BUKIT LAGI
Lambang Identiti Bandar KANGAR
Oleh: RAMU ISMAIL
BUKIT LAGI adalah lambang identiti bandar Kangar. la seolah-olah sebagai "mercu tanda" kepada ibu negeri Perlis itu. Tingginya hanya antara 300 ke 500 kaki. Panjangnya dari bandar Kangar ke Gua Cenderawasih atau dahulunya disebut Gua Sarni kira-kira tiga kilometer.
Menurut cerita orang tua-tua, pada masa dahulu, Bukit Lagi adalah merupakan sebuah pulau. Beberapa penemuan kulit kerang menjadi bukti dakwaan tersebut. Tetapi sejauh mana kebenarannya belum dapat dipastikan.
Konon diceritakan, nama Bukit Lagi dipanggil oleh sekumpulan mereka yang mudek Sungai Perlis dari muaranya di Kuala Perlis untuk pergi ke Bandar Kangar. Mulanya mereka bertemu Bukit Batu Buaya, kemudian Bukit Tok Poh, Bukit Lambung Panah dan Bukit Tok Sanai.
Apabila meneruskan perjalanan menghampiri bandar Kangar, terdapat sebuah lagi bukit
lalu salah seorang dari kumpulan itu berkata "bukit lagi". Maka dari situlah kononnya bukit berkenaan kekal dipanggil Bukit Lagi hingga sekarang.
Bukit Lagi memang lama menjadi sebutan masyarakat Perlis. Ini terbukti apabila terdapat sebuah pantun lama yang pembayangnya menggunakan nama Bukit Lagi. Pantun tersebut berbunyi:
Bukit Lagi bintang berkarang
Anak yu dua serupa
Adik pergi abang tak larang
Janji dahulu janganlah lupa
Pantun tradisi itu sering menjadi dendangan anak-anak muda zaman dahulu yang berada dalam lamunan percintaan. Sekali gus ini juga merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan kepada sebuah bukit yang terletak di pinggir bandar Kangar tersebut.
Suatu ketika dahulu, sekitar kawasan Bukit Lagi dikelilingi hutan pokok nipah dan berpaya. Terdapat beberapa buah rumah penduduk tempatan tinggal di situ, iaitu di kawasan yang agak tinggi dan tidak dinaiki air pasang. Kedudukan kawasan penempatan tersebut paling hampir dengan tebing Sungai Perlis.

Apabila dibina sebatang jalan dari Jalan Raja Syed Alwi masuk ke kawasan kaki bukit tersebut di bahagian utara, hujungnya, berhampiran bandar Kangar telah dibuka satu kawasan kuari batu. Kebanyakan jalan raya lama di negeri ini menggunakan batu daripada bukit tersebut semasa peringkat awal pembinaannya.
Dari masa ke semasa, kawasan Bukit Lagi terus berkembang dengan penempatan penduduk. Akhirnya wujudlah pula Kampung Bukit Lagi apabila bilangan rumah semakin banyak. Terdapat juga perantau daripada Indonesia yang baru datang ke negeri ini membuka tanah di situ dan kemudiannya membuat kawasan perkampungan.
Perkampungan yang dibuka di situ, sedikit sebanyak mewujudkan satu kawasan lapang tempat penduduk tempatan bermain. Di kawasan lapang itulah pernah dijadikan kawasan hiburan kepada penduduk bandar Kangar khasnya dan Perlis amnya suatu ketika dahulu apabila ia dijadikan tapak fun-fair atau pesta hiburan ketika itu. Banyak bintang filem popular datang menjayakan pertunjukan pentas di pesta hiburan tersebut.
Di samping itu, di tapak pesta berkenaan juga pernah dijadikan tapak pertunjukan sarkas. Kawasan yang luas, membolehkan pertunjukan tersebut diadakan sekitar tahun enam puluhan dahulu. Bagaimanapun sejak kawasan terbabit terlibat dengan projek-projek pembangunan, tidak ada lagi pertunjukan sarkas di negeri Perlis hingga sekarang.

Pernah terjadi semasa diadakan pertunjukan sarkas di situ, seekor harimau sarkas terlepas dari kandangnya dan terus naik ke atas Bukit Lagi. Kejadian itu telah menggemparkan penduduk tempatan. Bagaimanapun akhirnya harimau tersebut dapat ditangkap juga. Selalunya pertunjukan sarkas yang diadakan di situ mengambil masa satu atau dua bulan.
Sementara itu di bahagian hujung selatan Bukit Lagi terdapat sebuah gua yang suatu ketika dahulu dipanggil Gua Sarni kerana ia pernah menjadi tempat tinggal sekumpulan sami Buddha yang menjadikannya sebagai tempat beribadat dan mengubati pesakit.
Bagaimanapun ekoran pelaksanaan projek pembangunan di gua itu yang dijadikan kawasan rekreasi, sami-sami berkenaan bersetuju berpindah dan gua tersebut ditukar kepada nama Gua Cenderawasih.
Kerajaan negeri juga telah membina gerai-gerai perniagaan di situ. Satu tangga pendakian juga dibina untuk memberi peluang kepada para peminat memanjatnya dan menikmati keindahan bumi negeri Perlis dari atas.
Selain Gua Cenderawasih, terdapat juga beberapa buah gua lagi di kawasan bukit berkenaan. Malah ada diceritakan bahawa di dalam gua-gua tersebut telah ditemui ular-ular sawa besar.
Bagaimanapun dengan pembangunan yang dilaksanakan, kini Bukit Lagi bukan lagi menjadi kawasan yang menggerunkan. Malah berhampiran Gua Cenderawasih juga telah dibina sebuah Kompleks Budaya dan Mercu Tanda Negeri untuk kunjungan ramai.
Sementara itu di hujung sebelah utara bukit tersebut, berhampiran bandar Kangar menjadi kawasan pembiakan kera. Terdapat ratusan atau mungkin ribuan ekor kera di situ yang asalnya kera bukit liar, tetapi kini menjadi kera bandar yang jinak kerana sering keluar ke jalan raya untuk mencari makanan termasuk juga di kedai-kedai dan perumahan berhampiran.
Kerajaan negeri memang mempunyai cadangan untuk memajukan kawasan Bukit Lagi itu sebagai kawasan rekreasi dengan membina litar berjalan kaki mengelilinginya. Apa yang penting, semua pihak harus mempunyai komitmen untuk sama-sama menjaga keaslian bukit tersebut tanpa melakukan sesuatu yang boleh merosakkan pemandangannya.

Rujukan
Beberapa orang penduduk tua di Kampung Bukit Lagi
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001
