Accessibility Tools

POKOK GELAM Belantara Yang Hilang

POKOK GELAM Belantara Yang Hilang

Oleh: ADNAN JAHAYA 

Suatu ketika dahulu pokok gelam memenuhi hampir sebahagian besar daripada keluasan negeri Perlis terutama di kawasan selatannya. Pokok yang pernah membentuk belantara gelam itu kini mulai pupus. Sebaliknya, belantara yang menakutkan itu kini bertukar menjadi lautan sawah yang terbentang meluas.

 

 

Pokok gelam atau nama saintifiknya "Melaleuca Leucadendron" pernah dilihat sebagai musuh yang harus diperangi. Akibatnya sejak awal abad ke-20 ratusan penduduk yang berbekalkan kapak, parang dan gergaji menggunakan kudrat mereka untuk menerokai belantara itu.

Kesan ke atas perang belantara oleh para peneroka yang bergelar "Panglima Gelam" itu, lahir sawah yang terbentang meluas. Sawah itu kini menjadi sumber rezeki kepada ribuan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Selain memerangi belantara gelam, para peneroka ketika itu juga berhadapan dengan ancaman serangga dan reptilia berbisa serta binatang buas. Bagaimanapun mereka dapat melalui cabaran itu dengan jayanya.

Sebelum berhadapan dengan belantara itu, mereka telah membina kesungguhan, ketabahan dan kesabaran untuk mengubah wajah kawasan itu dan mengusahakannya dengan tanaman padi. Pada peringkat awal tanaman padi dilakukan di celah-celah tunggul pokok gelam yang ada di antaranya sebesar meja makan bulat. Kerja-kerja membuang tunggul gelam bagi kawasan seluas satu hektar memakan masa bertahun lamanya.

Berdasarkan pengalaman beberapa peneroka, belantara gelam menyembunyikan wajah matahari pagi dan petang. Gambaran itu jelas menunjukkan betapa pokok gelam begitu merimbun daunnya hinggakan amat sukar untuk membenarkan cahaya matahari mencecah bumi ketika pagi dan petang. Bagaimanapun matahari akan kelihatan melalui celah-celah rimbunan daun gelam ketika tengah hari.

Menurut mereka, ketika memulakan penerokaan belantara gelam, langkah awal yang dilakukan ialah menebang beberapa batang pokok gelam yang bersaiz besar. Kawasan itu juga dibersihkan untuk dijadikan tapak dangau atau pondok kecil. Mereka akan berehat, berteduh dan bermalam di dangau berkenaan sehingga kawasan yang diterokai itu bertukar menjadi kawasan lapang dalam tempoh beberapa tahun.

Pokok gelam yang ditebang dengan kapak dan gergaji dimanfaatkan sepenuhnya oleh peneroka. Umpamanya batang pokok gelam yang di antaranya sebesar pemeluk akan dijadikan tiang, rasuk dan lantai dangau manakala kulit pokok gelam akan dijadikan dinding serta atap. Kulit pokok gelam yang liat boleh ditanggalkan menggunakan kapak. Ia akan kelihatan sebagai tikar atau permaidani dengan keluasannya bergantung kepada saiz batang pokok.

Kebanyakan pokok gelam tumbuh di kawasan yang agak berpaya dan ia mendorong para peneroka menjadikan kawasan berkenaan sebagai sawah padi. Para peneroka juga menyusun batang-batang gelam yang sebesar pemeluk sebagai titi untuk memudahkan pergerakan mereka. Sebagai contoh batang gelam disusun secara memanjang untuk dijadikan titi antara Kampung Surau hingga Kampung Long Boh bagi memudahkan pergerakan.

Tidak ada catatan sebenar mengenai kawasan belantara gelam yang paling luas di negeri ini tetapi yang nyata belantara itu hampir memenuhi ruang di kawasan Perlis selatan. Ini berdasarkan cerita-cerita silam mengenai kewujudan kampung-kampung di negeri ini yang menggunakan nama pokok itu.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Gelam, Tanjong Gelam, Seri Gelam, Alor Gelam dan Padang Gelam. Malah ada di antara kampung yang telah menukarkan namanya dan tidak lagi menggunakan nama pokok berkenaan. Umpamanya, Kampung Long Bob pernah dikenali sebagai Gelam suatu ketika dahulu.

Pokok gelam juga boleh ditemui di beberapa kawasan di utara Perlis termasuk di sekitar Tasik Melati. Bagaimanapun kebanyakan pokok gelam yang ditemui di utara Perlis ialah dari jenis Gelam Tikus dan Gelam Bukit yang bersaiz kecil.

Meskipun masih banyak kampung yang mengambil sempena nama pokok itu, tetapi yang nyata pokok gelam semakin pupus di negeri ini. Malah ada generasi muda di kampung yang namanya diambil sempena pokok gelam tidak pernah melihat pokok itu.

Tinjauan rambang juga mendapati tidak ada lagi pokok gelam sebesar pemeluk yang masih hidup di negeri ini. Yang ada hanya pokok-pokok gelam kecil yang masih dipelihara sebagai kenangan oleh para peneroka silam.

Antara yang masih menyimpan dan menyayangi pokok gelam di kawasan rumahnya ialah seorang petani, Salleh Che Mat, 61, dari Kampung Long Boh. Dua batang pokok gelam yang berusia kira-kira 30 tahun berdiri gagah di pinggir rumahnya. Kedua-dua pokok itu akan diwariskan kepada anak-anak cucunya untuk terns memelihara.

Pokok gelam kini tinggal sebagai nostalgia kepada masyarakat tani terutama kepada para peneroka yang terbabit secara langsung untuk menukarkan belantara gelam kepada lautan sawah. Ketika generasi kini kian melupai pokok gelam, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan supaya diwujudkan anugerah "Panglima Gelam" kepada mereka yang gigih, tabah dan sabar dalam melaksanakan sesuatu usaha.

Anugerah seumpama itu diyakini akan menyemarakkan kembali ingatan terhadap pokok gelam, manakala generasi muda akan mula menaruh minat untuk mengenali dan meneliti sejarah pokok berkenaan.

Barangkali tidak keterlaluan jika dicadangkan supaya belantara gelam diwujudkan semula di kawasan tertentu di negeri ini umpamanya di pinggir Empangan Timah Tasuh. la juga boleh ditanami di bahu jalan sebagaimana pokok-pokok Jati dan Sentang.

Pokok gelam tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman malah ia juga turut menyumbang kepada kestabilan alam sekitar. Selain itu, la juga boleh menyumbang kepada sektor ekonomi. Jika di zaman silam, ia hanya digunakan untuk kemudahan asas para peneroka seperti membina dangau tetapi ia sudah pasti lebih bermanfaat di zaman teknologi moden. Batangnya yang keras boleh dijadikan balak yang bermutu tinggi dan ia juga boleh diproses untuk dijadikan perabot.

Mengikut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (PRIM), pokok gelam yang juga dikenali sebagai "Whitewood" dan "Paper Bark Tree" juga tumbuh di Australia dan Pulau Maluku di samping kawasan-kawasan berpaya dan tanah beris di negara ini.

Pokok berkenaan boleh mencapai ketinggian 25 meter di kawasan habitatnya tetapi tidak semua batangnya lurus. Tempoh matang pokok gelam ialah ketika usianya 30 tahun iaitu sama seperti pokok Jati.

Dalam usaha kerajaan Perlis menggalakkan rakyat mempelbagaikan tanaman pokok di negeri ini, sudah pasti pokok gelam dapat disenaraikan sebagai antara pokok yang perlu ditanam. Pokok gelam yang suatu ketika dahulu diperangi kini adalah sahabat alam yang perlu ditanam.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997