Sajak Gema Syahadah
Tugu itu hari ini harum lagi
Dengan kalungan bunga dan tiupan lagu
Hari ini ulang tahun datang lagi
Nadanya sama sahaja
Kami telah kehilangan segalanya
Di sekolah nama ayah dikenal pada tulisan
Dikulit buku
Kata ibu ayah perwira
Madah nenek ayah pulang pada Tuhan
Anak solehin mesti doa setiap sembahyang
Bukan lagu pada bukit
Jangan tafakur pada ciptaan tangan kita
Bukan begitu
Tuhan, kami sudah kehilangan suami
Ana kami belum sempat melihat wajah
Ibu tua kering sudah air mata
Patah dahan tempat bergantung
Tanah air hilang pejuang-pejuang rela
Kami tidak lagi menangis
Kerana kehilangan demi kehilangan
Kami tahu air mata kami
Bukan mutiara, tak punya apa harga
Pergilah abang
Kembalilah anakku
Bersemadilah ayah
Pulanglah kekasih, pada Yang Mencipta
Ke dalam pelukan tuhanmu
Roh kalian tidak ada pada bukit
Tidak pada semua ciptaan
Kami rela pada kehilangan
Hilang ayah, hilang anak, hilang suami, hilang kekasih
Kami relakan
Tapi satu cuma pinta kami
Kami tidak mahu kehilangan tuhan
Janganlah diajak kami ke bukit
Mengadap semua ciptaan
Roh-roh pejuang bukan di sana
Pada hari begini mengapa kita berpaling?
Ucapkan kalimah ini
Gema syahadah pada resminya
Ashhaduan la ilaha illallah
Aku bersumpah tiada tuhan yang disembah
Melainkan Allah
Ucapkan kalimah ini d semua rumah Allah
Tenteramkan roh-roh perwira
Bukan pada bukit
Bukan pada tiupan nafiri
Bukan pada tafakur tiruan sadur
Allahu akbar
Allahu akbar
Allahu akbar
Hak Cipta
WAN KHAZIM
Chuping, Perlis
Bertarikh 31 Julai, 1971
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 13, 2001
