KUBANG TIGA TIDAK LAGI TERPINGGIR
Oleh: ADNAN JAHAYA
SUATU ketika dahulu nama Kubang Tiga begitu terpinggir malah tidak ramai yang mahu menyebutnya. Mereka seolah-olah benci mendengar nama kampung yang terletak di tengah hutan dalam kawasan Oran itu apatah lagi penduduknya sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah seperti samun dan penyeludupan.
Bagaimanapun kampung seluas empat kilometer persegi yang hampir semua peng huninya berketurunan Thai kini mula dihormati.
Para penduduknya yang suatu ketika dahulu begitu tertekan dengan pelbagai tohmahan masyarakat luar kini mulai berbangga dengan kedudukan mereka.
TOHMAHAN
"Kami tahu kampung kami adalah sama seperti kampung-kampung lain. Sudah ada jalan raya dan ada api elektrik di kampung kami," kata penasihat kaum Thai kampung itu, Encik Ruang a/1 Endin Room.
"Kami juga akan diberi kemudahan air paip. Kerajaan berjanji akan mengusahakannya secepat mungkin," tambahnya.
Menurut tokoh yang berusia 62 tahun itu, pada masa lalu, kampung itu begitu terpinggir dan terletak jauh di tengah hutan. Tiada kemudahan jalan atau bekalan elektrik menyebabkan orang luar jarang berurusan di kampung itu.
Beliau tidak menafikan pernah berlaku kegiatan jenayah di kampung itu yang mungkin disebabkan kedudukannya jauh ke dalam hutan sehingga para penduduknya takut untuk merayau pada waktu malam apatah lagi bagi orang luar.
Katanya, Kampung Kubang Tiga dibuka sekitar 200 tahun lalu oleh sekumpulan pengembara dari wilayah Songkhla, selatan Thailand yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Nai Khon dan sebahagian besar daripada 630 penduduk yang menghuni kampung itu adalah daripada keturunannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Tiga, Encik Kiat a/1 Endik Keling, 46, bangga menjadi warga kampung itu kerana menurutnya kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka. Katanya, Kubang Tiga kekal dengan keaslian alam sekitar dan budaya masyarakatnya yang hampir keseluruhannya berketurunan Thai.
"Kami sentiasa mengambil tahu masalah penduduk dan jika tidak dapat diselesaikan di peringkat kampung, kami serahkan kepada kerajaan," kata Encik Kiat.
Kubang Tiga yang memperolehi nama daripada penemuan tiga buah kubang badak kini mempunyai 131 buah rumah dan sebuah wat (rumah ibadat) berharga RM60,000.
Encik Kiat berkata wat itu dibina hasil derma seorang ramai yang mula dikumpul pada 1962 dan sedikit demi sedikit ia dibina secara gotong-royong. "Wat ini melambangkan semangat kerjasama kami," tambahnya. Penduduk Kubang Tiga juga berterima kasih kepada Keaw a/p Sibun yang menderma tiga hektar tanah untuk pembinaan wat kirakira 30 tahun lalu.
Ketua kaum Thai Kubang Tiga, Encik Rat a/1 Endin Ruang, 37, berkata tiada apa yang perlu ditakutkan apabila melalui jalan ke kampung itu meskipun pada waktu malam.
PEMBINAAN
"Kami sentiasa bersyukur menjadi warganegara Malaysia kerana kami dapat mencari rezeki dengan mudah walaupun jauh dari bandar," kata Encik Rat, pengusaha bas kilang.
Menurutnya, pekan terdekat dengan kampung itu ialah Bukit Keteri yang terletak kira kira IO kilometer dari situ manakala kampung-kampung lain yang teletak berhampiran ialah Belukar Lenga, Batu Bertangkup dan Bilai Udoh.
Encik Rat berharap kampung itu dapat melahirkan generasi yang bijak pandai yang bakal mencorak pembangunan kampung itu kelak dan pada masa ini kira-kira 200 penduduk kampung itu adalah pelajar.
Mereka mengayuh basikal setiap hari sama ada ke Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan atau Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup.
Pelajar tingkatan lima SMDJH, Pharnett a/p Kiat berkata setiap pagi beliau menyertai rakan rakannya berbasikal ke sekolah yang terletak I0 kilometer dari situ.
Rakan sekolahnya, Soomchit a/p Endin Ruang, 17, juga bangga dilahirkan di kampung itu dan berazam untuk menjadi warganegara yang berguna kepada negara khususnya kampung itu.
Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan mengabaikan masyarakat keturunan Thai meskipun mereka merupakan golongan minoriti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Negeri, Haji Yazid Mat berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan secukupnya untuk kampung Kubang Tiga termasuk menyediakan bekalan air bersih kerana ia menjadi masalah utama penduduk kampung itu.
Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebatang jalan raya untuk kemudahan perjalanan para penduduk di samping bekalan elektrik.
Encik Yazid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Oran berkata beliau sering ke kampung berkenaan untuk mendengar masalah dan menyelesaikannya secepat mungkin.
Katanya, para penduduk kampung itu amat setia kepada kerajaan dan sehingga ini pihak pembangkang belum berjaya melangkah masuk ke kampung itu untuk melontarkan dakyah mereka.
"Kami sama sekali tidak mahu mereka tersisih," kata Yazid.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 7, 1995
