JAAFAR HASSAN
Tokoh Pewaris Pembangunan Perlis
Oleh : OMAR YAACOB
DATUK JAAFAR HASSAN (1925-1987) adalah anak jati negeri Perlis yang ditakdirkan menjadi Menteri Besar Perlis yang kelima dan yang keduanya selepas kemerdekaan. JAAFAR dilahirkan dalam keluarga yang hidup sederhana di Kampung Jarak mukim Bintong, Perlis pada 16 Mei 1925. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bintong dan setelah tamat persekolahannya, beliau menjadi guru pelatih dan bertugas di Sekolah Melayu Kayang dengan gaji bulanannya hanya enam ringgit sahaja.

Datuk Jaafar Hassan
PENDIDIKAN AWAL
Pada tahun 1940, beliau ditawarkan mengikuti pendidikan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjong Malim dan beliau berhasrat menjadi pendidik. Tetapi malang baginya, pengajiannya terjejas akibat peperangan dunia dan ketika itu Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Kesukaran perhubungan ketika itu lebih-lebih lagi dalam situasi tidak aman, Jaafar dan rakan-rakannya terpaksa mengikuti jalan laut untuk sampai ke Perlis. Sepanjang masa pendudukan Jepun, Jaafar membantu keluarganya mencari nafkah termasuklah berniaga secara kecil-kecilan di kampungnya.
Selepas Jepun menyerah kalah, beliau ditawarkan semula untuk menyambungkan peng ajiannya di Tanjong Malim tetapi beliau menolak kerana keadaannya telah berubah. Beliau sudahpun berumah tangga dengan Che Raton Osman dan perlu memberikan tumpuan pada rumah tangga. Nasibnya agak baik bila beliau diberikan peluang menjadi Penolong Penghulu di mukim Kayang dan seterusnya dilantik sebagai Penghulu di Beseri. Jawatan Penghulu disandangnya selama 16 tahun dan memberi kesempatan luas baginya mendampingi penduduk desa serta memahami masalah dan aspirasi mereka. Beliau lebih dikenali sebagai Penghulu Jaafar, walaupun kemudiannya tidak lagi menjadi Penghulu.
Beliau biasa mengikuti kursus pentadbiran dan pertanian di Pusat Pertanian Serdang, Selangor (kini UPM) iaitu pada sesi 1948-1949 bagi memudahkan lagi beliau menjalankan tugas hariannya.
Pada akhir tahun 50-an beliau juga diberikan tugas sebagai Setiausaha Kebajikan Negeri berpejabat di Sekretariat dan merupakan jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri (SCS). Jaafar mengambil peluang untuk memajukan dirinya dalam bidang akademik dengan belajar sendiri serta mengikuti kelas-kelas bimbingan pada waktu malam bagi pelajaran Bahasa lnggeris dan kelas LCE kemudiannya Senior Cambridge dengan mendapat pangkat dua. la merupakan kejayaan cemerlang bagi seorang yang tidak mengikuti kelas yang formal di sekolah, terpaksa belajar secara sambilan di samping menjalankan tugas rasmi di pejabat. Beliau dikagumi oleh rakan-rakannya dan menganggap beliau seorang yang begitu keras dengan cita-cita dan mengejarnya sendiri (a self-motivated man). Jaafar mengambil kesempatan daripada tawaran Kerajaan Persekutuan untuk melawat negara-negara maju di Eropah Barat.
PENDIDIKAN TINGGI
CITA-CITA untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi sentiasa membara pada diri Jaafar walaupun usianya sudah mengjangkau 36 tahun. Beliau berminat dalam bidang perundangan dan hukum. Kerajaan Negeri bermurah hati menawarkan biasiswa un tuknya melanj utkan pelajaran di Lincoln's Inn, London pada tahun 1961. Tiga tahun kemudian beliau berjaya memperolehi ljazah Undang-Undang. Beliau memegang jawatan Pengadil Litar di Mahkamah Kangar. Beliau kemudiannya melepaskan jawatan Majistret dan mula menceburkan dirinya dalam bidang guaman yang lebih bebas dengan menjadi Peguambela dan Peguamcara berpejabat di Alor Setar dan Kangar.
POLITIK
KETIKA dalam bidang guamanlah, Jaafar dapat memberikan perhatian yang lebih serius kepada politik khasnya dalam UMNO. Sebelumnya beliau kurang berpeluang kerana terikat dengan tugas sebagai kakitangan kerajaan. Penglibatan Jaafar dalam perjuangan sejak tahun 1945 ketika tertubuhnya Persatuan Melayu Perlis dan pada 1946 menjadi ahli UMNO Perlis yang awal.
Pada tahun 1968 beliau diberikan kepercayaan untuk memimpin UMNO Bahagian Perlis Utara (kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Kangar). Ramai meramalkan bahawa beliau layak menjadi Menteri Besar pada ketika yang sesuai kelak memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas di samping hubungan yang erat dengan berbagai golongan masyarakat.
Sebagai orang politik tentulah beliau berhadapan dengan ramai kawan dan musuh. Musuhnya datang dari dalam dan juga di luar parti. Ujian getir yang mula dihadapinya ialah ketika pilihan raya umum tahun 1969. Beliau diletakkan bertanding di kawasan kubu kuat pembangkang iaitu di Sanglang. Akhirnya beliau berjaya memenangi kawasan tersebut dengan menewaskan tokoh PAS, Abu Bakar Hamzah dengaan majoriti tipis - hanya 5 undi. Tukang ramal politik percaya sekiranya beliau tewas dalam percubaan awal menghadapi rakyat ini tentulah karier politik Jaafar akan berakhir.
Sebaliknya, kejayaan beliau itu meletakkan dirinya bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi dilantik pula menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato' Sheikh Ahmad Mohd Hashim (yang menjadi Menteri Besar bagi penggal ketiganya sesudah pemilihan umum tahun 1969).

Menyampaikan sumbangan kepada Haji Mokhtar bin Ismail, bekas Ahli Parlimen Arau (Perlis Selatan).
MENTERI BESAR
BILA Dato' Sheikh Ahmad berundur dari jawatan Menteri Besar dan politik untuk menerima tawaran menjadi Duta Besar Malaysia di Arab Saudi dan Mesir pada tahun 1972, Jaafarlah menjadi calon Menteri Besar yang paling sesuai.
Ketika menjadi Menteri Besar, Datuk Jaafar bertanding lagi dalam dua kali pilihan raya (tahun 1974 dan 1978) atas tiket Barisan Nasional di kawasan yang lebih selesa iaitu di tempat kelahirannya sendiri, Bintong. Beliau memperolehi majoriti yang selesa menewaskan calon lawan dengan majoriti 2435 undi (tahun 1974) dan undi 2511 (tahun 1978).
Sehingga beliau mengundurkan diri sebagai Menteri Besar atas sebab kesihatan pada 31 Oktober 1981, beliau menjadi pemimpin kerajaan negeri hampir tempoh 10 tahun. Tempat beliau digantikan oleh (Cikgu) Ali Ahmad iaitu ADUN Kawasan Oran.
Jawatan tertingginya dalam politik UMNO ialah menjadi Ketua Perhubungan Negeri dan juga Ahli Majlis Tertinggi di bawah tiga orang Presidennya iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Datuk Hussain dan Dato' Hussein Onn.
Datuk Jaafar mempunyai saham tersendiri sebagai pewaris pembangunan di negeri Perlis, menyempurnakan prasarana bagi rakyat sama ada yang tinggal di bandar mahupun di desa.
Antara projek penting yang elok dicatatkan yang sempat beliau uruskan ialah :
- Mewujudkan cawangan Institut Teknologi MARA (ITM) yang agak besar di Arau.
- Mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Beseri bagi memberikan peluang kepada pelajar bumiputera yang cemerlang di Perlis dan di utara melanjutkan pelajaran.
- Memperbanyakkan projek rumah murah dan sederhana bagi rakyat biasa di kawasan Kangar, Arau, Padang Besar, dll.
- Pembinaanjalan raya di atas bukit menghubungkan Kaki Bukit dengan Kg. Wang Kelian di sempadan Negeri Thai. Kini menjadi jalan darat utama menghubungkan Perlis dengan wilayah Satun (Thailand). Sebelum ini penduduk Kg. Wang Kelian menggunakan lorong yang kurang selesa melalui Gua Kelam.
- Membina beberapa jambatan barn merentasi Sungai Perlis seperti di Tebing Tinggi.
- Memberikan peluang pembukaan kilang di kawasan industri yang sedia ada di Chuping dan Jejawi.
- Membuat persediaan bagi pembinaan Institut Kemahiran MARA (IKM) bersebelahan MRSM di Beseri dan di Kangar.
- Memperbaiki kawasan pelancongan di Sg. Batu Pahat. Diwujudkan pusat pemeliharaan ular. Juga pusat rekreasi barn diadakan di kawasan paya yang kini dikenali sebagai Tasik Melati.
- Mula merancangkan agar Perlis dikenali sebagai negeri tanaman khasnya mempelam. Projek mempelam Bt. Bintang yang luas mula diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan tenaga dari UPM.
Datuk Jaafar gemar berjalan meninjau hampir setiap desa di Perlis bagi memastikan bahawa setiap kawasan yang dilawatinya mendapat 'sentuhan pembangunan'.
Biasa juga beliau mengambil masa beberapa hari melawat sekolah-sekolah menengah seluruh negeri menyampaikan terima kasih dan penghargaan kerajaan negeri kepada guru-guru dan pelajar kerana kejayaan cemerlang pelajar dalam peperiksaan SPM. Malah rekod SPM pertama dari segi peratus kelulusan dapat dipertahankan hingga akhir-akhir ini.
KELUARGA
WALAUPUN begitu sibuk dengan tugas seharian, Datuk Jaafar sentiasa memberikan masa dan perhatian pada keluarga dan anak-anaknya. Melalui perkahwinannya dengan Che Haton Osman, beliau dikurniai tujuh orang anak (Latifah, Zulkifli, Hasnah, Jamaliah, Asiah, Sabariah dan Kamaruddin). Dengan isteri keduanya, Wan Halimah bte Che Abdullah (berkahwin pada tahun 1957) beliau memperolehi tiga anak (Norjismah, Mariah dan Jismi).

Nama diabadikan kepada Sekolah Menengah Datuk Jaafar, Chuping.
KURNIAAN
MENGENANGKAN jasa clan baktinya kepada negeri ini, Tuanku Raja Perlis menganugerah kan bintang SPMP (membawa gelaran Datuk) selepas beliau menerima pingat-pingat PJK dan JP. Yang Dipertua Negeri Sarawak menganugerahkan bintang DK kepada beliau.
Selepas bersara, pihak Persatuan Penulis Perlis (3P) memberikan anugerah Tokoh Budaya sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau dalam bidang kebudayaan dan pengembangan ilmu di Perlis.
Datuk Jaafar biasa mendapat rawatan jantung di London pada tahun 1981 dan keadaan kembali normal. Bagaimanapun beliau melepaskan jawatan Menteri Besar kepada penggantinya (Cikgu) Ali Ahmad mulai November 1981.
Beliau memberikan tumpuan kepada bidang kebajikan dan agama. Beliau gigih membaca dan sering mengikuti majlis-majlis agama di samping menumpukan kepada aktiviti dakwah. Beliau memegang pada konsep ilmu yang begitu universal - selagi ditimba terasa semakin diri kurang.
Beliau meninggal dunia pada 25 September 1987 di tempat tinggal anak perempuannya, Jamaliah di Pulau Pinang selepas beberapa minggu pulang mengerjakan haji. Mayatnya dibawa ke rumahnya, Seri Rumput, Kangar dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bohor Temak, Perlis.
PENUTUP
DATUK JAAFAR adalah tokoh yang sentiasa diingati kerana gaya yang sederhana, pergaulan yang luas meliputi semua lapisan dan berjaya membawa negeri Perlis kepada satu tahap pembangunan fizikal dan kerohanian yang dapat dibanggakan.
Nama beliau diabadikan di beberapa tempat dan institusi sebagai kenangan pada beliau iaitu:
- Nama projek perumahan sederhana di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar dengan nama Taman Datuk Jaafar.
- Nama Perpustakaan Datuk Jaafar Hassan di ITM, Arau.
- Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan di Jalan Batu Bertangkup, Chuping.
- Nama Dewan Datuk Jaafar Hassan di Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar.
- Nama Kampung Penghulu Jaafar di Beseri.
Ya, Allah - Kau cucurilah rahmat ke atas roh Datuk Jaafar Hassan.
RUJUKAN
- 'Fakta Tokoh Perlis' - Koleksi Perlis, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Kangar.
- Rencana akhbar oleh Ramli Ismail dalam Utusan Malaysia, 27.9.87
- Laporan Pilihan Rava Persekutuan Negeri-Negeri tahun 1969, 1974 dan 1978 oleh SPRK. Lumpur.
- Temubual dengan Zulkifli Jaafar (anak Allahyarham Datuk Jaafar Hassan), kini pelajar UIA, Kuala Lumpur pada bulan April I 995.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7, 1995
