TRADISI MENGANYAM ATAP
Oleh: ROSLAN BIDIN
KITA sepatutnya berasa amat bersyukur. Dilahirkan di dalam sebuah negara yang sedang meningkat maju setahun demi setahun. Jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya seperti zaman ibu, bapa, datuk, nenek, Pak Cik atau orang yang terdahulu daripada kita, kehidupan mereka sangatlah jauh bezanya dengan kita. Keperluan kita pada masa kini semuanya sudah melebihi daripada mencukupi. Tetapi keperluan mereka pada zaman dahulu adalah sangat terhad. Barangan pada masa itu hanyalah cukup sekadar keperluan sehari-hari. Tidak semewah seperti sekarang ini.
Barangan yang diperlukan, mesti dibuat sendiri. Tidak menggunakan mesin dan sebagainya seperti yang ada pada masa kini. Untuk membuatnya pula, mesti memakan masa sekurang kurangnya selama dua hari.
Kita semua sedia maklum bahawa, rumah adalah keperluan kita sejak dari zaman dahulu lagi. Pada masa dahulu, rumah berdindingkan kayu atau buluh yang dianyamkan. Tetapi kini, rumah-rumah kita sudah berubah wajahnya. Rumah-rumah kita pada masa kini berdin dingkan batu serta marmar yang indah. Atap pula diperbuat dengan cantik. Atap zin atau genting. Tetapi bagaimanakah orang-orang dahulu membuat atap?
Untuk membuat atap pada zaman dahulu, mereka menggunakan dua jenis daun. Daun rumbia dan juga daun nipah. Buluh untuk dijadikan tulang belakang atap serta bemban yang diraut halus untuk dijadikan bahan untuk menjahit atap tersebut. Mereka tidak dapat membuat atap jika salah satu bahan.itu tidak ada.
Orang-orang dahulu terpaksa masuk ke hutan untuk mencari batang buluh dan di jadikan tulang belakang atap. Setelah dibawa pulang, buluh-buluh tadi mestilah dinipiskan sedikit untuk memudahkan kerja-kerja membuat atap. Bemban mesti didapatkan daripada sejenis pokok yang tumbuh segar di dalam hutan. Batang bemban yang masih segar ditebang, diambil yang lurusnya untuk dibawa pulang dan diraut halus untuk dijadikan benang jahitan atap. Pokok bemban sering ditanam di belakang rumah orang dahulu untuk memudahkan kerja-kerja membuat atap.
Akhirnya daun rumbia atau daun nipah disediakan untuk dianyamkan lalu dicantum menjadi susunan atap. Untuk dijadikan atap rumbia, daun rumbia hendaklah yang masih segar dan belum lagi kekeringan dimamah dek cahaya matahari. Daun-daun rumbia yang sudah kering ini akan menjadi rapuh dan sukar untuk dilipat dan dijahitkan.
Setiap kali, jika ada rumah-rumah yang akan mengadakan majlis kenduri kahwin, gotong-royong membuat atap rumbia menjadi amalan kebiasaan bagi mereka. Mereka akan mengumpulkan banyak daun rumbia atau daun nipah dan sama-sama menganyamnya sehingga menjadi timbunan atau bagaikan bangunan bertingkat-tingkat yang sering kita lihat pada hari ini. Tatkala dilihat oleh tuan rumah, oh! betapa gembiranya hati, melihatkan susunan atap, hasil daripada kerjasama kawan rakan, sanak saudara serta jiran sekampung yang sudi memberikan bantuan.

Sedang membuat atap rumbia.
Rebus ketupat di Kampung Beseri,
Untuk sajian di hari saya,
Rokok dihulur, hidangan disaji,
Penawar penat setelah bekerja.
Meskipun keadaan zaman semakin berubah dan atap-atap rumbia masih tidak digunakan lagi, namun masih ada sesetengah orang kampung atau golongan penternak yang amat memerlukan atap rumbia ini. Atap-atap rumbia ini digunakan untuk dijadikan atap kandang atau tempat ternakan mereka. Atap rumbia atau atap nipah ini dikatakan tidak panas jika cuaca terik. Atap ini akan membuatkan ternakan dapat hidup segar dalam keadaan baik di dalam kandang atau tempat mereka.
Permintaan atap semakin meningkat, walaupun ia sudah ditelan usia yang sebegitu lama. Mereka sanggup membeli atap ini, walaupun harganya sehingga mencapai RM55.00 untuk seratus keping atap.
Buah nyiur dalam perahu,
Untuk dibawa ke Indera Kayangan,
Hidup kini di zaman baru,
Tradisi lama dibuang jangan.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7, 1995
