beberapa orang penduduk telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Walaubagaimanapun kerja-kerja berniaga ini bukan menjadi kerja utama, bagi sumber ekonomi, tumpuan mereka masih lagi kepada kerja-kerja tradisional kampung tersebut. Pada keseluruhannya corak ekonomi Wang Kelian telah meningkat dari tahap sara diri kepada ekonomi komersial. Perubahan aktiviti ekonomi ini berlaku kerana berlakunya proses modenisasi dan terbinanya jalan perhubungan.

 

PENDIDIKAN

Pendidikan secara tidak formal telah lama wujud di Semenanjung Tanah Melayu. lbu bapa memainkan peranan penting dalam mengajar anak-anak mereka. Begitulah juga keadaan yang berlaku di Kampung Wang Kelian ini, ibubapa di sini memainkan peranan penting dalam mengajar anak-anak mereka. Begitulahjuga keadaan yang berlaku di Kampung Wang Kelian ini, ibubapa di sini memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak mereka dengan hukum­ hukum agama serta nilai-nilai masyarakat setempat supaya anak-anak mereka dapat mewarisi budaya orang tuanya dengan sebaik mungkin.

Dalam bidang keagamaan ibubapa lebih gemar menghantar anak-anak mereka berguru kepada Tok Guru yang ada di kampung tersebut. Tok Guru selalunya terdiri dari Imam Masjid atau orang-orang alim. Kelas agama biasanya diadakan di rumah Tok Guru itu sendiri pada masa yang ditetapkan lazimnya waktu malam selepas sembahyang Maghrib. Pelajaran yang diajar ialah membaca AI-Quran, cara-cara sembahyang dan hukum-hukum yang utama. Tok Guru tidak menuntut sebarang bayaran, hanya mengikut kemampuan dan keikhlasan ibubapa sahaja. Selalunya ibubapa akan membantu kerja-kerja Tok Guru mengerjakan sawah dan membersihkan kebun. Manakala anak-anak muridnya diminta membantu mengangkat air dari perigi, mencari kayu api, mengisar dan menumbuk padi. Pada musim menuai Tok Guru akan disedekahkan dan diberi zakat padi.

Sekolah formal di Wang Kelian dibina pada tahun 1950, pengasasnya ialah Ali b. Said (Haji). Beliau telah menyedarkan orang-orang Wang Kelian akan pentingnya pendidikan kepada anak-anak. Lantaran itu, semua penduduk bersepakat dan bersetuju untuk bergotong-royong bagi membina sebuah sekolah. Berkat muafakat maka terbinalah sebuah sekolah beratapkan rumbia, bertiangkan kayu dan berdinding buluh dan diberi nama 'Sekolah Melayu Wang Kelian'. Bagi menampung perbelanjaan guru dan peralatan sekolah ibubapa yang mempunyai anak diminta memberi satu naleh (16 gantang) padi setahun, manakala kerajaan negeri memberi sedikit bantuan kewangan. Tuan Haji Ali b. Said merupakan guru pertama dan tunggal mengajar di sekolah tersebut apabila dibuka pada tahun 1951 dengan bilangan murid tidak sampai dua puluh orang.

Pada Tahun 1953 bilangan kelas tiga iaitu darjah 1, 2 dan 3 manakala bilangan muridnya meningkat kepada 29 orang, tetapi tenaga pengajarnya masih seorang iaitu Cikgu Jamin b. Hassan yang menggantikan tempat Cikgu Ali b. Said. Pada tahun 1955 kelas menjadi 5 men­ gandungi darjah 1 hingga darjah 5, bilangan murid 35 orang. Ketika itu guru ditambah menjadi 3 orang terdiri dari Cikgu Jamin sebagai Guru Besar. Cikgu Abdullah b. Othman Guru Penolong, manakala Ustaz Abdullah menjadi Guru Agama Islam, gajinya dibayar oleh Jabatan Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Pada tahun 1979 sekolah Kebangsaan Wang Kelian ditutup secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan ekoran daripada bilangan yang tersangat kurang manakala kos untuk memenuhi kemudahan terlalu tinggi. Di peringkat awal penutupannya murid-murid dari sekolah ini ditempatkan di Asrama Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar. Murid-murid peringkat rendah dimasukkan ke Sekolah Rendah Seri Indera, manakala murid-murid menengah ditempatkan di Sekolah Menengah Syed Hassan, semua perbelanjaan murid-murid ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perlis. Mengikut perangkaan pada tahun 1984, jumlah kanak-kanak Wang Kelian yang bersekolah adalah seperti berikut:

 

Sekolah Kebangsaan Seri Indera 16 orang
Sekolah Kebangsaan Lain (sendirian) 3 orang
Sekolah Menengah Syed Hassan 21 orang
Sekolah Menengah Lain (sendirian) 1 orang
Jumlah 41 orang

 

Pada masa sekarang murid-murid dari Wang Kelian tidak lagi di hantar ke Sek. Keb. Sri Indera, tetapi sebilangan daripada mereka dihantar belajar di Sekolah Kebangsaan Sri Tunjung dan tinggal di Asrama Desa sekolah tersebut, sebahagian lagi belajar di Sekolah Kebangsaan Dato' Ariffin, Tasoh dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh, Kaki Bukit. Di peringkat menengah mereka boleh belajar di Sekolah Menengah Tengku Suleiman, Tunjung dan boleh tinggal di asrama dan mereka juga boleh memasuki Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Batu 16, Kaki Bukit.

Walaupun di Wang Kelian tidak terdapat sekolah rendah dan sekolah menengah seperti kampung-kampung yang lain, tetapi di sini terdapat sebuah Kelas Tadika di kelola oleh KEMAS di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Menurut Puan Rosliza bt. Haji Senapi guru kelas tersebut, pada hari ini terdapat seramai 11 orang kanak-kanak yang mengikuti kelas tersebut di bangunan khas yang didirikan oleh kerajaan. Mengenai kejayaan yang dicapai oleh pelajar-pelajar Wang Kelian setakat ini, beliau menyatakan terdapat pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan kini menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

 

PENUTUP

Pekan sehari Wang Kelian (nat) yang terletak berhampiran Pos Imigresen Wang Kelian bersempadankan Pekan Sehari Wang Prachand, Daerah Satun, Selatan Thailand merupakan destinasi yang mampu menggamit pelancong dari seluruh pelusuk negara. Pekan sehari ini dibuka secara bersama dengan Pekan Sehari Wang Prachand pada Dis 1993 dianjur bersama oleh Kerajaan Negeri Perlis, FAMA dan Pejabat Gabenor Wilayah Satun, Thailand. Pada mulanya pekan ini dibuka pada setiap hari Sabtu tetapi sambutannya tidak begitu menggalakkan. Lantaran itu pihak penganjur telah menukarkan kepada setiap hari Ahad.

Pembukaan 'nat' pada kali ini mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan dan di luar jangkaan. Mengikut perangkaan 'Aliran Bebas' (free flow) keluar masuk yang direkodkan oleh Pos Imigresen Wang Kelian pada setiap hari Ahad tahun 2000, adalah seramai hampir 20, 000 orang. Kini bilangan tersebut telah meningkat dan melebihi 20,000 orang keluar masuk pada setiap hari Ahad. Menurut kata seorang peniaga di pekan tersebut katanya, 'Pada hari Ahad, nak sua kaki pun susah'. (maksud hendak berjalanpun susah). Dewasa ini peniaga di kedua pekan tersebut menambah operasinya iaitu bermula pada hari Jumaat dan Sabtu secara tidak rasmi, pada hari-hari tersebut terdapat ramai pengunjung terutama orang tempatan yang datang ke Wang Kelian untuk membeli belah.

Keistirnewaan 'Nat Wang Kelian' dan 'Nat Wang Prachand' yang dibuka pada setiap hari Ahad ialah pengunjung dari kedua negara dibenarkan melepasi sempadan sejauh kira-kira 1 km untuk membeli belah tanpa menggunakan 'pas sempadan'. Pada hari-hari lain pengunjung perlu

mendapat kebenaran daripada pihak lmigresen. Memandangkan kehadiran pengunjung yang begitu ramai dengan puluhan buah bas dan motokar mengakibatkan kesesakan lalu-lintas dan ketiadaan tempat meletak kenderaan. Mengikut tinjauan yang dibuat mendapati ramai pengunjung terpaksa berjalan kaki sejauh 2 - 3 Kilometer. Bagi mengatasi dan memberi kesele­ saan kepada pengunjung pihak Majlis Perbandaran Kangar telah menyediakan tempat letak kenderaan berhampiran dengan 'Pekan Sehari' Wang Kelian. Namun pada musim cuti sekolah dan cuti umum kebanjiran pengunjung meningkat berkali ganda, justeru itu kesesakan tidak dapat dibendung dan akan terns berlaku kecuali langkah baru diambil.

 

 

Atas pandangan jauh serta menyokong dan memantapkan lagi Pekan Kecil Wang Kelian Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Dato' Seri Shahidan b. Kassim, Menteri Besar Perlis telah mengadakan pelbagai projek khususnya ialah Taman Negeri yang dilengkapi dengan rumah penginapan dan pondok-pondok rehat, Kem Bina Negara dan lain-lain. Paling penting ialah pembinaan 'rumah kos rendah' yang sedang dalam pembinaan (2001) kira-kira 3 km dari pos sempadan. Adalah diyakini dengan siapnya 'rumah kos rendah' ini nanti ramai orang terutama peniaga-peniaga kecil dari luar Wang Kelian akan berpindah dan menetap di sini. Dengan berlakunya pertambahan penduduk secara mendadak ini sekaligus mendorong kerajaan untuk menyediakan prasarana dan kemudahan-kemudahan lain dan akan merubah wajah Wang Kelian dalam masa terdekat ini.

Pihak Majlis Perbandaran Kangar pula sedang berusaha bagi mendirikan gerai-gerai di kiri dan kanan jalan dan bangunan kedai runcit bersesuaian dengan kepesatan perkembangan dan kemajuan yang sedang dialami oleh pekan kecil Wang Kelian ketika ini. Begitu juga dengan kedudukan Pos Imigresen, Balai Polis, Kastam dan kemudahan lain sedang dipertingkatkan oleh kerajaan bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pintu masuk ketiga di Perlis selepas Padang Besar dan Kuala Perlis. Dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dan situasi lokasinya yang amat menarik dan menakjubkan saya berkeyakinan penuh Wang Kelian mampu menjana kemajuan pesat sebagai 'Bandar Baru' dan pintu masuk utama ke Malaysia.

 

TEMUBUAL

  1. Tuan Haji Endut b. Mat Arshad (pada 1983)
  2. Encik Jamin b. Hassan
  3. Tuan Haji Wahab b. Haji Hasan
  4. Encik. Hassan b. Ismail
  5. Encik Ab. Rani b. Ramli
  6. Encik Jamil b. Endut
  7. Puan Rosliza bt. Haji Senapi
  8. Encik Ismail b. Russin ( Ketua Imigresen - Pos lmigresen Wang Kelian)

 

RUJUKAN

  1. Wan Hashim Wan Teh & Ismail Hamid 1998
    Kajian Etnografi di Wang Kelian, Perlis, DBP Kuala Lumpur
  2. Pos Imigresen Wang Kelian - catatan.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001