PERMAINAN TUI
Oleh: A'SRI BIN ABIDIN
Menurut Kamus Dewan, Tui bermaksud meminta berhenti sebentar, cup, (dalam permainan kanak-kanak).
Permainan Tui juga diminati oleh golongan remaja. la amat popular sehingga zaman mutakhirnya sekitar tahun 60-an. Generasi yang lahir sekitar tahun 60-an dan tahun 70-an, rata-rata tidak mengetahui permainan Tui, malah perkataan Tui turut menjadi asing kepada mereka.
Pada asasnya, permainan Tui memerlukan kekuatan fizikal, ketajaman, mental dan kesabaran. Ia dimainkan dengan penuh waspada agar tidak ada yang tercedera dan juga tidak selalu melanggar syarat-syarat permainan.
Biasanya permainan ini dianggotai oleh 12 orang yang dipecahkan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan dianggotai oleh enam orang pemain. Kumpulan pertama bertindak sebagai pengawal atau penjaga garisan tengah, sementara kumpulan kedua sebagai penyerang.
Pada mulanya, kumpulan penjaga garisan hanya menjaga satu hala sahaja. Andainya kumpulan penyerang dapat melepasi garisan tengah secara seorang demi seorang kawalan dua hala perlu dilakukan.
Hal ini terjadi kerana ahli penyerang yang melepasi garisan tengah akan berpatah balik. Mereka tidak boleh berpatah balik sesuka hati kerana perbuatan tersebut akan membatalkan permainan.
Secara umumnya dapatlah dilihat bahawa permainan ini memerlukan pemain berada di sekitar garisan yang dibuat.
Penyerang mempunyai hak untuk menangkap atau memeluk penjaga garisan. Mereka juga boleh menyentuh penjaga garisan. Sekiranya penyerang dapat melakukan salah satu dari perbuatan-perbuatan tadi, mereka akan menyebut 'Tui" dan pertukaran tempat perlu dilakukan.
Walaupun hanya seorang daripada penjaga garisan ditangkap atau disentuh, ia tetap membolehkan kumpulan penyerang menjadi penjaga garisan. Sebagai penjaga garisan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
• Tidak perlu meninggalkan garisan tengah dalam jarak yang jauh.
• Sentiasa melakukan ocokan (gangguan) agar penyerang tidak dapat merentasi garisan tengah.
• Sentiasa mengawal diri dari disentuh atau ditangkap oleh penyerang.
Kumpulan penyerang juga perlu berhemah dalam gerakan mereka. Sekiranya kerja merentasi garisan tengah dilakukan dengan cara rempuhan ia memungkinkan kecederaan berlaku.
Apa yang penting dalam permainan mt: masing-masing perlu berusaha untuk melepasi rintangan atau halangan. Secara jelasnya dapat dilihat, bahawa halangan kepada penjaga garisan ialah pelukan atau sentuhan, sementara halangan kepada penyerang adalah dari kalangan penjaga garisan.
Permainan yang menyeronokkan ini tidak perlu kepada alatan yang banyak. Hanya garisan berbentuk kotak (disebut juga urat) yang diperlukan. Walau bagaimanapun permainan yang sering dimainkan pada tempat-tempat lapang seperti di halaman rumah dan di bawah rumah perlu juga kepada alatan tententu. Tujuan penggunaan alat tersebut adalah untuk memastikan garisan yang dibuat tidak rosak atau hilang. Petanda garisan akan dibuat sama ada dengan menggunakan kayu, buluh, batu dan juga sabut.
Ukuran luas atau lebar kotak garisan yang dibuat adalah dalam lingkungan 280 sentimeter, sementara panjangnya dalam lingkungan 450 sentimeter.

Mutiara Kata
Meninjau sejarah hidup hendaklah dengan rasa cinta seakan-akan kita turut hidup dengan mereka. Oleh itu rasa hati dan suka duka kita sekarang, adalah rasa hati dan suka duka yang mereka tinggalkan buat kita.
-Hamka-
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 9, 1997
