Accessibility Tools

JANGAN BIARKAN POKOK-POKOK NADIR PUPUS (BAHAGIAN DUA)

JANGAN BIARKAN POKOK-POKOK NADIR PUPUS
(BAHAGIAN DUA)

Oleh : RAMLI ISMAIL

Keluaran yang lepas, kita telah membincangkan empat jenis pokok nadir di negeri ini, dan kegunaannya walaupun pokok-pokok itu berhadapan dengan masalah kepupusan. Pokok­ pokok yang telah kita bincangkan itu ialah Pokok Komot, Mundu, Kandis dan Keriang Burung. Pada keluaran kali ini, kita akan cuba membincangkan berberapa pokok lain yang juga hampir pupus dan perlu dilindungi.

POKOK GONCAR juga sekarang sudah sukar untuk diperolehi. la merupakan sejenis pokok yang besar dan tinggi, tetapi buahnya kecil-kecil seperti biji rempah. la berbuah pada tangkai-tangkai secara rumpun. Buah yang muda berwarna hijau dan yang masak berwarna merah. Buahnya boleh dimakan. Buah goncar seringkali menjadi kegemaran wanita-wanita mengandung. Ini disebabkan rasanya yang masam. Buah goncar dimakan bersama air asam dengan direndam ke dalam air asam, dipanggil "gincok" Disebabkan pokoknya yang tinggi, untuk mengambil buah tersebut perlu menggunakan galah.

POKOK JANGGUS atau disebut juga pokok gajus merupakan sejenis pokok yang mempunyai pelbagai kegunaan. Masyarakat zaman dahulu menggunakan kulit batang janggus untuk digosok pada benang membuat jala, benang memancing atau tali wau. Apabila digosok, benang yang berwarna putih, bertukar menjadi warna merah. la dikatakan lebih tahan dan dapat dihindari dari mudah reput apabila sering terkena air hujan dan panas. Buah janggus pula boleh dimakan. Ada yang berwarna hijau, ada yang berwarna kuning dan ada yang berwarna merah apabila masak. Buah janggus boleh dimakan mentah. Rasanya kelat manis. Disarnping itu, ianya juga boleh dibuat gulai dan pajri. la boleh menjadi hidangan keluarga atau dimasak semasa kenduri. Pucuk janggus pula boleh dibuat ulam. Rasanya kelat dan sesuai untuk amalan mencegah penyakit kencing manis. Kalau kebanyakan buah lain, bijinya hanya dibuang begitu sahaja, tetapi berbeza halnya dengan biji janggus. la boleh dimakan. Biji buah janggus yang muda boleh dibuat kari, dan biji buah janggus yang masak, boleh dibakar dan dimakan isi dalam kulit biji. Pernah dihebohkan suatu ketika dahulu, minyak biji janggus boleh dibuat minyak kapal terbang. Tetapi disebabkan ianya memerlukan bekalan yang banyak, maka ia didiamkan begitu sahaja.

POKOK KERIANG DOT sejenis lagi pokok nadir yang hampir pupus di Perlis. la dalam satu rumpun dengan pokok keriang burung. Bagaimanapun pokoknya lebih besar. Begitu juga dengan daun dan buahnya. Bentuk dan saiz buah keriang dot seperti buah kurma. Rasanya juga manis-manis buah, seperti buah keriang burung. Warnanya kehitaman semasa masak dan hijau ketika muda.

POKOK IBUS juga merupakan pokok yang mempunyai pelbagai kegunaan. la sejenis pokok yang pelepah daunnya berduri. Semasa kecil, daun dan pucuk ibus diguna untuk membuat tikar, bujam dan bakul. Lidinya dibuat penyapu. Saiz serta panjang lidinya lebih besar dan panjang daripada lidi kelapa. Usia pokok ibus boleh menjangkau hingga berpuluh tahun. Setelah pokoknya cukup matang, ia mula berbunga dan berbuah. Pokok ibus yang berbuah terlalu tinggi hingga menjangkau lebih 20 meter. Buahnya boleh dimakan jika gugur ke bumi. Kebanyakan kanak-kanak zaman dahulu menggunakan lastik untuk melastik buah ibus. Rasanya seperti isi kela a. Warna buahnya hijau sementara isinya berwarna putih.

 

 

 

POKOK KEREKUK juga sejenis pokok nadir yang hampir pupus sekarang. Memang sukar untuk menj umpai pokok tersebut. Kerekuk adalah sejenis pokok berduri pada batangnya. Tetapi buahnya sedap dimakan. Buahnya bulat seperti biji guli kaca. Semasa muda ia berwarna hijau dan ketika masak berwarna kuning atau merah. Buah kerekuk amat diminati oleh burung.

POKOK PIAI adalah sejenis pokok yang hidup di dalam air. Masyarakat zaman dahulu menggunakan batang pokok piai untuk membuat pagar itik atau pagar dipetak semaian padi. Pucuk piai boleh direbus untuk dibuat ulam. POKOK MIDING juga hampir sama dengan pokok piai pada segi bentuk daun dan pucuknya. Bagaimanapun batangnya lebih kecil. Pucuk miding boleh dimasak lemak atau direbus untuk dibuat ulam.

POKOK NADIR terakhir yang mana, batang, daun atau pucuknya menjadi kegunaan manusia ialah POKOK MENTAJAM. Pokok tersebut sederhana besar. Buahnya boleh dimakan. Saiz buahnya sebesar biji kacang dan bentuknya bulat bujur. Semasa muda berwarna hijau dan apabila masak berwarna hitam. 

 

SUMBER ARTIKEL: 

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15, 2003